Ads

Alahan Ubat Pada Anak, Ini Tanda Bahaya Penting Mak Ayah Perlu Tahu!

Alahan Ubat Pada Anak

Bila anak mula mengalami ruam, gatal-gatal atau muntah selepas mengambil ubat, perkara pertama yang mungkin terlintas di fikiran ibu ayah ialah, “Anak aku alah ubat ke?”

Situasi ini memang boleh membuatkan ibu ayah panik, lebih-lebih lagi apabila ia berlaku buat kali pertama. Namun, tidak semua perubahan yang berlaku selepas mengambil ubat bermaksud berlaku alahan ubat pada anak.

Ada simptom yang merupakan kesan sampingan biasa ubat, ada yang berpunca daripada penyakit atau jangkitan yang sedang dialami anak dan ada juga yang benar-benar disebabkan oleh tindak balas alahan.

Sebab itu ibu ayah perlu tahu membezakan tanda-tandanya dan paling penting, jangan terus membuat kesimpulan sendiri.

Alahan Ubat Pada Anak

Apa Sebenarnya Alahan Ubat Pada Anak?

Alahan ubat berlaku apabila sistem imun badan tersalah mengenal pasti sesuatu ubat sebagai bahan yang berbahaya lalu menghasilkan tindak balas terhadapnya.

Ia berbeza dengan kesan sampingan ubat. Sebagai contoh, sesetengah antibiotik boleh menyebabkan cirit-birit atau ketidakselesaan perut sebagai kesan sampingan dan keadaan itu tidak semestinya bermaksud seseorang itu alah terhadap antibiotik berkenaan. Menurut American Academy of Allergy, Asthma & Immunology (AAAAI), hanya sebahagian kecil daripada tindak balas buruk terhadap ubat benar-benar disebabkan oleh alahan.

Antara Tanda Alahan Ubat Pada Anak

Reaksi setiap kanak-kanak boleh berbeza bergantung kepada jenis ubat dan tindak balas tubuh mereka.

Antara simptom yang sering dikaitkan dengan alahan ubat ialah:

  • Ruam pada kulit
  • Gegata atau urtikaria
  • Kulit terasa gatal
  • Bengkak pada muka, bibir atau anggota badan
  • Mata berair atau gatal
  • Hidung berair
  • Bunyi nafas berbunyi atau wheezing
  • Sukar bernafas
  • Demam

Dalam sesetengah tindak balas alahan yang serius, anak juga boleh mengalami muntah, cirit-birit, pening atau tekanan darah menurun.

Namun, simptom seperti muntah atau cirit-birit sahaja tidak cukup untuk menentukan bahawa anak benar-benar mempunyai alahan ubat kerana ia juga boleh berlaku sebagai kesan sampingan sesuatu ubat atau akibat penyakit yang sedang dialami.

Ads

Alahan Ubat Pada Anak

Alahan Tak Semestinya Muncul Terus Selepas Makan Ubat

Satu lagi perkara penting yang ibu ayah perlu tahu ialah masa tindak balas alahan ubat pada anak boleh berbeza.

Reaksi alahan jenis segera biasanya boleh muncul dalam tempoh beberapa minit hingga beberapa jam selepas ubat diambil. Tanda-tandanya boleh termasuk gegata, bengkak, masalah pernafasan atau anafilaksis.

Tetapi ada juga tindak balas yang muncul lebih lambat. Sesetengah ruam akibat ubat contohnya boleh berlaku beberapa jam, beberapa hari malah beberapa minggu selepas seseorang mula mengambil ubat tertentu.

Jadi, anggapan bahawa alahan ubat mesti berlaku dalam tempoh satu atau dua jam selepas anak mengambil ubat sebenarnya tidak tepat untuk semua jenis tindak balas.

Bila Ibu Ayah Perlu Bertindak Segera?

Jika anak tiba-tiba mengalami kesukaran bernafas, muka atau tekak membengkak, menjadi sangat lemah, pening, pengsan atau mengalami tanda tindak balas serius selepas mengambil ubat, jangan tunggu di rumah.

Ia mungkin merupakan anafilaksis, iaitu tindak balas alahan yang boleh mengancam nyawa dan memerlukan rawatan kecemasan dengan segera.

Ads

Bagi simptom yang lebih ringan seperti ruam atau gatal-gatal, hubungi doktor yang merawat anak secepat mungkin dan maklumkan ubat yang diambil, waktu dos terakhir diberikan serta bila simptom mula muncul.

Jangan membuat keputusan sendiri untuk melabel anak sebagai mempunyai alahan terhadap sesuatu ubat tanpa penilaian doktor.

Ruam Lepas Antibiotik Belum Tentu Alahan

Perkara ini cukup penting kerana kanak-kanak sering diberikan antibiotik seperti daripada kumpulan penicillin apabila rawatan tersebut benar-benar diperlukan.

Dalam kalangan kanak-kanak, ruam yang timbul ketika mengambil antibiotik kadangkala berpunca daripada jangkitan virus yang sedang berlaku, bukannya alahan terhadap antibiotik itu sendiri. American Academy of Pediatrics turut menjelaskan bahawa banyak simptom kulit yang dianggap sebagai alahan antibiotik pada kanak-kanak mungkin sebenarnya berkaitan jangkitan virus atau interaksi antara ubat dengan virus.

Malah, satu kajian melibatkan 100 kanak-kanak yang mempunyai sejarah simptom berisiko rendah dan dilabel mempunyai alahan penicillin mendapati kesemua mereka mendapat keputusan negatif selepas menjalani penilaian alahan.

Ini tidak bermaksud semua alahan ubat adalah salah diagnosis, tetapi ia menunjukkan betapa pentingnya mendapatkan pengesahan sebelum sesuatu label alahan diletakkan pada rekod kesihatan anak.

Alahan Ubat Pada Anak

Ads

Apa Maklumat Yang Ibu Ayah Patut Catat?

Jika anak menunjukkan sesuatu reaksi selepas mengambil ubat, cuba ingat atau catat:

  • Nama ubat yang diberikan
  • Dos ubat
  • Waktu ubat diambil
  • Berapa lama selepas itu simptom muncul
  • Bentuk ruam atau bahagian badan yang terlibat
  • Sama ada anak mengalami bengkak atau kesukaran bernafas
  • Berapa lama simptom berlarutan
  • Ubat lain yang turut diambil pada waktu tersebut

Jika ruam muncul, ibu ayah juga boleh mengambil gambar untuk ditunjukkan kepada doktor ketika pemeriksaan. Maklumat mengenai masa dan jenis tindak balas merupakan antara perkara penting yang digunakan doktor untuk menilai kemungkinan alahan ubat pada anak.

Jangan Buat Diagnosis Sendiri

Melihat anak mengalami ruam selepas mengambil ubat memang boleh membuatkan ibu ayah risau. Namun jangan terus menganggap semua simptom adalah tanda alahan dan pada masa yang sama, jangan pula mengabaikan tanda yang luar biasa.

Jika terdapat tindak balas yang merisaukan, dapatkan penilaian doktor. Bagi kes tertentu, doktor atau pakar alahan boleh melakukan penilaian lanjut untuk menentukan sama ada anak benar-benar mempunyai alahan terhadap ubat berkenaan.

Label alahan yang tepat bukan sekadar penting untuk rawatan hari ini, tetapi juga membantu doktor memilih ubat yang paling sesuai dan selamat untuk anak pada masa hadapan.

Pesanan buat ibu ayah: Setiap kali anak mendapat ubat baharu, perhatikan keadaannya selepas pengambilan. Kenali tanda bahaya, simpan rekod sekiranya berlaku reaksi dan jangan teragak-agak mendapatkan bantuan perubatan jika keadaan anak membimbangkan.

Baca lagi: MamaKerja2026: Ibu Bekerja Selangor Layak Mohon Insentif RM1,000 Mulai Ogos!

Sekat Video Indonesia Di Youtube, 7 Cara Berkesan Elak Anak Terpengaruh Bahasa Indonesia

MamaKerja2026 Dibuka 17 Ogos Ini, Ibu Bekerja Selangor Dapat RM1,000! 

Sumber: Hello Doktor

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download sekarang!

KLIK DI SEENI
Ads

Untuk Papa Mama

Elak Cyst Jadi Serius Masa Hamil

Elak Cyst Jadi Serius Masa Hamil, Pakar Dedah 8 Larangan Penting!

Walaupun tidak sampai menyebabkan berlakunya kanser ovari, namun begitu pengalaman kehamilan dengan cyst bersama bayi sememangnya amat mengganggu emosi ibu hamil.