Anak nombor dua memang sering dipandang bermasalah, banyak karenah dan mempunyai personaliti yang agak berbeza daripada anak-anak yang lain. Namun sebagai ibu bapa jangan pernah memandang mereka dengan pandangan yang lain kerana setiap anak-anak mempunyai keistimewaan dan kelebihan masing-masing.

Dalam perkongsian daripada Nur Haslaily mengenai anak keduanya, dia sendiri tidak menyangka akan ketulusan hati anaknya itu mendoakan hanya yang baik-baik untuk keluarga mereka. Siapa sangka anak yang banyak ragamnya itu doanya akan diangkat oleh Allah kerana kita semua tiada bezanya dimata Sang Pencipta.

Anak Nombor Dua Sering Dilabel Bermasalah, Tapi Perkongsian Ibu Ini Ubah Persepsi Pasal Mereka

“Anak nombor 2 ye?”

“Anak nombor 2 memang macam tu…”

Itu ayat biasa yang ibu selalu dengar.

Kebanyakan orang suka labelkan anak kedua ini lain daripada anak-anak yang lain. Pelik, unik atau aneh

Malam ni, Allah izinkan ibu melihat anak kedua ibu ini dengan pandangan berbeza.

Usai solat Maghrib, ibu minta angah bacakan doa.

“Baca slow-slow boleh ke ibu?”

Dia cuba mengelak. Seperti kebiasaannya.

“Bacalah kuat-kuat angah. Ibu nak aminkan. Angah nak minta apa? Along dengan adik pun nak aminkan. Malaikat pun nak aminkan.”

“Ala, tak pandai. Malu,” sambil dia tersipu-sipu.

“Doalah angah kan nak lego,” along pula menyampuk.

“Bacalah ngah. Bahasa Melayu pun tak apa. Angah anak syurga. Doa angah makbul, Insya Allah.” Ibu pujuk lagi.

IKLAN

Dia tarik nafas dalam-dalam sambil menadah tangan.

“Ya Allah tambahkanlah ilmu kami.”

“Ya Allah tambahkanlah rezeki kami.”

“Amin. Amin.” Ibu sambut.

“Ya Allah, bagilah abang aku dapat A dalam semua subjek dia. Janganlah ada B dan C.”

“Ya Allah, bagilah abang aku dapat nombor 1 dalam peperiksaan-peperiksaan dia.”

“Ya Allah, jadikanlah adik Mu’az ni baik dan bijak.”

Kuat dan jelas. Ibu aminkan satu demi satu doanya. Waktu itu mata ibu dah jadi seperti air terjun. Tak mampu ditahan-tahan.

Dalam kepala ini automatik terbayang drama dalam TV yang pernah ditonton beberapa tahun dulu. Kisah abang yang hebat, kaya dan berjaya tinggal di kota raya. Adiknya OKU, buta huruf yang tinggal di kampung. Abangnya bila berjaya pandang rendah kepada adiknya yang dilihat serba sederhana. Katanya doanya sentiasa Allah makbulkan. Berbeza dengan adiknya berdoa pun perlu baca pada kertas. Ditakdirkan Allah, adiknya kembali ke Rahmatullah. Ketika abangnya mengemas rumah selepas kematian adiknya, Allah temukan dengan kertas yang terselit di songkok arwah. Teresak-esak abangnya membaca kertas itu. Rupanya doa adiknya. “Ya Allah makbulkanlah segala doa abangku….. ”

IKLAN

Angah Mus’ab masih khusyuk dalam doanya.

“Ya Allah banyakanlah rezeki ayahku dan ibuku.”

“Ya Allah mudahkanlah kerja ayahku.”

“Amin Ya Robbal Alamin.”

Terus dipeluk ciumnya ibu.

Pelik agaknya melihat airmata ibu yang masih lebat menitis-nitis laju.

“Terima kasih angah doakan kami. Nanti angah doa untuk diri angah juga ye.”

Hari ini Allah didik ibu. Pandanglah anak-anak dengan kelebihan dan kekurangan masing-masing.

IKLAN

Tanpa label.
Tanpa persepsi.
Tanpa sangsi.

Kata ulama,

“Segemuk-gemuk ikan pasti ada tulangnya.
Sekurus-kurus ikan pasti ada isinya.

Begitulah juga kita manusia.

Sebaik-baik manusia pasti ada kekurangannya.
Seburuk-buruk manusia pasti ada kebaikannya.”

Kita tak tahu doa ikhlas siapa yang Allah pandang.

Barangkali doa anak kecil yang kita selalu rasa banyak ragamnya. Mungkin juga doa anak yang kita rasa banyak menduga. Ataukah doa anak yang kita rasa biasa-biasa sahaja pencapaiannya. Boleh jadi doa tulus suci anak yang kita selalu marah-marah.

“Ya Allah ampunilah kami. Kami ini ibubapa yang serba kekurangan, yang banyak silap dalam mendidik anak-anak. Tapi mereka ada Engkau, Allah yang Maha Penyayang. Dengan rahmat dan kasih sayangMu, sayangi anak-anak Syurga kami semuanya selama-lamanya…”

Nur Haslaily 

Ibu yang sentiasa menumpang doa anak-anak

Anak Nombor Dua Sering Dilabel Bermasalah, Tapi Perkongsian Ibu Ini Ubah Persepsi Pasal Mereka

Semoga perkongsian ini akan memberi manfaat kepada setiap ibu bapa dalam membesarkan anak-anak. Memang setiap anak itu berbeza perwatakan dan perangai tapi siapa tahu yang banyak ragam dan yang sering buat perangai itulah yang akan menjaga kita bila tua kelak. Doa yang baik-baik untuk semua anak-anak kerana doa seorang ibu itu tidak berhijab.

Sumber/gambar: Nur Haslaily

 

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI