
Sebagai ibu bapa, kita selalu lebih risau bila anak demam atau batuk berpanjangan. Tetapi tahukah anda, ada satu penyakit yang senyap-senyap boleh menyerang si kecil kita tanpa kita sedari? Penyakit itu ialah Tuberkulosis (TB).
Ramai fikir TB hanya menyerang orang dewasa, tetapi sebenarnya kanak-kanak juga berisiko tinggi, lebih-lebih lagi jika ada ahli keluarga yang menghidap penyakit ini. Apa yang menakutkan, jika tidak dirawat, TB boleh memberi kesan serius kepada tumbesaran anak dan juga nyawanya.
TB disebabkan oleh jangkitan bakteria Mycobacterium tuberculosis
yang biasanya menyerang paru-paru. Ia tersebar melalui titisan udara daripada pesakit TB aktif yang batuk atau bersin. Kanak-kanak lebih mudah dijangkiti kerana sistem imun mereka masih lemah.Ibu ayah perlu peka dengan tanda-tanda TB pada anak, kerana ia sering disalah anggap sebagai batuk biasa. Antaranya:
Batuk berpanjangan lebih daripada 2 minggu
Demam rendah yang datang dan pergi, terutama pada waktu petang atau malam
Hilang selera makan, berat badan susah naik
Mudah letih, lesu, kurang aktif bermain
Berpeluh malam walaupun bilik tidak panas
Jika TB merebak ke bahagian lain (seperti otak atau tulang), boleh berlaku sawan, sakit belakang atau benjolan pada leher
TB pada kanak-kanak bukan sekadar batuk biasa. Jika tidak dikesan awal:
Paru-paru boleh rosak kekal, menyebabkan anak sukar bernafas pada masa depan.
Bakteria boleh merebak ke otak (meningitis TB) yang boleh menyebabkan lumpuh atau kematian.
Kanak-kanak akan mengalami kekurangan nutrisi kerana hilang selera makan.
Risiko penularan kepada adik-beradik lain juga meningkat.
Pastikan anak mendapat suntikan BCG semasa bayi. Ia memberi perlindungan awal walaupun tidak 100%.
Jika ada ahli keluarga yang menghidap TB, segera lakukan saringan kesihatan untuk anak-anak.
Bawa anak ke klinik jika batuk tidak sembuh selepas 2 minggu, terutama jika ada simptom lain seperti berpeluh malam atau hilang selera makan.
Jangan takut dengan rawatan TB. Ubat TB memang perlu dimakan dalam tempoh panjang (6–9 bulan), tetapi ia selamat dan percuma di klinik kerajaan.
“TB boleh dicegah, boleh dirawat dan boleh sembuh. Tetapi ia bergantung kepada kesedaran ibu bapa untuk mengesan awal dan patuh rawatan.”
Sebagai ibu ayah, kita adalah pelindung utama anak-anak. Jangan pandang ringan bila anak batuk berpanjangan. Lebih baik periksa awal, daripada menyesal kemudian.