
Ibu gegar wad kecemasan pukul 4 pagi! Anak radang usus lepas minum 10 botol susu formula sehari – itulah pengalaman cemas seorang ibu muda yang tular di media sosial apabila berkongsi kisah anaknya mengalami radang usus akibat terlebih susu formula.
Ramai ibu bapa menganggap susu formula cukup lengkap untuk anak kerana diperkaya dengan vitamin dan mineral. Hakikatnya, kanak-kanak terutama yang berusia lebih dua tahun sudah memerlukan makanan tambahan seperti karbohidrat, protein, buah dan sayuran untuk menyokong tumbesaran sihat.
Menurut laporan Mstar, perkongsian seorang ibu dikenali sebagai Anis Amiza, anaknya minum sehingga 10 botol susu formula sehari, setiap satunya berisi 260 mililiter. Pada mulanya, si kecil hanya menunjukkan simptom cirit-birit dan muntah. Namun pada hari ketiga, keadaannya semakin teruk apabila terpaksa berak dalam keadaan menahan sakit.
Lebih membimbangkan, pada hari keempat anaknya mula berak berdarah sehingga lebih 20 kali sehari. Panik dengan keadaan itu, Anis terus membawa anak ke wad kecemasan pada jam 4 pagi.
“Doktor pakar sahkan usus anak luka dan alami keradangan kerana terlalu banyak minum susu formula. Malam itu saja 52 keping lampin habis sebab cirit berdarah. Memang menyesal, tapi itulah realitinya,” luahnya.
Susu formula sebenarnya selamat diminum, namun ia tidak boleh dijadikan makanan utama selepas anak berusia dua tahun. Pada usia ini, anak perlu dilatih makan makanan pejal bagi mendapatkan nutrisi lengkap.
Terlalu banyak susu formula boleh menyebabkan:
Radang dan luka pada usus.
Masalah cirit-birit atau sembelit.
Hilang selera makan makanan pejal.
Risiko obesiti kanak-kanak.
Anis menitipkan pesanan supaya ibu ayah lebih berhati-hati dan jangan terlalu mengikut kehendak anak. Katanya, sebelum anak dimasukkan ke hospital, si kecil sering mengadu sakit perut selepas minum susu tetapi tidak disedari itu tanda awal masalah.
“Kalau anak selalu sakit perut selepas minum susu, cuba kurangkan sukatan. Ganti dengan air kosong dalam botol atau limitkan kepada dua gelas sehari. Kalau nak beri kerap, biarlah dalam kuantiti sedikit,” jelasnya.
Kisah ini menjadi peringatan kepada ibu bapa bahawa kasih sayang bukan diukur dengan berapa banyak susu diberi, tetapi bagaimana kita memastikan anak mendapat nutrisi seimbang. Apa sahaja yang berlebihan tetap boleh memudaratkan, walaupun ia kelihatan baik.