
Ada masa anak kecil menangis lama, meragam semalaman atau asyik pegang telinga. Ibu ayah pula mungkin menyangka anak cuma penat, mengantuk atau “mengada”. Namun, dalam sesetengah keadaan, tangisan seperti ini sebenarnya boleh menjadi tanda anak sedang menahan sakit telinga yang kuat akibat otitis media.
Salah satu masalah telinga yang paling kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak ialah acute otitis media, iaitu jangkitan atau keradangan pada bahagian tengah telinga. Keadaan ini biasanya berlaku selepas anak mengalami selesema, batuk, hidung tersumbat atau jangkitan salur pernafasan atas.
Menurut Centers for Disease Control and Prevention (CDC), kanak-kanak lebih mudah mendapat jangkitan telinga berbanding orang dewasa. Sebahagian kes memerlukan antibiotik, namun banyak juga boleh sembuh tanpa antibiotik bergantung kepada tahap jangkitan dan keadaan anak selepas diperiksa doktor.

Kenapa Otitis Media Selalu Berlaku Selepas Selesema?
Apabila anak mengalami selesema atau hidung tersumbat, saluran Eustachian yang menghubungkan telinga tengah dengan bahagian belakang hidung boleh menjadi bengkak atau tersumbat.
Keadaan ini menyebabkan cecair mudah terkumpul di belakang gegendang telinga. Apabila cecair berkumpul, virus atau bakteria boleh membiak lalu menyebabkan keradangan, tekanan dan kesakitan pada telinga.
Disebabkan itu, ada anak yang menangis tanpa henti terutama pada waktu malam, sering menarik telinga atau kelihatan sangat tidak selesa kerana belum mampu memberitahu bahawa telinganya sedang sakit.
Jangkitan telinga tengah berlaku pada ruang berisi udara di belakang gegendang telinga dan lebih kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia sekitar 6 bulan hingga 2 tahun.
Tanda-Tanda Otitis Media Yang Ibu Ayah Perlu Perhatikan
Anak kecil tidak semestinya akan berkata bahawa telinganya sakit. Mereka mungkin hanya menunjukkan perubahan tingkah laku.
- Menarik, menggosok atau memegang telinga.
- Demam.
- Menangis lebih daripada biasa.
- Meragam tanpa sebab yang jelas.
- Sukar tidur terutama pada waktu malam.
- Kurang menyusu atau kurang selera makan.
- Pendengaran kelihatan berkurang.
- Keluar cecair atau nanah dari telinga.
- Anak kelihatan lemah atau kurang aktif.
Tanda-tanda ini tidak semestinya bermaksud anak pasti mengalami otitis media, namun ia cukup untuk ibu ayah lebih peka dan mendapatkan pemeriksaan doktor sekiranya keadaan membimbangkan.

Perlukah Terus Beri Antibiotik?
Tidak semestinya. Ramai ibu ayah menyangka setiap sakit telinga memerlukan antibiotik, sedangkan hakikatnya banyak kes otitis media ringan boleh pulih sendiri dalam beberapa hari dengan pemantauan rapi serta kawalan kesakitan yang baik.
Menurut National Institute for Health and Care Excellence (NICE), acute otitis media boleh disebabkan oleh virus atau bakteria, biasanya berlangsung sekitar seminggu dan kebanyakan kanak-kanak akan bertambah baik dalam tempoh tiga hari tanpa antibiotik. Penggunaan antibiotik juga perlu dibuat secara berhemah bagi mengurangkan risiko kerintangan antibiotik.
Kawalan kesakitan merupakan aspek penting dalam rawatan ini. Keputusan sama ada antibiotik diperlukan bergantung kepada usia anak, tahap kesakitan, keadaan gegendang telinga dan sama ada jangkitan berlaku pada sebelah atau kedua-dua telinga.
Apa Ibu Ayah Boleh Buat Di Rumah?
Jika anak masih aktif, tidak terlalu lemah dan simptom belum teruk, beberapa langkah berikut boleh membantu sementara memantau keadaannya:
- Berikan ubat tahan sakit seperti paracetamol atau ibuprofen mengikut dos umur dan berat anak serta nasihat doktor atau ahli farmasi.
- Pastikan anak minum air secukupnya terutama jika mengalami demam.
- Biarkan anak berehat dalam keadaan yang selesa.
- Jangan mengorek telinga anak.
- Jangan memasukkan putik kapas jauh ke dalam telinga.
- Jangan menitiskan minyak, air garam, herba atau ubat ke dalam telinga tanpa arahan doktor.
- Jika terdapat cecair keluar dari telinga, bersihkan bahagian luar telinga dengan lembut dan pastikan ia sentiasa kering.
Kawalan kesakitan sangat penting kerana tekanan di dalam telinga boleh menyebabkan rasa sakit yang kuat walaupun antibiotik belum diperlukan.

Bila Perlu Bawa Anak Jumpa Doktor?
Dapatkan pemeriksaan doktor jika sakit telinga semakin teruk, anak mengalami demam tinggi, simptom berlarutan melebihi dua hingga tiga hari, pendengaran berkurang atau terdapat cecair serta nanah keluar dari telinga.
Ibu ayah juga perlu lebih berhati-hati jika melibatkan bayi atau kanak-kanak kecil kerana mereka belum mampu menunjukkan lokasi kesakitan dengan jelas.
Tanda Bahaya Yang Memerlukan Rawatan Segera
Segera bawa anak ke klinik atau jabatan kecemasan sekiranya mengalami keadaan berikut:
- Sakit telinga yang sangat kuat walaupun sudah diberi ubat tahan sakit.
- Demam tinggi berpanjangan.
- Keluar nanah atau darah dari telinga.
- Bengkak, merah atau sakit di belakang telinga.
- Telinga kelihatan tertolak ke hadapan.
- Muntah yang berterusan.
- Leher menjadi keras.
- Sawan.
- Mengantuk luar biasa atau sukar dikejutkan.
- Muka menjadi senget.
- Pening berpusing atau hilang keseimbangan.
- Anak kelihatan sangat lemah atau “toxic”.
Tanda-tanda ini bukan lagi sakit telinga biasa dan memerlukan penilaian segera oleh doktor.
Jangan Anggap Anak Sekadar Meragam
Kadang-kadang anak kecil belum pandai bercakap. Mereka tidak tahu bagaimana hendak memberitahu bahawa telinga terasa berdenyut, sakit atau penuh. Yang mereka mampu lakukan hanyalah menangis, memegang telinga, enggan tidur atau tidak mahu menyusu.
Sebagai ibu ayah, jangan terlalu cepat menganggap anak mengada. Otitis media boleh menyebabkan kesakitan yang sangat kuat dan merupakan antara masalah kesihatan yang kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak.
Sumber: Public Health Malaysia
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!


