
Masih ramai ibu bapa beranggapan anak yang lambat bercakap hanyalah kerana faktor “belum sampai masa” atau sekadar perkembangan yang sedikit perlahan berbanding kanak-kanak lain.
Namun hakikatnya, anak lambat bertutur bukan isu yang boleh dipandang ringan atau ditangguhkan terlalu lama.
Melalui penjelasan oleh Wan Roslina Wan Yusoff, Psikologis Pendidikan dan Perkembangan Manusia, Little Ones Eduworld, perkembangan bahasa kanak-kanak sebenarnya melibatkan proses yang jauh lebih kompleks daripada sekadar kebolehan menyebut perkataan.
Ia berkait rapat dengan perkembangan otak, pendengaran, koordinasi oral-motor, kestabilan emosi serta interaksi sosial yang diterima anak sejak bayi.
Malah, proses pembelajaran bahasa sebenarnya sudah bermula sejak hari pertama anak dilahirkan melalui suara, sentuhan, eye contact dan komunikasi dua hala bersama ibu bapa atau penjaga.
Artikel ini turut menjelaskan beberapa punca utama anak lambat bertutur, tanda-tanda yang perlu diberi perhatian serta tindakan awal yang boleh dilakukan oleh ibu bapa bagi membantu perkembangan bahasa anak secara lebih menyeluruh.
Kesedaran awal amat penting kerana lebih cepat ibu bapa mengenal pasti isu perkembangan anak, lebih tinggi peluang untuk intervensi dilakukan pada fasa perkembangan otak yang paling aktif.
Situasi Anak Lambat Bertutur Yang Sering Membimbangkan Ibu Bapa
“Saya dapati anak saya yang berumur dua tahun masih lagi memegang tangan saya dan menunjukkan dengan jarinya barang yang dia mahu, tanpa keluar apa-apa perkataan. Kenapa?”
“Anak saya dah berumur tiga tahun masih lagi tidak bercakap. Dia faham apa yang saya cakap, tapi dia tidak mahu bercakap.”
“Masa anak saya berumur satu tahun lapan bulan dia sudah mula menyebut ma ma, ba ba. Tapi bila berumur dua tahun tiba-tiba kemampuan bahasa hilang dan dia nampak macam malas nak bercakap. Kenapa jadi begini?”
Ini adalah beberapa keadaan anak yang sering membimbangkan ibu bapa, terutama apabila melihat rakan sebaya anak sudah petah berbual dan bertanya pelbagai soalan.
Ada ibu bapa cuba menenangkan diri dengan berkata, “Tak apa, nanti pandailah dia bercakap.”
Namun ada juga yang mula risau sama ada keadaan ini normal atau sebenarnya petanda anak memerlukan perhatian lebih awal.
Dalam psikologi perkembangan manusia, pertuturan bukan sekadar kebolehan menyebut perkataan.
Ia melibatkan perkembangan otak, pendengaran, penglihatan, memori, keadaan emosi, interaksi sosial dan koordinasi tubuh yang berkembang secara serentak sejak bayi dilahirkan.
Anak Lambat Bertutur Boleh Dikesan Sejak Awal Kehidupan

Proses pembelajaran bahasa bermula sejak awal kehidupan walaupun anak belum mampu menyebut perkataan.
Bayi mula memahami bahawa bunyi mempunyai makna melalui apa yang didengari di sekelilingnya seperti mendengar suara ibu, mengenal intonasi, memerhati gerak muka dan tindak balas ibu.
Disebabkan bahasa berkembang melalui hubungan dan interaksi dengan manusia, ibu bapa atau penjaga disarankan memulakan komunikasi awal seperti:
- bercakap dengan bayi
- menyanyi
- membalas bunyi babbling
- membaca buku
- bermain bersama
Punca Anak Lambat Bertutur Yang Perlu Difahami Ibu Bapa
1. Perkembangan Otak Yang Baik
Pertuturan memerlukan perkembangan beberapa bahagian otak yang mengawal pemahaman bahasa, memori, perhatian, emosi dan perancangan pergerakan mulut.
Setiap anak berkembang pada kadar berbeza.
Jika perkembangan neurologi anak terganggu, kemampuan bertutur boleh menjadi lambat seperti yang berlaku pada sesetengah kanak-kanak dengan autisme, ADHD atau kelewatan perkembangan global.
2. Pendengaran Yang Jelas
Anak belajar bercakap melalui mendengar. Mereka perlu mendengar sebutan perkataan dengan jelas sebelum mampu meniru dan menyebutnya semula.
Kadangkala ibu bapa tidak menyedari anak mengalami masalah pendengaran ringan akibat:
- jangkitan telinga berulang
- pengumpulan cecair dalam telinga
- gangguan pendengaran tertentu
Anak mungkin kelihatan seperti mendengar, tetapi sebenarnya tidak dapat menangkap bunyi bahasa dengan tepat.
3. Otot Mulut dan Koordinasi Pertuturan
Untuk bercakap, anak perlu mengawal lidah, bibir, rahang dan pernafasan.
Sesetengah anak memahami apa yang diperkatakan tetapi sukar menyusun bunyi atau menyebut perkataan dengan jelas.
Sebab itu ada anak yang hanya menggunakan isyarat tangan, menarik ibu bapa atau menangis untuk menyatakan kehendak.
Ini mungkin disebabkan oleh kelemahan oral-motor atau koordinasi pertuturan.
4. Interaksi Sosial Yang Luas
Bahasa berkembang melalui komunikasi dua hala.
Anak belajar bercakap apabila diajak berbual, dipandang mata, diberi respons, dipeluk dan dilayan dengan penuh perhatian.
Tumpuan kepada skrin pada usia awal boleh mengurangkan interaksi sebenar antara anak dan orang lain.
Walaupun video pendidikan seperti YouTube boleh membantu sedikit sebanyak, ia tidak mampu menggantikan komunikasi manusia sebenar.
Kanak-kanak memerlukan interaksi saling membalas kata.
Kadangkala terdapat anak yang ditinggalkan berseorangan tanpa rakan menyebabkan dia tidak berasa perlu untuk bertutur.
Ibu bapa atau pembantu rumah yang sibuk serta membiarkan anak dengan peranti sebagai teman juga boleh menyumbang kepada kelewatan pertuturan.
5. Perkembangan Emosi Positif dan Rasa Selamat
Kanak-kanak lebih mudah berkembang secara semula jadi apabila mereka berasa selamat dan disayangi.
Tekanan emosi, kurang perhatian, trauma atau suasana rumah yang terlalu tegang boleh mempengaruhi perkembangan komunikasi anak.
Emosi yang positif dan stabil penting bagi menyediakan otak anak untuk belajar dan berinteraksi.
Tanda Anak Lambat Bertutur Yang Perlu Diberi Perhatian
Ibu bapa digalakkan mendapatkan penilaian profesional jika anak:
- tidak memberi respons kepada nama sendiri
- kurang eye contact
- tiada perkataan bermakna menjelang usia 18 hingga 24 bulan
- tidak faham arahan mudah
- sering kelihatan berada dalam dunia sendiri
- kehilangan kemahiran bahasa yang pernah dimiliki
Intervensi awal sangat penting kerana otak kanak-kanak berkembang pesat pada usia awal.
Fungsi kognitif dan tingkah laku anak lebih mudah dimodifikasikan pada tempoh ini.
Apa Yang Ibu Bapa Boleh Lakukan?
Antara langkah mudah membantu perkembangan bahasa anak:
- banyak bercakap dengan anak
- kurangkan masa skrin
- membaca buku bersama
- bermain secara interaktif
- menyanyi dan bercerita
- memberi peluang anak membalas komunikasi
- memuji setiap usaha komunikasi mereka
- masukkan anak ke tempat yang mempunyai suasana menggalakkan perkembangan pertuturan
Ibu bapa juga hendaklah mengelak membandingkan anak dengan kanak-kanak lain.
Anak perlu berada dalam suasana yang menggalakkan komunikasi, interaksi sosial dan penggunaan bahasa secara semula jadi khususnya bersama rakan sebaya.
Digalakkan menghantar anak lambat bertutur ke tempat yang mempunyai program sistematik seperti:
- taska
- tadika
- pusat terapi
Namun pemilihan tempat perlu dibuat dengan teliti.
Pastikan ibu bapa menerima laporan berkala tentang perkembangan pertuturan anak.
Penutup
Kelewatan pertuturan bukan semata-mata kerana anak malas bercakap.
Ia melibatkan perkembangan manusia yang saling berkait antara perkembangan otak, pendengaran, penglihatan, emosi, keyakinan diri, interaksi sosial serta cara anak memahami dunia sekeliling mereka.
Oleh itu, isu anak lambat bertutur memerlukan penyelesaian yang menyeluruh.
Tindakan awal ibu bapa, sokongan emosi yang baik serta latihan yang konsisten boleh membawa perubahan positif kepada perkembangan pertuturan anak.
Dengan kefahaman yang betul, ibu bapa bukan sahaja dapat mengurangkan kebimbangan, malah membantu anak berkembang dengan lebih yakin dan positif.
Setiap pencapaian kecil perlu dihargai.
Yang penting, ibu bapa tidak menunggu terlalu lama untuk bertindak dan tidak menjadikan kelewatan pertuturan ini sebagai satu tekanan kepada anak.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





