Anak Saudara 7 Tahun Parah Dipukul Tukul, Suspek Ditemui Mati Gantung Diri

Share

Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun parah selepas dipercayai dipukul dengan tukul oleh bapa saudaranya sendiri dalam kejadian di sebuah rumah kedai di Jalan Kedai Jelawat, Bachok petang  semalam.

Menurut laporan Harian Metro, Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohd Azrie Sulaiman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 5.15 petang semalam

Menurutnya, mangsa dipercayai dipukul di bahagian kepala dengan menggunakan senjata tukul.

“Keadaan mangsa sangat kritikal dan dia telah dihantar ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, lelaki berusia 46 tahun yang disyaki memukul mangsa, dipercayai kemudian menggantung diri di Pantai Melawi, kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian.

Mayat suspek ditemui tergantung pada sebatang pokok rhu di pantai berkenaan dan kini sedang diuruskan oleh pihak forensik.

“Pada masa sama, mangsa masih berada dalam keadaan kritikal. Perkembangan lanjut kes akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Sumber: Harian Metro & Berita Harian

Published by
Nor Yusoff