114 Pelajar MRSM Kuantan Dijangkiti Influenza, PdPR Hingga 22 Oktober Tapi Sekolah Tak Ditutup

Share

Wabak influenza kini menyerang pelajar asrama! MRSM Kuantan dilaporkan mencatatkan 114 kes jangkitan influenza membabitkan pelajarnya baru-baru ini. Walaupun jumlahnya agak tinggi, pihak berkuasa negeri menegaskan keadaan masih terkawal dan tiada pelajar yang dimasukkan ke hospital.

PdPR Dibenarkan Sehingga 22 Oktober Sebagai Langkah Pencegahan

Menurut laporan BERNAMA, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, Datuk Ir Razali Kassim, memaklumkan bahawa semua pelajar telah dibenarkan pulang bermalam dan menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sehingga 22 Oktober 2025 bagi membendung penularan virus influenza dalam kalangan pelajar.

Langkah itu dilaksanakan bagi memberi ruang kepada pihak sekolah dan kesihatan menjalankan proses pembersihan serta pemantauan kesihatan secara menyeluruh di kawasan asrama dan bilik darjah.

“Dakwaan kononnya MRSM Kuantan ditutup kerana wabak influenza ini tidak benar. Sebanyak 114 pelajar tingkatan empat masih dibenarkan berada di sekolah untuk menduduki peperiksaan khas di bawah pemantauan pihak sekolah dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuantan,” jelasnya dalam satu kenyataan media.

Kes Bermula Awal Oktober, Berpunca Dari Pelajar Pulang Cuti Sekolah

Menurut Datuk Razali, kes pertama mula dikesan pada 5 Oktober, dan sehingga 7 Oktober, seramai 114 pelajar telah disahkan positif influenza.

Siasatan awal mendapati, jangkitan berpunca daripada pelajar yang pulang bercuti antara 13 hingga 21 September lalu sebelum kembali ke asrama.

“Penularan berlaku melalui aktiviti harian di sekolah dan asrama selepas cuti berakhir,” katanya lagi.

Langkah Kawalan & Pencegahan Dipertingkat

Pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuantan bersama pengurusan MRSM telah mengambil langkah proaktif dengan memperketat protokol kebersihan dan keselamatan pelajar, termasuk:

  • Menjalankan sanitasi dan pembersihan menyeluruh di kawasan asrama dan bilik darjah,
  • Melaksanakan saringan suhu dan simptom setiap hari,
  • Mengasingkan pelajar yang bergejala,
  • Serta menyediakan bekalan hand sanitizer di kawasan umum.

Siasatan lanjut juga sedang diteruskan bagi memastikan wabak ini tidak merebak ke kawasan sekolah lain. Menurutnya, kluster influenza turut dikesan di beberapa MRSM dan sekolah berasrama di Pahang.

Ibu Bapa Diminta Pantau Anak Bergejala

Pihak berkuasa kesihatan menasihati ibu bapa untuk memantau anak-anak yang menunjukkan simptom seperti demam, batuk, selesema atau keletihan melampau.

Anak yang bergejala dinasihatkan untuk berehat di rumah dan elakkan daripada bergaul rapat dengan rakan-rakan bagi memutuskan rantaian jangkitan.

“Ibu bapa juga digalakkan membawa anak ke klinik sekiranya simptom berlarutan melebihi tiga hari,” tambah beliau.

Apa Itu Influenza Dan Tanda-Tanda Awal

Influenza atau lebih dikenali sebagai flu ialah jangkitan virus pada sistem pernafasan yang mudah berjangkit melalui titisan air liur, batuk dan bersin.

Simptom biasa termasuk:

  • Demam tinggi mendadak,
  • Sakit kepala, sendi dan otot,
  • Batuk dan sakit tekak,
  • Hilang selera makan,
  • Rasa lemah dan tidak bermaya.

Kebiasaannya pesakit akan pulih dalam tempoh 5 hingga 7 hari, namun bagi kanak-kanak atau remaja dengan sistem imun lemah, komplikasi serius seperti pneumonia boleh berlaku.

Pesanan Buat Ibu Bapa & Warga Sekolah

Untuk elak anak-anak dijangkiti influenza, ibu bapa disarankan:

  • Pastikan anak cuci tangan dengan sabun atau sanitizer,
  • Elakkan berkongsi tuala, botol air dan barangan peribadi,
  • Galakkan mereka rehat dan minum air secukupnya,
  • Dan segera berjumpa doktor jika menunjukkan tanda awal jangkitan.

Walaupun situasi di MRSM Kuantan masih terkawal, kerjasama ibu bapa dan pihak sekolah amat penting bagi memastikan kesihatan pelajar terus terpelihara dan penularan wabak dapat dibendung sepenuhnya.

FT Image: BERNAMA / Facebook MRSM Kuantan

 

Published by
Nana