Anak saya ada gejala tentang scabies (kudis buta). Saya ingin tahu bagaimana cara untuk merawat?
Ariesha Syaaa
gambar keadaan kaki anak saya
Jawapan;
Kudis buta adalah sejenis jangkitan kulit yang boleh berjangkit disebabkan oleh sejenis hama. Hama adalah sejenis makhluk seperti serangga yang membentuk laluan/terowong di bawah lapisan luar kulit. Hama bertelur di bawah kulit dan menghisap darah dari mangsanya.
Kudis buta dijangkiti melalui sentuhan langsung kulit ke kulit. Semua orang tanpa mengira peringkat umur terdedah kepada jangkitan ini. Kudis buta yang menjangkiti haiwan tidak boleh menjangkiti manusia, ia hanya akan menyebabkan ruam.
Rawatan
-Cuci pakaian dan cadar yang telah digunakan oleh orang yang dijangkiti dengan air panas.
-Masukkan perkara yang tidak boleh dicuci ke dalam beg plastik yang tertutup dan simpan selama sekurang-kurangnya tujuh hari untuk membolehkan hama dan telurnya mati.
-Perabut dan tempat tidur perlu dibersihkan dengan pencuci hampagas.
-Orang yang bergaul rapat dan tinggal bersama orang yang telah dijangkiti kudis buta harus dirawat pada masa yang sama.
Rawatan kudis buta termasuklah menyapu krim atau losyen seperti :
Ads
A. Permethrin 5%
Cara menggunakannya
-Sapu ubat ke seluruh badan termasuk kulit kepala, leher dan belakang telinga. Beri perhatian terhadap celah-celah jari kaki dan tangan dan di bahagian hujung kuku. Penggunaan berus kecil boleh membantu menyapu loyen ini.
-Bersihkan selepas 24 jam.
-Permethrin sepatutnya disapu sebanyak dua kali, dengan jarak selama satu minggu di antara rawatan.
-Ubat perlu disapu semula jika tangan dibasuh sebelum cukup 24 jam.
** Tidak boleh digunakan terhadap bayi berusia kurang dari 2 bulan.
Langkah berjaga-jaga
Elakkan ubat dari terkena mata.
Jangan disapu ke atas kulit yang luka atau dijangkiti kuman.
Dapatkan bantuan perubatan untuk bayi berusia 2 bulan hingga 2 tahun.
B. Losyen Malathion 0.5%
Cara menggunakannya
-Sapu ubat ke seluruh badan termasuk kulit kepala, leher dan belakang telinga. Beri perhatian terhadap celah-celah jari kaki dan tangan dan di bahagian hujung kuku. Pengunaan berus kecil boleh membantu.
-Bersihkan selepas 24 jam.
-Malathion sepatutnya disapu sebanyak dua kali, dengan jarak selama satu minggu di antara rawatan.
-Ubat perlu disapu semula jika tangan dibasuh sebelum cukup 24 jam.
Ads
Langkah berjaga-jaga
-Penggunaan serentak Malathion dengan krim lain.
-Elakkan ubat dari terkena mata.
-Jangan sapu ke atas kulit yang luka atau dijangkiti kuman.
-Dapatkan bantuan perubatan untuk bayi berusia kurang dari 6 bulan.
C. Gamma benzene hexachloride (or lindane)
Cara menggunakannya
-Sapukan satu lapisan nipis losyen dan urut supaya losyen menyerap dengan baik ke seluruh badan iaitu dari leher hingga jari kaki. Biarkan selama 8 hingga 24 jam.
-Mandi dan bersihkan ubat selepas jangkamasa tersebut.
Kontraindikasi
Ads
-Wanita mengandung dan bayi pramatang
-Wanita yang menyusukan anak
-Pesakit dengan sejarah penyakit epilepsy (sawan)
-Pesakit dengan berat badan yang rendah
Langkah berjaga-jaga
-Penggunaan serentak Lindane dengan krim lain
-Elakkan ubat dari terkena mata atau lapisan mukosa
-Jangan sapu ke atas kulit yang terlelas
-Jangan sapu losyen selepas mandi air panas yang bersabun
D. Benzyl Benzoate lotion (EBB)
Cara menggunakannya
-Mandi dengan air suam sebelum mula menyapu ubat supaya penyerapan lebih baik dengan liang roma yang terbuka.
-Sapu ubat ke seluruh badan kecuali muka dan celah kelangkang.
-Biarkan selama 24 jam dan bersihkan badan.
-Ubat perlu disapu semula jika tangan dibasuh sebelum cukup 24 jam.
-Perhatian Khusus
Kegatalan
Pesakit telah pulih dari jangkitan selepas rawatan selesai walaupun rasa gatal-gatal mungkin berlanjutan sehingga beberapa minggu
Rawatan untuk kegatalan mungkin diperlukan. Sapuan steroid boleh mengurangkan kegatalan dan keradangan.
Pencegahan
-Pengenalpastian dan rawatan segera penyakit ini sangat penting untuk mengawalnya daripada merebak.
-Pesakit yang dijangkiti sepatutnya dikecualikan dari ke sekolah sehingga selesai rawatan.
-Kudis buta boleh berjangkit semula, jadi adalah sangat penting untuk mengikut segala arahan rawatan dan membersihkan bahan yang tercemar dengan penyakit tersebut.
Dalam keadaan sekarang ini, boleh dikatakan ramai yang mengalami masalah batuk, demam dan selesema. Tambah pula dengan wabak Covid-19 yang masih belum reda ditambah pula dengan virus Influenza, ia agak merisaukan semua orang.
Ibu bapa yang anak batuk berpanjangan dan ada kesan sampingan lain, dinasihatkan terus bawa jumpa doktor untuk rawatan lanjut. Manakala bagi kita yang dewasa dan batuk masih tak elok, mungkin boleh tengok pada faktor ini.
Menerusi perkongsian di Twitter Farmacora, ini 7 jenis batuk dan maksudnya yang anda kena tahu dan berhati-hati.
Anda tahu tak batuk ada banyak jenis dan setiap jenis batuk itu ada maksudnya serta petanda kesihatan seseorang. Tak semestinya bila batuk sahaja, anda dah dijangkiti Covid-19.
Batuk adalah tindak balas normal badan terhadap sebarang kesan daripada faktor-faktor luaran. Batuk juga tanda amaran bahawa sesuatu yang tidak kena sedang berlaku kepada kesihatan kita.
1. Batuk dengan simptom selesema
Batuk ini merupakan simptom selesema disebabkan perubahan cuaca & disertai dengan hidung tersumbat, sakit badan atau sakit tekak.
2. Batuk berdarah
Batuk ini mungkin datang dari paru-paru atau saluran pernafasan. Batuk berdarah, boleh menjadi tanda penyakit lain yang berbahaya seperti kanser paru-paru.
3. Batuk basah
Sebab biasa batuk basah adalah bronkitis yang berlaku apabila saluran pernafasan membengkak dan menghasilkan mukus. Simptom ini biasanya berkaitan dengan virus dan boleh berlaku selepas seseorang kena selesema.
4. Batuk basah dengan demam
Ini kadangkala tanda radang paru-paru (pneumonia) yang termasuklah demam, menggigil, dan sesak nafas. Kahak mungkin berwarna hijau, kuning atau berdarah.
5. Batuk kering
Kalau selalu batuk pada waktu malam tanpa mukus dalam masa yang lama, ini adalah tanda asma. Simptom-simptom asma bagi kebanyakan orang adalah sesak dada, nafas berdehit dan sesak nafas
6. Batuk masam
Batuk selama lebih daripada 2 bulan dengan rasa masam adalah tanda GERD (penyakit gastroesophageal reflux). Ini biasanya berlaku apabila asid perut masuk ke dalam tekak.
7. Batuk perokok
Ini adalah tanda popular dalam COPD. Pesakit COPD mempunyai masalah dengan pernafasan disebabkan sekatan saluran pernafasan. Satu lagi simptom yang berkaitan dengan COPD adalah rasa sesak, nafas berdehit dan sesak nafas.
*Awasi tanda-tanda batuk ini dan dapatkan rawatan dengan cepat ya!
Ramai ibu yang sedang menunggu masa untuk melahirkan anak ‘terlupa’ untuk solat. Sedangkan selagi bayi belum keluar, diwajibkan untuk melaksanakan rukun Islam ini. Namun ada yang terlepas pandang dan menganggap bila kontraksi dan bukaan dah ada bermakna solat itu tak perlu.
Sedangkan waktu kita menunggu untuk ‘berjuang’ antara hidup dan mati inilah sepatutnya dilakukan dulu selain minta doa banyak-banyak agar Allah permudahkan semuanya.
Seperti yang dikongsikan oleh Pegawai Perubatan Kesihatan Wanita dan Kehamilan, Dr Muhammad Izzat , sebelum melahirkan bayi, ibu tetap wajib menunaikan solat. Begitu juga dalam perkongsian di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang turut menjelaskan hukum sebenar mengenai hal ini.
Soalan:
Apakah hukum bagi wanita yang keluar darah bercampur lendir beberapa hari sebelum bersalin? Adakah dia perlu mandi wajib dan bersolat? Bagaimana pula sekiranya air ketuban keluar secara berterusan sebelum bersalin?
Jawapan:
Sabda Nabi Muhammad S.A.W daripada Abdullah bin Mas’ud R.A:
إن أحدكم يجمع خلقه في بطن أمه أربعين يوما نطفة، ثم يكون علقة مثل ذلك، ثم يكون مضغة مثل ذلك، ثم يرسل الله إليه الملك، فينفخ فيه الروح ويؤمر بأربع كلمات: بكتب رزقه وعمله وأجله وشقي أو سعيد
Maksudnya: “Seseorang dari kamu ditempatkan penciptanya di dalam perut ibunya selama empat puluh hari, kemudian menjadi ‘alaqah selama itu pula (40 hari), kemudian menjadi mudhghah selama itu pula (40 hari); kemudian Allah mengutus seorang malaikat lalu diperintahkan empat kalimat (hal), dan dikatakan kepadanya: Tulislah amal, rezeki dan ajalnya, serta celaka atau bahagianya kemudian ditiupkan ruh kepadanya.”
Riwayat al-Bukhari (3208) dan Muslim (2643)
Hadis di atas menerangkan tentang proses kejadian manusia mengikut peringkat-peringkat tertentu di dalam rahim ibu sehinggalah proses kelahiran. Pakar perubatan mengatakan antara tanda-tanda awal proses kelahiran ialah keluar lendir bercampur darah keluar dari faraj, pecah air ketuban, sakit semakin kerap dan tempoh sakit semakin panjang. Rujuk: www.myhealth.gov.my
Berdasarkan persoalan di atas, apakah hukum lendir bercampur darah dan air ketuban yang keluar sebelum proses kelahiran ini?
Hukum darah yang keluar dari faraj wanita
Ulama’ membahagikan darah yang keluar daripada faraj wanita kepada beberapa kategori, di antaranya:
Pertama: Haid
Darah haid ialah darah tabi’e (semula jadi) yang keluar daripada pangkal rahim perempuan yakni darah itu keluar daripada rahim yang terletak di bahagian bawah saluran kencingnya semasa waktu sihatnya dan ia keluar pada hari-hari haid iaitu dalam tempoh haid selepas dia mencapai peringkat umur baligh. (Rujuk: Izalah al-Iltibas, hlm. 36).
Kedua: Nifas
Darah nifas ialah darah yang keluar daripada rahim perempuan ssetelah kosongnya rahim tersebut (tempat peranakan) daripada janin atau ketulan darah (‘alaqah) atau ketulan daging (mudghah) dan darah itu keluar sebelum berlalu masa 15 hari selepas bersalin, yakni walaupun yang keluar daripada tempat peranakan itu ialah ketulan darah (alaqah) atau ketulan daging (mudghah). (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383; Izalah al-Iltibas, hlm.803).
Ketiga: Istihadhah
Darah istihadhah ialah darah penyakit yang keluar daripada azal (hujung urat) yang berada di bawah rahim selepas tempoh sebanyak-banyak haid dan selepas tempoh sebanyak-banyak nifas, sama ada keluarnya istihadhah itu mengiringi kesan (bekas) darah haid atau tidak mengiringi darah haid. (Rujuk: Izalah al-Iltibas, hlm. 214).
Keadaan istihadhah:
Bagi darah istihadhah ada dua keadaan:
Pertama: Sama ada darah tersebut keluar berterusan selepas haid atau nifas yakni melebihi tempoh sebanyak-banyak haid atau nifas.
Kedua: Darah tersebut keluar bukan selepas haid atau nifas tetapi ia tidak memenuhi mana-mana syarat haid. (Rujuk: Izalah al-Iltibas, hlm. 219).
Hukum darah yang keluar dari faraj wanita sebelum bersalin
Secara kebiasaannya para ibu akan mengalami darah bercampur lendir keluar daripada rahim sebelum melahirkan. Ia merupakan salah satu tanda awal seseorang ibu akan bersalin. Darah ini keluar disebabkan terbukanya saluran ‘cerviks’ atau pangkal rahim dan juga pemisahan kantung bayi dari dinding rahim bahagian bawah. Darah ini akan bercampur dengan lendir yang juga dihasilkan oleh kelenjar di bahagian pangkal rahim.
Darah yang keluar kerana sakit hendak beranak ini dinamakan dam al-thalaq iaitu darah sakit hendak beranak. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383).
Menurut pendapat yang paling sahih dalam mazhab Syafie, darah yang keluar daripada faraj wanita sebelum beranak bukanlah dalam kategori darah haid atau darah nifas tetapi ia adalah darah fasad. Ini juga adalah pandangan ulama’ mazhab Hanafi dan Hanbali. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383; Al-’Inayah Syarh al-Hidayah, 1/165; Al-Insof, 1/392).
Berkata Imam al-Nawawi: “Dan darah yang kelihatan (keluar) kerana al-thalaq (kesakitan beranak) itu bukanlah darah nifas dan bukan juga darah haid mengikut pendapat yang sahih”. (Rujuk: Raudhah al-Tolibin, 1/175)
Berkata Imam Ibnu Hajar al-Haitami: “Darah ini tidak dinamakan darah haid atau darah nifas kerana ia merupakan kesan daripada kesakitan hendak beranak. Dan juga tidak dinamakan darah nifas kerana darah tersebut keluar sebelum kelahiran sepenuhnya anak tersebut yakni darah itu keluar bersama keluarnya anak. Jadi kedua-dua darah tersebut ialah darah yang keluar semasa sakit hendak beranak dan darah yang keluar bersama kelahiran anak adalah dam al-thalaq (darah rosak) kecuali sekiranya darah tersebut berhubung dengan darah haid yang sebelumnya, maka ia dihukumkan darah haid (sekiranya menepati syarat-syarat haid)”. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383).
Justeru, di sisi mazhab Syafie hukum darah yang keluar sebelum bersalin ialah darah fasad (rosak) dan bukannya darah haid atau darah nifas. Namun, sekiranya darah tersebut bersambung dengan darah haid sebelum itu dan mencukupi syarat-syarat darah haid maka ia dianggap darah haid kerana wanita yang hamil juga didatangi haid menurut pandangan yang sahih dalam mazhab syafie . (Rujuk: Nihayah al-Muhtaj, 1/355).
Oleh itu, hukumnya adalah seperti hukum orang yang beristihadhah iaitu wajib bagi wanita tersebut membersihkan diri daripada najis, berwudhuk dan mengerjakan solat seperti biasa. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha:
عن عائشة رضي الله عنها قالت: (جاءت فاطمة بنت أبي حبيش إلى النبي صلى الله عليه وسلم، فقالت: يا رسول، إني امرأة أستحاض فلا أطهر، أفأَدَعُ الصلاة؟ قال: ((لا، إنما ذلك عِرْقٌ وليس بحيضٍ، فإذا أقبَلَت حيضتُك فدَعِي الصلاة، وإذا أدبَرَت فاغسلي عنك الدم ثم صلِّي )
Maksudnya: “Diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha: Telah datang Fatimah binti Abi Hubaisy menemui Rasulullah S.A.W dan berkata: “Wahai Rasululullah, aku adalah seorang perempuan yang beristihadhah dan oleh kerana itu, aku tidak suci. Adakah aku perlu meninggalkan solat?”. Sabda Nabi S.A.W: “Janganlah kamu meninggalkan solat, hanyasanya istihadhah itu adalah sejenis darah penyakit dan bukannya darah haid. Apabila haid datang, maka engkau tinggalkanlah solat dan apabila ia putus yakni berhenti, maka bersihkanlah dirimu daripada darah tersebut dengan mandi dan hendaklah engkau menunaikan solat”.
Riwayat al-Bukhari (255)
Justeru, wajib bagi orang yang beristihadhah atau orang mengambil hukum istihadhah melakukan perkara berikut sebelum menunaikan solat:
Membasuh faraj. Menyumbat faraj dengan kapas atau seumpamanya supaya darah tidak menitis keluar. Wajib membalut faraj dengan kain atau seumpamanya yang boleh menahan darah daripada mengalir keluar. Bersuci dengan berwudhuk atau bertayammum. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/278)
Hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin
Definisi Air Ketuban
Air ketuban atau dikenali sebagai cecair amniotik dalam istilah perubatan ialah cecair jernih yang berwarna agak kekuningan yang meliputi janin di dalam rahim sepanjang proses kehamilan, ia berada di dalam kantung ketuban dan mempunyai banyak fungsi.
Hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin
Para ulama’ mengatakan bahawa air ketuban tidak termasuk dalam kategori nifas, kerana darah nifas ialah darah yang keluar daripada rahim wanita. Sedangkan air ketuban ialah ialah cecair yang berada dalam kantung ketuban yang meliputi janin. Justeru air itu keluar akibat daripada pecahnya kantung ketuban untuk memudahkan proses bersalin.
Di sisi mazhab Syafie hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin adalah najis dan boleh membatalkan wudhuk kerana semua perkara yang keluar daripada dua jalan adalah najis dan boleh membatalkan wudhuk. Ini juga adalah pandangan jumhur ulama’ dan pandangan yang muktamad di sisi mazhab Maliki. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/111; Bada’ie al-Sona’ie, 1/24; Hasyiyah al-Dasuqi, 1/175; Syarh Muntaha al-Iradat, 1/73).
Berkata Imam Khatib al-Syarbini: “Salah satu daripadanya (perkara yang membatalkan wudhuk) ialah keluarnya sesuatu daripada qubul dan dubur kecuali mani. Yang dimaksudkan sesuatu itu ialah keluar sesuatu samada dalam bentuk zat (ain) atau angin, yang suci yang atau yang bernajis, yang kering atau basah, yang keluar secara kebiaasaan seperti seperti kencing atau secara jarang-jarang, yang sedikit atau banyak, yang keluar secara semulajadi atau dipaksa”. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/111).
Berkata Imam al-Dasuqi: “Dan wajib berwudhuk apabila keluarnya ia (air ketuban) iaitu darah putih yang keluar ketika dekatnya proses bersalin kerana hukumnya sama seperti hukum air kencing”. (Rujuk: Hasyiyah al-Dasuqi, 1/286).
Justeru, di sisi mazhab Syafie, hukum air ketuban adalah najis dan boleh membatalkan wudhuk. Maka wanita itu perlu bersuci terlebih dahulu untuk menghilangkan najis tersebut dan berwudhuk seperti biasa sebelum solat jika air ketubannya sudah kering. Namun sebegitu, sekiranya air ketuban itu berterusan keluar, maka hukumnya adalah seperti hukum istihadhah, maka diwajibkan bagi para wanita menjaga beberapa perkara sebelum menunaikan solat sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini.
Cara Mengerjakan Solat Ketika Sakit
Oleh itu, tetap diwajibkan ke atas wanita untuk menunaikan solat ketika dia sakit hendak beranak, walaupun setelah keluar air ketuban atau darah daripada faraj sebelum beranak kerana darah itu dihukumkan sebagai darah rosak.
Sekiranya dia tidak mampu untuk solat secara berdiri, maka solat secara duduk, sekiranya tidak mampu maka solat secara mengiring di atas lambung kanan, sekiranya tidak mampu maka solat secara berbaring menelentang dan sekiranya tidak mampu maka solat melalui isyarat mata. Hal ini sebagaimana hadis nabi S.A.W yang diriwayatkan daripada Imran bin Husain R.A berkata, aku menghidap penyakit buasir lalu aku bertanya kepada Rasulullah S.A.W berkenaan solat. Baginda S.A.W bersabda:
Maksudnya: “Bersolatlah secara berdiri, jika tidak mampu lakukanlah secara duduk dan jika tidak mampu juga lakukanlah secara mengiring di atas lambung kanan.”
Riwayat al-Bukhari (1066)
Namun begitu, sekiranya keadaannya sangat sakit sehingga tidak mampu untuk mengerjakan solat, maka wajib ke atas wanita itu menqadha’ solatnya kelak.
Setelah meneliti perbahasan di atas, kami simpulkan masalah ini kepada beberapa perkara:
Di sisi mazhab Syafie, darah yang keluar sebelum bersalin atau dam al-thalaq dihukumkan sebagai darah fasad (rosak) iaitu hukumnya seperti hukum istihadhah. Justeru diwajibkan ke atas wanita untuk menunaikan solat kerana kewajipan solat tidak gugur. Namun, sekiranya darah tersebut bersambung dengan haid yang sebelumnya maka ia dihukumkan sebagai darah haid (sekiranya mencukupi syarat-syarat haid).
Hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin ialah najis dan boleh membatalkan wudhuk. Oleh itu diwajibkan ke atas wanita untuk bersuci kemudiannya menunaikan solat setelah air ketubannya kering. Namun sekiranya air ketuban itu keluar secara berterusan maka hukumnya adalah seperti hukum istihadhah.
Diwajibkan bagi wanita yang mengalami keadaan-keadaan istihadhah seperti yang telah disebutkan sebelum ini untuk menjaga beberapa perkara yang perlu dijaga oleh seseorang yang beristihadhah sebelum menunaikan solat (sebagaimana yang telah disebutkan di atas).
Sekiranya seseorang wanita tidak mampu untuk menunaikan solat kerana sakit hendak beranak, maka hendaklah dia solat mengikut kemampuannya iaitu samada solat secara duduk atau berbaring di atas lambung kanan atau berbaring menelentang atau melalui isyarat mata. Namun sekiranya dia tetap tidak mampu untuk bersolat, maka wajib ke atasnya untuk menqadha’ solatnya itu kelak. Wallahu a’lam.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ibu ayah mana yang tak susah hati bila anak demam. sekejap-sekejap kita akan tengok suhu anak untuk pantau sama ada terlalu panas atau tidak. Kalau dibiarkan, risau pula anak diserang sawan. Pendek kata, kalau anak demam ni tak tidur malam ibu ayah dibuatnya.
Terdapat beberapa jenis makanan dan minuman yang sangat elok diamalkan ketika anak tak sihat. Bila diberikan pada anak yang sedang demam, ia dapat membantu mengembalikan kesegaran tubuh yang kelesuan. Maklumlah waktu demam ni tak berselera nak makan.
Melalui perkongsian Dr. Mazliana Mazlan, beliau berkongsi 10 makanan dan minuman yang sesuai diberikan kepada anak yang sedang demam. Pilihan menu yang ringan dan sesuai diberikan kepada anak yang reject makanan semasa tak sihat.
Ikuti penjelasan lanjut beliau;
RISAU ANAK DEMAM
Kita sangat tak tenteram bila anak demam. Nak tengok anak badan panas lagi, makan pun kadang anak taknak. Risau anak tak ada tenaga jugak. Kita kalau demam, pun tak lalu makan. Anak pun sama jugak kisahnya.
Tak perlu paksa anak yang demam untuk makan kalau diorang taknak k. Kita cuba cari pilihan makanan yang lebih ringan, dan lebih sesuai kalau anak tak berapa lalu sangat nak ambil makanan berat.
Sediakan 10 makanan macam ni bila anak demam:
1. Air kelapa sumber hidrasi utama
2. Madu sebagai ejen antibakteria dan antifungal
3. Air probiotik untuk naikkan imuniti
4. Keledek untuk sumber tenaga
5. Oren tinggi vitamin C
6. Pisang sumber tenaga ekspres
7. Telur untuk tahan lapar
8. Bubur ayam kalau anak nak makan nasi
9. Sup atau singgang banyakkan rempah ratus yang melawab jangkitan kuman
10. Aiskrim buah tanpa gula untuk sejukkan tekak
BERI ANAK REAL FOOD
Selain ubat, makanan sangat perlu kita titikberatkan waktu anak demam. Hanya real food untuk anak. Makanan tinggi proses, elakkan terus ye waktu anak demam. Makin lambat anak nak sembuh. Demam ni bagus, tanda badan anak aktif untuk melawan benda asing yang ada dalam badan mereka.
Kalau kita selalu bajakan tubuh anak dengan real food, insyaAllah imuniti kuat, anak mudah nak sembuh. Andai kata kadang tu, bila anak susah sangat nak sembuh bila demam, cuba sesekali kita check balik, apa sebenarnya yang anak makan.
Ubah sikit je, insyaAllah akan nampak hasil yang ketara. Kita cuba sama-sama ya, cari pilihan makanan yang baik buat anak-anak terutama waktu anak demam.