
Sebuah insiden ngeri melibatkan sebuah bas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berlaku pagi Isnin di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) apabila bas tersebut merempuh belakang Perodua Alza yang dipandu oleh seorang guru Pendidikan Islam, Mohd Lutfi Radzi, 37 tahun.
Akibat rempuhan itu, isteri beliau Nurul Ain Zakaria, 35 tahun, mengalami patah lima tulang rusuk, manakala anak mereka yang berusia 6 tahun cedera di lutut. Lebih menyayat hati, anak bongsu mereka berumur dua tahun tercampak keluar dari kenderaan akibat impak kuat kemalangan.
Mohd Lutfi yang memandu Alza dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan, dan semua ahli keluarganya kini sedang menerima rawatan di Hospital Baling.
Siasatan awal mendapati bas yang membawa pelajar UPSI dari Terengganu ke Tanjung Malim dipercayai dipandu laju dan hilang kawalan, lalu melanggar belakang Alza sebelum terbabas ke pembahagi jalan.
Kemalangan tersebut turut mengorbankan 15 pelajar UPSI, manakala 27 yang lain cedera dan sedang dirawat di Hospital Gerik. Pemandu dan kelindan bas juga dilaporkan mengalami kecederaan.
Sumber: Sinar Harian