Anak Kembar Didenda 100 Kali Lompat Bintang Di Tadika, Ibu Bapa Tuntut Keadilan

Share

Anak Kembar Didenda 100 Kali Lompat Bintang di Tadika Taiwan

Letih, rebah dan muntah, itulah nasib malang yang menimpa sepasang anak kembar berusia empat tahun apabila mereka didenda melakukan lebih 100 kali lompat bintang serta berlari puluhan pusingan di sebuah tadika di Taiwan. Kisah menyayat hati ini bukan sahaja mengundang kemarahan ramai ibu bapa, malah membuka mata masyarakat tentang bahaya hukuman fizikal terhadap anak kecil.

Menurut laporan Must Share News, kejadian itu terbongkar apabila ibu bapa si kembar menonton rakaman CCTV sekolah selepas anak-anak mereka mengadu terlalu penat dan enggan ke tadika. Dalam video yang tular, kedua-dua kanak-kanak itu dilihat bergelut menyelesaikan hukuman fizikal tersebut malah beberapa kali rebah ke tanah kerana tidak mampu meneruskan aktiviti berat itu.

Guru Disiasat Selepas Rakaman Tular

Lebih menyedihkan, apabila salah seorang daripada mereka muntah akibat kepenatan, guru berkenaan hanya menyalahkan anak itu kononnya kerana “makan terlalu banyak”. Hati ibu bapa mana yang tidak remuk melihat anak kecil diperlakukan sebegitu rupa?

Rakaman CCTV menunjukkan pasangan kembar tersebut diarah berlari mengeliling taman permainan. – TVBS

Biro Pendidikan Tainan kemudiannya menjalankan siasatan dan mengesahkan memang berlaku hukuman fizikal di tadika Taiwan tersebut. Dua guru terlibat dikenakan denda seorang sebanyak NT$54,000 (RM7,400) dan seorang lagi NT$48,000 (RM6,600). Mereka juga diwajibkan menghadiri latihan pemulihan sebagai peringatan untuk tidak mengulangi kesilapan sama.

Namun begitu, ibu bapa kepada anak kembar itu tetap mengambil tindakan undang-undang kerana bimbang anak-anak mereka mengalami kesan emosi dan trauma jangka panjang akibat insiden itu.

Pakar Psikologi: Hukuman Fizikal Tidak Efektif Untuk Anak Kecil

Menurut pakar psikologi kanak-kanak, hukuman fizikal bukanlah cara mendidik yang berkesan untuk usia awal kanak-kanak. Pada usia empat tahun, anak masih belum mampu memahami konsep disiplin secara mendalam. Mereka memerlukan pendekatan lembut, komunikasi yang jelas serta bimbingan berulang untuk memahami peraturan dan tingkah laku baik.

Hukuman fizikal hanya menyebabkan ketakutan, bukan kesedaran. Ia boleh menjejaskan perkembangan emosi serta keyakinan diri anak, malah mencetuskan trauma yang mungkin berlarutan hingga dewasa.

Pengajaran Untuk Ibu Bapa dan Pendidik

Sebagai ibu bapa, kisah ini perlu dijadikan pengajaran penting. Kita perlu peka terhadap cara guru atau pengasuh mendidik anak-anak di pusat jagaan. Pastikan pendekatan yang digunakan berasaskan kasih sayang, bukan tekanan. Sekiranya anak tiba-tiba menunjukkan perubahan tingkah laku seperti takut ke sekolah, mudah menangis atau enggan bercakap jangan pandang ringan. Itu mungkin tanda mereka sedang mengalami tekanan atau trauma.

Pa&Ma Nasihat: Didik Dengan Kasih Sayang, Bukan Hukuman

💗 Pa&Ma Nasihat:

Anak kecil tidak perlukan hukuman berat untuk belajar menjadi baik. Mereka perlukan pelukan, penerangan yang lembut dan contoh yang baik daripada orang dewasa. Didiklah dengan hati, bukan dengan marah. Kasih sayang adalah asas sebenar disiplin yang berkesan.

BACA LAGI : Anak Kembar Di Tinggalkan Dalam Kereta Berkunci, Mak Ayah Pergi Beraya, Wargamaya Panas Hati!

Sumber : Kosmo Online

Published by
Nana