
Setiap ibu ayah pasti mengimpikan anak yang membesar menjadi insan soleh, berakhlak baik dan berjaya dalam kehidupannya. Selain memberikan didikan terbaik, mencurahkan kasih sayang dan membimbing anak sejak kecil, doa ibu ayah juga menjadi antara amalan penting yang tidak seharusnya dilupakan.
Dalam al-Quran sendiri terdapat beberapa doa berkaitan zuriat yang boleh diamalkan oleh ibu dan ayah. Bukan sekadar memohon agar anak menjadi soleh dan hebat, malah doa-doa ini turut mengandungi harapan agar keturunan sentiasa berada dalam kebaikan, menjadi penyejuk hati serta membesar sebagai insan yang memberi manfaat kepada orang lain.
Jadi, di samping usaha mendidik anak setiap hari, jangan lupa selitkan doa-doa ini dalam setiap sujud dan selepas solat. Mana tahu, doa yang kita ulang tanpa jemu itulah yang menjadi asbab kebaikan buat anak-anak hingga mereka dewasa nanti.
Berikut tiga doa yang boleh dijadikan amalan ibu dan ayah.
Doa Nabi Ibrahim AS dalam Surah al-Saffat, ayat 100 cukup ringkas tetapi mempunyai makna yang besar:
رَبِّ هَبْ لِي مِنَ الصَّالِحِينَ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung daripada orang-orang yang soleh.”
Doa ini merupakan permohonan Nabi Ibrahim AS kepada Allah SWT agar dikurniakan zuriat yang soleh. Ia boleh diamalkan oleh pasangan yang mengharapkan cahaya mata, selain ibu bapa yang mahu mendoakan kebaikan anak-anak mereka.
Seterusnya, Surah al-Furqan ayat 74 merakamkan doa yang cukup popular dalam kalangan ibu bapa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh daripada isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang bertakwa.”
Doa ini bukan hanya memohon anak yang baik, tetapi juga memohon agar pasangan dan zuriat menjadi penyejuk hati serta menjadikan diri sendiri contoh kepada orang yang bertakwa.
Satu lagi doa yang sangat menarik ialah ayat daripada Surah al-Ahqaf, ayat 15:
رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu dan sesungguhnya aku daripada orang-orang Islam.”
Antara bahagian paling menarik dalam doa ini ialah permintaan:
“dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku.”
Mufti Wilayah Persekutuan turut menjelaskan bahawa ayat ini merupakan doa yang boleh dibaca, khususnya berkaitan permohonan agar Allah SWT memperbaiki dan memberikan kebaikan kepada zuriat.
Baca lagi: MamaKerja2026: Ibu Bekerja Selangor Layak Mohon Insentif RM1,000 Mulai Ogos!
Sekat Video Indonesia Di Youtube, 7 Cara Berkesan Elak Anak Terpengaruh Bahasa Indonesia
MamaKerja2026 Dibuka 17 Ogos Ini, Ibu Bekerja Selangor Dapat RM1,000!
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan (1) (2) / Zulkifli Al-Bakri