
Cuti sekolah bukan sekadar masa berehat di rumah atau leka dengan gajet. Inilah waktu terbaik untuk ibu bapa beri anak pengalaman baharu yang mencabar fizikal, emosi dan keyakinan diri.
Baru-baru ini, sempena cuti sekolah, Pa&Ma dan Bintang Kecil telah mengajurkan program Wall Climbing untuk memberi peluang kepada kanak-kanak mencuba aktiviti lasak dalam persekitaran yang selamat dan terkawal.
Bertempat di Rocky Basecamp, AEON Mall Shah Alam, aktiviti ini membawa anak-anak merasai sendiri pengalaman memanjat dinding sambil belajar mengurus rasa takut, meningkatkan fokus serta membina keberanian diri.
Wall climbing bukan sekadar aktiviti fizikal. Ia sebenarnya membantu perkembangan anak dari pelbagai sudut iaitu mMembina keyakinan diri apabila anak berjaya menamatkan cabaran, melatih fokus & koordinasi badan, menggalakkan keberanian mencuba perkara baharu dan belajar bekerjasama dalam kumpulan. Malah aktiviti ini direka khas untuk kanak-kanak dan dibimbing sepenuhnya oleh jurulatih berpengalaman.
Menambahkan lagi keterujaan, program ini tampil dengan tema Super Hero (warna-warna superhero) yang membuatkan anak-anak lebih bersemangat, seolah-olah menjadi wira kecil yang berani menawan cabaran.
Program seperti ini bukan sahaja menyeronokkan, malah memberi pengalaman berharga buat anak-anak. Saat mereka berani melangkah naik, walau sedikit takut, itulah momen pembelajaran sebenar yang sukar diganti dengan apa-apa di rumah. Bagi ibu bapa yang mencari aktiviti cuti sekolah yang sihat, selamat dan membina karakter anak, Wall Climbing Kids bersama Bintang Kecil dan Pa&Ma sememangnya pilihan yang berbaloi.
Program ini disusun rapi bagi memastikan setiap peserta mendapat pengalaman yang selamat, menyeronokkan serta bermanfaat sepanjang aktiviti berlangsung.
Seawal 9.30 pagi hingga 10.00 pagi, sesi pendaftaran peserta akan dijalankan. Ibu bapa dan penjaga digalakkan hadir lebih awal bagi melancarkan proses pendaftaran serta persediaan awal anak-anak sebelum aktiviti bermula.
Program diteruskan dengan taklimat keselamatan dan sesi pemanasan badan (warm up) Sesi ini amat penting bagi memberi pendedahan kepada peserta mengenai aspek keselamatan serta menyediakan fizikal dan mental anak-anak sebelum mencuba aktiviti wall climbing.
Seterusnya, pertandingan Wall Climbing akan berlangsung selama satu jam, Para peserta akan dibahagikan kepada tiga kumpulan. Pembahagian kumpulan dibuat melalui cabutan undi semasa pendaftaran bagi memastikan keadilan. Semua peserta diwajibkan mencuba aktiviti wall climbing dan penilaian akan dibuat berdasarkan penyertaan, teknik memanjat serta kerjasama dalam kumpulan.
Sementara menunggu keputusan pertandingan, peserta diberi peluang untuk aktiviti bebas di tempat yang sama. Dalam sesi ini, anak-anak bebas mencuba wall climbing dengan lebih santai namun tetap berada di bawah bimbingan jurulatih berpengalaman, bagi memastikan keselamatan dan keyakinan peserta terjaga. Program kemudiannya diakhiri dengan penyampaian hadiah dan sesi bergambar beramai-ramai
Apa yang pasti, program ini bukan sahaja memberi pengalaman baharu kepada anak-anak, malah menjadi ruang pembelajaran yang menyeronokkan dalam membina keberanian, fokus dan keyakinan diri sepanjang cuti sekolah.