Didikan ibu bapa menjadi penentu karektor dan sikap setiap anak. Tak kira anak perempuan ataupun anak lelaki, masing-masing perlu diajar bertanggungjawab membantu kerja-kerja rumah.
Anak-anak yang sudah diajar membantu ibu bapa melakukan kerja rumah akan membesar sebagai individu yang ringan tulang dan bertanggungjawab.
Ramai pakar-pakar kekeluargaan dan keibubapaan sering berkongsi dan berpesan kepada ibu bapa agar mengajar anak lelaki mereka juga membuat kerja rumah.
Dengan melakukan kerja rumah, anak lelaki akan lebih berdikari dan makin hormat kepada ibu selepas tahu betapa penat sebenarnya membuat kerja rumah.
Anak Yang Baik
Baru-baru ini pelakon dan usahawan, Puteri Sarah ada berkongsi sebuah video di mana anak sulungnya, Syaikhul Islam membantunya melakukan kerja rumah.
Dalam video tersebut, Syaikhul dilihat sedang membasuh pinggan yang berada di dalam sinki.
Menurut Puteri Sarah, Syaikhul sememangnya seorang anak yang baik, soleh dan rajin membantunya di dapur. Lebih terharu, anaknya itu boleh dikatakan sangat matang, pandai menyayangi orang serta terlalu melindungi adiknya, Summayah.
Ads
Good morning from Syaikhul Islam anak yang baik, anak yang soleh. Keep being you. Anak yang rajin tolong mama dan hormat orang tua. Baru 5 tahun tapi matang dan sayang serta protect adik.
Menerusi video tersebut juga, Syaikhul berkata dia hendak menjadi seorang yang rajin dan mahu meringankan beban ibunya. Tambah Syaikhul, dia selalu memasak bersama ibunya. Di akhir video, Syaikhul meluahkan rasa sayang terhadap ibunya.
Bertuah sungguh Puteri Sarah dikurniakan anak lelaki yang penyayang dan ringan tulang. Semoga dia terus menjadi pelindung kepada ibu dan adiknya.
Ads
MasyaAllah sejuk perut mama Syaikhul
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengikut Puteri Sarah memuji Syaikhul yang sangat rajin membantu mamanya membuat kerja rumah.
Selain dari itu mereka turut mendoakan agar Syaikhul terus menjadi anak yang baik, soleh dan menjadi pelindung kepada mama dan adik perempuannya.
Dengan bayaran RM20, pembukaan akaun Simpan SSPN akan dibuat secara automatik. Lebih menarik, untuk peserta-peserta terawal yang mendaftar akan menerima hadiah istimewa dari Pa&Ma. Jangan tunggu lagi, ayuh daftar segera di https://toko.ideaktiv.com/product/ajar-anak-simpan-duit/
Di sebalik kelembutan air muka Datin Sri Shahida, siapa sangka sebenarnya isteri kepada usahawan kosmetik, Datuk Sri Alif Shukri seorang yang tegas dalam bab mendidik anak. Ibu kepada tiga cahaya mata lelaki dan dua perempuan ini mengakui tiada istilah manjakan anak walaupun sekarang ada harta.
Shahida antara salah seorang penerima Pa&Ma Gala 2022 untuk Best Mama Millennial dan secara eksklusif berkongsi kisahnya kepada orang ramai mengenai cara didikannya daripada sisi seorang ibu.
Anak mesti no 1
Sejujurnya Shahida mengakui sangat sibuk tetapi memandangkan anak memerlukan perhatian, nak tak nak memang kena curi juga masa untuk mereka.
“Sejak dari anak sulung lagi, saya akan pastikan anak akan tidur dengan saya dan suami sehingga umur 4 tahun. Dengan cara inilah saya boleh luangkan masa dengan mereka setelah seharian sibuk dengan kerja.
“Bila usia 4 tahun, barulah mereka akan tidur di bilik sendiri. Jika saya outstation sekalipun, anak-anak akan ikut sekali. Dengan cara inilah kami dapat eratkan hubungan, sebab jika hari biasa sibuk,” katanya.
Suka ajar anak ilmu kehidupan
Selain itu, Shahida juga menyatakan ramai orang cakap saya lembut tetapi hakikatnya saya sangat garang dengan anak. Bagi saya ada anak sekali cakap dah dengar, ada anak beberapa kali cakap masih tak dengar lagi. Jadi kita sebagai ibu kena pandai main peranan.
“Rutin harian anak-anak juga setiap kali lepas balik sekolah mesti makan sama-sama, mengaji dan malam tuisyen. Gajet tak dibenarkan dan semua pun dah ada jadual.
“Manakala Sabtu dan Ahad anak-anak dah ada jadual buat kerja rumah. Selalu saya cakap kita bukan kaya selamanya, sebab itu ilmu kehidupan penting. Sebab tu juga saya kena tegas dengan mereka. Saya risau zaman sekarang macam-macam masalah membelenggu anak remaja. Jadi jika tak diberi didikan baik, risau kesan akan datang.
“Jadi saya ajar hidup secara sederhana. Kita ibu bapa kena jadi contoh. Saya lebih suka hidup sederhana dan saya orang yang sangat berjimat.
“Anak-anak pun kalau pergi Giant, Speed Mart bukan main seronok. Mereka lebih suka pergi tempat macam tu berbanding mall besar yang ada jual barangan mewah.
“Anak-anak pun kena belajar susah. Sekarang kita senang, nanti esok lusa kita tak tahu jatuh terduduk. Itu pesanan yang selalu saya cakap pada anak,” ujarnya.
“Pandai satu kelebihan, kekurangan kita raikan”
Shahida berkata, anak-anak pandai satu kelebihan. Namun tak semestinya anak kurang pandai kita sisihkan. Macam saya ada dua anak disleksia iaitu Khadijah dan Ibrahim.
“Sebenarnya kekurangan anak tu kita kena angkat supaya jadi kelebihan. Bagi saya cukup lah pandai membaca, sembahyang dan mengaji serta ada ilmu kehidupan demi masa depan. Bila ada pakej ini, buat apa pun tetap boleh berjaya.
“Walaupun ada bibik, saya akan pastikan anak tak kekok buat semua perkara. Sebab tu mereka selalu diingatkan untuk lipat kain, gosok baju, dan sebagainya. Usia 9 tahun anak-anak saya dah boleh buat semua ini dengan baik. Memang akan ada pembantu yang bagi laporan setiap hari apa anak buat.
“Jika hari cuti, saya akan bawa mereka ke pejabat untuk tolong bungkus barang-barang. Jadi tak lah membazir masa dan mereka akan tahu susahnya nak dapat duit.
“Seboleh mungkin saya nak didik anak-anak jadi lebih baik dari saya dan suami. Jika tak dimulakan dari awal, bila besar lagi susah nak tegur dan ajar.
“Lagi satu prinsip saya biar anak jadi sahabat baik kita selama-lamanya. Kalau dia ada apa-apa masalah tak malu nak bercerita dan berkongsi,” ujarnya.
Ikuti perkongsian lebih lanjut dan tip didikan yang diamalkan Datin Sri Shahida dalam live Pa&Ma Gala 2022 di bawah:
Antara kerisauan kita sebagai ibu bapa adalah bila kita kehilangan pasangan. Ramai kaum ibu terutamanya sangat susah hati kalau dia mati, dapatkah suami jaga anak-anak dia.
Atau bila suami dia pulak yang mati, dapatkah dia seorang diri membesarkan anak-anak?Benda jodoh dan ajal ni hanya Allah sahaja yang tahu.
Kita selalu fikir yang ia tak akan terjadi pada kita. Kita akan kekal bahagia sampai ke tua. Namun Allah ada perancangan untuk kita. Mungkin esok lusa pasangan kita dijemput pulang.
Bersediakah?
7 Tips Untuk Bersedia Untuk Kehilangan Pasangan
1. Belajar Reda
Reda ni adalah bila kita menerima hakikat. Benda ni payah, kadang-kadang di mulut kata reda tapi dalam hati berat nak terima takdir. Jadi kena belajar. Bila barang hilang, kita reda, itu bukan rezeki. Bila tudung hangus kena iron, kita reda juga, bukan rezeki kita lagi.
So belajar reda dengan benda-benda kecik begini adalah asas untuk kita reda bila menerima ujian yang lebih besar.
Kalau susah nak reda maka akan susah untuk move on dan move forward nanti. Asyik menangis bucu katil jer. Semua urusan tergendala, makan pakai anak pun terabai.
Ini adalah persediaan mental yang paling penting.
2. Persiapkan Pasangan.
Suami kena ajar isteri buat benda-benda yang isteri tak pernah buat. At least bagi dia pernah beberapa kali untuk dia biasakan diri. Kalau mesin basuh tersumbat suami yang baiki, sesekali panggil isteri tolong tengok macamana kita baiki. Tunjuk benda-benda penting bagi dia ada idea, oohhh macam ni. At least bagitau dia segala contact untuk uruskan hal rumah bila ada masalah.
Paling penting driving dan bab-bab kereta ni.
Isteri lagi banyak kena ajar suami. Macamana nak basuh baju, macamana nak buat susu baby, macamana nak tukar lampin, macamana nak buat porridge dan serba serbi yang lain. Suami pun, tolonglah belajar buat semua benda jugak.
Suami ni kalau isteri mati, paling mudah hantar anak kat mak ayah atau lepas 3 bulan dia kahwin lain bila dia mula pening tak boleh nak handle kerja rumah dan anak-anak. Bukan tak boleh kahwin lain, tapi at least anak-anak merasa juga air tangan bapak dia. Besarkanlah anak sendiri dan jangan bagi pada orang.
3. Senarai dan rekod semua maklumat penting.
Segala maklumat perbankan, maklumat insurans/takaful, segala jenis hutang piutang yang ada print out dan simpan dalam fail.
Atau simpan dalam softcopy save dalam drive atau cloud dan simpan username pasword semua pada satu tempat atau dokumen yang boleh dijumpai oleh pasangan bila kita mati nanti.
Dokumen anak-anak, buku biru dia buku pink dia, jadual imunisasi dia, surat-surat hospital dan sebagainya masukkan ke dalam fail khas mengikut setiap anak.
Username dan password semua akaun media sosial, email, atm pin dan sebagainya juga harus direkod dan disimpan baik di dalam fail di satu tempat. Dalam tu juga boleh siap tulis surat cinta, surat pesanan, wasiat atau apa sahaja.
Sebaiknya maklum terus pada pasangan. “Yang, kalau I mati, awak ambil satu fail warna merah dalam laci almari baju tu yer.”
This is serious okeh.
4. Sediakan Tabungan
Ini benda paling kritikal bagi seorang isteri. Bila suami mati, benda pertama nak kena fikir adalah duit. Yer duit untuk hidup membesarkan anak-anak. Jadi buatlah simpanan. Pin kad ATM tu bagi isteri hafal.
Lepas tu buatlah Takaful Hibah. Bayar puluh-puluh ringgit jer sebulan, kalau mati anak bini dapat duit ratus ribu. Dapatlah diorang meneruskan hidup. Kalau kita nak simpan RM100 sebulan pun belum tentu dapat RM100K.
Yang dah ada insurans atau takaful tu mohon maklumkan pada isteri atau takpun pada kawan rapat dan sesiapa sahaja yang boleh maklumkan pada pasangan nanti.
Banyak kes pampasan tak dituntut sebab suami atau ister tak tahu pun yang pasangan dia tu ada insurans.
Hubungilah kawan-kawan yang buat Takaful dan minta nasihat okeh.
5. Pengagihan Harta & Wasiat
Banyak benda weh yang ni. Macam-macam isu timbul nanti bila salah seorang dah tak ada. Rumah, kereta, duit ringgit semua boleh mendatangkan kacau bilau dan juga perpecahan antara keluarga.
Banyak kes yang kita dah tengok kan? Belajar sesuatu?
Uruskan lah harta sepencarian dengan segera. Cari kawan-kawan yang buat pengurusan harta ni.
Nak mati dan kebumi di mana pun bincanglah dan tetapkanlah. Ini pun nanti boleh jadi isu. Berebut nak bawa balik mayat ke sana sini.
Nak wasiat pada suami suruh kahwin lain pun boleh, kalau bagi terus nama calon lagi baik. Okeh gurau.
6. Belajar Pengurusan Jenazah.
Yer, ini khidmat terakhir bagi isteri kepada suami dia. Suami pun sama, boleh mandikan, sembahyangkan dan terakhir boleh bawa turun ke liang lahad.
Bila ada kematian dan ada peluang untuk masuk dan membantu maka ambillah peluang. Kalau ada kursus maka ikut sertalah.
Paling bagus untuk suami belajar imamkan solat jenazah. Alangkah indahnya jika jenazah si isteri disolatkan sendiri oleh suami.
7. Jaga Kesihatan
Ini yang paling penting. Kalau seorang dah tak ada maka beban tugas tu akan jadi double. Penat wehh, kaulah ibu kaulah ayah. Semua benda kau nak kena buat sendiri.
Orang pompuan kuat bab ni tak macam lelaki yang mudah give up bila urus rumahtangga ni. Namun kalau kuat tapi kesihatan mental dan fizikal tak baik maka takkan dapat nak uruskan keluarga juga.
So, stay safe, stay healthy.
Begitulah.
Semua benda no 1-7 tu aku dah lalui.
Orang tanya macamana aku kuat, macamana aku boleh hadap sorang-sorang, sebabnya aku dah bersedia.
Actually arwah isteri sudah “sediakan” aku awal-awal lagi. Dia dah prepare semua benda-benda tu. Bila dia mati semua dokumen, username, password, pin semua aku jumpa, segalanya aku urus dengan mudah.
Bab urus rumahtangga, urus anak, makan minum dan sebagainya dia latih aku sejak awal perkahwinan lagi. So, lebih mudah aku teruskan hidup dengan anak-anak sampai ke hari ini tanpa dia.
Memang, semua ni ketentuan tuhan. Rezeki, ajal dan maut sudah ditetapkan. Namun kita haruslah berdoa, berusaha dan barulah berserah dan tawakal.
Memberi nasihat adalah proses pengajaran yang berpanjangan dan tiada limitasi usia. Apabila bergelar ibu bapa, memberi nasihat adalah salah satu tugas rutin yang menjadi kewajipan utama pada anak-anak.
Setiap ibu bapa sudah tentu mahu membesar dan mendidik anak-anak menjadi insan yang baik dan berakhlak. Justeru menasihati mereka tanpa jemu salah satu pelajaran penting yang mesti diberi keutamaan.
Namun menasihati anak bukan boleh main redah bila-bila masa sahaja kerana jika tak kena waktu, ia ibarat mencurah di atas daun keladi sahaja. Anak nampak mendengar tapi satu apa pun sampai ke dalam hatinya.
Menurut perkongsian Noor Afidah Abu Bakar, Parent Connect Consultancy, maksud nasihat BUKAN tegur kesalahan atau marah dan ada waktu efektif untuk ibu bapa menasihati anak-anak.
“Mama tak marah! Mama cuma nasihat!”
Itulah skrip biasa yang sering kita dengar atau kita sendiri yang sebut dengan suara tinggi ketika mendepani kerenah anak.
Selalunya waktu anak pecahkan pinggan, anak sepahkan mainan, anak bangun lewat, anak melawan cakap, anak khusyuk bermain ‘game’, anak berkelahi, anak berlama-lama dalam bilik air, anak buang masa, anak malas, anak degil, anak protes dan sebagainya, itulah juga waktunya kita hendak memberi ‘tazkirah’ kepada anak.
Niat memberi nasihat itu akhirnya bertukar menjadi bebelan, menjadi ugutan, keluar ungkapan tidak enak, dan lebih parah lagi menjadi episod jawab menjawab dengan anak.
Nasihat akhirnya menjadi ungkapan kosong masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Buang masa dan buang tenaga.
Nasihat harus sampai ke hati terlebih dahulu, barulah otak akan mula berfungsi untuk memikirkan kesan dan akibat sesuatu perbuatan.
Anak tidak akan dapat menerima nasihat pada bila-bila masa. Ada waktunya keadaan fizikal, mental dan emosi anak tidak bersedia untuk menerima nasihat ataupun terlalu terbeban dengan perkara lain walaupun kita bersemangat memberi nasihat. BILAKAH WAKTU YANG SESUAI MENASIHATI ANAK?
Dr. Muhammad Abdul Hafizh Suwaid dalam buku Prophetic Parenting mencadangkan 3 waktu yang paling efektif dan paling sesuai untuk menasihati anak.
Satu lagi adalah cadangan saya sendiri berdasarkan pengalaman dan pengetahuan.
4 waktunya adalah:
1. WAKTU MAKAN
Sekurang-kurangnya sekali sehari duduklah bersama-sama menikmati hidangan sekeluarga di meja makan.
Inilah masanya kita mendengar cerita anak-anak tentang hari yang dilalui mereka. Inilah waktunya mereka akan meminta dan memerlukan nasihat secara langsung atau secara tidak langsung.
Ketika kita mendengar dan bercerita, selitkanlah nasihat dan panduan sebagai pedoman untuk anak-anak.
Inilah juga masanya kita menerapkan adab dalam diri anak. Adab makan, adab mengambil makanan, adab menyuap makanan, adab berdoa, adab bersyukur dengan rezeki yang berada di depan mata, adab berbicara dan adab mendengar.
Waktu makan adalah waktu santai. Kata orang, kenyang perut senang hati. Apabila hati senang, nasihat dan panduan pun mudah sampai ke dasar hati.
Oleh sebab inilah adalah merugikan sekiranya waktu makan dijadikan waktu untuk anak melayan gajet atau sambil menonton televisyen.
Jika kita terlepas peluang untuk memberi nasihat pada waktu ini kerana gajet, mungkin kita juga akan terlepas peluang pada waktu lain. Jadikanlah waktu makan waktu yang berkualiti untuk keluarga.
2. WAKTU DALAM PERJALANAN
Kehidupan moden adalah kehidupan yang terkejar-kejar. Keluar rumah awal pagi, pulang ke rumah setelah tiada matahari. Beruntunglah mereka yang boleh bekerja masa fleksi.
Sebenarnya waktu yang singkat dan terkejar-kejar menghantar dan mengambil anak dari sekolah merupakan waktu yang efektif untuk menasihati anak. Nasihat tidak semestinya panjang lebar. Nasihat yang ringkas dan padat lebih mudah dihadam berbanding nasihat yang penuh berfalsafah.
Dalam perjalanan ke sekolah nasihatilah anak tentang adab dan akhlak bersama guru, bersama rakan-rakan dan juga terhadap orang sekeliling. Nasihat anak supaya gigih berusaha.
Sesuatu insiden atau kejadian di luar kenderaan juga boleh dijadikan modal untuk menasihati anak, supaya anak peka dan cakna dengan keadaan sekeliling.
Di samping bersantai mendengar lagu-lagu di radio, pilihlah juga saluran radio yang bermanfaat, yang boleh dijadikan modal perbincangan bagi menjana minda anak-anak.
Seperti bait lirik nasyid oleh kumpulan Raihan
“Berhibur tiada salahnya kerna hiburan itu indah Hanya pabila salah memilihnya membuat kita jadi bersalah” Ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah pula, dengarlah cerita anak tentang sekolah, tentang guru, tentang rakan-rakan anak dan juga tentang tugasan sekolah agar kita faham dan terlibat dengan persekolahan anak. Apabila kita mendengar dan faham, anak akan lebih terbuka untuk bercerita dan kita juga lebih berpeluang untuk memberi nasihat.
Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Tirmidhi pernah menyebut bahawa Rasulullah SAW memberi nasihat kepada Ibnu Abbas yang berusia belasan tahun ketika itu secara santai ketika Ibn Abbas menunggang unta (kenderaan) di belakang Rasulullah SAW. Nasihat Baginda, “Jagalah agama Allah, nescaya Allah menjagamu”
3. WAKTU MAIN BERSAMA
Kita biasa mendengar, bermainlah dengan anak ketika berusia 0-7 tahun dan disiplinkanlah anak ketika berusia 7-14 tahun.
Kedua-dua fasa itu berkaitan. Bermain dengan anak ketika usia awal akan mempermudahkan kita untuk mendisiplinkan anak kemudiannya.
Bermain bersama-sama anak ketika mereka kecil, ketika membesar dan juga ketika remaja bukan hanya memberi manfaat kepada perkembangan fizikal anak, malah ia juga membentuk keperibadian positif anak.
Ibubapa yang terlibat adalah ibubapa yang peduli. ‘Involved parents are caring parents’.
Setiap permainan mempunyai peraturan dan strateginya. Setiap permainan mempunyai pemikiran dan emosinya. Inilah waktu yang terbaik untuk menasihati anak tentang asam garam kehidupan, tentang kawalan emosi, tentang interaksi sosial, dan tentang keperibadian dan tingkah laku.
Bermain ‘game’ bersama-sama dengan anak lebih bermanfaat berbanding membiarkan anak mengadap ‘game’ di skrin berseorangan. Apabila ‘bonding’ diwujudkan antara ibubapa dan anak ketika bermain bersama-sama, anak lebih terbuka untuk menerima sebarang nasihat mahupun teguran. Inilah yang memudahkan kita untuk mendisiplinkan anak.
4. WAKTU ANAK SAKIT
Menurut Dr. Abdul Hafizh Suwaid, sakit dapat melunakkan hati orang dewasa yang keras apatah lagi hati anak-anak yang masih lembut dan lebih mudah menerima.
Lumrahnya apabila sakit anak-anak menjadi lebih ‘clingy’ dan lebih inginkan belaian dan perhatian daripada ibubapa.
Inilah peluangnya untuk kita berlembut menasihati anak secara ringan tanpa membebankan.
Bagi menggembirakan hati anak, kita boleh merancang dengan anak untuk melakukan sesuatu aktiviti apabila anak sihat kelak dan pada masa yang sama boleh diselitkan kata-kata nasihat buat anak. Pilihlah nasihat yang mudah diterima dan sesuai dengan keadaan anak.
Usahlah diberikan nasihat yang tidak sihat di kala anak sakit seperti
“Itulah tak dengar cakap Mama, kan dah sakit. Kalau dengar cakap taklah jadi macam ni.”
Ataupun
“Inilah balasan sebab berdosa dengan ayah semalam.”
Anak yang sakit bertambah nazak jadinya dengan kata-kata yang menghukum dan tidak berasas sedemikian.
Dalam buku ‘Prophetic Parenting’ ada diceritakan kisah Rasulullah SAW yang berdakwah kepada pembantu Baginda yang berbangsa Yahudi ketika Baginda SAW menziarahinya yang sedang sakit.
Begitulah antara waktu-waktu efektif untuk menasihati seorang anak.
Setiap anak menerima nasihat pada waktu yang berbeza-beza mengikut keperluan, keupayaan dan kematangan masing-masing. Carilah waktu yang sesuai untuk memberi nasihat agar nasihat itu meresap ke jiwa anak dan tidak menjadi seumpama menyimbah air ke daun keladi.
Dengan bayaran RM20, pembukaan akaun Simpan SSPN akan dibuat secara automatik. Lebih menarik, untuk peserta-peserta terawal yang mendaftar akan menerima hadiah istimewa dari Pa&Ma. Jangan tunggu lagi, ayuh daftar segera di https://toko.ideaktiv.com/product/ajar-anak-simpan-duit/
Pemilihan makanan sebelum bersalin sangat penting untuk membekalkan tenaga, mengelakkan keletihan dan membantu ibu melalui proses kelahiran dengan lebih selamat.