Selalu kita rasa anak perempuan lebih memerlukan sokongan emosi. Namun, hakikatnya dikatakan ibu bapa perlu melebihkan anak lelaki, betul ke? Jom baca perkongsian artikel ini.

Anak Lelaki Jiwanya Lebih Sensitif Berbanding Anak Perempuan, Berikan Sokongan Emosi

Emosi sensitif

Sebagai ibu bapa, hampir kebanyakan daripada kita merasakan kanak-kanak perempuan lebih memerlukan sokongan sama ada dari aspek fizikal atau mental yang melibatkan emosi.

Walau bagaimanapun, keadaan sebenarnya adalah kanak-kanak lelaki mempunyai jiwa yang lebih sensitif berbanding perempuan. Disebabkan ini, mereka lebih memerlukan sokongan berbanding kanak-kanak perempuan.

Kenyataan ini adalah berdasarkan satu kajian yang dipanggil sebagai ‘The Fragile Male’ atau turut dikenali sebagai ‘Lelaki yang rapuh’. Ia adalah mengenai bagaimana minda bayi lelaki adalah lebih sensitif dan dipengaruhi oleh emosi dan perasaan si ibu.

Tahap perkembangan

IKLAN

Umumnya, selepas dilahirkan otak bayi lelaki tidak berkembang sepenuhnya. Keadaan ini adalah berbeza dengan bayi perempuan, di mana perkembangannya adalah lebih pantas enam minggu.

Perkembangan ini pastinya memberikan kelebihan buat bayi perempuan untuk berkembang dan mendapatkan momentum yang lebih baik berbanding bayi lelaki. Manakala bagi bayi lelaki, mereka akan sedikit terkebelakang.

Keadaan ini bukan sahaja mempengaruhi daripada aspek tumbesaran fizikal, tetapi ia juga melibatkan soal tahap kematangan sosio-emosi mereka. Jadi sebab itulah, kadang-kadang sebagai ibu bapa, kita akan nampak anak perempuan adakalanya lebih dewasa berbanding anak lelaki.

Cara didikan

Mungkin sebagai ibu bapa, kita tidak sedar sebenarnya cara didikan yang diberikan dalam membesarkan anak lelaki juga mempengaruhi aspek perkembangan mentalnya. Ini kerana, seringkali kita akan membesarkan mereka dengan cara yang lebih tough berbanding anak perempuan. Setuju tak ibu bapa sekalian?

IKLAN

Biasanya anak perempuan akan lebih dilimpahi dengan kasih sayang, lebih dimanjakan serta diberikan permainan yang menjurus kepada memupuk rasa sayang. Sedangkan anak lelaki, diberikan permainan yang berunsur lasak seperti kereta dan patung adiwira. Begitu jugalah dalam aspek didikan, yang lebih berunsurkan kelakian. 

Penulis tidak mengatakan semua ibu bapa mendidik anak lelaki mereka begitu, tetapi penulis percaya kebanyakan ibu bapa melakukannya. Ini kerana ibu bapa merasakan anak lelaki adalah sebagai individu yang boleh diharapkan apabila dewasa kelak. 

Anak Lelaki Jiwanya Lebih Sensitif Berbanding Anak Perempuan, Berikan Sokongan Emosi

Sebaliknya, kesan didikan yang diberikan ini hanyalah akan melahirkan seorang individu lelaki yang kasar jiwa dan sifatnya. Malah tidak dinafikan mereka juga mungkin kurang sensitif terhadap perasaan individu lain.

Berikan lebih kepada anak lelaki

IKLAN

Jadi bagaimana cara untuk mengatasi isu ini? Mudah sahaja. Ibu bapa harus memberikan sokongan fizikal dan mental yang mencukupi kepada anak lelaki sama seperti anak perempuan. Ini sekali gus dapat membantu anak mengendalikan emosi mereka dan menjadi individu yang lebih prihatin pada masa hadapan.

Berikut adalah beberapa cara yang ibu bapa boleh lakukan di rumah kepada anak lelaki:

  • Dorong anak lelaki anda untuk meluahkan perasaan secara verbal. Jika mereka perlu menangis, biarkan. Jangan sekali memperkecilkan perasaan mereka dengan mengatakan mereka tidak patut menangis kerana mereka lelaki
  • Berikan perhatian sewaktu anak berkongsi apa yang dirasakan. Usah menyampuk atau memotong kata-katanya. Penulis pasti tiada siapa yang suka apabila ada yang mencelah ketika berbicara, bukan?
  • Peluk dan ciumlah pipi dah dahi anak lelaki anda seperti mana anda lakukan kepada anak perempuan. Walaupun mereka mungkin segan, tetapi percayalah setiap manusia punyai keinginan untuk disayangi
  • Bercakap dengan lembut dan hindari daripada berkomunikasi secara kasar dengan mereka

Sama rata

Kesimpulannya, ibu bapa perlu memberikan kasih sayang secara fizikal atau mental secara sama rata kepada anak-anak tidak kira anak lelaki mahupun perempuan. Usah membeza-bezakan antara anak-anak anda. 

Dalam masa yang sama, pastikan keadaan mental anda sebagai ibu bapa juga stabil. Ini kerana jika anda mengalami tekanan sudah tentu ia akan memberi kesan secara langsung kepada anak-anak. Ibu bapa dengan emosi yang seimbang, pastinya akan melahirkan anak-anak yang gembira dan bahagia.

Sumber: Hello Health 

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI