
Ibu Bapa toksik bukan sekadar tentang ibu ayah yang garang. Ada tingkah laku tertentu yang mungkin dilakukan tanpa sedar dan apabila berulang, ia boleh melukakan emosi anak serta menjejaskan keyakinan dirinya.
Menjadi ibu ayah bukan sesuatu yang mudah. Ada hari kita terlalu penat sehingga terlepas marah, tersalah cakap atau membuat keputusan yang kemudian kita sendiri rasa menyesal.
Kesilapan sesekali tidak bermaksud seseorang itu terus menjadi ibu atau ayah yang “toksik”. Namun, apabila tingkah laku tertentu dilakukan secara berulang sehingga anak selalu berasa takut, malu, tertekan atau meragui dirinya sendiri, ia boleh memberi kesan kepada emosi dan keyakinan anak.
Menurut perkongsian beberapa ahli psikologi dan terapis, toxic parenting lebih merujuk kepada corak tingkah laku berulang yang menyakitkan dan berpotensi menjejaskan kesejahteraan anak. Ia boleh membuatkan anak berasa tidak selamat, cemas serta memberi kesan psikologi yang berpanjangan.
Jadi, cuba semak beberapa tabiat ini. Mungkin ada yang dilakukan tanpa ibu ayah sendiri sedari.
Artikel Trending: Nahas Helikopter FDS: Luahan Pilu Isteri Juruterbang, “Doakan Saya Dan Anak-Anak”
Artikel trending: “Saya Takut Bila Ada Anak Sendiri, Hati Saya Akan Berubah” Madammu Kongsi Dilema Besarkan 3 Anak Tiri
Artikel viral: Lebih 25 Manfaat Bila Ada Kad OKU Untuk Anak Disleksia, Autisme Dan ADHD, Ibu Ayah Jangan Malu Daftar!
Artikel: Pelajar 12 Tahun Meninggal Mengejut Selepas Latihan Silat, Mengadu Sakit Kepala Sebelum Rebah
9 Tabiat Ibu Bapa Toksik Yang Ibu Ayah Mungkin Tidak Sedar

1. Mahu Tentukan Semua Jalan Hidup Anak
Sebagai ibu ayah, sudah tentu kita mahu anak berjaya. Sebab itulah ada yang mahu menentukan sekolah, bidang pelajaran, sukan, aktiviti kokurikulum malah cita-cita anak.
Namun anak juga mempunyai minat, kebolehan dan perjalanan hidupnya sendiri.
Memberikan ruang kepada anak untuk membuat pilihan serta belajar daripada kesilapan penting dalam membantu mereka membina sifat berdikari dan keyakinan diri. Ibu ayah masih boleh memberi panduan, cuma elakkan terlalu mengawal setiap keputusan mereka.
2. Meminta Anak Memilih Antara Ibu Atau Ayah
“Adik sayang mama ke papa?”
Ayat ini mungkin kedengaran seperti gurauan, tetapi menjadi lebih berat apabila anak benar-benar dipaksa memilih pihak ketika ibu dan ayah sedang bergaduh atau melalui konflik rumah tangga.
Anak tidak sepatutnya menjadi orang tengah dalam masalah orang dewasa. Melibatkan anak dalam konflik ibu bapa boleh membuatkan mereka berasa bersalah dan cemas.
Walau apa pun masalah antara pasangan, cuba elakkan memburukkan pasangan di hadapan anak atau meminta anak menyebelahi salah seorang.
3. Menafikan Perasaan Anak
Anak menangis kerana sesuatu perkara tetapi kita terus berkata:
“Tak ada apa pun.”
“Jangan mengada-ngada.”
“Adik terlalu sensitif.”
Apabila perasaan atau pengalaman anak berulang kali dinafikan, mereka mungkin mula meragui apa yang mereka rasa.
Menurut ahli psikologi Cynthia Edwards-Hawver, tindakan sentiasa menolak atau memutarbelitkan pengalaman anak boleh menyebabkan anak keliru tentang perasaan sendiri dan sukar mempercayai dirinya.
Tidak semestinya ibu ayah perlu bersetuju dengan semua perkara. Cukup mulakan dengan mendengar dan mengakui emosi mereka. Dalam konteks toxic parenting, penafian emosi yang berlaku secara berulang boleh menjadi antara corak yang perlu diberi perhatian.
4. Terlalu Mengawal Anak
Ada beza antara melindungi dengan mengawal.
Contohnya, ibu ayah mahu tahu setiap perkara yang dilakukan anak, menentukan siapa mereka boleh berkawan, memeriksa setiap pergerakan atau mahu mengawal hampir semua keputusan masa depan mereka.
Sikap terlalu mengawal kadang-kadang berpunca daripada kebimbangan ibu ayah sendiri. Namun kesannya boleh menjadi sebaliknya apabila anak mula menjauh atau memilih untuk menyembunyikan sesuatu daripada ibu ayah.
5. Menggunakan Rasa Bersalah Untuk Mengawal Anak
“Selepas semua mama buat untuk kamu, kamu buat mama macam ni?”
Ayat sebegini boleh menyebabkan anak membuat keputusan kerana rasa bersalah, bukan kerana mereka benar-benar memahami sesuatu perkara.
Menggunakan rasa bersalah untuk mengawal pilihan anak juga boleh membuatkan mereka takut membuat keputusan sendiri. Lebih membimbangkan, anak mungkin mula membuat keputusan secara senyap supaya ibu ayah tidak tahu.
Lebih baik terangkan sebab sesuatu perkara tidak dibenarkan dan ajar anak memahami akibat daripada pilihan mereka. Apabila rasa bersalah digunakan berulang kali sebagai alat untuk mengawal anak, ia boleh menjadi salah satu bentuk toxic parenting yang menjejaskan hubungan ibu ayah dan anak.
6. Tidak Mengawal Emosi Sendiri
Penat menguruskan anak memang boleh membuatkan emosi ibu ayah mudah meletup.
Namun jika anak sentiasa perlu berjaga-jaga kerana takut ibu atau ayah tiba-tiba mengamuk, menengking, mendiamkan diri atau menjauhkan kasih sayang apabila marah, keadaan itu boleh menjejaskan rasa selamat mereka.
Kanak-kanak memerlukan kestabilan emosi daripada penjaga untuk membantu mereka berasa selamat dan belajar menguruskan emosi sendiri.
7. Selalu Mengulas Bentuk Badan Atau Cara Anak Makan
“Kenapa makin berisi?”
“Cantiknya bila kurus macam ni.”
Walaupun niat ibu ayah mungkin sekadar bergurau atau memuji, terlalu banyak memberi perhatian kepada berat dan bentuk badan boleh menyebabkan anak merasakan nilai dirinya bergantung kepada penampilan.
Begitu juga menjeling atau memberikan komen apabila anak mahu menambah makanan. Lama-kelamaan, perbuatan ini boleh menyumbang kepada masalah imej tubuh dan hubungan yang tidak sihat dengan makanan.
Lebih baik fokus kepada kesihatan, tenaga dan amalan hidup sihat berbanding nombor pada penimbang. Komen tentang tubuh yang dilakukan secara berulang sehingga membuatkan anak malu atau rendah diri juga wajar diperhatikan apabila membincangkan toxic parenting.
8. Tidak Menghormati Batas Privasi Anak
Hubungan rapat dengan anak memang penting tetapi mereka juga perlukan sempadan yang sihat.
Antara contoh masalah batas ialah berkongsi terlalu banyak masalah peribadi orang dewasa kepada anak, terlalu mencampuri kehidupan mereka atau langsung tidak memberikan ruang privasi.
Masalah sempadan seperti ini boleh menyebabkan anak terlalu bergantung kepada ibu ayah atau sebaliknya memilih untuk menjauh kerana berasa terlalu dikawal.
9. Membuat Anak Rasa Kehadirannya Menyusahkan
“Kamu masuk saja semua orang stres.”
“Kamu memang buat suasana jadi serabut.”
Ayat seperti ini bukan lagi menegur perbuatan tetapi seolah-olah menyerang diri anak.
Apabila perkara sebegini selalu didengar, anak boleh mula mempercayai bahawa kehadiran mereka adalah satu beban dan orang lain tidak suka apabila mereka berada di sekeliling.
Tegurlah tingkah laku, bukan menghukum personaliti anak. Corak kata-kata yang berulang sehingga membuatkan anak merasakan dirinya tidak disukai boleh meninggalkan kesan emosi yang lebih mendalam.
Artikel Trending: Kemas Kini Mykad Atau Berisiko Didenda RM20,000, Ini Ibu Ayah Kena Ambil Peduli Bila Pindah Rumah
Baca lagi: Ramai Salah Faham! Bantuan Kanak-Kanak JKM Bukan Terus Dapat RM1,000 Sebulan,Ini Cara Kiraannya
Ibu Bapa Toksik : Sedar Kesilapan Bukan Bermaksud Kita Ibu Ayah Yang Gagal
Jika selepas membaca senarai ini ibu ayah teringat pernah melakukan beberapa perkara di atas, jangan terus melabel diri sendiri.
Perkara paling penting ialah menyedarinya dan berusaha mengubah cara kita berinteraksi dengan anak.
Menurut ahli terapi yang dipetik dalam rujukan tersebut, kesedaran bahawa sesuatu tingkah laku mungkin tidak sihat sebenarnya merupakan langkah pertama untuk berubah. Ibu ayah juga boleh cuba memahami punca tingkah laku tersebut, mengenal pasti perkara yang mencetuskan emosi dan mendapatkan bantuan profesional jika perlu.
Jika pernah tersilap, tidak salah meminta maaf kepada anak.
Cukup katakan, “Mama minta maaf sebab mama cakap kasar tadi. Mama marah dengan apa yang berlaku, bukan sebab mama tak sayang kamu.”
Memahami toxic parenting bukan bertujuan untuk melabel setiap kesilapan ibu ayah sebagai toksik. Sebaliknya, ia membantu kita mengenal pasti corak tingkah laku yang berulang dan melihat semula bagaimana kata-kata serta tindakan kita boleh mempengaruhi emosi anak.
Ibu ayah tidak perlu menjadi sempurna. Tetapi kita boleh belajar menjadi lebih sedar dengan kata-kata, emosi dan tindakan sendiri kerana rumah sepatutnya menjadi tempat anak berasa paling selamat, diterima dan disayangi.
Sumber: talkspace.com
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!

