Empat jenis ubat batuk yang diimport dari India didakwa menjadi punca kematian sekurang-kurangnya 70 bayi di Gambia akibat kegagalan buah pinggang tahun lalu.
Menteri Kesihatan, Dr Ahmadou Lamin Samateh, berkata terdapat kegagalan dalam pemeriksaan kawal selia dan import ubat, bermula produk tidak didaftarkan dengan Agensi Kawalan Perubatan (MCA) negara Afrika Barat itu.
Berikutan itu ketua MCA dipecat dan Samateh menyalahkan pegawai farmasi penyelia yang membenarkan pengimportan dadah tanpa pemeriksaan mencukupi.
Bermula pada September tahun lalu, Gambia mengarahkan penarikan balik beberapa ubat batuk dan selesema, serta semua produk yang dikeluarkan makmal Maiden Pharmaceuticals selepas kematian sekurang-kurangnya 70 bayi.
Negara itu kemudiannya mengharamkan semua produk daripada firma berkenaan.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ujian makmal mendapati sirup ubat batuk itu mengandungi dietilena glikol dan etilena glikol dalam ‘jumlah yang tidak boleh diterima’ yang biasanya digunakan sebagai antibeku dan boleh membawa maut apabila diminum.
Kesan toksik daripada bahan ini termasuk kecederaan buah pinggang akut yang boleh menyebabkan kematian,” kata agensi itu.
Ads
Pasukan petugas Gambia menyatakan keperluan mendesak untuk menubuhkan makmal kawalan kualiti bagi menjalankan ujian ke atas semua ubat yang diimport ke negara itu, yang mana WHO menyediakan sokongan untuk penubuhannya.
Samateh berkata ia turut mengesyorkan penambahbaikan kepada sistem perubatan negara termasuk mewujudkan sekolah farmasi dan peraturan lebih ketat mengenai ubat.
Kerajaan Gambia juga sedang meneliti untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pengeluar ubat dari India itu dalam usaha mendapatkan pampasan bagi mangsa.
Selepas skandal kesihatan, India melancarkan siasatan dan menutup kilang Maiden Pharmaceuticals pada Oktober.
Awal tahun ini, WHO mengumumkan gesaan untuk “tindakan segera dan terkoordinasi” untuk membasmi ubat yang tidak patuh dan dipalsukan, khususnya ubat batuk tercemar yang dikaitkan dengan kematian 300 kanak-kanak di Gambia, Indonesia dan Uzbekistan. – AFP
Tak kira sama ada ibu bagi anak minum susu formula atau susu ibu, penggunaan botol susu memang tak boleh dielakkan. Bila sudah menggunakan botol susu pastilah ia perlu dicuci dengan betul.
Tahukah ibu semua, kalau botol susu tidak dicuci betul ia boleh membiakkan bakteria yang menyebabkan pelbagai penyakit seperti sakit perut atau gastroenteritis. Ia sejenis penyakit yang boleh mengancam nyawa anak anda. Jangan main-main ya!
Jadi, ibu dan ayah jangan malas mencuci botol susu anak. Jangan disebabkan hendak cepat, anda hanya cuci botol susu dengan air paip sahaja. Pastikan ia betul-betul dicuci bersih menggunakan peralatan yang bersesuaian.Kemudian jangan malas untuk mensterilkan kesemua peralatan sebelum digunakan.
Peraturan ini mesti dipatuhi selagi anda memberikan anak susu menggunakan botol. Pada akhir penyusuan, bilas botol dan puting susu dan ketepikan.
Cara betul membasuh botol susu anak
1. Letakkan semua botol, puting susu, penutup, gegelang penahan, cakera yang telah dibilas ke dalam air sabun panas. Basuh dengan sempurna supaya kesan susu ditanggalkan. Lakukan proses ini secepat mungkin selepas penyusuan, sebelum susu boleh mengering.
2. Gosok bahagian dalam botol tersebut dengan berus botol untuk mengasingkan semua kesan susu. Gosok dengan cermat di sekeliling leher botol serta jalur skrunya. Hati-hati ketika mencuci puting susu untuk memastikan semua ketulan susu betul-betul tanggal.
3. Sapukan garam di bahagian dalam puting susu dan gerakkan ke sekeliling dengan cara memicit dan mengurut hujungnya. Cara ini membantu mengikis dan mengasingkan kesan susu.
4. Bilas botol, puting susu dan peralatan lain dengan sempurna di bawah air yang mengalir. Anda juga boleh gunakan pin untuk membersihkan lubang-lubang pada puting susu.
5. Periksa puting dan botol dengan baik dan buangkan ia jika sudah retak, rekah dan pecah. Bakteria boleh membiak di permukaan yang rosak dan terus bertahan hidup walaupun sudah melalui proses penbersihan dan pensterilan.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Dah sehabis baik mummy jaga kandungan kali ini, namun Allah juga lebih mengetahuinya. Mummy reda sayang..” Walaupun dah hampir sebulan pemergian anak syurga ketika usia kandungan 24 minggu, Puan Shahirah Ruslan akui masih sukar untuk lupakan segala kenangan ini.
Menerusi perkongsiannya di Kelab Ibu Hamil & Bersalin Malaysia, pemergian cahaya mata keduanya iaitu Nur Aufa Eryna Binti Muhammad Akmal Faris selepas dilahirkan ketika kandungan cukup-cukup 6 bulan memang tak disangka sama sekali.
Rasa sakit perut, air ketuban pecah
4 Februari mummy dah rasa perut tak sedap, nak bangun tapi tak berani. Bila papa sampai rumah dan mummy berdiri terus air ketuban pecah. Banyak sangat air keluar sampai boleh kata banjir juga la ruang tamu.
Papa telefon ambulans cakap isteri leaking. Mummy gerak ke hospital naik ambulans dengan sakit contraction 2/10. Sampai sahaja hospital terus masuk dewan bersalin. Jalan dah buka 4cm tapi mummy dah tak rasa sakit.
Mummy duduk dalam dewan bersalin dari pukul 2 sampai 6 petang. Mummy tetap tak ada rasa contraction dan tanda-tanda nak bersalin. Pukul 6 doktor pindah dari dewan bersalin ke wad biasa untuk pemerhatian. Bermulalah mummy kena cucuk antibiotik dengan dexa. Dexa mummy sempat dapat dua dose sahaja untuk adik.
Dah rasa kaki baby dekat laluan
6 Februari, pagi tu mummy rasa sakit bawah perut. Rasa macam ada gerak-gerak dekat laluan mummy tu. Mummy panggil doktor, doktor kata dah 5cm dekat 6cm. Dah rasa kaki bayi dekat laluan tu. Allahukbar nasib mummy tak bangun pergi kencing. Kalau tak mesti adik jatuh dah.
Pukul 8 pagi mummy ditolak masuk ke dewan bersalin dan naik terus atas katil sebab memang tak boleh nak bangun apa. Mummy sakit dan kaki baby pun dah keluar dari laluan. Mummy teran banyak kali sampai adik keluar.
Masa lahir baby tak menangis tetapi buka mata
Kongsi Shahirah lagi, dia sedar semasa anak perempuannya itu dilahirkan, bayi tersebut tidak menangis dan hanya bergerak. Tambahnya, anaknya juga turut membuka mata. Berat bayi ketika lahir hanya 580 gram sahaja dan dia melahirkan bayi tersebut tepat 24 minggu.
“Allahuakbar, kecilnya kamu sayang”
Pukul 8.15 adik dilahirkan. Doktor tarik uri tapi tali pusat terputus dan tertinggal dekat dalam. Doktor korek untuk keluarkan uri dan masa ini mummy sangat sakit. Lepastu doktor cakap puan kami bagi ubat tidur dulu sebab kami nak keluarkan uri yang tersangkut dekat dalam. Yang mummy ingat doktor suruh tanda tangan surat sebelum mummy tak ingat apa dah.
Sedar-sedar, mummy sudah di atas katik wad biasa dengan jarum kiri kanan. Pada pukul 9 malam, papa datang dekat mummy. Kebetulan doktor nicu telefon dan beritahu papa dan mummy boleh tengok adik. Papa terus pergi ambil kerusi roda dan bawa mummy naik atas. Allahuakhbar kecilnya kamu sayang. Mummy sampai dekat awak, awak tengah buka mata. Good girl anak mummy papa sorang ni.
Papa sempat iqamat
Semasa berada di nicu, Shahirah memberitahu bahawa suaminya sempat iqamat kan anak mereka dan doktor masih belum memberitahu lagi mengenai anak syurganya itu. Keesokan harinya, dia diberitahu bahawa sudah boleh pulang ke rumah. Namun, sebagai seorang ibu dia berasa risau untuk meninggalkan anak syurganya itu. Lebih-lebih lagi, anak kecil itu sedang bertarung nyawa di nicu.
Buah pinggang rosak
Ujarnya lagi, sebelum pulang ke rumah, doktor telah meminta untuk berjumpa dengan mereka berdua. Pada waktu itu, doktor telah memaklumkan bahawa buah pinggang anak mereka telah rosak. Manakala, keadaan jantung dan paru-paru masih lagi baik. Jelas doktor lagi, mereka tidak tahu berapa lama bayi tersebut mampu bertahan.
“Doktor beritahu, jantung adik terhenti”
Selepas berjumpa dengan doktor, mummy dan papa pulang ke rumah. Pada waktu 10.30 malam pula, doktor memberitahu bahawa adik sudah tenat. Papa dan mummy terus ke hospital. Doktor cakap jantung adik terhenti masa Maghrib tadi. Doktor dah buat CPR dan adik kembali macam biasa. Malam itu mummy duduk di hospital. Doktor cakap walau apa jua yang jadi mummy dan papa kena terima dengan redha. Masa ni mummy dah tak keruan. Tapi mummy tengok adik macam tengah sakit dan adik bernafas ada keluar darah-darah dekat wayar pernafasan masa tu. Tak sanggup mummy tengok adik sakit.
Mummy cakap dekat doktor andai kata terjadi sekali lagi jantung adik terhenti, doktor janganlah buat cpr. Sebab memamng mummy tak sanggup tengok tubuh anak mummy sebesar botol air mineral itu ditekan-tekan di dada untuk buat cpr. Cukuplah sekali itu sahaja.
Hilang segala kesakitan adik, pergilah mummy reda
Pada 8 Februari, Shahirah memberitahu bahawa anaknya sudah berada dalam keadaan yang sangat teruk dan tenat. Doktor telah memberikan oksigen ventilator kepada anaknya. Namun, keadaan pendarahan dalam otak anaknya sudah berada di tahap yang ketiga.
Pukul 3 petang macam itu, mummy perasan jururawat masukkan buku pink, pampers dalam plastik. Mummy rasa tak sedap hati. Berat jari kaki mummy nak melangkah masuk ke dalam. Masa jururawat suruh mummy duduk, mummy nampak mereka dah balut adik dengan kain putih. Allahuakhbar, mummy lambat sampai dekat adik. Adik hembuskan nafas sebelum mummy sempat jumpa adik. Maafkan mummy.
Alhamdulillah urusan pengebumian anak syurga mummy telah dipermudahkan. Sebelum itu, mummy pegang adik, cium adik puas-puas sebab itulah kali pertama dan terakhir mummy boleh pegang adik..Terima kasih sayang kuat untuk mummy sampai adik hembuskan nafas terakhir.
**Dapatkan kelengkapan anak pada harga istimewa, klik sini
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tiada yang lebih menggembirakan setiap pasangan selain menyambut kedatangan ahli keluarga baharu. Pengacara dan penyampai berita, Shahril Sarapudin berkongsi berita gembira itu di Instagram miliknya. Dia memaklumkan bahawa isterinya itu telah selamat melahirkan cahaya mata ketiga mereka pada Khamis yang lalu.
Dalam entri terbarunya, Shahril berkongsi gambar bayinya yang dilahirkan dengan berat 3.4kg dengan kapsyen memanjatkan kesyukuran kepada Ilahi atas kurnianNYA.
Sempat juga dia menitipkan ucapan terima kasih buat isteri tercinta atas pergorbanan yang melahirkan anak mereka itu.
“Alhamdulillah. Syukur padamu Ya Allah.
“Puteri kami seberat 3.4kg selamat dilahirkan.
“Buat isteriku tercinta… terima kasih atas pengorbanan yang tak terhingga ini.
Dalam pada itu, Shahril juga mengucapkan terima kasih kepada keluarga dan sahabat atas kiriman doa buat isterinya. Dia juga memohon agar mendoakan bayi mereka yang baru dilahirkan agar membesar menjadi insan yang berguna untuk agama dan negara.
Dalam ruangan komen, rata-rata pengikutnya memberikan ucapan tahniah selain turut mendoakan semoga bayi Shahril membesar menjadi anak yang solehah.
Shahril dan isterinya, Souzul Fazlina telah selamat disatukan pada Januari 2013. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata sebelum ini. Bayi perempuan yang baru dilahirkan pada Khamis lalu merupakan anak ketiga kepada pasangan ini.
Tahniah diucapkan kepada Shahril dan isteri. Semoga dengan kehadiran puteri barunya ini akan menambahkan lagi kebahagiaan dan keceriaan keluarga mereka.
Kenali Dr Mohammed Taufiq Johari, Menteri Belia dan Sukan termuda Malaysia yang baru bergelar ayah. Usia muda, latar belakang perubatan dan nilai kekeluargaan menjadikan beliau simbol kepimpinan generasi baharu.