Anak Sulung Tamat Pengajian Di Kolej Tuanku Ja’afar, Nora Danish Dan Bekas Suami Hadir Majlis Graduasi

Share

Dalam hidup berkeluarga, tak semua perjalanan mudah. Namun bila kasih dan tanggungjawab jadi keutamaan, keindahan tetap menyinar.

Begitulah yang boleh kita pelajari daripada pelakon jelita, Nora Danish, dan bekas suaminya, Datuk Rizal Ashram Ramli atau lebih dikenali sebagai Jejai. Menerusi beberapa InstaStory yang dimuat naik, Nora berkongsi detik-detik manis sewaktu menghadiri majlis graduasi Rayqal.

Majlis graduasi yang berlangsung penuh gemilang itu menjadi momen manis buat keluarga kecil ini apabila kedua-dua ibu bapa hadir memberikan sokongan penuh kasih buat anak tercinta. Biarpun sudah membawa haluan masing-masing, jelas terpancar kemesraan dan semangat kekeluargaan antara Nora dan Jejai demi menyambut kejayaan Rayqal.

Turut hadir ialah bekas bapa mertua dan Nora Danish, Tun Ramli Ngah Taib berserta isterinya di majlis tersebut.

Rayqal Kini Remaja

Putra Rayqal, yang kini sudah berusia 17 tahun, dilihat makin matang dan berkarisma. Dengan wajah mewarisi ketampanan ibu dan ayahnya, ramai netizen mendoakan agar Rayqal terus berjaya dalam kehidupan seterusnya, mungkin ke peringkat pengajian yang lebih tinggi pula selepas ini.

Ramai juga yang turut teruja dan tersentuh melihat Nora dan Jejai masih mampu bersatu hati demi kejayaan anak. Ruangan komen dibanjiri ucapan tahniah serta pujian atas kematangan dan kemesraan keluarga ini.

Pa&Ma Kata…

Kejayaan anak bukan hanya hasil usaha sendiri, tetapi turut datang dari sokongan, doa dan kasih sayang keluarga. Nora dan Jejai membuktikan bahawa walaupun berpisah, mereka tetap ibu bapa yang hebat buat anak mereka.

Buat para ibu ayah di luar sana, marilah kita ambil inspirasi dari mereka – jangan biar perbezaan memisahkan tanggungjawab sebagai ibu bapa. Yang penting, anak-anak tahu mereka tetap disayangi oleh kedua-duanya. 🌸

Untuk info, Nora dan Jejai pernah mendirikan rumah tangga pada 20 Jun 2006 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Putra Rayqal yang kini sudah pun berusia 17 tahun. Namun, perkahwinan itu berakhir pada 10 Julai 2008.

Nora kemudian berkahwin kali kedua dengan Mohamad Nedim Nazri pada 30 Mac 2017 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Mohamed Neqayl. Bagaimanapun, perkahwinan keduanya juga berakhir dengan perceraian pada tahun lalu.
Published by
Nana