Berita kehamilan selalunya menjadi momen paling manis untuk pasangan suami isteri. Ada yang memilih untuk mengumumkannya dengan cara kreatif, ada juga yang sekadar memberikan kejutan ringkas. Namun, buat Nina Sabrina Ismail Sabri, momen indah itu bertukar lucu apabila suaminya, Hafiz Osman, menyangka kit ujian kehamilan sebagai kit ujian Covid-19!
Kejutan Di Jepun
Menerusi perkongsian di laman Threads, Nina menceritakan bagaimana dia mula menyedari dirinya berbadan dua ketika berada di Jepun. Demi kepastian, beliau melakukan ujian sehingga tiga kali sebelum berani berkongsi berita gembira itu.
“Petang itu kami ke kafe kegemaran, hanya kami berdua. Saya hulurkan beg kertas yang berisi kit ujian kehamilan itu,” jelas Nina.
Namun, reaksi Hafiz ternyata di luar jangkaan. Sebaik melihat kit kecil berkenaan, Hafiz spontan berkata, “Awak positif Covid? Jadi esok kita tak boleh fly balik la?”
Daripada momen ‘sweet’, terus bertukar ketawa berdua!
Kit Ujian Kecil Jadi Punca Salah Faham
Menurut Nina, kit ujian kehamilan yang dijual di Jepun memang bersaiz kecil dan mirip seperti kit ujian kendiri Covid-19. Tidak hairanlah jika suaminya tersalah faham pada awalnya.
Ads
Momen itu bukan sahaja membuatkan pasangan ini ketawa besar, malah turut mencuit hati warganet yang membaca perkongsian Nina. Ramai yang terhibur dengan gelagat mereka dan pada masa sama mendoakan kehamilan Nina dipermudahkan.
Bakal Sambut Cahaya Mata
Untuk info, Nina dan Hafiz mendirikan rumah tangga pada November 2023. Pasangan ini kini menanti kehadiran cahaya mata pertama bersama-sama.
Sebelum ini, Nina pernah mendirikan rumah tangga dengan pereka fesyen terkenal, Datuk Jovian Mandagie, dan dikurniakan seorang anak perempuan, Jeanelle Nika Mandagie, yang kini berusia lapan tahun.
Khabar gembira ini sememangnya disambut dengan penuh syukur dan kegembiraan. Peminat serta rakan terdekat tidak putus-putus menitipkan ucapan tahniah buat pasangan ini.
Buat ibu ayah di luar sana, kisah Nina dan Hafiz mengingatkan kita bahawa momen kecil dalam rumah tangga — walaupun penuh salah faham lucu — tetap akan jadi kenangan paling manis dalam perjalanan bergelar ibu bapa.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ada sesetengah orang kata bahawa saiz perut yang kecil adalah petunjuk kepada proses bersalin yang mudah? Bagaimana pula dengan perut bersaiz besar? Adakah ia mitos?
Bermula dari saat perut mula kelihatan, pasti anda perasan ada mata-mata yang memandang ke arahnya bukan? Usah resah dengan situasi seperti itu. Sama seperti bayi, perut ketika hamil pun ada pelbagai saiz dan bentuk. Jangan percaya mitos yang tidak benar!
Lazimnya, bagi kehamilan pertama, perut anda kelihatan “kemas”. Namun, semakin ramai jumlah anak yang pernah dikandungi, otot di bahagian perut menjadi lebih longgar lalu menjadikan perut melebar. Perlu anda tahu, saiz perut juga bergantung kepada kedudukan bayi di dalam rahim dan amaun air ketuban yang ada. Tidak kira besar atau kecil saiz perut anda, pokok pangkalnya anda dan bayi yang dikandungi sihat dan selamat.
BERAT IBU KURANG, BAYI JADI KECIL?
Pada awal usia kehamilan, doktor akan memeriksa Indeks Jisim Tubuh (BMI) anda. Idealnya, BMI berat badan normal adalah di antara 19 dan 25. Sekiranya anda berat badan anda dikesan kurang dan sepanjang hamil tidak mengamalkan pemakanan yang mencukupi,ia berkemungkinan besar memberi kesan kepada saiz bayi.
Janin mungkin mengalami masalah kurang berat badan juga. Malah, dia juga mungkin boleh dilahirkan sebelum tempoh usia matang iaitu sebelum 36 minggu. Oleh yang demikian, adalah penting untuk anda mengamalkan pemakanan yang sihat dan seimbang.
BERAT BERLEBIHAN MENGUNDANG KOMPLIKASI?
Jika anda hamil dengan BMI lebih daripada 30, ada pelbagai komplikasi yang bakal anda depani. Antaranya tekanan darah tinggi, diabetes dan praeklampsia. Walau bagaimanapun, anda tidak dibenarkan mengamalkan diet dengan mengehadkan pengambilan makanan. Namun, pengambilan lemak dan gula yang terhad dapat membantu anda mengawal berat badan dalam kadar yang munasabah lalu mengurangkan risiko masalah kesihatan sama ada untuk tempoh jangka pendek mahupun panjang kepada bayi dalam kandungan.
BAYI BESAR, LAHIR SUSAH?
Saiz bayi tidak mempengaruhi kelancaran proses bersalin. Biasanya, kesukaran yang mungkin dialami adalah tertakluk kepada kedudukan bayi serta tahap anda mengawal diri dan kesakitan yang dialami sepanjang kontraksi berlangsung.
Apa pun jua saiz bayi, apa yang anda perlukan ialah sokongan kuat, kekal bertenang. Kecuali ibu telah disahkan mempunyai saiz pelvis yang kecil dan bayi besar atau memang bayi bersaiz besar.
BAYI KECIL, MUDAH LAHIR?
Terdapat salah tanggapan bahawa bayi yang bersaiz kecil lebih mudah untuk dilahirkan. Namun, tiada kajian yang dapat membuktikan tanggapan ini. Sebenarnya, kebanyakan bayi bersaiz kecil boleh mengambil masa yang lebih lama untuk memulakan proses kelahiran berbanding bayi yang bersaiz besar.
BAYI KECIL KURANG SIHAT?
Perlu anda tahu bahawa terdapat perbezaan antara bayi yang bersaiz kecil kerana tidak berkemampuan membesar dengan baik ketika dalam rahim jika dibandingkan dengan bayi yang sememangnya mempunyai genetik saiz kecil. Oleh sebab itulah, sepanjang kehamilan saiz rahim anda dipantau oleh doktor setiap kali pemeriksaan antenatal dilakukan.
Jika bayi anda kecil tetapi sesuai dengan anda yang mengandungkannya, maka perkembangan kehamilan akan berjalan seperti biasa. Namun, jika perkembangan rahim terbatas dan tidak menunjukkan apa-apa perubahan, maka anda akan dirujuk kepada doktor yang lebih pakar bagi membolehkan pemantauan yang lebih rapi dilakukan.
MORNING SICKNESS TERUK, BAYI JADI KECIL?
Bayi mendapatkan keperluan khasiat pemakanannya daripada anda. Bukan bayi yang perlu dikhuatirkan jika anda mengalami morning sickness yang teruk, sebaliknya diri anda sendiri! Biasanya, masalah muntah akan menjadi lebih baik sekitar minggu ke-12.
Alahan yang dialami biasanya menjadi teruk jika anda tidak makan dalam tempoh tertentu. Jadi, cuba makan dalam amaun yang sedikit tetapi kerap dan jangan lupa untuk minum air dalam jumlah yang mencukupi. Apabila loya yang dialami sangat teruk, anda mungkin perlu ditahan di hospital untuk membolehkan cecair intravena dimasukkan ke tubuh bagi menghalang masalah penghidratan.
Jangan bimbang, ia tidak memberi kesan kepada bayi kerana hanya morning sickness yang benar-benar kritikal (hyperemesis gravidarum) memberi kesan kepada perkembangan bayi. Rujuk doktor sekiranya ia teruk dan memudaratkan kesihatan anda.
SEJARAH BAYI BESAR DALAM KELUARGA ADA HUBUNG KAIT?
Tidak kira sama ada bayi besar atau kecil, ia ada hubung kaitnya dengan faktor genetik. Sebagi contoh, jika ibu mempunyai berat badan berlebihan, maka bayi pun berkemungkinan bersaiz yang sama.
Sama juga halnya jika ibu tidak makan secara sihat, maka ia boleh memberi kesan kepada bayi dan menjadikannya bayi bersaiz kecil. Pemakanan dan gaya hidup anda memainkan peranan dalam menentukan saiz bayi.
Jika sejarah keluarga ada yang menghidap diabetes, doktor akan meminta anda menjalani ujian toleransi gula kerana dikhuatiri bayi boleh bersaiz besar jika anda pun menghidap diabetes ketika hamil.
PERUT BESAR BERI BEBAN?
Secara teori, peningkatan berat badan boleh meningkatkan risiko haemorrhoid atau varicose vein. Ia akan menyebabkan bahagian kaki berasa tidak selesa. Walau sebesar mana pun saiz perut anda, ia tidak akan mendatangkan masalah sekiranya anda menjaga kesihatan diri dan sentiasa melakukan senaman secara berkala.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Mungkin ada ibu yang beranggapan tidak perlu untuk melakukan scan bayi atau ujian imbasan dalam kandungan. Sebenarnya scan bayi dalam kandungan amat penting bukan sekadar untuk melihat wajah sahaja seperti yang sering difikirkan segelintir ibu hamil.
Berkenaan ujian imbasan atau scan bayi, apakah ada ujian imbasan khas yang perlu dilalui selain daripada ujian imbasan yang biasa dilakukan setiap kali melakukan pemeriksaan antenatal?
Semua wanita hamil perlu menjalani ujian imbasan nucheal transluscency pada minggu ke-11 hingga 14 bagi mengukur bahagian belakang bayi dalam kandungan. Cecair yang sangat tebal pada bahagian berkenaan boleh menjadi petanda bahawa bayi bermasalah.
Hasil kajian mendapati 50% mengalami masalah kromosom, 25% tidak dapat dijangka masalahnya, 10% bayi meninggal dunia dan 30% bayi lahir normal selepas ujian ini dilakukan.
Selain itu ujian amniosentosis boleh mula dilakukan selepas usia kandungan 15 minggu di mana jarum khas digunakan untuk mengambil air ketuban untuk pemeriksaan selanjutnya di makmal.
UJIAN MENENTUKAN KECACATAN KROMOSOM
Semasa kehamilan, wanita hamil mungkin perlu mengambil beberapa pilihan ujian termasuklah ujian saringan untuk mengenal pasti keabnormalan atau kecacatan kromosom. Walaupun kecacatan kromosom yang berlaku pada bayi belum lahir adalah jarang-jarang, namun kebanyakan ibu bapa dengan keadaan perubatan tertentu atau mempunyai sejarah keluarga dengan penyakit keturunan adalah perlu untuk lebih berhati-hati.
Keabnormalan atau kecacatan boleh berlaku dengan perkembangan luar biasa kromosom itu sendiri, atau ia boleh termasuk satu atau lebih gen. Bayi tersebut tidak lahir dengan kecacatan tetapi kebanyakannya mewarisi gen abnormal daripada kedua-dua ibu dan bapa. Selalunya, jika bayi mendapat hanya satu gen abnormal, maka gen baik lain akan diambil alih oleh ibu bapa.
Kajian menunjukkan bahawa kecacatan kromosom menghuraikan lebih daripada separuh kes keguguran dalam trimester pertama. Kecacatan kromosom yang dikenali ditemui dalam 0.5 hingga 1 peratus pada kesemua bayi baru lahir yang hidup.
Contoh paling lazim kecacatan kromosom ialah Sindrom Down. Berbanding dengan mempunyai dua kromosom no. 21, individu yang terjejas dengan keadaan ini mempunyai tiga kromosom salinan. Sindrom Down menyebabkan IQ rendah dan ciri istimewa seperti anggota badan yang pendek dan mempunyai kedutan di sekitar mata.
Implikasi lain keabnormalan kromosom ialah kecacatan jantung. Bayi baru lahir yang mempunyai kromosom no. 13 tambahan (Sindrom Patau) atau no. 18 (Sindrom Edward) jarang sekali hidup selepas lahir. Keadaan-keadaan ini kurang diketahui umum berbanding Sindrom Down.
Apakah ujian yang digunakan untuk mengesan kecacatan kromosom?
Pemeriksaan serum
Jika doktor anda mengesan tanda-tanda luar biasa pada fetus anda, dia akan menjalankan pemeriksaan serum seperti ujian amniosintesis. Ujian ini hanya disarankan jika anda berisiko tinggi mendapat kecacatan kromosom. Walau bagaimanapun, mendapat risiko tinggi bukan bermakna anak anda sudah dijangkiti.
Ini adalah bentuk ujian darah yang dilakukan antara minggu ke-15 hingga 20. Jika anda mengambil ujian ini, hormon kehamilan dalan darah anda akan dinilai berhati-hati. Selepas itu, doktor akan menggabungkan keputusan dengan usia anda bagi mengira dan mengenal pasti sama ada anak anda berisiko mendapat Sindrom Down ataupun tidak.
Ujian persampelan vilus korion (CVS)
Ujian diagnostik ini dilakukan untuk menentukan bilangan sebenar kromosom pada bayi. Jika bilangannya 46, ia dianggap normal. Kaedah ini membantu doktor mengenal pasti kebarangkalian bayi mendapat kecacatan kelahiran seperti trisomi 18, trisomi 13, Sindrom Down, dan penyakit lain. Jika ibu hamil mempunyai sejarah keluarga dengan keadaan genetik tertentu, CVS juga akan dijalankan. Doktor akan memasukkan jarum melalui abdomen ibu atau melalui serviks ke dalam plasenta. Kemudian, doktor akan memilih kepingan kecil plasenta untuk dihantar ke makmal bagi pengimbasan genetik. Prosedur ini mengambil masa sekitar 2-3 jam untuk dijalankan. Keputusan akan didapati dalam kira-kira beberapa minggu selepas itu.
UJIAN MENENTUKAN JANTINA
Antara perkara yang mengujakan semasa hamil adalah meneka sama ada jantina bayi anda lelaki ataupun perempuan. Selain daripada mitos yang diperkatakan sejak sekian lama, terdapat beberapa cara untuk mengenal pasti jantina bayi dalam kandungan. Artikel di bawah memberikan maklumat kepada anda mengenai bagaimana jantina boleh dikenal pasti melalui beberapa ujian perubatan.
Mitos
Mitos-mitos yang diperkatakan mungkin sekadar mitos, tetapi tiada salahnya untuk mencuba.
Bentuk perut anda semasa hamil (baby bump):
Mengikut cerita orang-orang dahulu, jika bentuk perut anda semasa hamil bulat seperti bola, ini bermakna anda sedang mengandungkan bayi lelaki. Sebaliknya, jika perut anda berbentuk luas, anda lebih cenderung untuk mendapat bayi perempuan.
Mengidam makanan manis dan berempah, dan makanan yang sedap:
Teknik ini hanya bergantung kepada apa yang anda ingin makan, dan tentunya tidak tepat untuk mengenal pasti sama ada anda mengandungkan bayi lelaki ataupun perempuan. Bagaimanapun, adalah dipercayai bahawa jika seseorang ibu itu mengidam makanan manis, dia akan mendapat bayi perempuan. Sebaliknya, jika anda teringin makan makanan seperti kentang goreng dan stik semasa hamil, anda mungkin sedang hamil bayi lelaki.
Bentuk wajah anda:
Kepercayaan orang dulu-dulu, ibu yang boleh mengawal berat badan mereka dan menjaga penampilan akan melahirkan bayi lelaki. Sementara untuk ibu yang tidak, dia akan mendapat bayi perempuan. Mengapa berbeza? Ini kerana, menurut kepercayaan dahulu, bayi perempuan akan mengambil seri kehamilan ibu tersebut.
Ujian perubatan yang boleh mendedahkan jantina sebenar bayi
Amniosentesis:
Prosedur amniosentesis termasuklah meletakkan sebatang jarum ke dalam bendalir yang mengelilingi bayi. Pakar kemudiannya akan melihat kepada rupa kromosom bayi untuk menentukan jantina bayi, juga sebarang keabnormalan kromosom. Teknik ini pasti dapat menentukan jantina bayi anda. Walau bagaimanapun, memandangkan ujian ini berisiko tinggi menyebabkan keguguran, maka doktor tidak akan mencadangkan anda untuk melakukan ujian ini.
Ultra-bunyi:
Pada usia kandungan 20 minggu, anda dan pasangan boleh mengetahui jantina bayi dengan cara melakukan imbasan ultrabunyi anatomi. Jika anda benar-benar ingin tahu, semasa minggu ke-14 dan 15 kehamilan, imbasan juga sudah boleh dilakukan. Malahan, secara saintifiknya, jika anda melihat bentuk penyu, bersedialah untuk menerima bayi lelaki. Sementara itu, jika anda melihat tiga garisan, maka anda mungkin akan menerima bayi perempuan. Pun begitu, teknologi boleh menyebabkan keputusan yang salah. Jadi, satu-satunya cara untuk memastikan jantina anak anda adalah dengan menunggunya sehingga hari kelahiran.
BEZA UJIAN IMBASAN 2D, 3D, DAN 4D. DOKTOR INI TERANGKAN DENGAN TERPERINCI
Sejak kebelakangan ini, ujian imbasan 3D dan 4D semakin popular di kalangan ibu hamil. Hal ini kerana, dengan perkembangan teknologi moden yang semakin canggih, bukan sahaja jantina anak dapat diketahui dengan mudah, bahkan rupa parasnya juga dapat dilihat dengan lebih jelas. Malah, apa sahaja yang berkaitan dengan fizikal anak dapat diketahui sejak dalam kandungan lagi.
Menerusi imbasan 3D (tiga dimensi – gambar berwarna oren) dan 4D (empat dimensi dengan video tiga dimensi) ini, anda boleh melihat secara langsung apa yang bayi lakukan di dalam kandungan. Memang mengujakan! Lebih-lebih lagi sekiranya ia kandungan pertama anda.
Namun yang demikian, imbasan 3D dan 4D hanya boleh dilakukan ketika usia kandungan 26 minggu hingga 32 minggu. Ini kerana pada masa ini, bayi di dalam kandungan sudah matang dan besar. Jadi, pembentukan fizikal dan jantinanya boleh dilihat dengan jelas.
Selain itu, pemeriksaan imbasan 3D dan 4D dipengaruhi beberapa faktor lain seperti maternal habitus (gemuk/kurus), posisi bayi ketika imbasan, kandungan air ketuban dan usia kandungan.
Imbasan dan keperluannya
Imbasan ultrabunyi juga dikenali sebagai imbasan ultrasound ataupun sonografi yang melibatkan pemancaran gelombang bunyi berfrekuensi tinggi. Gelombang bunyi akan melalui rahim dan imej bayi dan dipantul balik. Pantulan ini kemudiannya diproses oleh mesin dan komputer untuk mewujudkan imej pada skrin yang mendedahkan kedudukan dan pergerakan bayi.
Imbasan ultrabunyi dianggap sebagai kaedah yang selamat, tepat dan menguntungkan. Ia berbeza dengan X-ray di mana ia menggunakan pengionan yang membahayakan manakala
imbasan ultrabunyi menggunakan gelombang bunyi. Ia menghasilkan gambar-gambar bahagian dalam tubuh. Pengimejan ultrabunyi, juga dikenali sebagai imbasan ultrabunyi atau sonografi, melibatkan penggunaan transduser kecil (probe) dan gel ultrabunyi diletakkan terus pada kulit.
Pengimejan ultrabunyi merupakan ujian perubatan invasif yang membantu mendiagnosis dan merawat keadaan perubatan. Ultrabunyi memainkan peranan yang penting dalam penjagaan setiap ibu hamil. Antara sebab ia penting adalah untuk:
1. Mengetahui kedudukan uri dan tahap air ketuban. 2. Menentukan usia sebenar bayi dan jangkaan tarikh lahirnya. 3. Mengetahui bilangan bayi sama ada tunggal ataupun kembar. 4. Memeriksa perkembangan fizikal bayi dan kecacatan kelahiran. 5. Memeriksa perkembangan bayi sama ada sesuai dengan peringkat perkembangannya.
Beza 2D, 3D dan 4D
Imbasan 2D memberi gambar dua dimensi dalam warna hitam putih. Imbasan ini juga dikenali sebagai imbasan morfologi. Paling baik dilakukan pada minggu ke-20 hingga 26 kehamilan. Ia merupakan imbasan terperinci bayi dan banyak aspek yang akan dinilai semasa proses imbasan dilakukan. Ini bagi memastikan perkembangan bayi adalah normal.
Biasanya sonografer akan melihat kepala dan otak bayi, muka termasuk profil bibir, jantung, dada termasuk diafragma; abdomen termasuk buah pinggang, pundi kencing, perut, tulang belakang, anggota badan termasuk tangan dan kaki.
Imbasan ini perlu dilakukan di dalam keadaan yang baik dan memerlukan kerjasama bayi. Jika kedudukan bayi tidak menentu, anda mungkin terpaksa pulang dan datang kembali pada masa yang lain.
Setiap bayi mempunyai ciri-ciri tersendiri. Contohnya, sesetengah bayi mempunyai ukuran kepala yang lebih besar atau ukuran tulang paha yang lebih pendek. Ciri-ciri ini sering sama dengan ibu bapanya. Aspek-aspek lain yang dinilai adalah:
1. Kadar jantung bayi. 2. Bilangan bayi. 3. Kedudukan plasenta. 4. Jumlah cecair amnion sekitar bayi. 5. Tempoh pembukaan laluan serviks. 6. Rahim ibu.
Imbasan 3D pula merupakan gambar statik tiga dimensi dan 4D pula merupakan rakaman video. Imbasan 3D dan 4D dianggap selamat seperti imbasan 2D kerana imej-imej yang terdiri daripada bahagian-bahagian imej dua dimensi ditukar ke dalam bentuk gambar.
Imbasan 3D dan 4D boleh memberikan lebih banyak maklumat kerana ia boleh menunjukkan lebih terperinci dari sudut yang berbeza. Pengimbasan 3D dan 4D juga berguna untuk melihat hati dan organ-organ dalaman yang lain. Sebelum 26 minggu, bayi anda mempunyai sangat sedikit lemak di bawah kulit. Jadi, tulang mukanya akan mudah dilihat dengan lebih jelas. Selepas 32 minggu, kepala bayi akan pergi jauh ke dalam pelvis dan anda mungkin tidak dapat melihat wajahnya.
Pada minggu ke-28, jika plasenta berada di hadapan rahim (anterior plasenta), anda akan melihat imej terbaik wajah bayi! Namun, kadang-kadang ia tidak berlaku seperti yang diharapkan. Ia bergantung pada kedudukan bayi di dalam rahim. Pihak sonografer mungkin akan meminta anda untuk berjalan-jalan dahulu atau datang kembali dalam tempoh seminggu dengan harapan bayi berubah ke kedudukan yang lebih baik.
Ibu hamil yang ingin berpuasa diharuskan berpuasa namun semuanya bergantung kepada nasihat dan pandangan dari doktor yang merawat selepas meneliti keadaan tubuh ibu hamil itu sendiri.
Kandungan yang sihat selepas trimester pertama boleh berpuasa jika hendak berpuasa namun awas, jika anda mengalami 5 tanda di bawah, dinasihatkan untuk berbuka puasa dengan segera!
1. Apabila pergerakan bayi kurang
Apabila bayi semakin kurang bergerak dalam kandungan, ibu hamil mesti berwaspada, kerana ini adalah tanda si ibu perlu berbuka puasa. Sekiranya bayi kurang aktif bergerak, ibu dalam trimester kedua khususnya perlu segera menghubungi doktor bagi bertanyakan keadaan ini.
Cuba kira berapa banyak bayi bergerak dan menendang selama dua jam apabila bayi biasanya aktif. Sekiranya bilangan pergerakan dan tendangan berkurangan ketika ibu hamil berpuasa, anda harus segera membatalkan puasa.
2. Hidung berdarah
Tanda bahawa wanita hamil perlu berbuka puasa seterusnya adalah jika mereka mengalami pendarahan hidung. Hormon kehamilan menyebabkan aliran darah meningkat di samping menyebabkan saluran darah hidung membengkak dan mudah pecah. Sebab itu ibu hamil mudah mengalami pendarahan hidung.
Sebenarnya, pendarahan hidung semasa mengandung tidak menimbulkan bahaya yang besar, tetapi anda mesti tetap memberi perhatian jika ini berlaku semasa berpuasa. Antara tandanya:
-Menjadi pening atau letih serta-merta selepas pendarahan hidung
-Kesukaran bernafas semasa pendarahan hidung
-Dada terasa sakit dan sesak apabila anda mengalami pendarahan hidung
-Pendarahan dari hidung tidak berhenti selepas 30 minit
3.Ibu hamil yang risiko tekanan darah tinggi
Tanda bahawa wanita hamil perlu membatalkan puasa seterusnya adalah risiko mengalami tekanan darah tinggi. Wanita hamil yang berisiko tinggi atau telah disahkan menghidap preeklampsia (tekanan darah tinggi semasa hamil) mesti segera membatalkan puasa mereka.
Ini dapat dilihat apabila wanita hamil mengalami gejala seperti mata keruh, sakit kepala, bengkak di kaki dan tangan, kesukaran bernafas, dan loya dan muntah. Cepat-cepat buka puasa!
4. Dehidrasi
Tanda pertama ibu hamil perlu berbuka puasa ialah mengalami dehidrasi. Lebih-lebih lagi, wanita hamil yang memerlukan lebih banyak pengambilan cecair berbanding orang lain ketika berpuasa.
Mengalami dehidrasi semasa kehamilan boleh membawa maut. Hal ini kerana, dehidrasi yang teruk boleh menyebabkan wanita hamil mengalami sawan atau renjatan akibat tekanan rendah.
5. Mual dan muntah
Tanda-tanda wanita hamil perlu berbuka puasa seterusnya adalah jika mereka mengalami loya dan muntah. Sekiranya wanita hamil sebelum ini tidak mengalami loya dan muntah, tetapi tiba-tiba terasa seperti ini ketika berpuasa, hendaklah segera berbuka.
Loya dan muntah yang dialami ibu hamil ketika berpuasa tidak boleh dipandang remeh kerana ia boleh menjadi simptom masalah kesihatan yang lebih serius. Sekiranya wanita hamil mengalami perkara ini, segera makan makanan berkhasiat dan berehat sehingga loya dan muntah berhenti.
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) sekarang!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Penyebab utama anemia di kalangan wanita mengandung adalah kekurangan zat besi. Semasa mengandung, badan manusia akan menghasilkan banyak darah untuk menampung tumbesaran janin.