Anak Aktif Mudah Jatuh, Juruterapi Dedah Risiko Selepas Anak Terjatuh

Share

Sebagai ibu bapa, kita memang seronok melihat anak masuk fasa aktif – mula belajar duduk, merangkak, berdiri dan berjalan. Tapi ramai tak sedar, pada fasa inilah risiko jatuh dan kecederaan kepala paling tinggi dan boleh menjejaskan perkembangan anak.

Menerusi perkongsian di Threads, Nurul Huda Kay, seorang ibu yang juga juruterapi kanak-kanak, mendedahkan pengalaman kes-kes yang menyayat hati apabila bayi yang awalnya membesar normal tiba-tiba mengalami kemerosotan perkembangan selepas terjatuh.

“Sepanjang pengalaman mengendalikan kes paediatrik special needs, ada beberapa kanak-kanak lahir normal, skor APGAR tinggi, perkembangan pun okay… tetapi selepas jatuh, semuanya berubah,” kongsinya.

Skor APGAR Tinggi Tak Bererti Selamat Sepenuhnya

Untuk makluman, skor APGAR merujuk kepada penilaian Appearance, Pulse, Grimace, Activity, Respiration – satu sistem yang digunakan doktor dan bidan untuk menilai keadaan fizikal bayi baru lahir pada minit pertama dan kelima selepas kelahiran. Skor tinggi menunjukkan bayi berada dalam keadaan baik, tetapi ia bukan jaminan perkembangan seterusnya kekal normal jika berlaku kecederaan otak.

Nurul Huda turut berkongsi kes seorang kanak-kanak berumur 2 tahun 6 bulan. Sebelum berusia dua tahun, perkembangan anak itu normal – boleh bercakap, ikut arahan dan bermain seperti biasa. Namun selepas terjatuh, kepalanya bengkak walaupun tiada pendarahan dalaman. Anak itu terpaksa warded dua minggu dan kemudian dirujuk ke Occupational Therapy (OT) kerana perkembangan mula merosot.

“Anak ini mula hilang perkataan bermakna, jadi lebih kasar dengan rakan sebaya dan memerlukan bantuan dalam banyak perkara sebelum boleh diterima masuk ke playschool,” ujarnya.

Lebih menyedihkan, ibu kepada kanak-kanak itu terpaksa berhenti kerja untuk memberi fokus kepada terapi anak.

Ibu Bapa, Tingkatkan Pemantauan Fasa Aktif

Nurul Huda menasihatkan ibu bapa supaya lebih peka ketika anak berada dalam fasa baru belajar duduk, merangkak, berdiri dan berjalan. Ini kerana kecederaan dalaman seperti gegaran otak mungkin tidak kelihatan pada luaran tetapi boleh memberi kesan jangka panjang pada perkembangan kognitif dan sosial anak.

Antara langkah pencegahan yang boleh dilakukan:

  • Gunakan baby gate pada tangga dan dapur
  • Letak playmat tebal di ruang bermain
  • Elakkan anak bermain tanpa pengawasan di kawasan berisiko tinggi
  • Dapatkan pemeriksaan segera jika anak jatuh dan tunjuk tanda luar biasa

Kesedaran Ibu Bapa Adalah Kunci

Kisah-kisah seperti ini bukan untuk menakutkan, tetapi untuk membuka mata kita semua bahawa kemalangan kecil boleh memberi kesan besar. Jika anak menunjukkan perubahan pelik selepas jatuh – seperti hilang kemahiran, jadi pasif, muntah berulang atau sawan – segera bawa berjumpa doktor.

Pa&Ma mengingatkan ibu bapa, fasa aktif adalah masa yang sangat penting dan menyeronokkan, tapi keselamatan anak tetap nombor satu. Dengan pemantauan dan kesedaran yang betul, kita boleh elakkan tragedi yang tak diingini. 💕

Published by
Nana