Salah satu cara untuk memantapkan sensori anak adalah dengan membiarkan mereka makan sendiri dengan pengawasan ibu ayah. Bila anak pegang makanan dan suapkan ke mulut, ia dapat melatih jari-jemari serta otot tangan mereka.
Terbaharu melalui perkongsian di laman Instagram duriankimchijunior, sebuah video ketika Baby Rina makan mencuit hati follower mereka. Mana tidaknya, aksi Rina yang berselera memakan mi Korea sangat comel. Makan sambil senyum, memang adorable!
Cerdik sungguh Rina, pandai makan mi. Sepinggan mi diletakkan di hadapannya, sambil Rina makan sendiri ada masanya dia disuap oleh Maryam. Biarpun makan bersepah, tetapi ia tak jadi masalah kerana yang penting rangsangan kepada sensori si comel Rina.
Tambah seronok bila tengok Rina makan mi dengan sekali sedut saja. Video tersebut disertai dengan kapsyen;
“Yes, it gets messy, but allowing your little one to play with food, squishing, smearing, and tasting as they go, gives them a sensory experience that helps them learn.
What is your food for sensory play parents?”.
Ads
Berikut komen dari follower laman IG ini;
Ads
Seawal usia anak 9 bulan dah boleh mula latih anak makan sendiri. Letakkan makanan dalam pinggan dan biarkan dia explore caranya sendiri untuk makan.
Pa&Ma ingin berkongsi antara kelebihan membiarkan anak belajar makan sendiri adalah:
1. Buat anak jadi lebih berdikari.
2. Menggalakkan kemahrian motor halus seperti menyentuh dan memegang makanan.
3. Dapat ajar anak tentang rasa, tekstur, bau dan suhu makanan.
4. Dapat membantu anak untuk tidak mudah merasa geli apabila menyentuh pelbagai jenis tekstur.
Perasan tak anak sulung selalu jadi mangsa kemarahan ibu bapa bila adik menangis. Cepat je mulut menyalahkan mereka dan kadang kala bila adik nak sesuatu kita akan suruh yang sulung mengalah.
Adakah kita sebagai ibu bapa memahami hati dan perasaan anak sulung? Ini yang perlu difikirkan. Tak semestinya apa yang terjadi dalam kalangan adik beradik, ibu bapa kena salahkan yang sulung.
Ini kerana jika mereka tak lakukan kesilapan tapi kita berterusan memarahinya, menjejaskan emosi dan mungkin meninggalkan kesan negatif untuk proses pembesarannya.
Perkara ini juga telah dijelaskan oleh Pengasas Parent Connect, Puan Noor Afidah Abu Bakar
Dapat adik, anak sulung terpaksa mengalah. Benarkah begitu? Secara umumnya, ya, tetapi tidak semua begitu.
Sebagai ibubapa, kita seharusnya pandai menilai situasi dan tidak terlalu cepat meminta anak sulung mengalah hanya kerana dia lebih tua. Selain dari cuba membentuk sifat bertanggungjawab dalam diri anak sulung, kita juga seharusnya membentuk sikap dan akhlak anak yang lain juga.
Jika anak sulung seringkali disuruh mengalah setiap kali berlakunya konflik antara anak-anak, kita sebenarnya tidak membantu untuk membentuk karakter anak yang lain. Kita harus mendidik anak-anak untuk menguruskan konflik dengan penyelesaian masalah (problem solving) dan bukannya lari dari masalah.
Banyak faktor yang membentuk keperibadian anak-anak. Susun atur kelahiran (birth order) adalah salah satu daripadanya. Anak sulung selalunya mendapat perhatian 100% daripada ibu bapa kerana mereka tidak perlu ‘berkongsi’ perhatian selagi mereka belum ada adik. Perhatian ini membantu perkembangan emosi dan membentuk keperibadian mereka juga.
Selain itu jarak usia antara adik beradik, jantina, layanan dan harapan ibu bapa, persekitaran dan harapan masyarakat juga membentuk keperibadian seorang anak.
Kajian yang dibuat oleh Fakulti Pendidikan UKM dan diterbitkan dalam World Applied Sciences Journal pada tahun 2011 mendapati bahawa kualiti dan corak komunikasi antara ibubapa dan anak, dan juga agihan tugasan dalam keluarga oleh ibu bapa dapat mendidik anak-anak untuk menjadi individu yang bertanggungjawab, tidak kira sama ada anak sulung, tengah ataupun bongsu.
Mendidik anak perempuan dan lelaki supaya bertindak bijak semasa menghadapi gangguan seksual amat penting. Ikuti pandangan daripada bapa ini.
Sudah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mengajar anak-anak untuk menjaga diri mereka daripada pelbagai ancaman seperti gangguan seksual. Tambahan pula apabila mula bersekolah dan terdedah kepada ramai lagi manusia yang pelbagai jenis dan ragam.
Seorang bapa, Rizzal Abdullah berkongsi perkara ini. Gaya penyampaian yang santai membuatkan tip ini menarik. Perkara penting ini sering kali dianggap taboo dan memalukan tetapi hakikatnya perlu diberitahu dan diingatkan kepada anak.
ANAK PEREMPUAN PERLU DIAJAR MALU & JAGA MARUAH
Bro, Mendidik anak perempuan berbeza kan?. Mereka pasti diajar untuk lemah-lembut, bersopan-santun dan akhlak sebagai seorang perempuan. Perlu diajar erti malu dan menjaga maruah.
Berubah riak muka member aku. Tiada senyum sinis seperti selalu. Serius sungguh. Kali ni jauh dia fikir sebelum kasi pendapat.
Ibunya paling layak untuk mengajar semua perkara yang kau sebutkan. Tapi untuk aku sebagai ayah, satu perkara penting yang akan aku ajar untuk setiap anak perempuan.
TUMBUK HIDUNG SIAPA YANG MENYENTUH TEMPAT TIDAK SEPATUTNYA
Jika ada lelaki lain yang sentuh dia di tempat yang tak sepatutnya, sentuh dada atau bontot atau kemaluannya atau dimana sahaja yang buat dia rasa tidak selesa, tumbuk sahaja mukanya.
Sayangku, halakan tumbukan tu ke hidungnya. Gengam tangan serapat mungkin dan tumbuk sekuat hati. Biar bengkok, patah dan berdarah.
Jangan tumbuk mulutnya, nanti cedera tangan mulus mu jika terkena gigi dia. Jangan halakan ke mata, bila kau tumbuk sekuat hati risau pula cacat kekal penglihatan nya nanti.
Sasarkan tepat ke hidung, ok?
LAKUKANNYA UNTUK MENJAGA MARUAH BIAR PUN SALAH Sayangku, kau mungkin akan mendapat masalah di sekolah nanti. Keganasan kau memang patut diambil tindakan oleh pengetua. Mencederakan individu lain melanggar peraturan sekolah.
Tapi, ayah tak akan cakap apa yang kau buat tu salah. Salah dan melanggar peraturan tidak sama. Ia dua perkara yang berbeza.
Mencuri – salah dan melanggar peraturan. Membuli – salah dan melanggar peraturan. Tumbuk hidung lelaki hingga patah dan berdarah kerana mempertahankan maruah kau, ia mungkin melanggar peraturan. Tapi tidak salah.
BIAR IBU AYAH DIKECAM SEKALI PUN Mungkin ibu dan ayah akan dipanggil pengetua. Mungkin ibu dan ayah akan dikecam kerana mengajar kau macam ni. Mungkin kita akan disaman. Mungkin ibu bapa budak lelaki tu akan buat sidang media dan viral kan tingkah laku kau. Media sosial memang suka untuk meletakkan anak perempuan aku yang lemah ni untuk dihakimi.
Tapi ayah tak kisah pun. Tak ada masalah untuk ayah jelaskan gaya kung fu kau tu untuk mempertahankan harga diri sebagai seorang perempuan. Dan kita akan bincangkan KENAPA kau diajar macam tu.
GANGGUAN SEKSUAL PERLU DITANGANI Pengetua mungkin akan menggantung persekolahan kau – ibu dan ayah akan terima. Ibu bapa budak tu mungkin akan sensasikan kes seperti ni – ibu dan ayah tak ada masalah hadap sesiapa pun untuk pertahankan tindakan kau. Adakah keganasan seperti ini jawapan untuk setiap masalah? Tentunya tidak. Idealnya gangguan seksual perlu ditangani di setiap peringkat dengan ‘zero-policy’. Gangguan seksual adalah salah di setiap peringkat umur. Tiada kompromi dan tiada ‘grey area’. Jika semua pihak setuju dan mahu jadikan ia kenyataan, tolong beritahu kami. Tapi selagi ia belum jadi kenyataan, ayah akan ajar semua anak perempuan ayah untuk tumbuk tepat di hidung dengan niat untuk patahkan dan biar berdarah.
AJAR ANAK LELAKI SUPAYA TIDAK MENGGANGGU PEREMPUAN Jika ibu-bapa budak lelaki tidak setuju, mungkin mereka patut ajar anak mereka lebih menghormati perempuan. Ajar anak lelaki mereka sikap yang sepatutnya terhadap perempuan. Dunia makin lebih bertolak ansur terhadap gangguan seksual terhadap perempuan. Tapi, Ayah tidak terima konsep anak perempuan perlu lemah-lembut dan bersopan-santun tanpa batasan. Ajarkan anak perempuan kita untuk tumbuk tepat di hidung, sekuat hati, jika mereka disentuh di tempat yang tidak sepatutnya. Fuh! Serius betul bro. Tapi, anak kau semua lelaki kan? Dengan nada yang lebih tenang kawan aku jawab.
Rezeki anak perempuan tu milik Tuhan. Siapa kita mahu menidakkan jika nanti dikurniakan anak perempuan.
Dan aku punya ramai anak saudara perempuan. Ramai kawan-kawan yang punya anak perempuan. Semua tu akan aku bela seperti anak perempuan sendiri.
PESANAN KEPADA ANAK LELAKI
Kepada 3 anak lelaki ku, ini pesan baba.
Kalau kamu balik rumah dengan hidung patah dan berdarah ditumbuk perempuan, akibat kamu berkelakuan tidak menghormati mereka, baba dan mama akan tunjukkan lagi mana bahagian badan lain yang boleh patah dan berdarah.
Tapi kalau kamu balik rumah patah dan berdarah kerana membela kehormatan perempuan, baba dan mama akan bela kamu walaupun apa pun kos nya.
Biar hilang kawan, tak guna pun berkawan dengan mereka yang tak tahu menghormati perempuan.
HORMATI IBU Hormati mama sepenuh hati, pertahankan mama walau terpaksa menggadai nyawa. Dia dah pertaruh nyawa melahirkan dan membesarkan korang.
She is the lady in our house and the queen of our heart.
Setiap kali kita bawa anak menaiki kereta, doa pertama yang sering terbit dari hati ibu ayah ialah, “Ya Allah, lindungilah perjalanan kami.” Kita mahukan mereka sampai dengan selamat ke destinasi, tanpa sebarang perkara yang tidak diingini. Tetapi, dalam pada kita berharap pada doa, sudahkah kita memastikan langkah praktikal paling mudah untuk keselamatan anak-anak, iaitu memasang tali pinggang keledar?
Ramai ibu ayah mungkin rasa, kalau perjalanan dekat atau anak duduk di belakang, tidak mengapa jika tidak memasang tali pinggang keledar. Hakikatnya, malang tidak berbau. Statistik menunjukkan kebanyakan kemalangan berlaku ketika perjalanan jarak dekat, dan tanpa perlindungan tali pinggang keledar, risiko kecederaan parah pada kanak-kanak meningkat berkali ganda.
Anak-anak adalah peniru tegar. Mereka lebih percaya dengan apa yang mereka nampak berbanding apa yang kita cakap. Kalau ibu ayah sendiri selamba masuk kereta tanpa memakai tali pinggang keledar, jangan pelik kalau anak juga rasa ia bukan perkara penting.
Sebaliknya, bila setiap kali kita masuk kereta, perkara pertama yang dilakukan ialah klik tali pinggang keledar, anak akan terbiasa. Ia jadi rutin automatik. Tanpa disuruh pun mereka akan ingat, “Eh, kena pakai seatbelt dulu.” Inilah kuasa teladan yang ibu ayah bawa dalam kehidupan seharian.
Penting untuk anak faham, tali pinggang keledar bukan dipakai kerana takut polis atau kerana ada undang-undang. Ia adalah soal tanggungjawab menjaga diri sendiri dan orang tersayang. Bila anak memahami sebab di sebalik amalan ini, ia akan menjadi nilai hidup yang mereka bawa ke mana sahaja, bukan sekadar peraturan yang mereka patuhi hanya bila ada penguatkuasaan.
Ibu ayah perlu konsisten. Jangan ada istilah “tak apa, dekat je.” Setiap kali anak duduk dalam kereta, walau 5 minit perjalanan, pastikan mereka tahu perkara pertama ialah pakai tali pinggang keledar. Lebih awal kita latih, lebih mudah ia melekat menjadi tabiat.
Anak mungkin merungut pada awalnya, tetapi bila ia jadi kebiasaan, mereka sendiri akan rasa “tidak selesa” jika tidak memakainya. Lama-kelamaan, ia jadi sebahagian daripada diri mereka.
Bayangkan bila anak-anak kita membesar dengan tabiat ini, mereka akan jadi pemandu yang bertanggungjawab dan akan mendidik pula anak-anak mereka kelak. Inilah legasi keselamatan yang boleh kita tinggalkan dan membina budaya peka keselamatan jalan raya dalam keluarga dari satu generasi ke generasi seterusnya.
Jadi, ibu ayah, jangan tunggu kemalangan berlaku baru mahu insaf. Mulakan sekarang. Jadikan tali pinggang keledar sebagai tabiat wajib setiap kali masuk kereta. Ia mungkin hanya satu klik kecil, tetapi besar nilainya dalam melindungi nyawa anak-anak tersayang.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bayi menggigit ketika menyusu boleh membuatkan mama terkejut dan sakit. Ketahui punca serta 8 cara berkesan untuk mengatasi masalah bayi menggigit ketika menyusu dengan lebih tenang.