Bila kandungan dah masuk minggu ke-37 dan ke atas, ramai ibu mula rasa tak senang duduk. Setiap kali perut rasa tegang atau pinggang mencucuk, terus terfikir  “Ni tanda ke? Dah nak bersalin ke aku ni?”

Normal sangat, sebab menjelang hujung kehamilan, tubuh ibu sedang bersiap sedia untuk satu momen paling besar  kelahiran si kecil yang ditunggu-tunggu.

Tapi macam mana nak tahu tanda tu betul-betul tanda bersalin dan bukan sekadar simptom biasa? Jom Pa&Ma bantu ibu semak 12 tanda utama yang menunjukkan waktu bersalin semakin hampir.

1. Perut Rasa Semakin ‘Turun’

Cara Nak Tahu 12 Tanda Bersalin Semakin Hampir, Jangan Terlepas Isyarat Ini!

Bila bayi mula ‘engage’ atau turun ke bahagian bawah pelvis, ibu akan rasa perut makin “ke bawah”. Nafas rasa lebih lega sebab tekanan pada dada berkurang. Tapi pada masa sama, ibu akan kerap ke tandas sebab kepala bayi mula tekan pundi kencing. Sesetengah ibu mula rasa perubahan ni dua minggu sebelum bersalin, tapi ada juga yang rasa hanya beberapa jam sebelum waktu sebenar.

2. Sakit Belakang Semakin Kerap dan Berat

Cara Nak Tahu 12 Tanda Bersalin Semakin Hampir, Jangan Terlepas Isyarat Ini!

Sakit belakang semasa hamil memang biasa, tapi bila nak bersalin, rasa sakit tu lain  lebih berat, mencucuk dan datang secara berulang. Kadang rasa dari belakang merebak ke depan perut. Ini disebabkan kontraksi awal yang mula berlaku bila rahim bersedia untuk proses kelahiran. Jika sakit datang secara berkala dan semakin kuat, mungkin itu bukan sakit biasa lagi.

Ads

3. Lendir Kental atau Berlendir Darah Keluar

Ini antara tanda bersalin yang paling jelas. Bila serviks mula terbuka, ‘mucus plug’ atau lendir pelindung di pintu rahim akan keluar. Warnanya jernih, kekuningan atau sedikit merah jambu kerana bercampur darah halus. Ia menandakan pintu rahim sedang bersedia untuk terbuka.

4. Kontraksi Datang Secara Teratur

Kontraksi sebenar berbeza dengan Braxton Hicks. Kalau sebelum ni cuma rasa perut keras sekali-sekala, kali ni sakit datang secara berkala, makin kuat dan makin rapat selangnya. Cuba kira selang masa antara setiap kontraksi. Kalau kurang daripada 5 minit dan sakit makin konsisten, itu petanda masa semakin hampir!

5. Air Ketuban Pecah

Cara Nak Tahu 12 Tanda Bersalin Semakin Hampir, Jangan Terlepas Isyarat Ini!

Ini tanda bersalin yang tak boleh dipandang ringan. Ada ibu alami aliran air yang menitis perlahan, ada juga yang keluar banyak sekaligus. Air ketuban yang pecah menandakan bayi sudah bersedia untuk dilahirkan. Jangan tunggu lama walaupun belum rasa kontraksi kuat — terus ke hospital.

6. Berat Badan Turun Secara Tiba-Tiba

Menjelang hari bersalin, berat badan ibu boleh turun sekitar 0.5 hingga 1 kilogram. Ini disebabkan hormon mula menyingkirkan lebihan air dalam badan. Jadi kalau tiba-tiba rasa kerap ke tandas atau badan terasa ringan sedikit, itu mungkin tanda kecil tubuh sedang ‘bersedia’.

Ads

7. Susah Nak Tidur Walaupun Letih

Cara Nak Tahu 12 Tanda Bersalin Semakin Hampir, Jangan Terlepas Isyarat Ini!

Bila bayi dah turun ke bawah, ibu mungkin lebih mudah bernafas tapi susah nak cari posisi tidur yang selesa. Ada yang rasa macam tak boleh lena langsung  bukan sebab tak mengantuk, tapi sebab tubuh terlalu alert. Itu juga antara tanda bersalin bila hormon badan sedang “bekerja keras” menjelang detik kelahiran.

8. Pergerakan Bayi Sedikit Berubah

Bila ruang dalam rahim semakin sempit, pergerakan bayi jadi lebih perlahan dan lembut. Tapi bayi masih perlu aktif ya ibu! Pastikan masih ada 10 pergerakan dalam sehari. Jika terlalu senyap atau tiada gerakan, segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan.

9. Cirit-Birit atau Rasa Nak Buang Air Besar

Tubuh ibu ada cara sendiri untuk ‘bersihkan’ sistem sebelum bersalin. Sebab tu kadang boleh berlaku cirit-birit ringan atau rasa nak ke tandas berulang kali. Ia berlaku kerana hormon prostaglandin yang bantu lembutkan serviks juga boleh merangsang usus.

Ads

10. Selera Makan Berubah Secara Tiba-Tiba

Cara Nak Tahu 12 Tanda Bersalin Semakin Hampir, Jangan Terlepas Isyarat Ini!

Ada ibu yang tiba-tiba rasa lapar tak henti-henti, ada pula yang langsung tak lalu makan. Kedua-duanya normal, sebab hormon kehamilan mula berubah secara drastik menjelang proses kelahiran. Kalau tak lalu makan pun, pastikan ibu minum air secukupnya supaya kekal terhidrat.

11. Rasa Nak Kemas Rumah atau ‘Nesting Instinct’

Tiba-tiba rasa nak sapu rumah, lipat baju baby, kemas beg hospital, atau masak banyak lauk  semua ni normal! Naluri ni dipanggil nesting instinct, iaitu dorongan semula jadi ibu untuk “bersedia” menyambut bayi. Tapi jangan terlalu paksa diri ya, cukup sekadar buat yang ringan-ringan.

12. Naluri Ibu Rasa “Macam Dah Sampai Masanya”

Kadang-kadang, naluri ibu lebih kuat dari mana-mana tanda fizikal. Hati tiba-tiba rasa berdebar, tenang, atau rasa “masa tu dah sampai”. Ramai ibu kongsi, bila naluri tu datang  tak lama lepas tu, kontraksi betul-betul bermula. Jadi, percayalah pada naluri seorang ibu.

Pesanan Pa&Ma

Bila tanda bersalin ni mula muncul, pastikan beg hospital ibu dan bayi dah siap sedia. Simpan nombor hospital, pasangan, dan orang penting dalam telefon. Jangan tunggu sampai sakit sangat baru nak gerak, sebab setiap kelahiran datang dengan ritma berbeza.

Yang paling penting, ibu kena kekal tenang. Tarik nafas, doa banyak-banyak, dan yakin bahawa tubuh ibu memang diciptakan sempurna untuk melahirkan. Ingat, setiap kesakitan tu adalah tanda keajaiban si kecil yang bakal hadir mengubah seluruh dunia ibu. 🌸

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download sekarang!

KLIK DI SEENI
Ads