Kehadiran adik baru pastinya perubahan besar bagi seorang anak sulung. Apakah caranya untuk mengelakkan anak pertama terasa hati dengan kelahiran bayi baharu?
Persediaan anak pertama untuk kehadiran bayi baharu
Biasanya sebelum kelahiran bayi baharu, sebagai ibu bapa pastinya anda akan menyatakan kepada anak bahawa dengan kehadiran adik nanti, mereka boleh bermain bersama, betul tak?
Tetapi apabila si sulung cuba untuk mencium atau bermain dengan si adik, anda mengingatkan mereka untuk berhati-hati, bahkan mungkin mereka dimarahi.
Tanpa disedari, mereka terasa hati dan menjadi tidak keruan kerana segala yang dilakukan tampak salah di mata ibu.
Kewujudan adik yang disangka akan menghadirkan rasa gembira, nampaknya tidak menjadi kenyataan.
Jangan risau, ada beberapa teknik yang boleh dicuba untuk mengatasi keadaan ini.
Jujur dengan anak agar tidak terasa hati
Mulakan untuk berborak dengan anak pertama anda mengenai bayi. Ambil tahu perasaan mereka jika mempunyai ahli keluarga baharu.
Mengetahui perasaan mereka membolehkan anda untuk membantu anak menerima kehadiran adiknya nanti.
Jangan lupa untuk kongsikan bersama mereka tentang berita kehamilan anda sebaik sahaja mengetahui mengenainya.
Didik anak pertama
Mengajar anak yang lebih tua cara untuk berinteraksi dengan bayi baru lahir secara tidak langsung dapat menjaga dan melindungi si kecil.
Didik secara lisan, tunjukkan contoh, bimbingan serta memberikan semangat dengan berhemah agar si sulung tidak terasa hati.
Ads
Hindari daripada meninggikan suara.
Contohnya, ajarkan mereka cara untuk menggosok belakang badan si kecil. Ceritakan tentang kebaikan sentuhan dalam menenangkan bayi.
Pastikan anda memberikan pujian kepada mereka kerana berjaya melakukannya dengan baik.
Ia secara tidak langsung mengajar anak untuk bersikap fizikal dengan bayi melalui cara yang positif.
Pun begitu, elakkan daripada meninggalkan anak yang lebih tua bersendirian dengan si kecil, sehingga anda benar-benar yakin.
Pantau anak pertama
Sehingga anda benar-benar memahami dan dapat membaca reaksi anak yang lebih tua terhadap adik baharu, sentiasa awasi mereka.
Ini kerana jika wujud tindakan fizikal kasar pada si kecil, anda dapat menghindarinya secepat mungkin.
Sekiranya ia terjadi, lakukan sesuatu untuk mengubah fokus mereka seperti memberikan mainan kegemaran atau membuka siaran televisyen disukai si sulung.
Paling penting, elakkan daripada menyalahkan anak yang tua semasa melindungi bayi baru lahir anda.
Jangan menyalahkan bayi
Dalam usaha untuk mengeratkan ikatan antara anak-anak anda, elakkan daripada meletakkan kesalahan pada bayi.
Ads
Misalnya jika anak sulung ingin ke taman tetapi bayi sedang tidur, ujarkan bahawa anda boleh pergi setelah adik bangun.
Jangan pula anda berikan jawapan yang anda tidak dapat ke taman kerana bayi tidur.
Amalan seperti itu dapat membantu anak merasai kewujudan adik baharunya tanpa kelihatan terlalu drastik. Ini sekali gus mengelakkan mereka terasa hati.
Sesi penyusuan bayi & anak pertama
Menyusukan bayi dengan kehadiran anak yang lebih tua boleh membawa kepada 2 keadaan, sama ada memudahkan atau menyukarkan.
Sesetengah anak mungkin berasa cemburu apabila melihat si ibu menyusukan adik, khususnya jika mereka masih sukar menerima perubahan ini.
Sekiranya itu situasi anda, berikan anak sesuatu yang dapat mengubah tumpuan mereka seperti memberikan barang permainan kesukaannya.
Sekiranya boleh, dapatkan bantuan ahli keluarga lain seperti pasangan ataupun pengasuh untuk menjaga anak yang lebih tua semasa anda menyusukan si adik.
Libatkan anak pertama
Ajari anak cara untuk membantu anda menguruskan atau menghiburkan si adik.
Biarkan anak sulung untuk membantu membuka hadiah bayi dan menggunakan kamera untuk mengambil gambar si adik.
Anda juga boleh menunjukkan mereka cara untuk memakaikan stoking atau meletakkan losen pada bayi.
Ads
Pastikan anda memberikan pujian dan dorongan kepada mereka, okay?
Elak membandingkan dengan si sulung
Untuk mengelakkan anak lebih tua terasa hati, hindari daripada membuat pernyataan untuk membandingkan antara mereka adik-beradik.
Contohnya seperti, “Adik baik duduk diam, tak macam abang asyik menangis sahaja masa baby dahulu.”
Dalam masa yang sama jangan memuji si sulung secara berlebihan daripada adiknya, kerana boleh menimbulkan rasa pengabaian dan lebih hebat daripada bayi.
Ia bukanlah cara yang sihat untuk mengeratkan ikatan adik-beradik. Sebaiknya berlaku adil dan saksama antara kedua-dua anak anda, okay?
Tunjukkan kasih sayang pada anak pertama
Walaupun anda sibuk untuk menguruskan si kecil, jangan pernah mengabaikan anak sulung.
Tunjukkan rasa kasih sayang anda dengan menyatakan “Mama sayang Kakak”. Anda juga boleh memeluk atau mencium anak tanpa mengira masa.
Tindakan anda ini akan membuatkan anak berasa masih disayangi walaupun dengan kehadiran si kecil.
Untuk tempoh beberapa bulan pertama selepas kelahiran bayi baharu, ia adalah masa yang akan menguji kesabaran kalian sebagai ibu bapa.
Ini kerana ia adalah tempoh masa untuk menyesuaikan diri bagi setiap ahli keluarga.
Sentiasa kekal tenang, okay?
Kredit photo: freepik
Kredit: Hello Doktor
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Sertai Webinar penyusuan terbesar ‘Mama Tak Penat Susukan Anak’ yang dianjurkan Pa&Ma tahun ini. Webinar PERCUMA ini menampilkan panel-panel hebat seperti Dato’ Dr Sheikh Muszaphar, Dr Seri Suniza, Dr Hairin Anisa, Puan Asiah Maharam dan perkongsian istimewa oleh Dato’ Siti Nurhaliza. Selain mendapat ilmu penyusuan, peserta juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah. Daftar segera di https://toko.ideaktiv.com/product/webinar-mama-tak-penat-susukan-anak/ atau terus scan QR Code pada poster.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sering kali diajukan soalan begini kan? terutama sekali ibu atau bapa yang mempunyai anak yang semuanya jantina yang sama. Mulut orang tak boleh ditutup tapi respons kita terhadap situasi itu mengubah stres kepada reda.
Mungkin pertanyaan banyak dihadapi mama papa. Adakalanya terpaksa korbankan perasaan sendiri yang mungkin terhiris dengan perilaku orang sekeliling yang mempersoalkan takdir yang sudah tertulis. Soalan yang tak mampu dijawab. Senyum dan bersabarlah kerana setiap apa yang hadir adalah ujian atau nikmat.
“DUA ORANG JE?” soal seorang wanita tatkala saya duduk menunggu suami.
“Haah, alhamdulillah,”
“Dua-dua perempuan?” soalnya lagi.
“Haah, ya…”
“Tak teringin ke nak bagi suami baby boy pulak?” soalnya lagi.
Kali ini, saya mampu senyum sahaja.
“InsyaAllah, yang dua ni pun dah alhamdulillah,” balas saya perlahan.
“Kena usaha lagi tu, bagi dapat yang lelaki, rugi muda lagi…” katanya lagi. Riak wajahnya serius sahaja sejak dari tadi.
Tiada garis senyuman.
Tidak tahu apa difikirannya. Saya pula bukan pandai nak menelah apa di dalam hatinya.
Akhirnya, saya cuma mengangguk sambil membalas ‘insyaAllah’ sebelum meminta undur diri.
ABAIKAN DEMI MENJAGA EMOSI SENDIRI
Untuk menjaga kebajikan emosi sendiri, soalan sebegini saya biarkan sahaja bagai angin lalu, kerana antara sebabnya, suami saya sendiri belum ada mempersoalkan apa-apa berkaitan hal ini.
Untuk itu, saya amat bersyukur juga, tidak diuji suami yang tidak dapat menerima kenyataan tidak dikurniakan anak lelaki. Kalau tidak, berat juga untuk menanggung akibat suami yang jahil dan tidak redha dengan ketentuan Ilahi.
Jauh di sudut hati, saya yakin, Allah menentukan ini yang terbaik untuk saya dan suami buat masa ini. Sebab anak ni pemberian Allah. Pinjaman dari Allah.
Bukan kata bila saya beranak, ia tanda kehebatan saya, bukan.. Bukan di tangan saya untuk menentukannya.
Kalau bolehlah hendak dipilih-pilih umpama memilih sayur di pasar. Namun, sebagai hamba, kita kena yakin, pilihan Allah itulah yang terbaik.
Ada orang, bila dia ada anak, dia rasa dia ada kelebihan berbanding orang yang tidak beranak.
Ada orang, bila dia ada anak lelaki dan perempuan, dia rasa hidupnya lebih sempurna berbanding yang tidak memiliki anak kedua-dua jantina.
Namun, jika diterbalikkan pula,
Orang yang belum beranak, melihat ada anak seorang pun sudah rahmat yang besar.
Orang yang anak baru seorang dan ‘struggle’ untuk menambah zuriat, melihat ada anak dua orang sama jantina pun adalah rezeki yang tidak ternilai.
Kita jenis yang bagaimana?
Nikmat yang kita ada sekarang ini membuatkan kita MEMBESARKAN ALLAH atau merasa nikmat pinjaman itu adalah tiket untuk MEMBESARKAN DIRI SENDIRI?
NAK ANAK RAMAI JANGAN SAMPAI MENZALIMI MENTAL PASANGAN
Nafsu kita memang kata nak anak ramai, kalau boleh nak berpasang-pasang, selang seli, tetapi rupanya mungkin tidak sedar menzalimi mental dan emosi pasangan.
Kadang bukan isteri sahaja trauma dan mentally exhausted tetapi sesetengahnya kaum suami pun sama kerana terlalu berat memikir kelangsungan nafkah anak isteri.
Hal merancang anak, serta pendidikan mereka memerlukan kerjasama kedua belah pihak. Tak cukup jika salah seorang sahaja yang berhempas pulas, sedangkan seorang lagi ‘lepas tangan’.
KALAU BAHAGIA & SUAMI OK, PEDULIKAN PANDANGAN ORANG
Oleh itu selagi mana kita suami isteri okay dan bahagia dengan keadaan yang Allah izinkan kita berada sekarang ni, sudah memadai, insyaAllah. Pedulikan apa pandangan orang lain. Kita lebih faham rumahtangga kita.
Ingatkan diri kita sentiasa, dunia ini bukan untuk MEMBESARKAN NAFSU, tetapi untuk MEMBESARKAN TAQWA. Bukan tentang taqwa kita sahaja, bahkan iman dan taqwa isteri serta anak-anak juga.
BERDAMAILAH DENGAN KETENTUAN TAKDIR
Lihat anak-anak kecil memang comel, tetapi kerenah dan mehnah membesarkan mereka bukan hal mudah. Bertimbangrasa lah dengan pasangan.
Berdamailah dengan ketentuan takdir. Setiap anak bukan sahaja rezeki, bahkan adalah amanah yang berat. Apa sahaja ketentuan Allah, samada beranak ramai mahupun tidak, itulah takdirNya yang terbaik untuk kita.
Firman Allah, “Wahai orang-orang yang beriman, jagalah diri kalian dan keluarga kalian dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkanNya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (At-Tahrim: 6)
Cukuplah ayat ini mengingatkan betapa besarnya tugas kita sebagai ibubapa, sebagai suami isteri.
Ingatan dan muhasabah buat saya yang PALING banyak lalai dan buat silap.
Islam merupakan agama yang lengkap dan sempurna. Kesempurnaan Islam terserlah dalam semua aspek kehidupan manusia termasuklah pendidikan. Menurut perspektif Islam, pendidikan kanak-kanak ialah proses mendidik, mengasuh dan melatih rohani dan jasmani mereka berteraskan nilai-nilai baik yang bersumberkan Al-Quran, Hadis dan pendapat serta pengalaman para ulama.
Ia bertujuan untuk mendidikan kanak-kanak pada usia muda amat penting bagi membentuk sifat dan peribadi yang mulia dalam diri mereka. Hal ini amat penting bagi memastikan mereka dapat menjadi seorang muslim yang sejati dan baik serta melahirkan Insan Rabbani yang beriman, bertakwa dan beramal soleh. Untuk mendidik anak ia melibatkan beberapa peringkat, bermula dari dalam kandungan sehinggalah ia lahir dan menjadi dewasa.
1.Cara komunikasi yang sopan
Haruslah mendidik anak bercakap benar, sopan santun dan mengucapkan perkataan yaang baik. Anda harus menjaga perilakuan supaya menjadi role model kepada anak-anak semasa anda berkomunikasi dengannya.
2.Doa penerang hati
Sebelum belajar didik anak membaca doa-doa penerang hati ia termasuk surah Al-Insyirah. Malah Rasulullah pernah menyuruh Ali RA membaca surah Al-Insyirah untuk kuat ingatan mudah faham, menjadi tenang, mudah patuh arahan ibu bapa dan tidak banyak meragam.
3.Mini perpustakaan Islamik
Sediakan mini perpustakaan yang bercirikan islamik di rumah dengan perbanyakkan pilihan buku-buku berkaitan Islam seperti kisah nabi-nabi dan rasul. Ini akan memupuk nilai membaca dalam diri anak-anak dan mendedahkan kegemilangan Islam dalam diri anak.
4.Posisi tidur
Jangan lupa ingatkan anak untuk mengamalkan cara tidur mengikut sunnah Nabi SAW. Pastikan anak-anak tidur mengiring kekanan agar otak jadi lebih pintar dan lena tidurnya.
5.Didik anak bawa kelengkapan solat
Jika pergi bercuti atau pulang ke kampung, biasakan kepada anak-anak untuk membawa kelangkapan solat. Dengan ini, mereka akan tahu betapa pentingnya solat sebagai seorang muslim.
6.Adab makan minum yang baik
Ajari anak makan dan minum dengan sopan. Oleh sebab itu, digalakkan anak membaca bismillah dan alhamdulillah sebelum dan selepas makan. Sikap yang tidak sopan seperti gelojoh ketika makan hendaklah ditegah. Beritahu juga kepada anak mengenai cara seperti mencuci tangan, duduk dengan sopan serta berdoa sebelum dan sesudah makan.
7.Lima minit membaca Al-Quran
Digalakkan ibu bapa boleh mengajar anak mereka untuk membaca dan memahami al-Quran. Boleh dilakukan sebelum mereka pergi ke sekolah atau tadika untuk mereka membaca dan memahami al-Quran walaupun hanya 5 minit setiap hari.
8.Adab baca doa sebelum tidur dan bangun
Didik anak sebaik sahaja bangun membacakan doa bangun tidur dan sebelum tidur. Seeloknya tidur dalam keadaan mengadap qiblat, membersihkan diri kaki dan muka sebelum dan selepas bangun daripada tidur.
9.Mengajar anak adab masuk dan keluar tandas,
Tandas juga salah satu adab yang tidak boleh diabaikan. Anak-anak perlu didik cara yang betul untuk membuang air kecil atau besar. Juga cara masuk ke dalam tandas antaranya menutup kepala, membaca doa, memakai selipar dan membelakangkan qiblat
10.Adab dengan ibu bapa
Mendidik anak untuk menghormati dan mengerti pengorbanan ibubapa terhadapnya. Ia penting untuk memberi kesedaran dan bersyukur kerana masih mempunyai kedua ibu bapa.
11.Sembahyang berjemaah
Biarpun anda sibuk dengan kerjaya, pastikan juga ada waktu untuk anda berjemaah dengan anak-anak terutama waktu solat subuh, mahgrib dan Isyak.Suasana seperti ini memberikan aura positif kepada anak dan rumah anda.
12.Bawa anak ke masjid
Jika masjid jauh daripada rumah, tak salah jika membawa anak ke masjid waktu cuti hujung minggu. Laungan azan yang berkumandang dalam masjid sesungguhnya membuatkan jiwa anak menjadi tenang.
13.Berpakaian sopan
Biarpun anak baru berusia enam tahun, tidak menjadi kesalahan mendidik anak pakaian yang menutup aurat. Cara ini secara tidak langsung didikan awal buatnya untuk berpakaian sopan.
Kejadian bayi jatuh dari katil memang sering kita dengar. kadang memang dah buat kubu dengan bantal di sekeliling anak yang tidur tapi kejadian jatuh katil masih lagi berlaku.
Bila anak jatuh katil mak ayah tentunya tak keruan. Tak tahu apa nak buat risau ada kecederaan yang tidak nampak dengan mata kasar. Jangan panik dan ikut lima langkah penjagaan ini.
Di Malaysia, boleh dikatakan kebanyakan bayi tidur bersama ibu bapanya. Keadaan ini berbeza dengan negara luar yang kerap mempraktikkan tidur berasingan sejak dari bayi.
Jadi, isu bayi jatuh katil, khususnya katil dewasa adalah perkara yang sering berlaku.
Sama ada anda melihat dengan sendiri si manja terjatuh dan bergegas cuba menyelamatkan mereka, atau hanya sedar selepas dengar bunyi terjatuh, ia sudah tentu membuatkan anda rasa bersalah.
Dalam keadaan panik, persoalan paling utama akan menerjah fikiran anda, “Apa yang perlu anda lakukan?”
Bayi jatuh katil, ini 5 langkah penjagaan ibu perlu buat
Terjatuh dari katil dewasa bukan sahaja boleh menjejaskan keadaan si manja akibat hentakan ke lantai, namun wujud risiko bahaya lain.
Bayi anda mungkin terjatuh ke atas barang-barang seperti timbunan pakaian atau beg plastik.
Sekiranya si manja terjatuh dari katil, lakukan langkah penjagaan ini dengan segera:
#1. Angkat dengan segera
Jatuh sudah tentu akan memberi impak sakit kepada individu yang mengalaminya, tanpa mengira usia.
Apabila si manja jatuh, mereka pastinya akan terkejut dan menangis. Tambah mengejutkan bayi jika anda turut menjerit saat melihat mereka terjatuh.
Jadi perkara paling penting untuk anda lakukan adalah segera angkat dan mendukung mereka. Berikan kucupan dan usaplah badan si manja untuk membantu menenangkan diri mereka.
#2. Periksa badan
Apabila keadaan bayi jatuh katil sudah tenang, anda disarankan untuk memeriksa bahagian kepala dan badan si manja.
Ini bagi melihat jika terdapat sebarang kecederaan, benjolan, pendarahan, luka atau calar.
Jangan pula anda terus memeriksa badan si manja saat mereka masih lagi menangis, atau ia hanya menjadi kerja yang sia-sia kerana anda akan berdepan kesukaran untuk melakukannya.
Sekiranya terdapat benjolan, anda boleh cuba untuk merawatnya dengan merendamkan sehelai kain bersih dengan air suam dan dituamkan di bahagian tersebut.
Sebaiknya, elakkan daripada menggunakan sebarang minyak atau krim, kerana wujud risiko untuk si manja mengalami kerengsaan kulit.
Jika terdapat luka berdarah, lap dan tekankan bahagian tersebut dengan kain bersih selama 10 minit.
Sekiranya pendarahan berterusan dan tidak berhenti, sila bawa bayi anda untuk mendapatkan pemeriksaan doktor dengan segera.
#3. Berikan susu
Seandainya anda berjaya melakukan langkah penjagaan #1 dan #2 dengan baik tanpa sebarang masalah, anda boleh menyusukan si manja, sama ada susu badan mahupun susu formula.
Dalam keadaan yang kenyang selepas menyusu, ia akan memudahkan proses untuk bayi tidur kembali.
#4. Kenal pasti tanda bahaya
Walaupun bayi anda mungkin sudah berhenti merengek dan menangis serta berjaya ditidurkan kembali, namun anda masih perlu berwaspada.
Kenal pasti tanda-tanda tidak normal yang mungkin dialami bayi selepas terjatuh dari katil seperti:
Sukar dibangunkan selepas tidur
Terdapat darah atau cecair kuning keluar dari hidung atau telinga
Muntah-muntah
Menangis dengan kerapdan nyaring
Kekejangan pada wajah
Terdapat anggota badan yang tidak boleh digerakkan mereka
Pengsan
Jangan panik wahai ibu sekalian. Bertenang dan segera bawa si manja untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan dengan doktor bagi mengenal pasti keadaan mereka.
#5. Hindari aktiviti lasak
Dalam keadaan yang tidak berbahaya, apabila bayi jatuh katil, mereka mungkin akan cenderung mengantuk dan kurang daya tumpuan.
Terdapat kemungkinan juga wujud kesakitan pada bahagian kepala atau leher yang berterusan untuk tempoh masa beberapa hari.
Anda mungkin tidak perlu bimbang dengan keadaan itu jika si manja masih aktif seperti biasa. Tetapi pastikan mereka mendapat rehat yang mencukupi.
Buat seketika, elakkan sebarang aktiviti yang dikategorikan sebagai lasak.
Jika mereka mengalami perubahan pada pola tidur, anda dinasihatkan untuk mendapatkan rundingan daripada pakar kanak-kanak.
Tingkatkan langkah pencegahan
Bayi jatuh katil bukanlah 1 perkara yang menggembirakan.
Tetapi apabila ia berlaku, pastinya secara tidak langsung akan meningkatkan kesedaran anda untuk mencegah perkara ini daripada berulang, bukan?
Dalam apa jua keadaan, seorang bayi atau kanak-kanak yang masih kecil, tidak sepatutnya dibiarkan sendirian di atas katil dewasa tanpa pemantauan.
Selain berdepan risiko terjatuh dari katil, mereka juga mungkin boleh terhantuk dinding berhampiran katil atau terperangkap bersama barangan lain.
Pemeriksaan doktor
Bertindak segera dan sentiasa memantau keadaan si manja – ini dapat mengurangkan kesan risiko akibat bayi jatuh katil.
Anda mungkin perlu memerhatikan perkembangan bayi untuk tempoh beberapa bulan bagi memastikan kesan jangka panjang daripada kecederaan otak tidak berlaku.
Jika wujud kebimbangan dan keraguan mengenai keadaan si manja, rujuklah doktor bagi mendapatkan kepastian.
Amaran METMalaysia meramalkan hujan berterusan di enam negeri sehingga 8 Disember. Ketahui tip keselamatan penting untuk melindungi anak-anak ketika cuaca buruk.