
Muhammad Afiq Rizqin
Kes bayi Muhammad Afiq Rizqin yang meragut nyawa seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan ini bukan sahaja mengejutkan negara malah mencalar hati seluruh ibu bapa. Bayi kecil yang sepatutnya dilindungi, dibelai dan dijaga penuh kasih sayang menjadi mangsa kerakusan manusia bertopengkan syaitan.
Lebih memilukan, kejadian berlaku di rumah pengasuh, tempat yang sepatutnya menjadi ruang paling selamat buat anak kecil ketika ibu bapa keluar bekerja.
Empat tahun lamanya si ibu, Robiatul’ Adawiah Aziz, menunggu keputusan mahkamah dengan penuh sabar. Namun, luka yang ditinggalkan tidak pernah sembuh. Pada hari keputusan dibacakan, segala perasaan yang dipendam selama ini akhirnya terluah.
“Apabila aku dengar DPP bagitahu terdapat kesan air mani di dalam dubur anak aku… YA ALLAH gelapnya dunia. Tergamak kau buat anak aku yang baru 9 bulan. Kau tak layak dipanggil manusia! Kau memang binatang!”
Demikian luahan ibu yang tidak mampu menahan sebak saat membaca fakta kes yang meragut seluruh dunianya. Si kecil ini dipercayai diliwat sehingga mengalami kecederaan serius sebelum akhirnya meninggal dunia. Tragedi yang tidak mungkin dimaafkan atau dilupakan.
Dalam coretan yang dimuat naik di media sosial, Robiatul’ Adawiah menegaskan bahawa tiada maaf untuk tertuduh, Mohamed Badruldin Mohamed, 40, yang akhirnya mengaku bersalah.
“Setelah 4 tahun aku menunggu keputusan, hari ini kau dijatuhkan hukuman.
Aku tahu Ida (pengasuh), kau akan baca ini. Aku tak akan maafkan kau dan Bad. Kau ingat kau ada anak. Karma itu pasti ada.”
Ayat-ayat itu membuktikan betapa dalamnya luka seorang ibu yang kehilangan anak kecilnya akibat perbuatan tidak berperikemanusiaan.
Hasil bedah siasat mengesahkan terdapat kesan kecederaan akibat objek tumpul pada dubur bayi. Lebih menyedihkan, sampel DNA dan ekstrak air mani milik tertuduh ditemui di dubur serta usus besar mangsa.
Laporan menjelaskan berlaku persetubuhan luar tabii selain luka koyak dan lebam berkemungkinan akibat jari atau alat sulit tertuduh. Bayi berusia sembilan bulan itu juga mengalami smothering — keadaan yang menyebabkan mangsa lemas sebelum meninggal dunia. Pendedahan fakta ini membuatkan ramai ibu bapa tidak mampu menahan sebak.
Lelaki berkenaan dihukum penjara 30 tahun dan 13 sebatan oleh Mahkamah Tinggi atas dua pertuduhan — meliwat dan membunuh.
Hukuman berjalan serentak bermula 29 April 2021. Namun bagi si ibu, tiada hukuman yang mampu membayar harga nyawa seorang anak kecil.
Pada hari kejadian, pengasuh memaklumkan bahawa bayi tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke Hospital Sungai Buloh. Pasukan perubatan berusaha sehabis baik CPR, tiub pernafasan dan ubat jantung namun nyawa kecil itu tetap tidak dapat diselamatkan.
Si kecil disahkan meninggal dunia pada 28 April 2021 sekitar jam 12.18 tengah hari.
Di penghujung coretan, ibu ini menulis pesan yang meruntun hati:
“Bermainlah anak di taman syurga. Dunia yang kejam ini bukan tempatmu. Semoga kita berjumpa di sana…”
Kisah menyayat hati ini menjadi peringatan besar buat seluruh ibu bapa bahawa pemilihan pengasuh bukan sekadar soal keselesaan, tetapi soal keselamatan dan nyawa. Tragedi ini membuka mata masyarakat bahawa kepercayaan terhadap penjaga anak kecil perlu disertai pemerhatian dan penilaian menyeluruh. Semoga arwah Muhammad Afiq Rizqin ditempatkan dalam kalangan bidadari syurga dan keluarganya diberi kekuatan luar biasa untuk menghadapi ujian berat ini.
Kisah kes bayi Muhammad Afiq Rizqin ini juga menjadi simbol betapa pentingnya reformasi penjagaan kanak-kanak serta kesedaran keselamatan dalam kalangan masyarakat demi mengelakkan tragedi sebegini berulang lagi.
BACA LAGI : “Tarikh 27 Mei Akan Diingat, Dah Sebulan Afiq Pergi..” Moga Ada Keadilan Buat Arwah!