Anak-anak tidur dengan ibu ayah adalah perkara biasa. Ada beberapa faktor yang menyebabkan kebanyakan pasangan merasa kurang selesa untuk membenarkan anak-anak untuk tidur sendiri. Ketika masih kecil, tiada masalah untuk tidur bersama. Tetapi sebaik-baiknya, latihlah anak untuk berdikari dan tidur sendiri seawal usia mereka dua tahun.
Apabila kita berkongsi bilik tidur dengan anak-anak, ia sebenarnya boleh mengganggu kemesraan suami isteri. Bilik tidur adalah satu tempat yang paling sesuai untuk mengeratkan hubungan antara suami dan isterinya. Akhtar Syamir, penulis kekeluargaan, ada berkongsi tentang hal ini di laman Facebooknya.
TEMPAT TIDUR – RUANG PRIVASI SUAMI ISTERI Tempat tidur. Sedar atau tidak, ibu-bapa yang terlalu menurut kemahuan anak untuk tidur bersama si ibu sebenarnya sedang menyumbang kepada keretakan perhubungan sesama pasangan.
Kesian, tak sampai hati, tak suka dengar anak melalak sebab tak nak tidur asing sentiasa menjadi alasan yang menyebabkan suami dan isteri tidur berasingan.
PERLU RASA KEHANGATAN TUBUH PASANGAN KETIKA TIDUR Tidur berasingan ini sangat tidak baik sebenarnya. Mungkin ramai yang rasa waktu tidur adalah waktu tidur sahaja. Tetapi tidak. Waktu tidur adalah waktu di mana suami dan isteri sepatutnya berada di dunianya yang tersendiri.
Ads
Terasa kehangatan badan pasangan yang dicintai berada di sebelah. Segala sentuhan, pelukan, dakapan, urut-urutan dan usap-usapan menjadi sesuatu yang sangat bermakna dalam perhubungan.
BUKAN SOAL SEKS TAPI MASA PERIBADI BERSAMA Berhentilah mencari sebab kenapa anda dan pasangan tidak lagi ada perasaan seperti dulu. Cuba tengok antara benda terpenting di dalam perkahwinan, iaitu di bilik tidur dahulu. Saya bukan bercakap mengenai seks. Saya bercakap mengenai masa peribadi bersama. Di siang hari, masing-masing sibuk dengan kerja dan anak. Kenapa di malam hari jugak disibukkan dengan hal yang sama?
Kemudian, sesi “Pillow Talk” juga susah untuk dibuat. Takut anak terjaga.
SEAWAL USIA ANAK 2 TAHUN SUDAH BOLEH PISAH TIDUR Pisahkan tempat tidur anak. Umur 2 tahun sepatutnya sudah boleh dipisahkan. Memang susah pada mulanya, saya faham. Tetapi benda ni memang penting untuk dilakukan. Jangan kita dibuli anak sendiri. Jangan pisahkan tempat tidur anda dan pasangan.
Ads
Memang nampak macam selalunya suami akan mengalah. Tetapi anda sebenarnya dalam kerugian. Jangan pelik jika suami anda akan kurang berasa sayang apabila setiap hari tidak tidur bersama isterinya. Mereka terasa sebenarnya.
Saya harapkan, kepada pasangan yang sedang dibuli oleh anak ini dapat berubah. Kita ibu-bapa, kita yang mencorakkan anak. Jangan terus biarkan diri dibuli.
Pada umur berapakah anak anda mula tidur sendiri? Jom kongsikan cara anda pisahkan anak.
Ada benarnya perkongsian ini. Kadang-kadang waktu nak tidur lah masa paling sesuai untuk kita berkongsi segala hal dengan pasangan. Inilah waktu terbaik untuk saling berkongsi perasaan dan masalah yang ada. Perbincangan di dalam bilik tidur juga boleh dilakukan dalam suasana yang lebih tenang dan mendamaikan.
PA&MA JOURNEY BERSAMA JOVIANNINA BERMULA 26 OGOS 2020
Pa&Ma Musim ke-8 kembali lagi di kaca tv menemani anda! Kali ini, kami membawakan edisi Pa&Ma Journey Bersama JovianNina. Jom kosongkan jadual malam Rabu anda dengan menonton gelagat mereka pada jam 9 malam, hanya di Astro Ria saluran 104 & 124. Set kalendar anda sekarang yaa!
Kerja seorang isteri memang tak mudah. Lagi-lagi yang berkerjaya dan mempunyai anak yang ramai. Ini diakui oleh suami kepada pelakon Yana Samsuddin, Fadzil Zahari yang membuat satu cabaran untuk dirinya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Dalam perkongsian Fadzil menerusi akaun Instagram miliknya, dia telah menggalas tugas isteri sepanjang PKP yang bakal masuk fasa ketiga bermula esok.
Dalam posting itu juga dia mengakui menguruskan hal rumah tangga bukan satu tugas yang mudah malah ia memenatkan.
Assalam hangpa, salam maghrib… lama tak update socmed ni huhu.. abang bz buat challenge sendiri ni 🤣 start #StayAtHome 18mac tu abang cakap dengan isteri.. la ni i tak boleh pi ofis selama 2minggu ni u takyah risau, semua kerja rumah i buat, u tak payah buat apa pun, u lepak ja.. isteri senyum la dah abang offer macam tu. dia tengok Nat Geo saja😅 tengok orang masak macam2 pastu dia pulak teringin huhu..
dapoq abang kemas, bilik abang kemas, pinggan mangkuk abang cuci, sampah abang buang, baju semua abang basuh sidai dan lipat. anak abang mandikan, buat susu bagi makan.. tak berhenti dari pagi sampai malam, pinggan mangkuk tak penah takdak kat sinki tu. ada masa sikit curi2 buat kerja kat laptop, kerja jalan macam biasa jugak, meeting online dengan client, proposal dan reply whatsapp berlambak2
keputusan dia hangpa tau dak apa? PENAT… cuba bayangkan selama ni isteri hangpa buat sorang2 ja semua hal rumah tu.. bayangkan mak mak kita dulu2… kami baru anak sorang dah penat, bayangkan yang ada anak ramai?😅😅 so dok ada lagi 2 minggu PKP ni rajin2 la tolong isteri atau tolong mak hangpa tu. jangan la dah besaq bujang menyusahkan mak lagi…
Comel je kalau suami offer diri nak buat kerja-kerja rumah. Isteri mesti senyum gembira. Bolehlah lepaskan lelah walaupun sekejap. Ternyata apa yang dibuat oleh Fadzil ni bagus untuk diikuti oleh suami yang lain.
Dalam pada itu, ayah kepada Aisy Mateen ini juga turut menyeru kepada anak-anak yang masih bujang untuk turut menolong ibu di rumah dan tidak menyusahkan ibu lagi kerana sudah besar panjang.
Setiap orang punya ujian dan dugaan yang berbeza-beza. Meskipun tidak diuji dengan kesusahan, kesenangan itu sendiri juga merupakan ujian untuk kita membantu orang-orang yang memerlukan.
Dalam satu perkongsian yang dibuat oleh Zairul Eizam cukup menyentuh hati. Dalam perjalanan di sebuah lebuh raya, dia terserempak dengan sepasang OKU yang hanya bermotorsikal membawa dua orang anak yang masih kecil.
Pasangan tersebut meredah lebuh raya dari Ampang menuju ke rumah mereka di Bukit Subang selepas mendapatkan rawatan daripada Hospital Ampang bayi mereka mempunyai masalah pendengaran. Lebih menyedihkan anak yang sulung juga walaupun nampak mempunyai masalah speech delay.
Dua kali saya menangis dengan asbab yang berlaku. Luluh hati.
Sekitar waktu maghrib semalam, tengah laju bawa motor dekat Highway Guthrie, perasan ada satu motor ni menunggang macam tak stabil. Dalam hati apa ke halnya ni. Bahaya betul.
Sepintas lalu, saya toleh ke sebelah kiri. Sepasang suami isteri dengan seorang kanak-kanak di depan penunggang dan ada sepasang kaki terjulur di antara pembonceng belakang.
“Allahu, ada baby”.
Saya terus berhenti tepi dan menyonsang ke belakang, pergi ke arah motor tadi. Dalam hati, Ya Allah, nasib tak jadi apa-apa. Kalau sebab tak stabil, boleh jatuh motor tu.
“Bang, kenapa ni”. Tanya saya.Terpinga-pinga nak jawab soalan. Lantas si isteri tadi, bagi bahasa isyarat yang mereka tak boleh bercakap.
Tersepak di lamunan. Pasangan suami isteri ini OKU Pendengaran. Mereka hanya mampu berbahasa isyarat. Saya ke arah tayar belakang. Rupanya angin tayar kurang.
Terus dapat idea, saya keluarkan handphone dan taip apa yang berlaku. Kemudian saya tanya rumah di mana. Si isteri yang sedang kendong baby, cuba membalas soalan saya.
“Bukit Subang”.
Kebetulan ada pakcik turut sama bantu dan bagi cadangan supaya tukar motor. Saya bawa motor mereka dan mereka sekeluarga naik motor saya. Terus setuju, sekurang kurangnya, mereka selamat sampai ke rumah. Pak cik tu sempat hulur not 10 pada si suami.
Saya tonjol dari belakang sampailah ke Caltex Denai Alam untuk bantu isi angin tayar. Sempat juga saya tanyakan pada si isteri kerja di mana.
Yelah saya beranggapan, mungkin mereka bekerja dan hantar ke rumah pengasuh yang berdekatan dengan tempat kerja. Tapi sangkaan saya meleset. Jawab si isteri,
“Tak kerja. Kami dari Hospital Ampang. Check up baby. Ada masalah hearing”.
Terus saya menangis. Berkata dalam hati. Apa Tuhan nak tunjuk pada aku ni. Saya terus taip di Whatsapp, nyatakan bagi saya bawa motor si suami ni, sampai ke rumah. Mereka bersetuju.
Sampai di premis perumahan flat kos rendah berdepan Surau Al Mahdi, Taman Bukit Subang, Shah Alam. Saya parkir dan serahkan kunci motor mereka. Saya nekad nak bantu mereka. Saya nyatakan yang saya nak tulis cerita di Facebook untuk bantu mereka. Dengan izin Allah, bantuan sampai.
Bila mana saya nyatakan begitu, si isteri dan suami tadi mengalirkan air mata. Mungkin merasakan sesuatu yang tidak disangka-sangka. Mereka juga maklum, anak sulung, sempurna tapi ini speech delay. Tak semena-mena saya sekali lagi menyeka air mata melihat si ibu mengendong Nur Jannah dan si ayah memimpin Muhammad Ziyad Wafi.
Kawan-kawan, jika datangnya peluang untuk kita bantu, kita cepat-cepat hulurkan bantuan. Yakinlah. Dengan kudrat yang kita ada, waimah dengan berkongsi entri ini atau berkongsi wang ringgit yang ada ianya akan memudahkan urusan dan tugasan keluarga ini.
Bagi kalian yang ingin membantu, saya sertakan nombor akaun dan nombor telefon si ayah.
12234020181048 – Bank Islam (Zubair Mohammad)
0129414966 – En. Zubair Muhammad
Facebook – Zubair Muhammad
Selain tu, saya lampirkan foto dan video untuk tontonan kalian semua. Terima kasih. Moga Tuhan permudahkan segala urusan dan tugasan kita semua.
Dalam perkongsian terbaru Zairul di Facebooknya juga, dia turut membantu menguruskan beberapa hal berkaitan pasangan ini termasuklah urusan rawatan anak pasangan ini yang telah ditukarkan ke Hospital Sungai Buloh. Selepas ini mereka tidak perlu lagi ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan.
Seorang suami harus menjaga kebajikan isterinya sejak dari hari pertama bernikah sehingga bila-bila. Ketika isteri diminta untuk berhenti kerja dan menguruskan rumah tangga, pastikan anda bersedia dengan kemungkinan yang bakal berlaku. Apakah cabaran sepanjang perkahwinan?
Ikuti perkongsian penuh manfaat dari Akhtar Syamir ini:
Ramai suami yang tidak sedar, mereka membogelkan isteri sendiri sehingga menjadi papa kedana.
Yang saya maksudkan dengan ayat di atas ialah, seorang isteri yang sebelum ini mempunyai segala-galanya menjadi tidak mempunyai apa-apa.
Sama ada dalam masa yang singkat, atau pun dalam jangka masa yang panjang. Sedikit, demi sedikit kepunyaan isteri diambil.
Kita bukan berbicara mengenai harta benda sahaja, tetapi dari segi keupayaan isteri untuk berdikari.
Sebelum berkahwin, si isteri ada kerjaya, ada kereta atau kenderaan sendiri, ada barang kemas dan duit simpanan. Lengkap hidup seorang wanita untuk meneruskan kehidupan seorang diri.
Sehinggalah dia bertemu dengan kekasih hati yang diharap dapat melengkapkan lagi perjalanan hidup dirinya di muka bumi ini.
“Sayang tak perlu kerja, Abang boleh sara hidup sayang. Duduk rumah je nanti jaga anak-anak kita”.
Gelap mata sekejap si isteri membayangkan “impian” ramai wanita, menjadi isteri yang taat dan bermain dengan anak setiap hari waktu suami keluar mencari rezeki.
Senario itu terpancar di minda isteri yang menganggap “akhirnya, aku akan lalui saat indah ini”.
Persetujuan diberi, isteri meletakkan jawatan. Satu pengorbanan dari si isteri dan ada yang terlupa, sebenarnya satu kehilangan punca pendapatan buat si isteri.
Kerja sudah berhenti, bagaimana nak bayar ansuran kereta? “Jualkan sahaja. Kalau bernasib baik, dapat duit lebih. Boleh bantu beli barang rumah”, usul si suami.
Kereta itu pun dijual. Satu lagi pengorbanan isteri. Tetapi ramai yang terlupa, sebenarnya ini satu kehilangan di dalam keupayaan untuk berdikari.
Saban hari dan tahun, kehidupan menjadi susah. Bukan semua orang mampu membesarkan keluarga dengan 1 punca pendapatan. Ada yang terpaksa meminta bantuan isteri menjual dan menggadaikan barang kemasnya apabila simpanan peribadinya sudah habis.
Benar, keluarga itu tanggungjawab bersama. Ramailah yang mencanang ayat ini sambil berjalan ke pajak gadai. Tinggallah isteri menangis redha di rumah dengan tiada apa-apa lagi di badan serta akaun yang kosong tiada pendapatan.
Nafkah? Suami tak mampu. “Tak nampak ke yang abang kerja siang malam pagi petang nak cari duit untuk bagi kita makan? Nak nafkah apa lagi? Dah ada rumah, tak kebulur pun dah cukup bagus tau tak?”
Benar, isteri perlu beri keredhaan supaya berkat bantuan yang diberikan. Ramai isteri yang redha. Ramai juga yang redha sehingga bogel tiada apa lagi yang tinggal.
Yang suami tidak sedar, segala bantuan, pengorbanan itu sebenarnya dalam masa yang sama, membuatkan isteri secara individunya jatuh miskin papa kedana tanpa apa-apa. Yang tinggal hanyalah suami dan anak-anak jika ada.
Masalah timbul apabila suami meninggal dunia. Di waktu hidup pun sudah tidak punya apa-apa, apatah lagi apabila sudah tiada?
Si isteri hilang segala-galanya. Punca pendapatan tiada, kenderaan tiada, harta benda tiada. Kerjaya pun tiada. Nak mula bekerja, umur pun sudah lanjut dan tidak tahu apa kerja yang boleh dibuat kerana selama ini bergantung penuh kepada suami.
Bagaimana nak meneruskan kehidupan? Jika ada anak, bagaimana nak beri mereka makan? Nak tidur di mana?
Ditanya mengenai pewaris KWSP, ditempelak dituduh tak sabar nak suami mati.
Dicadangkan tukar penama dari ibu kepada isteri untuk waris rumah, dimarahi kerana gilakan harta.
Diusulkan supaya buat hibah, tidak diendahkan dan menggagap si isteri hanya fikir si suami mati sahaja.
Insurans nyawa? Tiada kesedaran langsung.
Apa sahaja isteri yang telah dibogelkan ini warisi? Hutang. Rumah yang masih hutang, kereta yang masih hutang, perabot yang masih hutang. Semua itu akan hilang dalam masa sebulan dua.
Itu situasi yang “tidak sedar”. Bagaimana pula dengan situasi yang sedar?
Ulangi semua situasi di atas, tetapi kesudahannya bukan kematian suami, tetapi penceraian atau suami berkahwin lagi.
Buat yang masih bertanggungjawab untuk memberi nafkah anak-anak, mungkin dapat membantu. Tetapi bagaimana dengan isteri yang telah tiada apa-apa ini? Hendak memulakan kehidupan baru di pertengahan usia atau setelah beberapa tahun kahwin sangatlah susah. Tiada harta benda, tiada kenderaan dan pekerjaan. Umpama kehidupan setelah butang reset ditekan.
Apabila tiada apa-apa yang tinggal, inilah yang saya maksudkan dengan isteri yang dibogelkan dan menjadi papa kedana.
Ada juga kes membela biawak hidup, tetapi tidak perlu saya huraikan di sini kerana semua sedia maklum apakah maksudnya. Yang menjadi mangsa tetap si isteri.
Tidak ketinggalan kes di mana suami membuat pinjaman atas nama isteri. Tak kiralah pinjaman kereta, rumah atau pinjaman peribadi. Apabila berpisah, apabila suami tiada, semuanya iateri yang menanggung.
Namun, tidak adil jika kita beri semua keadaan ini tanpa jalan penyelesaian. Ini kerana, dalam kehidupan ini, kita pasti akan diuji. Yang penting, kita perlu bersedia.
Bagaimana nak elakkan dari membogelkan isteri?
1. Waris KWSP letak nama isteri. Benar ia bukan hak mutlak isteri dan perlu melalui proses faraid selepas itu. Tetapi yang penting, proses itu menjadi tidak susah.
2. Waris penama pinjaman rumah LTAT dan yang seangkatan dengannya letaklah nama isteri dan bukannya nama ibu lagi. Ramai yang tidak ambil peduli bab ini dan apabila terjadi apa-apa pada suami, tempat tinggal pun isteri tiada.
3. Jangan sekat jika isteri mahu belajar kemahiran baru selepas berkahwin. Mungkin dia minat menjahit, minat memasak, minat berniaga, minat berniaga online. Ini semua skill dan kemahiran yang akan membantu dia apabila dia tinggal seorang nanti. Tidaklah hidup dia terkontang-kanting tidak tahu apa yang boleh dilakukan.
4. Buatlah hibah untuk isteri. Tak kira lah RM50k ke, RM100k ke atau lebih lagi. Sekarang hibah ini sudah semakin mudah untuk dibuat dan komitmen bulanan hanya RM 50 dan mungkin ada yang lebih rendah lagi. Nampak ratus ribu tu macam banyak, sebenarnya tidak. Menyara anak-anak seorang diri bukanlah mudah dan memerlukan wang ringgit yang banyak.
5. Berpada-pada apabila meminta bantuan. Jangan ambil jalan mudah apabila memerlukan sesuatu. Jangan jadikan isteri tempat untuk merealisasikan keinginan.
6. Sentiasalah ambil berat tentang nafkah isteri. Ini adalah wajib. Jangan pula apabila nafkah sudah diberi, isteri pula yang perlu membeli barang dapur dan lain-lain.
7. Perlu sentiasa ingat yang segala bantuan yang lebih dari yang sepatutnya si isteri beri, ialah satu benda yang perlu dibayar semula. Jangan pejamkan mata dan jangan anggap ianya habis begitu sahaja.
8. Jika si suami mahu isteri berhenti kerja, kena wujudkan sumber kewangan untuknya.
9. Segala harta peribadi isteri adalah hak mutlak isteri. Ianya tidak jatuh kepada suami secara automatik selepas berkahwin. Jangan ada tanggapan automatik ini.
10. Sayangi, kasihi dan layanlah isteri sebaik mungkin supaya isteri redha di atas segala pertolongan dan pengorbanan yang telah isteri lakukan.
Ingatlah yang tanggungjawab menyediakan tempat tinggal, pakaian dan makanan itu ialah tanggungjawab suami. Berusahalah sebaik mungkin untuk menunaikan tanggungjawab itu sebelum mempersoalkan tanggungjawab isteri dalam membantu keluarga.
Semoga dapat membuka mata. Kongsikan jika anda rasa perkara ini penting.
Kepada yang menjaga isteri dengan baik dan mengambil berat kelangsungan hidup isteri apabila anda sudah tiada nanti, ambil penulisan ini sebagai tambahan informasi. Tidak perlu sentap dan marah kerana ianya tidak ditujukan kepada anda.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pergerakan bayi boleh memberi petunjuk penting tentang kesihatan dan keperluan si kecil. Ketahui 7 pergerakan yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa serta bila perlu mendapatkan nasihat doktor.