
Dewan penuh sorakan, gelak tawa kanak-kanak dan semangat ibu bapa yang luar biasa, itulah gambaran kemeriahan AKE Olympic with Adam & Ayra 2026 yang berlangsung dengan cukup meriah dan penuh warna-warni. Menggabungkan elemen sukan, kesihatan dan edutainment, acara ini berjaya mencipta pengalaman bermakna buat ribuan keluarga yang hadir.
Bukan sekadar hari sukan biasa, AKE Olympic kali ini tampil dengan konsep lebih segar dan bertaraf antarabangsa menerusi tema Olimpik yang benar-benar menghidupkan suasana dewan sejak dari awal acara.
Zumba Energetik Buka Tirai Hari Sukan
Sebelum acara rasmi bermula, pentas AKE Olympic terlebih dahulu dipanaskan dengan sesi Zumba penuh bertenaga daripada Nas Adila Dance Crew yang dikendalikan oleh Zin Yana.

Irama muzik rancak dan gerakan ceria berjaya membuatkan ibu bapa serta anak-anak turut sama bangun menari dan mengikut rentak. Dewan yang pada awalnya dipenuhi rasa teruja terus bertukar menjadi lautan energi positif.

Tidak cukup dengan itu, acara turut diserikan dengan gimik pemecahan belon oleh pengusaha cawangan senior AKE yang menjadi simbolik pembukaan rasmi temasya sukan tersebut ternyata menambahkan lagi debaran dan kemeriahan suasana.

Gimik Olimpik Curi Tumpuan
Antara momen paling mencuri perhatian pastinya upacara perasmian bertemakan Olimpik yang dibuat penuh gah dan simbolik. Seramai 20 pengusaha cawangan AKE tampil memasuki dewan sebagai delegasi kontinjen, lengkap dengan semangat kesukanan yang membangkitkan aura temasya sukan dunia.

Lebih dramatik, salah seorang pengusaha cawangan AKE, Sir Kamal Faridz tampil membawa obor sebagai simbolik perasmian acara, sekali gus menyalakan semangat perpaduan, kerjasama dan gaya hidup aktif dalam kalangan kanak-kanak serta ibu bapa. Obor tersebut kemudiannya bertukar tangan antara kesemua penguasaha cawangan sebelum akhirnya diletakkan di tapak khas oleh Sir Khairul Azmi.

Sorakan demi sorakan daripada para hadirin menjadikan suasana ketika itu benar-benar terasa seperti berada di stadium Olimpik sebenar.
Dua Sesi Perasmian, Raikan Lebih Banyak Keluarga
Menariknya, upacara perasmian AKE Olympic with Adam & Ayra 2026 diadakan sebanyak dua kali bagi meraikan dua kumpulan ibu bapa dan kanak-kanak yang berbeza. Langkah itu bukan sahaja memberi peluang kepada lebih ramai keluarga untuk merasai pengalaman acara secara eksklusif, malah membuktikan komitmen pihak penganjur dalam memastikan setiap peserta dapat menikmati perjalanan program dengan lebih selesa dan tersusun.

Majlis perasmian sesi pagi turut diserikan dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn Bhd, En. Syamil Fahim Mohamed Fahim manakala untuk sesi petang, kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon sama-sama memeriahkan acara dan memberikan sokongan terhadap penganjuran program berteraskan pembangunan kanak-kanak secara holistik.

Sebagai penutup upacara perasmian, persembahan bertenaga dari murid-murid SK TUDM Subang iaitu Forces Crew, membuatkan ramai yang terpukau dengan kelincahan persembahan Aerodance yang mereka lakukan.

Slot Kesihatan Jadi Perhatian Ibu Bapa
Selain aktiviti sukan dan hiburan, AKE Olympic with Adam & Ayra 2026 turut memberi penekanan terhadap aspek kesihatan kanak-kanak menerusi perkongsian bermanfaat daripada barisan pakar jemputan.
Antara yang mencuri perhatian ialah slot bersama Pakar Pergigian dan Dr. Ain Syuhada dari Redha Dental yang berkongsi pelbagai tip penjagaan kesihatan gigi anak-anak dengan cara santai dan mudah difahami. Turut berbercerita tentang kepentingan penjagaan kesihatan mata anak adalah Pakar Oftalmologi, Dr. Norwazilah yang mewakili Avisena Specialist Hospital.

Bukan itu sahaja, Pakar Perunding Pediatrik, Dr. Nisa Khalil juga turut hadir bagi berkongsi ilmu berkaitan penjagaan kesihatan anak-anak secara menyeluruh. Perkongsian yang padat tetapi santai itu nyata memberi banyak manfaat kepada ibu bapa yang hadir, malah ramai dilihat tidak melepaskan peluang untuk bertanya secara langsung kepada pakar jemputan.

Persembahan Pentas Buat Pengunjung Tak Lekang Dari Duduk
Kemeriahan acara diteruskan lagi dengan pelbagai persembahan pentas yang berjaya mencuri perhatian pengunjung dari awal hingga ke penghujung acara. Antara yang paling memukau pastinya persembahan roti canai terbang oleh Adik Amsyar yang membuatkan ramai kagum melihat kemahirannya mengendalikan aksi tersebut dengan penuh yakin dan bersahaja.

Tambah menarik, persembahan magik daripada Fakhrul Illusionz benar-benar menghidupkan suasana apabila pengunjung, khususnya kanak-kanak, tidak berhenti bersorak setiap kali helah magik dipersembahkan di pentas utama.

Pentas Meriah Dengan Kehadiran Maskot Adam & Ayra
Bertepatan dengan hari sukan yang meraikan kesemua para pengusaha, guru-guru, ibu bapa dan kanak-kanak, antara acara pentas yang mendapat perhatian ramai adalah ketika maskot AKE. Adam dan Ayra membuat penampilan khas bersama barisan tenaga pengajar dengan tarian comel diiringi lagu rasmi Ake iaitu Baby Khalifah.

Bukan itu saja, kehadiran maskot Didi & Friends turut menggamatkan suasana dan membuatkan pentas ‘penuh’ dengan gelak tawa dan sorakan mereka memanggil kesemua watak maskot kartun kegemaran ramai itu.

Kehadiran Catfluencer Buat Anak-Anak Teruja
Suasana bertambah gamat dengan penampilan istimewa Katnis bersama kucing-kucing comel peliharaannya, Elex dan Evian yang menjadi perhatian ramai sepanjang acara berlangsung.
Kanak-kanak dilihat begitu teruja untuk mendekati dan bergambar bersama catfluencer terkenal itu, malah ada yang sanggup beratur panjang semata-mata mahu bertemu dengan ‘si bulus’ kesayangan ramai tersebut.

Momen santai dan mesra itu secara tidak langsung menjadi antara tarikan paling manis sepanjang acara berlangsung.
Aksi Muay Thai Bertenaga Pukau Pengunjung
Tidak hanya dipenuhi aktiviti santai dan hiburan keluarga, AKE Olympic turut menampilkan persembahan Muay Thai penuh bertenaga daripada Raff Teras Gym. Lebih istimewa, persembahan tersebut turut menampilkan bekas Hero Remaja 2017/2018, Alif Muhaimin yang berjaya mencuri perhatian ramai dengan aksi lincah dan penuh karisma di atas pentas.

Sorakan penonton jelas kedengaran setiap kali gerakan dan aksi dipamerkan, menjadikan persembahan itu antara segmen paling mendebarkan sepanjang hari.
Konsert Pa&Ma Serlahkan Bakat Kanak-Kanak
Dalam pada itu, Konsert Pa&Ma turut menjadi salah satu segmen yang paling dinanti-nantikan pengunjung. Pentas konsert dipenuhi dengan persembahan istimewa daripada kanak-kanak berbakat yang tampil menyerlah menerusi nyanyian, tarian, permainan alat muzik dan pelbagai lagi persembahan kreatif. Dazrin Kamarudin berjaya membuatkan suasana ceria dan meriah bersama-sama kanak-kanak yang melakukan persembahan pada hari tersebut.

Melihat keberanian dan keyakinan anak-anak membuat persembahan di hadapan khalayak ramai nyata menjadi momen membanggakan buat ibu bapa yang hadir.
Turut memeriahkan konsert tersebut ialah pemenang tempat ketiga Talk To My Manager 2025, Oddah, yang tampil dengan persembahan penuh bertenaga dan berjaya menghiburkan seluruh dewan.

Gabungan Sukan, Kesihatan & Edutainment Dalam Satu Acara
AKE Olympic with Adam & Ayra 2026 bukan sahaja mengangkat elemen keseronokan dalam bersukan, tetapi turut memberi penekanan terhadap perkembangan fizikal, emosi dan sosial kanak-kanak.

Pelbagai aktiviti interaktif disediakan sepanjang acara bagi menggalakkan anak-anak bergerak aktif sambil belajar berkomunikasi, bekerjasama dan membina keyakinan diri. Dalam masa sama, ibu bapa juga diberi ruang untuk bersama-sama mencipta memori manis bersama anak-anak.

Semangat Kesukanan Jadi Penghubung Keluarga
Lebih daripada sekadar acara tahunan, AKE Olympic with Adam & Ayra 2026 berjaya membuktikan bahawa aktiviti sukan mampu menjadi medium terbaik dalam mengeratkan hubungan keluarga.

Melihat anak-anak berlari penuh semangat, ibu bapa bersorak dan memberi sokongan serta kerjasama semua pihak bagi menjayakan acara, semuanya menjadi momen indah yang sukar dilupakan. AKE sekali lagi membuktikan bahawa dunia pendidikan awal kanak-kanak juga boleh diraikan dengan penuh kreatif, aktif dan menyeronokkan!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





