Nak anak jadi baik bukan tunggu dia besar panjang baru nak mula, tapi dari dia masih comot lari dalam pampers lagi dah boleh mula tanam benih baik. Tak perlu tunggu dia masuk sekolah agama, tak perlu tunggu dia faham semua sebab anak-anak ni belajar paling cepat bila tengok dan rasa sendiri.
Ni 5 cara halus tapi sangat power untuk mak ayah yang nak lahirkan anak bukan je cerdik, tapi ada hati dan jiwa.
1. Doa tu senjata paling senyap, tapi paling berbisa
Setiap kali sapu minyak angin kat perut, selitlah sekali doa. Bila baring penat-penat tu, pegang perut dan cakap dalam hati, “Ya Allah, jadikan anakku penyejuk mata, penenang hati.”
Tak nampak hasil terus, tapi percayalah setiap lafaz tu Allah simpan baik-baik. Doa ibu ayah ni tak pernah sia-sia.
2. Anak ikut apa dia tengok, bukan apa dia dengar
Kalau kita asyik marah suruh anak solat, tapi kita sendiri malas nak bangun Subuh jangan pelik kalau dia pun buat-buat tidur.
Ads
Anak ni macam cermin. Kalau kita lembut, dia pun lembut. Kalau kita suka mengumpat, dia pun akan ikut. Jadi, nak anak elok, kita dulu kena elok. Simple je, tapi kadang tu yang paling susah kan?
3. Jadikan rumah tu ada ‘suara’ Al-Quran
Tak semestinya kena tunggu anak hafal surah panjang-panjang. Mulakan dengan dengar sama-sama. Waktu dalam kereta, waktu masak, waktu lepak petang-petang biar dia terbiasa dengan bunyi ayat Allah.
Lama-lama, telinga dia akan rindu bila tak dengar. Dan dari rindu tu, akan lahir cinta.
Ads
4. Cerita pasal Nabi, jangan tunggu Maulidur Rasul baru start
Anak-anak ni suka cerita. Gunakan minat tu untuk selitkan kisah akhlak Nabi. Macam mana Nabi sayang budak-budak, macam mana Nabi tak pernah marah isteri, macam mana Nabi sangat lembut dan pemaaf.
Jadikan Nabi idola mereka bukan superhero dari movie.
Ads
5. Kurangkan rotan, lebihkan peluk
Anak takkan ingat sangat apa kita marah, tapi dia akan ingat bila kita peluk masa dia rasa bersalah. Kadang-kadang, pelukan tu lebih ‘menyentuh’ daripada sepuluh kali bebel.
Tegur boleh, tapi jangan sampai anak rasa diri dia teruk sangat. Anak soleh bukan datang dari tekanan, tapi dari rasa dihargai dan disayangi.
Zaman sekarang ni cabaran makin pelik-pelik. Tapi tak kira zaman macam mana pun, anak yang baik tetap datang dari didikan yang konsisten, penuh kasih, dan paling penting bermula dari mak ayah yang sedar peranan dia.
Kita pun tak sempurna, tapi kita boleh usaha sama-sama. Sebab anak-anak ni amanah, dan siapa tahu berkat didikan hari ni, esok-esok nanti… dia yang akan tolong kita masuk syurga.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kebanyakan warga kota berpusu-pusu memenuhi lebuhraya menuju ke destinasi kampung halaman. Balik raya membawa bayi dan kanak-kanak, ibu ayah mesti tahu caranya.
Perkongsian daripada Uswatun Hasanah, Konsultan Tangisan Bayi Malaysia ini boleh ibu bapa aplikasikan. Pengggunaan kerusi keselamatan atau car seat amat penting untuk mengurangkan risiko kecederaan seandainya berlaku kemalangan.
Namun, menurut Uswatun, ia penting kerana fitrah bayi dan kanak-kanak meniarap dan merangkak. Ibu bapa tidak boleh kedekut meluangkan sedikit masa, setiap dua jam untuk memberhentikan kenderaan dan mengeluarkan si manja sebentar bagi menikmati kelegaan tubuh.
5 INFO DAN TIP ‘TRAVEL’ JAUH DENGAN ANAK KECIL
#1: MEMASANG SUNSCREEN
Pasang ‘suncreen’ atau letak kain untuk elak silau yang buat anak tak selesa. Jika anak anda jenis yang mudah teruja dengan ransangan sekeliling dan sukar tidur akibat ini, menghalang pemandangan dengan cara begini boleh menyelesaikan hal ini. Lebih lagi, tahukah anda, bila retina mata menangkap jumlah cahaya yang kurang, pengeluaran hormon tidur iaitu Meletonin akan jadi lebih efektif.
#2: SEDIAKAN SLEEP PROP
Tiru semula cara tidur anak yang biasa seperti ketika tidur dirumah mengikut umur masing-masing. Cara tidur adalah peralatan tidur (sleep prop) sepertinya bantal, katil, selimut dan penutup mata untuk orang dewasa. Kita mendapatkan ‘sleep prop’ ini setiap kali mahu masuk tidur, bukan?
Maka, untuk anak kecil, misalnya jika anak biasa berbedung, bedunglah sebelum meletak anak didalam car seatnya. Jika anak biasa tidur ditemani ‘white noise’ , bawalah sumber bunyian tersebut contohnya patung berbunyi atau CD nya.
Sebahagian bayi merasa cukup dengan bunyi enjin kereta sedia ada. Jika anda menaiki kapal terbang, pilihlah tempat duduk berdekatan enjin untuk sumber bunyi. Jika anak mengguna buai? Biasanya hayunan dari gerakan kereta sudah memadai terutama bila anak di bedung dan dipasangkan ‘white noise’ secara serentak.
#3: MESTI TAHU PUNCA BAYI MENANGIS
Mengapa bayi resah dan menangis jika kereta berhenti di lampu merah atau bergerak amat perlahan akibat kesesakan?:
1. Kerana ‘matinya’ sensasi hayunan bila kereta berhenti bergerak. Sensasi hayunan tak kira dalam bentuk apa: dodoi, gendong, tepuk-tepuk dan buaian di gemari SEMUA kategori bayi kerana mereka telah kenal nikmat di hayun sejak di kendong rahim.
2. Cuaca yang panas (Malaysia ler tu..) menyumbang kepada kenaikan suhu kereta. Cermin tertutup memerangkap udara panas dan dalam masa yang sama bertindak sebagai konduktor haba. Pada suhu 27 darjah, 10 minit sudah cukup untuk menaikkan suhu ke paras bahaya.
Oleh kerana suhu badan anak kecil menaik 3 hingga 5 kali ganda lebih cepat dari orang dewasa, badan mereka akan berpeluh lebih banyak bila aliran darah ke kulit menambah. Berpeluh berlebihan meningkatkan dehidrasi malah memberi stress kepada jantung untuk mengepam darah lebih laju.
Ini adalah mengapa anak yang mula bahang dan kepanasan mula hilang sabar, hatta Bayi ‘easy going’, hatta bayi yang asalnya tak berbuai pun.
#4: PERHATIKAN ANAK TERTIDUR DALAM CAR SEAT
Adalah tidak selamat untuk membiar anak kecil lena di ‘car seat’ untuk tempoh begitu lama. Lebih kecil usia bayi anda, lebih besar risikonya. Beberapa kajian ulangan mendapati, kadar degupan jantung dan pernafasan bayi kecil mula meningkat selepas 30 minit berada didalam ‘car seat’ dan kadar oksigen dalam darah mula menurun.
Bayi kecil
Mengapa?. Ini kerana bayi kecil tiada kawalan otot kepala. Kedudukan kerusi yang condong 40 darjah dan posisi ‘terhimpit’ dalam car seat menyumbang kepada masalah pernafasan bebas dan lapang.
Kanak-kanak
Buat anak yang lebih besar, mereka tetap harus diperhatikan bila kepala mereka mula melentok ke dada. Berat kepala yang menekan dada boleh menyempitkan laluan udara lalu mencetus asphyxiation (lemas).
Sifir mudahnya: car seat untuk tujuan ‘traveling’ paling selamat, tetapi katil yang rata adalah tempat tidur paling selamat buat bayi, bukan ‘car seat’. Ini bukan sahaja benar untuk car seat, tetapi juga teraplikasi dengan sebarang bentuk sistem ‘traveling’ anak kecil termasuk kereta sorong. Keluarkan anak dari ‘car seat’ setiap sekurang-kurangnya 2 jam sebelum kembali meletakkan mereka di dalam ‘car seat’.
#5: SEDIAKAN MASA BERHENTI
Jangan kedekut masa untuk berhenti seketika ,beberapa kali bagi memberi ruang anak kecil ‘melonggarkan’ otot, menyedut udara segar, meredakan pemandangan dengan berlari, bergolek-golek, berbaring rata, meniarap dan sebagainya.
Adalah tidak realistik untuk memiliki misi sampai cepat ke destinasi dengan ‘memerangkap’ anak kecil berjam-jam malah mungkin berbelas jam dalam ruang tertutup yang bertentangan dengan fitrah mereka.
Kita sedia maklum semua kanak-kanak akan melalui satu fasa suka bertanya. Pelbagai pertanyaan boleh muncul sehingga boleh membuatkan kita sebagai ibu bapa hilang punca nak mencari jawapan.
Namun ada teknik untuk mengambil peluang dari sikap anak yang suka bertanya ini meneroka ilmu dengan lebih luas.
Teknik memupuk minat anak belajar semasa fasa ini ialah kita bertanya dan kita jawab sendiri soalan tu. Macam kita selalu cakap dengan peti ais tu kan.
Contohnya
“Tu apa ya?”
“Oo..ayam”
“Ayam makan apa tu”
“Ayam makan cacing”
Dari aktiviti santai ini sebenarnya anak akan banyak belajar kosa kata dan aktiviti yang berlalu di sekelilingnya.
Pada masa ini anak mula suka bertanya apa sahaja yang dia nampak. Kita cuba layan pertanyaan anak sebaik mungkin. Jangan remehkan soalan anak dan menjawab dengan tidak acuh kerana kita sedang merugikan potensi anak yang sedang berkembang.
Cuba untuk ringkaskan jawapan kepada soalan anak dengan cara yang mudah difahami. Apabila kita sering memberi pelbagai input kepada anak, anak akan lebih mudah memahami pelbagai perkara yang berlaku di sekitar mereka.
Hari demi hari, soalan anak akan semakin mencabar. Kita dapat merasakan anak sudah semakin mahir berfikir berdasarkan pengetahuan yang dia sudah ada. Jadi pada ketika ini kita boleh menukar teknik respon kepada soalan anak.
Setiap soalan anak yang sesuai untuk difikirkan jawapan, kita tanya kembali kepada anak.
Contoh
“Ibu, kenapa laut warna hitam waktu malam?”
“Adik rasa kenapa laut warna hitam waktu malam?”
“Sebab takda matahari kot”
Biasanya bila kita kembalikan soalan itu kepada anak, mereka sudah ada jawapan dalam kotak fikiran. Mereka bertanya sebab nak mengesahkan apa yang mereka tahu. Namun untuk melahirkan anak yang berfikiran kritis, kita perlu latih anak untuk mengeluarkan buah fikiran mereka.
Teknik ini sangat bagus kerana secara tidak langsung anak akan lebih seronok meneroka ilmu. Kita juga dapat menggunakan peluang itu untuk menambah pengetahuan anak dengan ilmu lain dan memuji kemampuan anak menjawab soalan.
Selain itu ia juga dapat mengurangkan kelelahan ibubapa menjawab soalan demi soalan anak-anak yang berturut-turut hingga boleh membawa keputusan idea unutk memberi jawapan.
Walau peringkat mana pun anak kita, sentiasalah berusaha memberi respon yang terbaik kepada soalan anak. Kerana dengan respon yang baik akan menambahkan keseronokan anak mencari ilmu pengetahuan seterusnya membantu mengembangkan potensi mereka ke tahap yang lebih baik.
Tip ajar anak umur 2 tahun bebas pakai lampin, boleh cuba cara ahli terapi cara kerja ini kongsi. Bukan mudah sebenarnya mengajar dan melatih anak-anak untuk bebas memakai lampin. Kesabaran yang tinggi amat diperlukan bagi memastikan anak-anak berjaya melakukannya dengan baik.
Tidak dapat dinafikan memang agak mencabar melatih anak-anak ‘melupakan’ lampin tidak kiralah lampin kain atau pun lampin pakai buang. Tidak semua anak-anak boleh melalui fasa latihan ini dengan cepat.
Ada banyak kebaikan kepada anak-anak yang sudah tidak lagi memakai lampin. Satu fasa penting dalam proses perkembangan anak-anak adalah latihan ke tandas. Perkembangan emosi dan sosial mereka akan menjadi lebih baik.
Hasil kajian yang telah diterbitkan di dalam Journal of Pediatric Urology pada tahun 2002, kebanyakan anak yang lewat bebas lampin akan meningkatkan risiko mendapat masalah mengawal pundi kencing. Untuk kesan jangka panjang pula mereka berisiko mengalami masalah usus.
Selalunya ibu bapa sudah boleh mula mengajar anak bebas lampin pada umur 2 hingga 3 tahun. Ada juga anak yang sudah menunjukkan kebolehan bebas lampin seawal 18 bulan. Untuk mengelakkan kejadian lantai basah, tilam basah atau bau hancing seluruh rumah, lebih baik ibu bapa tahu dahulu tanda-tanda anak sudah bersedia untuk bebas lampin:
1. Boleh duduk, berdiri dan melangkah anak tangga di tandas dengan sendiri.
2. Mempunyai skil motor dan koordinasi yang baik untuk membuka pintu sendiri.
3. Berminat untuk ke tandas dan proses di dalam tandas (duduk, ambil paip air atau tisu, flush)
4. Mahu mengikut sesiapa sahaja ke tandas untuk melihat proses di tandas.
5. Sudah mempunyai keupayaan untuk menahan kencing atau berak selama lebih kurang 2 jam.
6. Sudah pandai maklumkan mak ayah dengan bahasa tubuh atau beritahu nak “iyak”/ ‘pupu” atau ‘kencing/cing”.
7. Tidak minat lagi memakai lampin dan mahu membuka sendiri lampin selepas ‘membuang.’
8. Pandai mengikut arahan.
9. Mempunyai masa yang sama untuk ‘membuang’ seperti selepas bangun tidur atau selepas makan.
Tanda-tanda di atas juga boleh digunapakai untuk anak berkeperluan khas, cuma umur sahaja berbeza. Jika anak mempunyai tanda di atas, sudah tiba masanya ibu bapa mengajar anak-anak bebas daripada memakai lampin.
Ada banyak sangat cara untuk mengajar anak bebas lampin. Kalau ikut cara orang dulu-dulu ada yang buka sahaja baju anak. Jika hendak ‘membuang’ wajib beri tahu jika tidak, mereka akan didenda. Hasilnya dalam sehari dua, anak-anak tidak perlu lagi memakai lampin.
Berikut teknik yang selalu digunakan oleh ahli terapi cara kerja untuk anak berkeperluan khas, tetapi diolah sedikit untuk anak yang tipikal.
1. Pilih sama ada hendak melatih anak menggunakan tandas terus ataupun guna ‘potty’.
Kedua-duanya ada kebaikan dan keburukan. Jika ibu bapa rajin gunalah ‘potty’ mungkin agak kurang menyeramkan untuk anak, mudah dibawa dan selamat. Kalau malas hendak membasuh, gunalah tandas terus. Kalau ada duit lebih, belilah tempat duduk tandas kecil yang dilengkapi tangga.
2. Latih anak menggunakan bahasa tubuh seperti pegang perut sambil cakap “berak/iyak”, “kencing/cing”, “pee/poopoo”. Pilihlah satu perkataan paling sesuai dan sebut setiap kali menukar lampin. Tunjukkan najis pada anak setiap kali anak ‘membuang’ dalam lampin.
3. Cerita sosial (Social Story)
Ceritakan kenapa kita ke tandas, apa yang dilakukan, proses di tandas dan sebagainya. Ibu bapa boleh juga cerita dengan memggunakan patung kesukaan. Contohnya,
“Setiap pagi, selepas Didi bangun tidur. Didi akan pergi tandas untuk “iyak/poopoo”. Mula-mula Didi buka seluar, duduk di atas tandas dan meneran (sambil buat muka meneran). Abang nak jadi macam Didi tak?” Ibu bapa boleh bercerita mengikut kretiviti masing-masing sambil membuat ekspresi muka bagi menarik perhatian anak.
4. Perhatikan tingkahlaku anak sebelum ‘membuang’ contohnya resah gelisah, ke hulu k ehilir, menyorok di belakang almari atau duduk di sudut bilik.
5. Catat masa setiap kali anak ‘membuang’ selama seminggu sebelum latih anak. Selalunya anak sudah ada pola masa yang sama seperti waktu pagi selepas bangun tidur, tengahari selepas makan dan sebagainya.
6. Pastikan anak makan makanan berserat seperti buah dan sayur dengan mencukupi. Proses melatih jadi lebih sukar sekiranya anak sembelit.
7. Pakaikan lampin jenis seluar (diaper pant) dan seluar bergetah yang longgar supaya mudah untuk dibuka.
Semua tip ini boleh mula dilakukan ketika umur anak setahun ke atas sebagai persediaan bebas lampin.
Ibu bapa boleh melatih anak bebas memakai lampin apabila sudah ada jadual masa, potty dan seluar dalam anak. Berikut langkah-langkah yang boleh dilakukan.
Tahap pertama (masih memakai lampin)
1. Bawa anak ke tandas 10 minit sebelum sebelum jadual pola masa, terutamanya sejurus selepas bangun tidur, selepas makan dan sebelum tidur. Boleh juga bawa setiap 2 jam. Lebih kerap lagi bagus.
2. Tekan sedikit di bahagian pundi kencing di bahagian bawah perut anak semasa duduk di tandas dan ajar anak untuk meneran.
3. Puji anak setiap kali anak berjaya ‘membuang’ di dalam tandas.
4. Jika anak terlepas ‘membuang’ di dalam lampin, tunjukkan lampin basah kepada anak sambil menegaskan tidak boleh ‘membuang’ dalam lampin
5. Disarankan ibu bapa untuk fokus dan melatih anak-anak secara berterusan selama lebih kurang seminggu.
Tahap Dua (pakai waktu tidur sahaja)
1. Ibu bapa boleh mula pakaikan anak seluar dalam kesukaan mereka untuk menggantikan lampin.
2. Pakaikan lampin waktu tidur siang dan tidur malam sahaja.
3. Tunjuk anak lampin basah sekiranya dia terlepas.
4. Bawa anak ke tandas sejurus bangun tidur. Jadikan rutin harian.
Tahap Tiga (100% bebas lampin)
1. Boleh mula kurangkan memakai lampin pada waktu malam.
2. Letak alas katil kalis air supaya katil tidak tercemar dengan bau hancing.
Kunci utama untuk berjaya adalah kerapkan memuji anak. Pokok pun boleh mati kalau setiap hari kita datang marah-marah. Sabar, jangan terlalu memarahi anak sekiranya lambat kerana hendak berjaya perlukan masa, bukannya sekali ajar sudah pandai.
Ada yang seminggu sudah berjaya, ada yang sebulan malah ada yang setahun baru berjaya. Latihan ini perlu berterusan barulah cepat nampak kesannya. Kalau skip sehari buat, esok malas, mula balik tahun depan maka bertahunlah jawabnya.
Ketika melatih anak bebas lampin, jangan lupa untuk melatih skil urus diri seperti pakai baju dan seluar. Tak adalah sampai umur 6 tahun masih lagi ibu baoa perlu bukakan seluar dan jirus setiap kali anak hendak membuang,