Warden penjara maut digilis lori simen ketika berhenti di lampu isyarat, brek gagal berfungsi jadi punca. Seorang warden penjara maut dalam tragedi menyayat hati apabila motosikal ditunggangnya digilis sebuah lori simen ketika berhenti di lampu isyarat di Lebuh SPA berhampiran persimpangan pusat pelupusan sampah Sungai Udang petang semalam.
Warden Penjara Maut Digilis Lori Simen Ketika Berhenti Di Lampu Isyarat, Brek Gagal Berfungsi Jadi Punca
Insiden yang berlaku sekitar jam 5.50 petang Khamis itu meragut nyawa Sarjan Amal Nurlidar Ghazali, 42 tahun, yang bertugas di Penjara Sungai Udang. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas tersepit di bawah lori dan mengalami kecederaan serius di beberapa bahagian badan termasuk wajah dan kaki.
Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, siasatan awal menunjukkan bahawa kemalangan berpunca daripada kegagalan sistem brek lori simen berkenaan.
“Ketika kejadian, mangsa sedang berhenti di lampu isyarat dengan menunggang motosikal Yamaha Ego Solariz. Sebuah lori simen yang dipandu lelaki berusia 49 tahun datang dari arah yang sama dan dipercayai mengalami masalah brek sebelum cuba mengelak ke bahu jalan. Namun, lori tersebut tetap melanggar motosikal mangsa dan menggilisnya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Ads
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah terlibat dalam operasi mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di bawah kenderaan berat itu sebelum dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Melaka bagi tujuan bedah siasat.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Tambah Christopher lagi, lori simen terbabit telah ditahan untuk pemeriksaan teknikal oleh Puspakom, manakala ujian saringan air kencing ke atas pemandu menunjukkan keputusan negatif bagi bahan terlarang.
Ads
“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini untuk permohonan reman bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Seekor kucing comel menjadi tumpuan ramai di TikTok apabila videonya yang ‘naik angin’ kerana tidak puas hati dengan seorang ayah yang meninggikan suara terhadap anaknya menjadi tular. Rakaman yang dikongsi oleh pengguna @manggo.shake.sega itu berjaya meraih lebih 100,000 tanda suka dan ribuan komen yang mencuit hati daripada netizen.
Dalam video berdurasi kurang seminit itu, gelagat si bulus yang duduk di sebelah ayah kelihatan seperti ‘memerhati dengan penuh amarah’. Saat si ayah meninggikan suara, si kucing terus memberikan jelingan maut, sebelum menggigit tangan lelaki tersebut sambil mengiau, seakan-akan menegur, “Hoi! Jangan garang sangat dengan anak!”
“KUCING KE APA NI? BILA GARANG DENGAN ANAK AKU, AUTO DIA MARAH EHH!”
Demikian kapsyen pemilik video yang membuatkan ramai bersetuju dan terhibur. Rata-rata warganet turut ‘masuk watak’ dan membanjiri ruangan komen dengan pelbagai lakonan suara hati si kucing.
Antara komen-komen yang paling ‘menggeletek tulang rusuk’ termasuklah,
😾: “KO jgn nk jerit²… ajar elok² sikit… kang kena dgn aku.”
😾: “Kau tinggi² suara asalll!?!?! Cakap elok² boleh kannnn!”
😾: “Cuba check surat beranak siapa mak sebenar budak tu 😂😂😂”
😾: “Sekali lagi ko tinggi suara, pilih pasar mana kau nak !!!!!”
Gelagat netizen ini menjadikan ruangan komen bukan sekadar tempat berkongsi pendapat, malah telah bertukar menjadi ‘bilik gelak beramai-ramai’ yang menyeronokkan!
Walaupun video ini berunsur hiburan, ia sebenarnya menyampaikan mesej yang cukup besar. Naluri seekor haiwan pun boleh ‘merasai’ perubahan emosi dan tekanan suasana apatah lagi anak kecil yang masih membina kepercayaan diri dan emosi mereka.
Kita mungkin menganggap meninggikan suara itu cara untuk mendidik, namun dalam jangka panjang ia boleh mengganggu kestabilan emosi anak. Tindakan refleks si kucing seolah-olah mewakili suara anak-anak yang tidak mampu membalas, tetapi merasa takut, keliru dan sedih.
Sebagai ibu bapa, marilah kita sama-sama belajar mendidik dengan penuh hikmah dan kelembutan. Jika seekor kucing pun tahu bila masa untuk ‘campur tangan’, apatah lagi kita yang dikurniakan akal dan kasih sayang yang lebih luas.
Ingatlah, nada suara kita akan menjadi ingatan paling kuat dalam jiwa anak-anak – bukan hanya apa yang kita kata, tetapi bagaimana kita mengatakannya.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Mak, gula putih naik harga ke lepas ni?” Soalan spontan anak masa tengah bancuh air teh petang-petang. Mungkin ramai keluarga pun mula tertanya-tanya benda sama bila terbaca berita tentang cukai jualan ke atas gula mentah.
Tapi jangan risau, menurut kenyataan rasmi daripada Kementerian Kewangan, gula bertapis atau gula putih kekal tidak dikenakan cukai dalam semakan semula SST yang akan berkuat kuasa 1 Julai ini.
Penjelasan ini dibuat selepas MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) menyuarakan kebimbangan tentang kemungkinan kenaikan harga pasaran gula disebabkan cukai ke atas gula mentah.
Gula bertapis atau lebih dikenali sebagai gula putih, kekal tidak dikenakan cukai di bawah semakan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025, kata Kementerian Kewangan (MOF).
Dalam kenyataannya hari ini, MOF berkata gula mentah yang digunakan dalam proses pengeluaran gula halus akan dikenakan Cukai Jualan sebanyak lima peratus.
Dalam bahasa mudahnya, gula yang kita beli kat pasaraya tu tak ada cukai tambahan, jadi tak perlu panik untuk borong gula sekarang. Yang penting, kawal penggunaan gula dalam keluarga demi kesihatan semua bukan sebab takut cukai.
Menurutnya, kerajaan MADANI mengambil pendekatan bersasar dengan tidak mengenakan cukai ke atas barangan keperluan utama rakyat seperti gula, garam, ayam, telur, daging, ikan, sayur-sayuran, minyak masak dan beras bagi memastikan rakyat tidak terkesan dengan pelaksanaan semula SST.
“Gula mentah yang digunakan dalam pengeluaran gula halus akan dikenakan cukai jualan sebanyak lima peratus.
“Namun, pengilang seperti MSM layak memohon pengecualian cukai atas bahan mentah dan input mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kenyataan MOF dikeluarkan susulan kebimbangan orang ramai terhadap kemungkinan kenaikan harga gula susulan pelaksanaan semakan SST.
Namun, MOF menjelaskan kerajaan memberi jaminan langkah-langkah bersesuaian telah diambil bagi mengelakkan kesan kepada pengguna.
Dalam pada itu, MOF menjelaskan disebabkan MSM layak memohon pengecualian, tiada sebab untuk berlakunya sebarang kenaikan harga gula putih, memandangkan pengilang turut menerima insentif bulanan daripada kerajaan bagi menjamin kestabilan bekalan dan harga di pasaran.
Katanya, pengecualian cukai itu boleh dipohon menerusi Jabatan Kastam Diraja Malaysia, seperti diperuntukkan di bawah Butiran 1, Lajur (2), Jadual B dalam Perintah Cukai Jualan (Orang Yang Dikecualikan daripada Pembayaran Cukai).
Sumber: Harian Metro
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sejak kebelakangan ini, tular cerita tentang nama-nama gelang emas. Ada jenis melur, pulut dakap, kepala ular, belut, sauh pintal dan banyak lagi. Tapi yang menjadi kegilaan ramai adalah gelang emas pulut dakap perut ular. Bukan saja rekaannya cantik, tetapi nilainya juga tinggi.
Bukan mudah mahu beli, sebab harganya mahal. Selain tebal, ia juga berat. Semakin berat sesuatu barang kemas, harganya akan meningkat. Perlu ada ilmu ketika mahu membeli. Akhtar Syamir berkongsi tip pembelian gelang pulut dakap perut ular ini melalui penulisannya.
Jika anda merancang untuk membelinya, ikuti perkongsian bermakna ini.
Katakanlah anda berjaya meyakinkan diri anda atau suami anda untuk membeli gelang Pulut Dakap Perut Ular tu yang beratnya 17g pada hari ini.
Dari apa yang anda dengar dan baca, ada yang kata kedai tiada upah tu sudah masukkan harga pada harga emas. Jadi, sama sahaja katanya.
Kemudian, ada pula yang kata, upah mahal. Sampaikan rantai 30g upah sahaja dah RM900. Terbeliak mata anda. Terbeliak lagi mata si suami.
Jadi, anda pun pening. Hari-hari terbayang Pulut Dakap, tak lena tidur dibuatnya. Perancangan dan bisikan untuk memujuk si suami pun dah berjaya walaupun memakan masa berbulan-bulan.
Tapi bila masa nak membeli, anda keliru dan tak dapat nak pilih kedai mana yang lebih murah, yang ada upah ke atau yang tiada upah?
Ini cara kira yang sangat mudah untuk anda buat keputusan. Sebagai contoh :
Kedai Emas Mek Leha Kaya :
Emas 1g RM245
Free Upah
Kedai Emas Cik Siti Wan Kembang :
Emas 1g Rm237
Upah mengikut jenis barang kemas.
Cincin, subang RM50+
Gelang RM200+
Rantai RM300+
Gelang Pulut Dakap Perut Ular beratnya 17g.
Kedai Emas Mek Leha Kaya
17 x RM245 = RM4165
Kedai Emas Cik Siti Wan Kembang
17 x RM237 + RM200 = RM4229
Jadi, kedai mana yang murah? Patutlah Mek Leha terus kaya, sebab barang kemas kedai dia lagi murah sebenarnya. “Upah dah masuk dalam harga emas” punya ayat tu sebenarnya tak tepat tanpa ada perkiraan sebegini.
Tapi, semuanya bergantung kepada kos upah Kedai Emas Cik Siti Wan Kembang. Mungkin dia boleh tawar lagi kos upah tu. Mungkin la, boleh cuba kalau mahu.
Pada pendapat saya, kedai yang menjual emas tanpa upah ialah kedai yang paling mudah untuk berurus niaga. Anda sudah tahu harga emas kedai itu dan anda hanya perlu darab sahaja. Tak perlu risau berapa Ringgit yang anda perlu bawa.
Risiko pada kedai yang ada mengenakan upah ialah pada upahnya. Ada yang ikut jenis, ada yang ikut berat contohnya 1g RM10 / RM20 / RM30 dan ada yang suka-suka letak dan tunggu pelanggan tawar. Kalau tak tawar, untunglah dia. Kalau pandai tawar, mungkin akan dapat lebih murah dari kedai yang harga tetap dan mungkin juga harganya sama sahaja.
Nak mudah, tak perlu pening-pening. Ambil tahu harga emas kedai tu, darabkan dengan berat dan campur kos upah. Kemudian, bandingkan jumlah dia dengan kedai yang tiada ambil kos upah. Dari situ anda boleh tahu yang mana lebih murah, yang mana lebih mahal.
Ambil kira juga harga trade in (anda jual emas anda ke kedai, pegang duit dan tambah duit untuk emas yang baru). Buat perkiraan yang sama, cuma perlu tambah penolakan harga emas yang anda trade in (jual) kepada kedai.
Contohnya anda sudah ada gelang Coco 15g. Nak tukar angin ke gelang Pulut Dakap Perut Ular 17g.
Kedai Emas Mek Leha Kaya tadi dia beli emas anda pada harga RM210 jika anda mahu beli emas di kedai dia.
Emas Pulut Dakap : RM4165
Emas Coco anda : 15 x RM210 = RM3150
Tolak harga Pulut Dakap dengan Coco RM4165 – RM3150 = RM1015. Ini amaun yang perlu ditambah.
___
Kedai Emas Cik Siti Wan Kembang pula dia beli emas anda pada harga RM215 jika anda mahu beli emas di kedai dia.
Emas Pulut Dakap : RM4229
Emas Coco anda : 15 x RM215 = RM3225
Tolak harga Pulut Dakap dengan Coco RM4229 – RM3225 = RM1004. Ini amaun yang perlu ditambah.
Jadi, Kedai Emas Cik Siti Wan Kembang lagi murah walaupun berbeza hanya beberapa ringgit sahaja.
Pilihan di tangan anda. Jika harganya tak jauh beza, pengakhirannya anda akan memilih sama ada dari segi nama kedai atau servis yang pekerja kedai itu beri.
Secara kesimpulannya, apabila hendak membeli emas, ambil tahu :
1. Harga emas kedai 2. Harga upah spesifik kepada barang kemas yang akan dibeli 3. Harga trade in (jual emas anda dan beli emas di kedai sama) 4. Harga jual untuk dapat tunai
Semoga dengan panduan ini, anda dapat membeli emas dengan harga terbaik dan tidak tertipu dengan promosi-promosi yang memperdaya. Akan saya sambung mengenai perkara ini di penulisan akan datang.
Jadilah pembeli emas berilmu, kongsikan penulisan ini buat manfaat semua.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pemilihan makanan sebelum bersalin sangat penting untuk membekalkan tenaga, mengelakkan keletihan dan membantu ibu melalui proses kelahiran dengan lebih selamat.