Anak Nampak Lain Macam? 5 Tanda Nafas Anak Dalam Bahaya Yang Mak Ayah Wajib Tahu Cepat!

Share

Sebagai mak ayah, perkara paling merisaukan bila tengok anak mula nampak lain — nafas laju, dada turun naik, suara pun semput lain macam. Kadang kita fikir mungkin sebab selsema atau batuk biasa, tapi sebenarnya tanda-tanda kecil macam ni boleh jadi petanda awal nafas anak dalam bahaya.

Ramai ibu bapa panik bila anak tiba-tiba sesak nafas tengah malam, tak tahu nak buat apa. Hakikatnya, kalau kita tahu tanda-tanda awal pernafasan anak dalam bahaya, tindakan pantas boleh selamatkan nyawa anak.

Dr. Ahmad Luqman Bukhari, seorang doktor yang sering berkongsi ilmu kesihatan kanak-kanak, menasihatkan supaya mak ayah jangan tunggu lama untuk bawa anak jumpa doktor kalau nampak tanda-tanda seperti berikut.

Nafas Anak Dalam Bahaya

“Sang ibu melaung separa kuat dan menangis sambil si suami memeluk erat. Keduanya panik.


“Kenapa dengan anak saya ni doktor? Tadi dia tak macam ni pun.”

Anak kecil itu tiba di jabatan kecemasan hospital dalam keadaan hampir dah tak sedarkan diri. Lembik. Kedua-dua belah tangan dan kakinya terkulai dalam dakapan si ibu. Kelopak mata tertutup manakala mulutnya sedikit terbuka. Wajahnya sudah pun kebiruan.

Menurut si ayah, mereka perasan si kecil tu nafasnya kelihatan ‘lain macam’ sejak jam 4 pagi lagi. Macam orang kena semput.

Namun mereka menyangka sempatlah nak tunggu waktu operasi klinik kesihatan bermula untuk dapatkan rawatan. Rupa-rupanya tidak kerana sepantas kilat kondisi anak tu berubah jadi makin teruk.

Tragedi begini sebenarnya bukanlah sesuatu yang jarang berlaku. Kadang tu parents perasan yang si kecil tu tak berapa sihat tapi mereka sendiri tak pasti sama ada tanda yang mereka lihat tu berbahaya atau pun tidak.

Jadi kita selalu fikir anak kita masih boleh bertahan atau pun “ahh tak apa, esok baik lah tu.” Tapi sebenarnya, tanda-tanda nafas anak dalam bahaya boleh muncul secara tiba-tiba.

5 Tanda Nafas Anak Dalam Bahaya

Gambar Hiasan AI

#1. Kadar pernafasan terlalu laju
Kadar pernafasan melebihi kadar normal hingga dada dan perut berombak turun naik dengan sangat laju. Kiralah bilangan nafas anak dalam masa seminit dan catatkan.

  • Bayi bawah 2 bulan: lebih 60 per minit = bahaya!
  • Bayi 2 bulan hingga setahun: lebih 50 per minit = bahaya!
  • Kanak-kanak 1–5 tahun: lebih 40 per minit = bahaya!

#2. Otot rusuk tenggelam timbul
Perhatikan bahagian tulang rusuk di tepi dada. Jika ototnya berlekuk atau tenggelam timbul setiap kali bernafas, itu tanda nafas anak dalam bahaya.

#3. Lekuk di bawah leher
Kalau nampak bahagian bawah leher berlekuk bila anak menarik nafas — bahaya! Ia menunjukkan anak sedang bekerja keras untuk bernafas.

#4. Hidung kembang kempis
Tanda ini sering diabaikan. Bila hidung anak kembang kempis setiap kali bernafas, itu petanda oksigen tak cukup dan anak sedang sesak nafas.

#5. Kulit berubah pucat atau kebiruan
Perhatikan bibir, kuku dan wajah anak. Jika nampak pucat atau kebiruan, itu tanda oksigen dalam darah sangat rendah. Jangan tunggu — segera bawa ke hospital!

Tindakan Segera Bila Nafas Anak Dalam Bahaya

Jika si kecil menunjukkan mana-mana tanda di atas, dia sedang mengalami kesukaran bernafas. Oksigen makin berkurangan dan mungkin dijangkiti kuman atau virus pada paru-paru.

Dalam situasi begini, jangan bertangguh. Usahakan supaya anak dikejarkan ke fasiliti kesihatan secepat mungkin kerana kelewatan boleh mengakibatkan kematian.

Penutup: Jangan Pandang Ringan Nafas Anak Dalam Bahaya

Yang kita anggap biasa itu boleh jadi cerita duka yang menanti. Nafas anak dalam bahaya bukan sesuatu yang boleh ditunggu esok.

Mak ayah kena peka dengan setiap perubahan kecil pada anak. Saya doakan semoga semua anak-anak kita diberikan kesihatan dan kegembiraan dalam kehidupan. Senyum mereka adalah ubat kuat untuk kita.

Sumber: Dr. Ahmad Luqman Bukhari

Published by
Nor Yusoff