Bila anak kecil tiba-tiba menjerit, meraung, baring atas lantai dan mula hentak kaki, ramai ibu bapa akan rasa malu, panik dan marah serentak. Situasi macam ni memang cukup menguji kesabaran. Lagi-lagi kalau berlaku di tempat awam, ramai orang tengok, dan kita mula rasa diperhati macam kita mak ayah yang tak reti didik anak. Tapi di sebalik semua tu, ada sesuatu yang penting untuk kita faham — anak kecil yang tantrum bukan nakal. Dia cuma belum tahu cara yang betul untuk luahkan perasaan.
Anak kecil, terutamanya dalam lingkungan umur satu hingga empat tahun, sedang berada dalam fasa perkembangan emosi yang sangat aktif. Otak mereka tengah berkembang, tapi belum cukup matang untuk proses perasaan dengan cara yang tenang atau rasional. Bila mereka rasa kecewa, marah, takut, terkejut atau letih, mereka tak tahu nak sebut apa yang mereka rasa. Jadi, emosi tu keluar dalam bentuk jeritan, tangisan, balingan barang atau hentakan kaki.
Sebagai ibu bapa, penting sangat untuk kita faham yang tantrum bukan tentang melawan kita. Ia bukan cabaran terhadap kuasa kita sebagai mak ayah. Ia adalah luahan emosi yang belum teratur. Bila anak tantrum, dia sebenarnya minta tolong untuk urus rasa yang dia tak faham. Dan waktu ni, dia perlukan kita — bukan untuk marah, tapi untuk bantu dia rasa selamat.
Ads
Cara kita respon pada tantrum anak sangat penting. Bila kita terus jerit atau marah, anak akan rasa lebih takut dan terasing. Tapi bila kita duduk sama paras mata dia, pegang tangan dia perlahan dan cakap, “Mama tahu sayang sedih. Mama ada kat sini,” kita sedang ajar dia bahawa emosi tak salah, dan kita boleh uruskan emosi tu sama-sama. Anak belajar melalui teladan, bukan arahan.
Ads
Ya, kita manusia biasa. Kadang kita pun letih, marah, kecewa. Tapi bila kita berjaya kawal diri, kita bukan saja elak kerosakan hubungan dengan anak, kita juga sedang didik mereka jadi manusia yang tahu beza marah dan menyakiti. Bukan mudah, tapi sangat berbaloi.
Ads
Jadi, bila anak kita mengamuk lain kali, ingatlah yang dia tak perlukan ibu yang sempurna. Dia cuma perlukan ibu yang tetap ada walau hatinya sedang kacau. Setiap kali kita peluk dia waktu dia marah, kita sedang bina dunia selamat untuk dia. Dan itu lebih berharga dari apa pun dalam hidup.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Biarpun banyak cabaran yang melanda dirinya, namun Bella Astillah atau nama sebenarnya Dayang Nabellah Binti Awang Astillah terus bangkit untuk meneruskan kehidupan bersama anak-anak dan keluarga tercinta. Wanita hebat ini tidak mahu tewas dalam ‘peperangan’ dalam hidup dan kini terus kuat dengan sokongan dari indan-insan yang menghargai dan menyayanginya.
Bukan mudah untuk membesarkan dua orang cahaya mata yang sedang membesar sendiri namun Bella kini membuktikan dirinya mampu dan terus mengorak langkah dalma kerjaya seninya.
Ibu kepada Ayden Adrean dan Ara Adreanna ini kini semakin rancak dengan pelbagai tawaran lakonan, nyanyian serta banyak diberikan kepercayaan untuk mewakili jenama-jenam terkenal. Bercerita tentang kehidupannya sekarang, menurut Bella yang turut menjadi salah seorang penerima anugerah Pa&Ma Gala Award 2024 – Best Mama Millennial yang diserikan oleh susu kambing Karihome, dia bersyukur dengan kehadiran banyak insan baik yang banyak membantu untuk menjaga Ayden dan Ara.
Ayden & Ara Penyeri Hidup Bella
Ketika ditanyakan tentang perwatakan anak sulungnya, Bella memberitahu Ayden seorang anak yang mudah dijaga dan sangat bertanggungjawab. Ada masanya Ayden yang banyak mengingatkan dirinya tentang sesuatu perkara. Ayden juga anak yang mudah kasihankan orang lain serta penyabar dan sangat menyayangi orang lain. Turut mengakui anak sulungnya seorang yang sangat sensitif dan mudah menangis.
“Ayden ni anak yang yang tak perlu dirusuh-suruh. Dia tahu apa yang perlu dia buat, bila perlu buat kerja sekolah atau tidur tanpa perlu Bella tanya-tanya. Bella tak pernah susah nak kejutkan dia bangun pagi untuk ke sekolah, tak pernah rasa terbeban.
Bella rasa Ayden tak nak susahkan Bella, kadang-kadang tu Bella rasa macam dia dah besar sangat. Kadang-kadang kalau Bella sibuk bekerja, nak baca skrip atau buat posting waktu malam, dia yang akan datang untuk ingatkan Bella dah sampai masa untuk tidur.”
Wanita kelahiran Sandakan, Sabah, ini juga turut melahirkan rasa syukur kerana tidak pernah merasa susah untuk menjaga anak-anaknya sendiri kerana Ayden dan Ara sangat pandai membawa diri.
Dia juga tidak menafikan, anak sulungnya itu kini umpama penjaga buat dirinya dan Ara. Tambah Bella lagi, dia bukanlah ibu yang garang tetapi cuba untuk menjadi tegas supaya kedua-dua anaknya akan lebih berdisiplin dan mendengar kata.
Bercerita tentang anak keduanya, Ara, dia seorang yang kuat merajuk. Selain itu, sebagai anak kedua Ara juga sering menyakat abangnya. Apabila bercerita tentang perangai mereka berdua jika dibawa berjalan, anak-anaknya banyak perangai.
“Bella nak kongsikan bila mana Bella bawa mereka keluar, mereka cerewet. Ada saja perangai, tapi kalau keluar bertiga hanya Bella, Ayden dan Ara, they will listen to me. Sangat behave dan tak susah. Mungkin sebab mereka manja dengan datuk dan nenek kan, jadi macam-macam perangai.
Bella selalu bawa mereka berjalan luar negara, hanya bertiga saja memang tak ada masalah. Sebab tu Bella percaya mereka ni faham dan tak nak susahkan Mummy mereka. Jadi Bella anggap itu satu achievement.”
Mama Penguat Semangat Bella
Sempat bertanya tentang burn out kepada ibu cantik ini, Bella memberitahu dia pernah mengalami situasi begitu tetapi tidak teruk. Untuk mengurangkan rasa tekanan yang dihadapi, Bella akan menangis dan keluar bersama ibunya.
“Bella akan menangis dan keluar dengan Mama. Bila bersama Mama tu, Bella akan luahkan semua apa yang Bella rasakan tapi Bella sebenarnya orang sangat mudah. Bila dah berkongsi perasaan dengan Mama, Bella akan move on.”
Mengambil kekuatan semangat dari ibunya, Bella memberita yang dia sudah melihat kesusahan wanita cekal itu sejak masih kecil. Tambah Bella, kehadiran ibu memberi impak yang besar dalam kehidupannya.
“Kenapa Bella sabar, kuat. Semuanya sebab Mama. Dari kecil tengok Mama kerja kuat dan boleh buat semua benda sendiri sebab waktu tu Ayah bekerja di Kuala Lumpur. Jadi Bella nampak kesusahan dia, tanpa harapkan bantuan orang lain. Selagi mana dia mampu, dia akan buat sendiri.
Bila tengok Mama susah dan kuta macam tu dulu, Bella rasa itulah yang membentuk diri Bella hari ini. Orang kata kalau nak anak-anak baik, kita sendiri kena jadi contoh yang baik. Jadi, itulah yang Bella belajar dari Mama. Bella nak jadi macam dia.”
Jatuh Air Mata Seorang Ibu
Ketika melihat video throwback yang Pa&Ma sediakan untuk dirinya, Bella tidak dapat menahan air mata dari jatuh berguguran. Betapa dia tersentuh melihat bagaimana begitu cepat masa berlalu dan anak-anaknya kini semakin membesar. Mengakui tidak mudah untuk melalui kehidupan baharu terutama untuk Ayden dan Ara yang masih kecil, namun dirinya perlu kuat untuk memastikan yang terbaik buat anak-anak.
“Baru-baru ni Ayden ada hari sukan sekolah, dia mungkin lihat orang lain bersama parents mereka tapi berbalik kepada apa yang bella katakan, syukur Bella masih ada Mama dan Ayah. Jadi kalau Bella hadir ke majlis sekolah, Bella pastikan bawa Ayah. Jadi Ayden masih ada figura seorang yang akan bersama-sama dengannya.”
“Jadi dia takkan rasa ‘kosong’ dan Ayden pun dah biasa dengan Bella. Mana-mana pun akan bawa dia. Pergi meniaga laksa ke, shooting ke, recording ke, memang akan bawa dia. Alhamdulillah, bila dia memang rapat dengan Bella jadi Ayden tak terlalu rasa perbezaan itu.”
Mengakui dirinya manusia biasa yang ada buat kesilapan tetapi Bella merasakan semua ibu adalah insan hebat. Semua ibu ada banyak tanggungjawab untuk membesarkan serta mendidik anak-anak.
“Bella ada peluang merasai semua pengalaman sebagai ibu, biarpun tak sempurna tapi Bella cuba yang terbaik untuk anak-anak. Untuk Ayden dan Ara, Mommy doakan supaya membesar jadi insan yang baik, hormatkan orang tua dan percayalah kena belajar rajin-rajin, ilmu tak pernah habis.
Fokus pada benda-benda penting dan selalu ada dengan Mommy. Mommy doakan kita terus bahagia dan dipermudahkan segala urusan dan terus sayangkan Mommy macam mana Mommy sayangkan Ayden dan Ara.”
Jom tonton video Bella di sini:
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kadang-kadang kita terlalu penat sampai tak sedar, kita marah anak sebelum dia masuk tidur. Kita rasa kita tengah ajar dia berdisiplin, tapi dalam diam, kita lukakan hatinya. Sedihnya, dia tidur dalam tangisan, dengan hati yang rasa tak disayangi.
Anak Bukan Robot, Mereka Pun Ada Rasa
Kita nak dia tidur awal, ikut rutin. Tapi bila suara kita naik, bila kita tak sempat peluk pun dia malam tu, sebenarnya kita biarkan dia terlena dalam kesunyian. Emosi anak waktu kecil inilah yang akan membentuk dia bila besar nanti.
Berapa Lama Sebenarnya Anak Kena Tidur?
Untuk anak umur 4 hingga 6 tahun, mereka perlukan tidur antara 10 ke 11 jam sehari. Waktu tidur ni sangat penting untuk pertumbuhan hormon, tenaga, dan mood dia. Anak yang cukup tidur akan bangun lebih ceria dan bersedia nak belajar serta bermain.
Mak Ayah Pun Nak Tidur Juga
Kalau anak tidur lambat, esok pagi mak ayah pun ‘berperang’ nak kejutkan dia bangun. Belum lagi kalau anak mengamuk sebab tak cukup rehat — semua orang jadi stress. Rutin tidur yang stabil boleh bantu elakkan semua ni.
Jadual Tidur Biar Konsisten, Bukan Ikut Mood
Kalau mak ayah dah tetapkan tidur pukul 9 malam, kena konsisten setiap hari. Jangan hari ni pukul 9, esok pukul 11, lusa pukul 10:30. Anak akan keliru dan sukar nak biasakan diri. Masa mula-mula memang susah, tapi percayalah — lama-lama akan jadi kebiasaan yang menyenangkan.
Anak Uji Kita, Jangan Mudah Kalah
Bila disuruh tidur, ada saja alasan: “Nak main lagi sikit…”, “Tunggu iklan habis…”. Jangan terus tolak, tapi gunakan permintaan dia sebagai sebahagian rutin. Contohnya: “Okay, boleh bawa satu je mainan naik katil.” Bila dah beri satu, jangan layan permintaan lain pula. Set sempadan dari awal.
Tegas Tapi Bukan Kasar
Bila anak dah baring, pastikan dia tak keluar masuk bilik sesuka hati. Kalau dia mula buat-buat alasan, beritahu dengan tegas tapi tenang: “Kalau keluar lagi, mama akan tutup pintu.” Kita tak perlu marah-marah, cukup dengan tindakan konsisten.
Puji Usaha, Bukan Hasil
Kalau anak dah mula bergerak ke bilik tidur sendiri, walau masih termenung atas katil — puji! “Bagusnya adik dah baring awal malam ni. Nanti esok boleh bangun segar!” Ayat-ayat positif ni akan buat anak rasa dihargai dan lebih mudah terima rutin.
Baca Buku, Bukan Berleter
Nak anak mudah tidur? Bacakan buku. Pilih cerita yang tenang, lucu atau penuh kasih sayang. Elakkan kisah hantu atau aksi lasak. Suara mak ayah masa baca buku tu sebenarnya terapi untuk anak lelap dengan senyuman.
Matikan Skrin, Buka Hati
Televisyen, tablet, telefon — semua ni boleh kacau rutin tidur anak. Lagi-lagi kalau ada abang kakak yang masih tengok TV. Seluruh keluarga kena main peranan. Bila semua ‘slow down’ pada waktu malam, lebih mudah anak kecil ikut rentak.
Tidur Awal, Anak Ceria, Mak Ayah Bahagia
Ingat ya mak ayah, ajar anak tidur awal bukan dengan marah-marah atau ugutan. Tapi dengan sabar, rutin, dan kasih sayang. Bila anak tidur lena, kita pun senang hati. Rumahtangga pun rasa lebih tenang setiap malam.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Isteri kepada usahawan Datuk Seri Aliff Syukri iaitu Datin Seri Shahida meluahkan rasa syukur dapat menunaikan zakat pendapatan untuk separuh tahun Januari hingga Jun.
Menerusi perkongsiannya di Instagram, Shahida turut kagum dengan anak sulungnya, Ammar Ahyan yang berjaya menjalankan tanggunjawab menyampaikan bantuan zakat bagi pihak mereka.
“Syukur alhamdulillah tercapai impian mama dengan papa menunaikan zakat pendapatan untuk separuh tahun 2025 Januari sehingga Jun kepada Lembaga Zakat Selangor.
“Malang nya mama dengan papa tak dapat hadir atas urusan lain. Jadi kami wakil kan Ammar Ahyan untuk ke majlis hari ini.
“Dah pesan awal awal dah protokol untuk majlis, takut dia kekok. Tapi Alhamdulillah awak nampak sangat matang Ammar,” katanya.
Dalam pada itu, Shahida berharap agar sumbangan zakat mereka dapat memberi manfaat kepada golongan Asnaf di Selangor.
“Semoga apa yang kami sumbangkan tahun ini sedikit sebanyak dapat membantu golongan Asnaf di negeri Selangor,” tambahnya lagi.
Kehadiran Ammar Ahyan turut mendapat perhatian ramai malah Ammar dilihat tidak kekok apabila diminta bergambar sama. Begitu juga ketika bersama penyanyi nombor satu negara, Dato’ Seri Siti Nurhaliza.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kisah benar seorang ibu tentang bagaimana karies botol menyebabkan semua gigi anaknya terpaksa dicabut melalui pembedahan. Ketahui punca, perjalanan emosi dan tips elak masalah sama.