
Personaliti televisyen terkenal, Ahmad Fedtri Yahya, meluahkan rasa syukur dan bangga apabila anak keduanya, Ahmad Wildan Arjuna, berjaya meraih keputusan cemerlang 9A dalam Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2025 yang diumumkan semalam.
Menerusi perkongsian di Instagram, pengacara program Malaysia Hari Ini {MHI}itu memuat naik tangkap layar keputusan peperiksaan Arjuna yang memaparkan gred A bagi kesemua sembilan subjek.

Kejayaan Paling Bermakna
Perkongsian tersebut pantas menerima ribuan tanda suka dan ucapan tahniah daripada pengikut yang turut berkongsi rasa gembira.
“Alhamdulillah, syukur. Arjuna dapat 9A UPKK. Tahniah abang. Semoga terus maju jaya dan bersemangat untuk capai misi-misi seterusnya,” tulisnya ringkas namun penuh makna.
Lebih menyentuh hati, Fedtri turut memuat naik rakaman video detik Arjuna melihat sendiri keputusan peperiksaannya. Dalam video tersebut, Arjuna kelihatan sugul dan tidak mampu menyembunyikan rasa gementar. Air mata mula mengalir sebelum keputusan sebenar diketahui, seolah-olah terlalu takut untuk mengecewakan ibu dan ayah.

Menangis Sebab Takut Kecewa
Namun sebaik sahaja keputusan penuh 9A terpapar di skrin telefon, suasana bertukar menjadi tangisan kegembiraan. Arjuna memeluk ayahnya erat, manakala Fedtri jelas sebak melihat usaha anaknya membuahkan hasil. Momen penuh emosi itu benar-benar menyentuh hati warga maya.
Menurut Fedtri, kejayaan tersebut bukan sekadar angka di atas kertas, tetapi simbol usaha, doa dan kesungguhan seorang anak.
“Dulu tengok kakak je dapat keputusan cemerlang. Sekarang giliran abang pula. Abang menangis sebab takut kecewa, tapi akhirnya Allah beri yang terbaik.
Apa pun keputusan, hargailah usaha dan penat lelah anak. Yang paling penting, jiwa pada agama itu mesti ada,” kongsinya lagi.

Rezeki Ramadan Yang Barakah
Beliau turut menyifatkan kejayaan tersebut sebagai rezeki Ramadan yang cukup bermakna buat keluarga mereka. Dalam bulan yang penuh keberkatan, pencapaian Arjuna menjadi hadiah istimewa dan penyuntik semangat untuk terus melangkah lebih jauh.
Untuk rekod, anak sulung Fedtri, Indah Sutera Jannah, sebelum ini turut mencatat keputusan cemerlang dalam UPKK pada tahun 2023. Kejayaan Arjuna seolah-olah menyambung legasi kecemerlangan dalam keluarga kecil itu.
Fedtri mendirikan rumah tangga bersama Nurul Anati pada Mei 2011 dan mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Indah Sutera Jannah, 14; Ahmad Wildan Arjuna, 12; Indah Rauvda Inaara, 9; serta Ahmad Firaas Mevlana, 7.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





