Rahim Terbalik: Kisah Menyentuh Hati Wanita Ini Diuji Sukar Mengandung & Tular Pinjam Bayi

Share

Bagi sesetengah pasangan, nikmat menimang cahaya mata itu datang cepat tapi bagi yang lain, perjalanan menunggu itu panjang, sunyi, dan kadang buat hati terasa kalah.

Sebab itu bila seorang wanita muda, Sharifah Nazirah Syed Jamaludin, 25, memuat naik satu ‘posting’ gurauan meminta sesiapa yang sudi “pinjamkan” bayi untuk sehari, gurauan itu sebenarnya lahir daripada kekosongan yang tak pernah dia luahkan pada sesiapa.

Posting Tular & Reaksi Orang Ramai

 

Tak sangka, hantaran spontan itu jadi tular dan dia dibanjiri lebih 200 mesej. Ada yang menawarkan anak mereka, ada yang sempat bertanya khabar, dan ada yang hanya mahu beri kata semangat.

Daripada ratusan mesej itu, hatinya terpaut pada satu tawaran daripada seorang ibu kepada pasangan bayi kembar lelaki.

“Saya tak sangka ‘posting’ (hantaran) cari individu yang mahu ‘pinjamkan’ bayi kepada saya menjadi tular sehingga saya menerima banyak tawaran,” kata Sharifah Nazirah Syed Jamaludin, 25.

Menurut Harian Metro, Sharifah Nazirah membuat hantaran secara gurauan untuk mencari individu yang menawarkan khidmat pinjam anak di media sosialnya pada minggu lalu.

“Sebaik saya muat naik hantaran itu, saya terima banyak mesej dan komen. Malah, hampir 200 mesej yang saya terima menawarkan anak mereka untuk saya ‘pinjam’ sementara bagi merasai pengalaman bergelar ibu.

“Daripada semua mesej berkenaan, saya tertarik dengan tawaran seorang wanita yang mahu pinjamkan salah seorang bayi kembar lelakinya,” katanya

Tawaran Meminjamkan Bayi & Sokongan Orang Ramai

Gambar Sekadar Hiasan – AI

Syarifah Nazirah berkata, dia kemudian menghubungi wanita berusia 30-an berkenaan yang menetap di Seremban, Negeri Sembilan untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut berkaitan tawaran itu.

“Saya terharu apabila wanita itu maklumkan dia mahu bagi pinjamkan bayinya beberapa hari pada saya. Malah, suami wanita berkenaan juga tiada halangan untuk bagi pinjam anak bongsu daripada lima anak mereka.

“Saya juga ada bertanyakan kepada wanita itu sekiranya dia mahu mengenakan bayaran, namun dia menyatakan dia ikhlas meminjam bayinya dan tidak mahu sebarang balasan, cukup sekadar mendoakannya sahaja,” katanya yang akan berjumpa wanita berkenaan hujung minggu ini.

Masalah Rahim Terbalik Menjadi Punca Sukar Mengandung

Menurutnya, dia mengalami kesukaran untuk mengandung selepas disahkan mempunyai rahim terbalik.

“Saya berkahwin dengan suami, Engku Idzhar Amin, 31, sejak tiga tahun lalu. Sejak awal perkahwinan lagi, saya berharap boleh terus dapat menimang anak.

“Namun selepas tiga bulan berkahwin, saya ajak suami buat pemeriksaan dan dimaklumkan bahawa rahim saya terbalik yang menyebabkan kesukaran untuk hamil,” katanya.

Katanya, dia menghabiskan wang lebih RM8,000 untuk membuat pemeriksaan serta sesi mengurut yang dibuat dua kali sebulan dalam usahanya untuk mengandung.

Usaha Rawatan & Harapan Baru

“Pelbagai usaha sudah dibuat dan saya tidak mahu berputus asa kerana saya yakin selagi ada usaha, pasti Allah akan makbulkan doa hambanya yang sudah berikhtiar.

“Saya tidak terfikir untuk ambil anak angkat buat masa ini kerana usia kami (dan suami) masih muda. Kami juga akan menjalani rawatan kesuburan Intrauterine Insemination (IUI) selepas ini,” katanya.

Mengulas mengenai pandangan suaminya berhubung masalah kesukaran hamil dialaminya, Sharifah Nazirah berkata, suaminya banyak memberi sokongan terhadap usaha dilakukannya.

“Apabila saya tanya suami berkaitan isu ini, dia hanya kata dirinya ‘okay’. Namun kita tidak tahu, jauh di sudut hatinya mungkin ada perasaan sebenar dirasainya,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Published by
Nor Yusoff