Statistik menunjukkan bahawa satu daripada enam kanak-kanak di Malaysia mengalami masalah kesihatan mental, dan kadar ini telah meningkat dua kali ganda sejak tahun 2019.
Sebagaimana menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023: Penyakit Tidak Berjangkit dan Permintaan Jagaan Kesihatan, beban masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dari kawasan bandar adalah lebih tinggi berbanding mereka yang berada di luar bandar.
Laporan Institut Kesihatan Umum itu, yang diterbitkan pada 2024, mendedahkan bahawa 46 peratus kanak-kanak mempunyai masalah dengan rakan sebaya, 25 peratus mempunyai masalah tingkah laku, 17 peratus mempunyai masalah emosi dan lapan peratus mempunyai masalah hiperaktif manakala lebih ramai kanak-kanak perempuan mengalami masalah kesihatan mental berbanding lelaki.
Gambar sekadar hiasan
Kajian itu membabitkan 2,400 kanak-kanak berumur lingkungan lima hingga 15 tahun dan maklumat dikumpul daripada ibu bapa atau penjaga responden.
Memetik laporan Bernama, Pensyarah Kanan merangkap Ahli Psikologi Klinikal Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia (PsiTra) Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Hilwa Abdullah @ Mohd Nor berkata, impak pandemik Covid-19 yang memaksa masyarakat ‘berkurung’ di rumah memberi kesan kepada masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak ketika ini.
Beliau berkata, kanak-kanak adalah golongan yang mudah terjejas dari segi emosi terutama apabila berdepan perubahan gaya hidup kerana mereka masih muda dan mempunyai batasan dalam aspek mengawal emosi serta tekanan.
“Imbas kembali ketika pandemik, kita mengalami perubahan gaya hidup yang drastik iaitu batasan pergerakan serta aktiviti perlu dilakukan secara dalam talian termasuk sesi pembelajaran dan kanak-kanak ini perlu menghadapi cabaran dunia maya.
Ads
“Batasan itu menyebabkan mereka tidak boleh meluahkan emosi sehingga menyebabkan kemurungan yang cenderung mencederakan diri sendiri… fitrah kanak-kanak suka bermain dan melakukan aktiviti fizikal di luar tetapi apabila mereka terpaksa duduk di dalam rumah, sebagai contoh, main permainan dalam talian dan media sosial, ini antara faktor golongan ini semakin rapuh dari segi emosi dan mereka juga tidak tahan lasak,” katanya.
Dr Hilwa berkata, pengaruh media sosial juga memberikan impak besar dan tekanan kepada kanak-kanak antaranya mereka akan cenderung membuat perbandingan sosial, fenomena FOMO (perasaan takut apabila ketinggalan daripada perkembangan semasa) serta obsesif atau penatalan kompulsif.
GAJET BERLEBIHAN
Ads
Gambar sekadar hiasan
Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Inovasi) Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Intan Farahana Abdul Rani pula berkata, antara punca masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak ialah penggunaan gajet secara berlebihan.
Beliau berkata, ini mengakibatkan mereka kurang berinteraksi secara sosial dan fizikal manakala faktor lain termasuk persekitaran pendidikan yang kompetitif dengan jangkaan penjaga terlalu tinggi terutama apabila kanak-kanak tidak diberi ruang bermain atau berehat.
Dalam pada itu, katanya lagi, persekitaran keluarga yang tidak stabil termasuk konflik antara ibu bapa, perceraian atau pengabaian emosi dan trauma awal kanak-kanak kerana menghadapi kes penderaan atau kemalangan juga antara faktor masalah kesihatan mental.
Ads
“Faktor-faktor ini jika tidak ditangani dengan baik boleh mempengaruhi emosi dan tingkah laku kanak-kanak dalam jangka panjang,” katanya
Dr Intan Farahana berkata, pengesanan awal adalah kunci utama dalam menangani isu kesihatan mental kanak-kanak dan ibu bapa perlu peka terhadap sebarang perubahan dalam tingkah laku, emosi serta tabiat harian anak-anak.
Sebagai contoh, perubahan corak tidur, hilang minat terhadap aktiviti kegemaran, kerap menangis atau cepat marah boleh menjadi tanda-tanda awal.
Beliau berkata saringan bagi aspek perkembangan emosi itu boleh dilaksanakan melalui Pusat Data Kanak-Kanak Kebangsaan dari NCDRC, UPSI yang mengumpulkan data golongan berkenaan serta diisi oleh pendidik membabitkan kanak-kanak di bawah usia empat tahun. – Bernama
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Akibat tersalah mengambil makanan yang tidak bersih, pelakon Fasha Sandha mengalami keracunan makanan sehingga muntah-muntah.
Malah Fasha juga menepis tanggapan ramai yang mengatakan dirinya kini sedang hamil.
Kongsi Fasha lagi menerusi Insta Storynya, masalah keracunan makanan tersebut berpunca daripada membeli makanan yang dijual di gerai tepi jalan.
“Sekejap sahaja sakit dan muntah. Bukan hamil tau, salah makanan atau minumam yang beli di tepi jalan.
“Selalunya okey sahaja, mungkin nasib tidak baik pada hari tu.
“Makanan atau minuman tersebut terkena kuman atau air yang digunakan tak masak. Hati-hati ya semua,” katanya berkongsi.
Pun begitu, kongsi Fasha lagi keadaan dirinya kini sudah semakin pulih dan akan lebih berhati-hati sekiranya ingin membeli makanan yang dijual di gerai tepi jalan.
“Alhamdulillah semakin pulih dan terima kasih kerana ambil berat tentang saya, maklumlah, jarang sakit.
“Pengajarannya, jangan makan sesuka hati pada ‘cheat day’. Kadang-kadang nasib tidak baik, kena keracunan makanan jua.
“Terima kasih suami sebab jaga saya ketika sakit. Sakit manja-manja,” ujarnya.
Sertai ‘Komuniti Pa&Ma Ikhtiar Hamil‘ untuk mengikuti pelbagai tip kesuburan dan kehamilan serta pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma bersama pakar.
Pesanan Che Ta kepada Aaisyah menarik perhatian warga maya. Kata Rozita Abu bakar atau lebih dikenali sebagai Che Ta kepada Aaisyah, “Hang kalau besaq nanti jangan duk gila dekat laki orang.”
Perkongsian video yang dimuat naik di laman media sosial Tiktok milik Che Ta baru-baru ini tular dan meraih perhatian ramai. Video berkenaan, kini meraih jumlah tontonan sebanyak 1.1 juta, tanda suka sebanyak 41.9 ribu dan sebanyak 733 komen.
Video tersebut juga turut dimuatnaik di laman Instagram milik Che Ta.
HANG KALAU LIGAN LAKI ORANG, MOMMY AKAN BENAMKAN HANG TAUUU! WARNING DARI MOMMY SELAKU PENGERUSI UNTUK BAHAGIAN ISTERI ISTERI MELEDAKKKK!! Hang jangan main main yaaaa Aaisyah, heels mommy ni melayang ke highway nanti. – kata Che Ta dalam kapsyennya.
Dalam video yang dimuat naik di laman Tiktok dan Instagram itu juga memaparkan Che Ta yang memberi pesanan kepada Aaisyah untuk mencari bakal suami yang tidak mencetuskan masalah dikemudian hari.
“Ni Aaisyah, Mummy nak bagitahu ni, Hang kalau besaq nanti jangan duk gila dekat laki orang. Hang nak cari laki ahli gusti ke, ahli sukan ke, ahli muzik ke takde masalah. Jangan duk gila dekat laki orang saja”-Kata Che Ta.
Video tersebut berjaya meraih perhatian warga maya. Mereka juga mengatakan perkara yang sama bahawa jangan pernah sesekali untuk cuba mengambil suami orang. Tambah mereka lagi, Che Ta pun tidak ambil suami orang malah lebih memilih yang bujang untuk dikahwini.
Che Ta kini sememangnya aktif di media sosial miliknya terutamanya mengenai perniagaan serta mengenai gelagat anak dara kesayangannya, Aaisyah Dhia Rana. Gelagat Aaisyah sering mencuri perhatian ramai bukan sahaja kerana dia merupakan anak kepada selebriti tetapi yang paling utama rupa parasnya yang menawan.
Setiap kali musim banjir tiba, ramai yang terkesan teruk—kehilangan rumah, harta benda, dan terpaksa menempuh kesukaran besar untuk meneruskan hidup. Air mata mengalir, perasaan pilu menyelubungi, dan jiwa teruji dengan cabaran yang tidak pernah dijangka.
Dalam situasi begini, ramai mangsa banjir memohon kepada kita semua untuk lebih peka terhadap perasaan mereka. Mereka hanya mahukan sokongan moral, bukannya gambaran kebahagiaan orang lain yang boleh mengguris hati.
Sebagaimana perkongsian Affenddy Mohamad yang juga merupakan mangsa banjir 2014 yang berkongsi suka duka pengalamannya ketika itu.
Justeru, dalam masa yang penuh ujian ini, elakkanlah daripada berkongsi gambar makanan enak, percutian, atau apa-apa yang mungkin kelihatan tidak sensitif. Kita mungkin tidak berniat buruk, tetapi empati memainkan peranan besar untuk menjaga hati yang sedang terluka. Sama-sama kita berganding bahu untuk membantu mereka, sama ada melalui doa, sumbangan, atau sekadar menjadi pendengar yang baik.
“Berat mata memandang, berat lagi bihu memikul” Beginilah saya boleh mulakan tulisan ini untuk kita memahami keadaan mangsa-mangsa banjir sekarang.
Kalau anda tengok dalam video dan gambar banjir terkini di Pantai Timur terutama di Kelantan, tak akan sama jika anda sendiri yang lalui pengalaman itu. Air naik terlalu pantas.
Masa tu, kami ingat cukup hanya dengan bertahan di rumah sahaja dan mengharapkan air akan surut dan hujan akan berhenti. Tapi ianya tidak begitu. Meleset sama sekali. Hujan tak berhenti. Air makin naik.
Akhirnya, kami terpaksa ambil sahaja mana-mana pakaian yang nampak di depan mata. Capai apa sahaja yang kami rasa penting. Phone, charger, pampers anak dan baju beberapa helai.
Beginilah juga situasi yang saudara-saudara kita sedang alami sebenarnya. Ketika itu, berat hati nak meninggalkan rumah yang disitulah kita tidur, makan dan berehat serta berkeluarga.
Fikiran kusut. Emosi tak stabil. Badan letih sangat. Semuanya macam kosong. “Kenapalah aku kena macam ni?” Itu antara yang terdetik di hati saya ketika itu. Saya yakin, macam-macam emosi sedang bermain di dalam fikiran dan perasaan semua mangsa banjir sekarang.
Anda tahu tak, Di tempat pengumpulan mangsa banjir, semuanya kekurangan. Apa yang anda fikir tak sempurna, sebenarnya ia lagi tak sempurna. Betul saya cakap.
Makanan tak cukup. Tidur tak sempurna. Ruang tak selesa. Elektrik terpaksa dimatikan. Gelap. Panas. Kiri kanan, kedengaran suara-suara bayi menangis dan merengek. Mungkin lapar, mungkin panas dan mungkin tak selesa.
Allah.. Anda bayangkan dalam keadaan badan yang terlalu letih, tak dapat makan sebab makanan tak sampai dan kalau ada pun ianya memamg tak cukup. Yang ada anak-anak kecil, saya saksi bahawa mak ayah makan sesuap sahaja selebihnya disuapkan ke mulut anak-anak.
“Pakcik dah makan?” Tanya saya kepada salah seorang warga emas yang ada depan saya. “Dah makan dah sikit. Tak apa, asalkan cucu dapat makan”. Jawab pakcik tu sambil tak putus-putus cakap dekat cucunya “ayam tak ada ya..nanti kita makan ayam banyak-banyak”
Anda bayangkan, Lepas dah lebih 3 hari duduk di tempat pengumpulan mangsa banjir dengan jumlah yang ramai, apa yang terjadi agaknya? Tandas? Ya, tandas memang sah tersumbat. Masuk tandas, najis bersepah. Tak leh cuci. Air tak ada. Tandas sumbat. Tak boleh buang air besar. Tak boleh buang air kecil. Usahkan nak buang air besar atau kecil, nak mandi pun air tak ada. Sebab ramai sangat manusia di situ, bukan kita sorang sahaja.
Line internet? Semuanya tak ada. Line putus. Kosong. Macam kita duduk dan tak boleh buat apa-apa. Nak bagitau saudara-mara kat tempat lain tak boleh. Anak-anak nak hubungi tanya khabar mak ayah pun tak dapat. Kami bukan sahaja putus perkara fizikal, tapi putus juga perkara jiwa.
Setiap pagi saya bangun tidur, saya melihat langit dan bercakap seorang diri. “Ya Allah, bilakah semua ini akan berakhir” “Ya Allah, bilakah aku dapat balik rumah?” Apa rutin saya setiap pagi? Bangun je tidur, saya terus pergi tengok paras air semasa. Saya memang buat tanda paras air semasa sendiri punya sebab nak tengok semalam macamana dan hari ini macamana.
Tujuannya saya nak tengok paras air makin tinggi ke makin surut. Bila saya tengok tempat saya tanda tu tenggelam, maksudnya air makin tinggi! Tak surut pun! Makin tinggi adalah
Jam masa tu baru pukul 6 pagi. Macamana saya nak hadap sehari sampai malam dengan keadaan macam ni? Anak-anak dah boring gila. Tak ada mainan boleh main. Tak ada phone boleh tengok. Ruang sempit untuk bergerak bebas. Hanya baring, tidur dan bangun berdiri di tempat kita sahaja.
Dalam keadaan otak dan badan yang terlalu letih, dalam masa sama kita kena perhatikan keselamatan anak-anak kecil ke mana mereka pergi. Tak boleh lalai walau sesaat sebab kami sedang berada di tempat dikelilingi air. Bahaya.
Anda boleh bayangkan tidur kami macamana? Kami tidur beralaskan kotak-kotak makanan. Dihampar kotak-kotak tersebut di laluan pejalan kaki hospital. Masa tu kami di tempatkan di hospital daerah.
Hampir setiap malam, ada sahaja jenazah ditolak melalui laluan pejalan kaki tempat di mana kami ‘menginap’ setiap malam. Beberapa kali lalu di depan mata saya.
Saya terjaga. Bersandar di tiang yang ada. Melihat sekeliling sangat pilu. Semua orang pakat berkorban. Mak ayah tidur bersandarkan dinding, anak-anak tidur beralaskan peha satu sama lain. ‘Bilik’ kita dan ‘bilik’ orang lain hanya dipisahkan dengan beg pakaian sahaja. Tak ada privacy.
5 hari kami di sana. Anda bayangkan setiap hari saya bangun pagi dan ‘kawan rapat’ saya masa tu hanyalah seutas jam tangan sendiri. Setiap saat saya tengok bila waktunya akan berubah supaya cepat datangnya malam dan cepat beralihnya hari. Bila akan perginya hujan dan bila nak datangnya mentari.
Allah..Penat. Sedih. Emosi. Kereta saya? Ya, kereta saya tenggelam habis Kereta baru beli beberapa bulan dan baru upgrade beberapa benda pada kereta. Hari pertama air paras tayar. Hari kedua air paras tingkap. Hari ketiga kereta tenggelam terus.
Buku-buku motivasi saya di dalam kereta, semua rosak. Tak boleh diselamatkan. Antara buku yang saya sangat sayang ialah “Master Your Mind, Design Your Destiny” yang menjadi asbab saya berhenti guru dan tubuhkan konsultan motivasi pelajar. Ya, ia buku sangat memberi makna besar kepada saya.
KEPERITAN BERMULA BILA BALIK RUMAH
Begitulah harta kita.Sekejap sahaja jika Tuhan nak ambil. Bila semuanya reda, anda ingat semuanya ok? Tidak! Sama sekali tidak. Kesedihan dan keperitan baru nak bermula sebenarnya! Saya sambung kisah keperitan sebenar. Anda balik rumah, anda akan lihat semua barang rumah hancur, rosak dan semuanya anda lihat macam barang buruk sahaja.
Baju-baju dan perkakas rumah diselaputi tanah keras bekas air tanah yang menggelami rumah sebelum itu. Perkakas elektrik rosak teruk. Dinding dan tingkap rumah pecah. Bumbung rumah hanyut. Macam-macam yang anda akan lihat nanti.
Ya, ujian emosi anda baru nak bermula sebenarnya. Waktu perit anda di tempat pengumpulan mangsa banjir tu sebenarnya ‘latihan’ sahaja sebelum anda betul-betul diuji waktu anda melihat rumah anda ketika anda dah boleh balik rumah nanti.
Macamana agaknya orang tua kita? Mereka berdualah yang akan membersihkan rumah tanpa anak-anak di sisi. Bayangkan dalam tangisan air mata tanpa anak-anak di sisi. Allah..Cerita saya ketika itu pula begini,
Peristiwa 2014 itu, saya satu-satunya menantu yang ada dan isteri saya satu-satunya anak yang ada ketika itu. Adik beradik ipar dan biras yang lain tak dapat balik sebab jalan sangkut.
Laluan masuk ke Kelantan tak boleh masuk. Di Gua Musang dan Kuala Krai masih tinggi air. Kami di Tanah Merah pun masih teruk sebenarnya. Cuma rumah mentua saya ni tempatnya sedikit tinggi berbanding tempat lain.
Saya masih ingat, ketika saya dan ayah mentua berazam untuk balik tengok rumah pada hari ke-5, air laluan masuk ke rumah masih di paras dada. Kami berjalan masuk mengharungi air paras dada.Beberapa kali air masuk ke mulut.Sebabkan rumah mentua ni tinggi, maka kami dapat masuk ke rumah dan cuci rumah. Kami masuk menggunakan bot orang kampung.
Air masih menggelami tangga rumah.Dalam rumah dah tak ada air dah. Yang ada hanyalah… Huhu.. Saat kaki saya melangkah masuk ke rumah, saya baru sedar yang saya sedang memijak tanah liat macam di bendang sawah padi di bawah mentari terik.
Tanah liat keras memenuhi semua ruang rumah! Tanah tu keras! Ada juga beberapa tempat masih berlumpur! Busuk! Hanyir! Anda bantu saya jawab, di manakah tempat pertama saya nak bermula untuk cuci bila saya melihat situasi seperti itu di depan mata? Saya bersandar di dinding. Saya tak tahu nak mula kat mana.Saya tengok kiri, saya tengok kanan. Tak tahu nak mula dari mana dan buat apa.
“Fendy, buat je la mana-mana dulu..Baba nak tengok barang belakang rumah sekejap”. Kedengaran suara ayah mentua saya memberi semangat. Suaranya perlahan mungkin tak tergamak nak bagitau apa perlu buat dan di mana perlu saya bermula sebab hanya kami berdua sahaja yang ada ketika tu. Yang ada kudrat saya seorang.Ayah mentua dah tua.
Allah.. Saya bersihkan rumah sambil titisan air mata keluar dari pipi. Menangis sebab letih. Emosi saya down teruk. Badan tak cukup rehat.Tidur tak cukup sempurna. Lihat pula situasi seperti itu seorang diri. Tapi macam mana pun, kena buat juga. Saya masuk ke setiap bilik, saya tengok semua keadaan sama. Tanah keras. Ada beberapa penjuru yang berlumpur. Baju dan barang semua kena air. Kena kumpul dan cuci semua tu dan basuh. Panjang pengalaman ini.
ELAK TAYANG MAKANAN SEDAP DAN GAMBAR BERCUTI
Saya nak bagitau anda, ini jugalah yang sedang dirasai oleh semua mangsa banjir. Ketika ini dan selepas ini. Semua mereka itu sedang diuji dengan emosi, ketabahan dan kesabaran. Maka, saya menyeru marilah kita berdoa di dalam setiap solat kita. Sedekahkan al fatihah dan doa kepada semua mangsa banjir yang terlibat. Niat semoga Allah permudahkan urusan semua. Kita boleh makan dan minum selesa, Mereka tidak. Kita boleh tidur nyenyak, Mereka tidak. Kita boleh beribadah dengan baik, Mereka tidak.
Saya nak cakap satu je, andai setiap orang diberi pengalaman hadapi banjir sekali, pasti tidak akan diminta lagi pengalaman yang keduanya. Begitulah yang saya boleh simpulkan. Cerita anda pula bagaimana?
Anda yang ada pengalaman macam saya, boleh ceritakan di komen. Sama-sama kita menginsafi ujian Tuhan. Kepada Allah kita berserah. Mari sama-sama kita doakan di komen untuk semua saudara-saudara kita di Pantai Timur dan seluruh negara yang sedang diuji banjir ketika ini.