Seorang wanita yang masih dalam pantang selepas bersalin lebih sebulan lalu maut selepas ditemui dengan pisau tertusuk pada leher di sebuah rumah di Kampung Beris Panchor, di sini, petang semalam.

“Anak Pesan Saya Jaga Bayinya.” Wanita Dalam Pantang Ditemui Berlumuran Darah Tertusuk Pisau
Sumber foto: Berita Harian

Kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang dengan mangsa yang berusia 35 tahun sebelum itu disedari mengunci pintu biliknya dari dalam.

Berdasarkan maklumat, adik mangsa, 23, yang dikatakan curiga cuba mengintai untuk menyiasat sebelum terkejut mendapati mangsa berlumuran darah dan segera memecahkan pintu bilik untuk membantu.

Sementara itu, ibu mangsa, Zuraizah Mat, 58, berkata anaknya itu ditemui dalam keadaan pisau pemotong sayur tertusuk pada bahagian tengah leher.

Sebelum kejadian, katanya, dia berada di ruang tamu rumah dan ketika itu mangsa datang dan menyerahkan bayinya yang berusia 36 hari untuk dijaga seketika dengan alasan mahu bercakap di telefon bersama suaminya yang berada di Kedah.

“Anak pesan minta saya jaga bayinya sebelum dia masuk ke bilik tidur…selepas seketika, saya minta anak bongsu (panjat dinding) guna tangga untuk ‘intai’ (siasat keadaan mangsa) sebab bimbangkan keselamatannya.

IKLAN

“Kami cuba pecah pintu bilik beberapa kali sebelum berjaya masuk, namun terkejut mendapati anak saya terbaring berlumuran darah dengan pisau tertusuk pada lehernya,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Zuraizah berkata, ketika ditemui anaknya itu masih bernyawa sebelum dia mencabut pisau berkenaan dan meminta ahli keluarga membawanya ke Klinik Kesihatan Beris Panchor.

Katanya, selepas melahirkan anak keempat, mangsa banyak mengadu sakit pada bahagian perut.

“Pagi tadi pun, dia baru sahaja ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) kerana masalah kesihatan dan doktor ada nasihatkan dia ambil ubat…sejak balik dia macam tertekan,” katanya.

IKLAN

Zuraizah berkata, anaknya itu dipercayai mengambil pisau di stor luar rumah dan masuk ke bilik tidur sebelum mengunci diri.

Sebelum ini, katanya anaknya itu tinggal di Kedah bersama suami dan tiga anak sebelum pulang ke kampung untuk berpantang.

“Menantu (suami mangsa yang berada di Kedah) turut terkejut dengan kejadian itu kerana mereka baru sahaja selesai bercakap di telefon.

IKLAN

“Saya terpaksa bagi menantu bercakap dengan doktor untuk sahkan anak saya sudah meninggal dunia kerana dia tidak percaya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin, mengesahkan kejadian itu, dengan siasatan masih dijalankan.

“Setakat ini, siasatan terarah kepada mangsa meninggal dunia akibat menikam diri, namun kita akan jalankan siasatan lanjut,” katanya.

Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Sumber: Berita Harian 

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI