
Dalam kita menanti Syawal tahun ini, penyanyi dan pengacara, Alif Satar lebih merasa teruja kerana bakal menyambut kelahiran anak keempatnya pada hari raya kedua nanti.
Kongsi Alif, isterinya yang kini sarat hamil dijangka bakal melahirkan anak keempat secara pembedahan pada Hari Raya kedua nanti.
Tambah Alif yang bakal menyambut bayi perempuan, kehadiran ahli baharu dalam keluarga mereka bakal menambah lagi kemeriahan raya kali ini.
Ujarnya lagi, ketiga-tiga anaknya juga begitu teruja untuk menyambut kehadiran adik baru mereka.
“Alhamdulillah, saya rasa gembira sangat nak sambut baby baru. Ketiga-tiga anak saya pun semakin membesar, mereka juga tidak sabar menantikan kelahiran adik baru.
“Sepanjang bulan Ramadan ini ada dua soalan yang mereka selalu tanya pada saya dan isteri, iaitu pukul berapa waktu berbuka dan bayi dalam kandungan sudah besar mana?
“Hanya dua soalan ini sahaja mereka ulang-ulang tanya pada saya.
“Saya tengok anak-anak pun sangat excited untuk tahu bila adik baru mereka dilahirkan dan berapa umur bayi itu sekarang,” ujar Alif berkongsi.
Keterujaan anak-anaknya menjadikan suasana Ramadan dan persiapan Syawal tahun ini terasa lebih bermakna.
Tambah Alif lagi, dia sudah pun mula membiasakan diri dengan rutin berjaga malam beberapa bulan lalu sebagai persediaan awal menyambut kelahiran bayi.
“Alhamdulillah, kandungan berada dalam keadaan sihat. Isteri saya pun dapat berpuasa sepanjang bulan Ramadan ini, dia juga tetap bangun sahur dan masak untuk kami sekeluarga,” kongsinya lagi.
Menurut Alif, pengalaman menyambut kelahiran sebelum ini banyak membantu dirinya dan isteri membuat persiapan yang lebih tenang. Namun begitu, setiap kelahiran tetap membawa rasa berdebar yang tersendiri, lebih-lebih lagi apabila kelahiran kali ini di musim perayaan.
Alif menambah, mereka juga merancang untuk beraya seperti biasa pada satu Syawal nanti.
“Pada sebelah siang, insya-ALLAH kami akan beraya seperti biasa. Pada petangnya pula, isteri saya akan daftar masuk ke hospital dan kalau tiada sebarang halangan, mungkin pada waktu subuh hari raya kedua bayi kami akan dilahirkan.
“Tetapi, ini perancangan sahaja kerana semuanya atas ketentuan ALLAH. Kalau DIA kata satu dua hari lagi anak akan lahir, saya pun tak boleh nak kata apa,” jelasnya lagi.
Terdahulu, Alif Satar dan isterinya, Shadila Halid mendirikan rumah tangga sejak September 2014. Pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Alisha Anugerah, Ariana Mecca, dan Muhammad Ali