
Betul ke tabiat anak yang suka menjerit bila nak apa-apa sebab mak ayah selalu tinggikan suara? Menurut pakar terdapat beberapa keadaan yang menyebabkan anak-anak kecil suka menjerit. Mungkin ini disebabkan oleh anak anda rasa ia sesuatu yang menyeronokkan kerana anda tak pernah nak larang pada awalnya.
Lagi satu mungkin dia mahu mendominasi ibu bapa. Maksudnya dia menganggap jeritan itu boleh menarik perhatian ibu bapa untuk nak dapatkan sesuatu. Mungkin sebelum ini dia pernah mendengar ibu bapanya menjerit pada adik-beradik yang lain apabila memberi arahan.
Lagi satu mungkin juga apabila anak mahu sesuatu dari kita dan meminta dengan cara elok tetapi ibu bapa sendiri leka dengan telefon bimbit atau menonton televisyen, anak dah jadi rasa bosan maka jeritan adalah cara yang paling berkesan. Mereka menganggap cara menjerit akan lebih cepat berkesan.
Adakah kita mahu anak beranggapan seperti ini sehingga mereka tidak boleh mengawal perasaan apabila berada di khalayak ramai? Tentu jawapannya tidak.
Tip Tangani Anak Suka Menjerit
1) Elak menjerit semula pada anak
Dengan menjerit kembali kepada anak anda tidak akan meredakan keadaan. Ia hanya akan menambahkan masalah kerana apabila si ibu atau ayah menjerit semula, ia akan memberi gambaran bahawa tiada apa yang salah apabila menjerit.
2) Perlahankan suara anda
Apabila anda bercakap dengan nada suara yang perlahan, anak pun akan memperlahankan butir bicaranya apabila mahu berkomunikasi dengan ibu bapa. Kita adalah contoh kepada anak-anak.
Beritahu bahawa jeritan membuatkan anda sakit kepala dan anda boleh mendengar suaranya walaupun dia bercakap tanpa menjerit.

3) Cari tempat mesra keluarga
Anak menjerit di kawasan yang ramai orang atau di majlis rasmi boleh menyebabkan anda malu. Bawalah si manja ke tempat yang bising dan mesra keluarga untuk mengelakkan daripada mengganggu orang lain.
4) Buat perancangan ikut keselesaan anak
Ikut keperluan pemakanan dan tidur si manja jika anda merancang untuk ke pusat membeli-belah. Kanak-kanak yang kelaparan atau keletihan tidak akan bertahan selama dua jam di pusat membeli-belah.
5) Alihkan perhatian
Jadilah ibu bapa yang kreatif. Alihkan perhatian anak anda dengan aktiviti-aktiviti yang menarik dan berfaedah. Antaranya, ajak dan biarkan anak anda untuk bermain di kawasan taman permainan atau buat aktiviti yang menyeronokkan supaya dia tidak mudah bosan.
6) Fahami perasaan anak
Kadangkala, si manja hanya mahu anda fahami perasaan mereka. Selami apa yang dirasanya pada ketika itu. Terangkan yang anda boleh penuhi kemahuannya setelah anda selesai dengan tugas anda. Berikan pujian dan ganjaran di atas kelakuan baiknya.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Nak Anak Berani Dan Bijak Buat Keputusan, Beri Kebebasan Dari Awal. Yang Penting Biar Bersyarat!

Nak anak berani dan bijak buat keputusan, mak ayah kena beri kebebasan dari awal serta bersyarat. Ini antara faktor untuk tingkat yakin diri pada anak dan menjadi insan yang hebat, berwibawa serta baik akhlaknya.
Walaupun ramai mak ayah merungut susah dengan keadaan hari ini untuk beri kebebasan pada anak, ada cara yang lebih praktikal untuk dilakukan. 9 tip ini memang kita dah buat cuma tak dimanfaatkan sepenuhnya.
- Jangan puji anak sebarangan
Memang anak-anak perlu diberikan galakan, tak kiralah apa pun yang mereka lakukan. Baik ketika mereka belajar merangkak, mengayuh basikal mahupun membaca. Tapi awas, jangan terlalu banyak melontarkan pujian terhadap anak-anak. Sikit-sikit “Bagus!”,”Sayang memang pandai!”,”Bijaknya anak mak!” Lama-lama mereka pun jadi kalis terhadap pujian, sampai tak tahu nak bezakan mana pencapaian mereka yang memang patut untuk diraikan. Anak-anak pun tahu ya kalau mak ayah puji berlebih, “Memang lukisan Amin nilah yang tercantik sekali ayah pernah tengok”. Puji anak biarlah berpada-pada dan kena pada tempatnya. Daripada puji hasil, tukar kepada puji usaha!
- Jangan selamatkan anak anda
Macam kejam sangat bunyinya tu kan. Manalah ada mak ayah yang sanggup tengok anak terluka, sedih, kecewa. Tapi ada perkara-perkara yang anda tak perlu masuk campur. Biarkanlah anak-anak belajar dan alami sendiri. Kawan tak ajak mereka bermain? Anak tak terpilih masuk dalam acara lari dalam guni? Tak perlu menghadap guru besar dan desak mereka pilih anak kita. Anda sebenarnya tak membantu mereka pun. Kata Robert Brooks, penulis bersama buku Raising Resilient Children, kanak- kanak perlu tahu yang tak mengapa kalau mereka gagal, bahawa perasaan sedih, cemas dan marah itu normal. Mereka belajar untuk berjaya dengan menghadapi cabaran, bukannya dengan mengalihkan halangan itu bagi pihak mereka. Pendek kata, jangan balut anak-anak dengan bubble wrap, berikan mereka peluang untuk mengambil risiko.

- Biarkan anak-anak membuat keputusan
Latihlah anak-anak untuk belajar membuat keputusan sendiri sejak dari kecil. Beri peluang untuk mereka membuat pilihan dalam perkara-perkara tertentu yang melibatkan mereka, contohnya baju apa nak pakai hari ni, sarapan pagi nak makan apa. Tapi pilihan yang bagaimana? Kalau mak ayah beri sepenuh kuasa kepada anak-anak pun tak boleh juga, nanti haru biru jadinya. Berilah dua atau tiga pilihan tertentu yang boleh anak pilih daripadanya. Contohnya jangan tanya terus “Adik nak makan apa pagi ni?” tapi tanyalah “Pagi ni adik nak makan roti bakar atau nasi goreng?” Pada masa yang sama juga, pastikan anak-anak tahu yang sesetengah perkara lain adalah tertakluk di bawah kuasa anda. Contohnya perlu atau tidak mereka ke sekolah hari ini!
- Fokus pada gelas separuh penuh
Kalau anak-anak jenis yang mudah berasa kecewa apabila gagal, bantulah mereka untuk jadi lebih optimistik. Tapi jangan hanya sekadar ucap kata-kata indah ” Dik, pandanglah ke sisi positif, jangan lemah.” Sebaliknya galakkan anak-anak berfikir mencari penyelesaian bagaimana caranya untuk memperbaiki keadaan dan mencapai impian mereka. Kalau mereka kecewa kerana tidak terpilih memegang watak dalam pementasan drama sekolah, katakan kepada mereka, “Papa tahu Anis rasa sedih, apa kata kita fikir macam mana caranya supaya peluang Anis untuk terpilih lain kali lebih tinggi.”
- Suburkan minat mereka
Cuba dedahkan anak-anak kepada pelbagai jenis aktiviti berbeza. Apabila mereka dah temui apa yang mereka suka, galakkan mereka. Kanak-kanak yang mempunyai minat yang mendalam terhadap sesuatu benda, tak kiralah apa pun, sama ada memasak, bermain skateboard ataupun menari selalunya berasa bangga dengan kepakaran mereka dan mempunyai kemungkinan yang lebih tinggi untuk berjaya dalam bidang-bidang yang lain.
Hobi-hobi aneh juga dapat membantu anak-anak yang menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri di sekolah, malah anda boleh membantu anak-anak menggunakan minat mereka untuk berhubung dengan kawan-kawan yang lain. Contohnya, jika anak anda minat melukis tetapi kebanyakan kawan-kawannya minat bersukan, galakan anak anda untuk melukis sesuatu yang berkaitan dengan sukan dan tunjukkan kepada rakan-rakan yang lain.

- Latih anak menyelesaikan masalah
Menurut penulis buku Raising a Thinking Child, Dr.Myrna Shure “Kanak-kanak berasa yakin apabila mereka dapat berunding untuk mendapatkan apa yang mereka mahukan.” Kajian beliau mendapati kita sebenarnya boleh mendidik anak kecil untuk menyelesaikan sendiri masalah mereka. Caranya? Zip mulut anda. Sekiranya mereka datang mengadu kepada anda apa yang terjadi, jangan terlalu cepat memberikan mereka penyelesaian. Tanya mereka akan cara terbaik yang mereka rasa patut dibuat. Rangsang minda mereka untuk berfikir dengan bertanyakan soalan yang tepat
- Cari jalan untuk membantu orang lain
“Apabila kanak-kanak berasa bahawa mereka menyumbang kepada perubahan, tak kiralah sama ada membahagi-bahagikan gelas di taman asuhan ataupun membawakan biskut ke rumah orang tua, mereka akan berasa lebih berkeyakinan,” kata Dr.Brooks. Memang bagus kalau anak-anak diberikan tugas sendiri dirumah, tetapi lagi baik kalau anda meminta anak kecil untuk membantu dalam sesuatu projek.“Umi memang perlukan bantuan kakak!” Mereka dapat melihat sendiri bahawa kerja orang dewasa memerlukan usaha, dan ini dapat membantu mereka agar tidak terlalu keras terhadap diri sendiri di masa depan kelak, kata Dr.Hirsh-Pasek

- Beri peluang untuk anak-anak meluangkan masa dengan orang yang lebih dewasa
Kanak-kanak memang suka berkawan dengan rakan-rakan seusia mereka, tapi jangan lupa yang bergaul dengan orang yang lebih dewasa juga penting untuk mereka. Meluangkan masa disamping orang dewasa dapat meluaskan dunia anak-anak, mengalakkan mereka untuk berinteraksi dengan orang yang lebih besar (selain anda) dan memberikan mereka cara lain untuk berfikir. Kajian mendapati bahawa hubungan rapat anak kecil dengan orang-orang dewasa tertentu (seperti bapa saudara, guru, kawan ibu ayah) menjadikan anak-anak lebih berdaya tahan.
- Berfantasi tentang masa depan
Jika anak-anak dapat membayangkan diri mereka melakukan sesuatu yang penting pada masa depan, ia dapat membantu menambah keyakinan mereka. Berceritalah dengan anak-anak tentang bagaimana anda, pasangan anda atau orang lain yang mereka kenal memilih karier. Mungkin anak anda bercita-cita ingin menjadi angkasawan ataupun pelakon terkenal, tak mengapa. Jangan perlecehkan impian mereka. Walaupun dia mungkin bertukar fikiran nanti, apa yang penting adalah dia berfikir tentang matlamatnya.
Sumber: parents.com & shaznur

Rancangan realiti keibubapaan edutainment, Rockstar Junior Arrian dan Andra di saluran Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123) Rabu ini, jam 9 malam menampilkan kehidupan Tomok, isteri dan anak-anaknya termasuk interview eksklusif, tip keibubapaan dan cabarannya.
#RockstarJr #ArrianAndra
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dah Pandai Cemburu Tengok Papa Peluk Mama, Itu Normal! Ajak Si Kecil Buat ‘Hugs Group’

“uwaaaaa, mommy..no daddyyyy!!!!” menangis si kecil cemburu melihat daddy memeluk mommy. Sebolehnya mommy adalah haknya sahaja, tidak boleh dikongsi sama sekali. Pernah tak anda mengalami situasi ini?

Mengapa mereka sudah pandai merasa cemburu? Ini antara sebabnya:
1. Mama kepunyaan saya seorang!
Biasanya si kecil lebih rapat dengan mama. Jadi dia beranggapan mama hanya miliknya seorang. Bila perhatian bukan diberikan kepadanya, dia jadi marah dan cemburu.
2. Tak tahu bagaimana nak luahkan
Oleh kerana masih kecil, dia tak tahu bagaimana nak meluahkan perasaannya. Menangis, menolak atau memukul papa supaya menjauhi mama adalah cara yang akan dilakukan sebagai satu amaran jangan mengambil ‘hak miliknya’.
3. Tak nak berkongsi
Si kecil hanya mahu mama menjadi milikinya dan tak boleh berkongsi dengan orang lain termasuk papa! Dia fikir hanya dia sahaja yang mama perlu peluk dan cium.
4. Si kecil rasa terancam
Merasakan tempatnya cuba diambil alih oleh orang lain. Oleh kerana dia rasa terancam maka hanya tangisan dan kemarahan sahaja menjadi senjatanya untuk menghalang perkara tersebut daripada berlaku.
5. Mahu perhatian
Sebenarnya anak anda mahukan perhatian sentiasa diberikan kepadanya. Rasa cemburunya tak dapat dibendung bila melihat papa dan mama saling berkasih sayang tanpa memberikan dia perhatian.
6. Rasa diri tak disayangi
Rasa bimbang dirinya sudah tidak disayangi oleh mama. Oleh kerana dia belum faham tentang erti hubungan kekeluargaan dan suami isteri maka dia merasakan bila mama memeluk atau mencium papa seperti mama lakukan ke atas dirinya bermakna dia sudah tidak disayangi lagi.
7. Dunianya masih kecil
Oleh kerana masa si kecil lebih banyak dihabiskan bersama papa, mama dan pengasuh maka dia masih tidak faham tentang luasnya erti kasih sayang. Apabila dia semakin besar dan punya ramai kawan dan melakukan banyak aktiviti, si kecil akan lebih faham tentang kasih sayang antara papa dan mama.
Apa patut dilakukan?
Sebenarnya ia adalah perkara normal bila anak anda cemburu pada papa atau mama. Dia mungkin tidak tahu bagaimana meluahkan rasa cemburunya selain daripada menangis. Maka penting untuk anda berdua memujuk dan memberitahunya, tetapi jangan berhenti menunjukkan kasih sayang antara kalian suami isteri di depan anak kerana amat penting bagi mereka melihat ibu bapa yang saling sayang menyayangi.
* Cuba buat “group hugs” dan “group kisses” iaitu sentiasa ‘masukkan’ anak sekali semasa memeluk pasangan suami/isteri. Barulah dia tak rasa dipinggirkan.
* Sentiasa beritahu anak yang mama sangat sayangkan dia dan papa.
* Wujudkan suasana gembira dan menyeronokkan dengan mencium dan memeluk si kecil secara bergilir-gilir dengan suami/isteri. Dengan cara ini dia tahu mama tetap sayangkan dia walaupun dalam masa yang sama sayangkan papa juga.
* Sentiasa curahkan kasih sayang dan perhatian kepada si kecil yang baru mengenal kehidupan.
Oleh kerana si kecil adalah peniru yang hebat, maka menjadi tugas ibu bapa untuk sentiasa menunjukkan kasih sayang antara suami isteri tetapi dalam cara yang berhemah. Dalam masa yang sama jangan abaikan dirinya yang masih belum faham tentang perkongsian kasih sayang sekeluarga. Apa yang si kecil tahu, mama adalah hak miliknya seorang!
____________
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Memang Comel Bila Tengok Anak Tidur Mulut Ternganga, Tapi Sebenarnya Bahaya!

Ada sesetengah ibu bapa berasa ia sesuatu yang normal apabila anak bernafas melalui mulut semasa tidur.

Hakikatnya ia mungkin petunjuk kepada masalah gangguan pernafasan tidur.
Tabiat bernafas melalui mulut
Umumnya, sebagai manusia, kita boleh bernafas melalui hidung, mulut ataupun kombinasi kedua-duanya. Namun, pernafasan yang dilakukan menerusi hidung pastinya adalah yang terbaik.
Ini kerana bulu atau rambut yang terdapat pada hidung dan salurannya bertindak sebagai medium pertahanan terhadap patogen berpotensi seperti virus, kotoran, bakteria, atau kulat.
Kedua, hidung membantu menghangatkan dan melembapkan udara yang disedut.
Ini bagus untuk fungsi kesihatan secara keseluruhan, khususnya bagi mereka yang tinggal di negara beriklim sejuk.
Terakhir, hidung menghasilkan oksida nitrat – sebatian penting membantu meningkatkan sistem kardiovaskular dan imun badan.
Pernafasan melalui hidung membolehkan pengaliran oksidan nitrat memasuki paru-paru dan aliran darah.
Jadi adakah ini bermakna tabiat anak bernafas melalui mulut sesuatu yang tidak bagus?
Risiko anak bernafas melalui mulut
Menurut Pakar Pediatrik di Yakima, Washington, Dr Yami Cazoria-Lancaster, tabiat anak bernafas melalui mulut bukan 1 masalah besar.
Cuma ia boleh menyebabkan kekeringan pada mulut serta nafas berbau.
Biasanya seseorang yang sakit seperti demam selesema, akan bernafas melalui hidung kerana saluran hidung bengkak dan dipenuhi lendir.
Keadaan akan kembali seperti biasa selepas 1 atau 2 minggu sembuh daripada selesema.
Tetapi pernafasan mulut kronik yang berterusan selama beberapa minggu atau bulan boleh menjadi petanda kepada masalah serius yang perlu diatasi.
Sekiranya ia berlaku kepada kanak-kanak, ia mungkin boleh menyebabkan masalah tingkah laku, kelainan pada wajah dan gigi serta proses tumbesaran yang lebih perlahan.
Gangguan pernafasan tidur
Pernafasan mulut 1 masalah yang sama dengan gangguan pernafasan tidur. Ia bukan 1 perkara yang comel atau semula jadi.
Sebaliknya ia merupakan corak pernafasan abnormal yang boleh menjejaskan tahap kesihatan anak.
Bukan sekadar melibatkan masalah hidung tersumbat, masalah gangguan pernafasan tidur ini boleh menghentikan anak daripada bernafas.
Ini sekali gus menjejaskan proses percakapan si manja, makan, bersenam dan tidur dengan betul.
9 kesan jika anak bernafas melalui mulut
Kehilangan fungsi organ seperti hidung, boleh menyebabkan akibat yang tersendiri.
Tanpanya keseimbangan antara hidung dan rongga mulut akan terjejas.
Berikut 9 kesan yang boleh berlaku jika anda mempunyai tabiat pernafasan mulut:
Kekeringan mulut dan bibir
Masalah paling kerap berlaku kepada individu yang bernafas melalui mulut adalah kekeringan pada bibir dan mulut.
Tabiat ini akan mengurangkan proses penghasilan air liur dan meningkatkan penyejatannya.
Lebih membimbangkan, tabiat ini juga boleh mengganggu kebersihan mulut dan kesihatan gigi individu – tingkatkan risiko kerosakan gigi dan radang gusi.
Memburukkan masalah asma
Jika anak bernafas melalui mulut dan mempunyai masalah asma, ia perkara yang perlu anda bimbangkan.
Ini kerana tidak menggunakan sistem penapisan udara dalam hidung akan memburukkan masalah asma.
Dengan menyedut udara kering, sejuk serta mengandungi perengsa, bahan tercemar dan alergen bermakna keadaan asma akan sukar dikawal dan mengakibatkan peningkatan serangan asma.
Perkembangan lidah tidak normal
Tabiat ini akan menyebabkan wujudnya masalah tongue thrusting.
Ia berlaku apabila lidah akan bergerak ke hadapan dan berkembang dalam keadaan yang tidak normal bagi membolehkan pengudaraan melalui mulut.
Masalah ini akan mewujudkan gangguan pertuturan. Biasanya melibatkan bunyi pada sebutan huruf ‘s’ dan ‘z’.
Ia juga boleh mempengaruhi keupayaan menghasilkan bunyi ‘labial’ seperti ‘p,b,m, f dan v’ dengan jelas dan tepat.
Perubahan pada gigi dan lelangit
Apabila mengalami masalah tongue thrusting, lidah akan berada pada kedudukan ke depan dan ke bawah, serta akan terdapat tekanan pada gigi dan tulang rahang.
Keadaan ini boleh mempengaruhi penjajaran gigi dan perkembangan rahang.
Bentuk wajah panjang
Kajian menunjukkan jika tabiat pernafasan mulut boleh menyebabkan kesan serius kepada pertumbuhan dan perkembangan rahang dengan dagu yang kecil.
Perubahan postur
Dalam keadaan semula jadi apabila mengalami hidung tersumbat, seorang kanak-kanak akan mendongak ke atas bagi membolehkan mereka bernafas dan memaksimumkan pengambilan udara.
Ini bermakna kedudukan leher, bahu, punggung dan pelvis terpaksa diluruskan, mengakibatkan masalah postur dari masa ke masa.
Menjejaskan tidur
Tabiat anak bernafas melalui mulut sememangnya akan menjejaskan kualiti tidur.
Ini kerana pernafasan mulut ini akan mengurangkan oksigen dalam paru-paru dan saluran darah, keadaan ini menyukarkan anak untuk mendapat tidur yang lena.
Tidur yang terganggu boleh memberi kesan kepada pertumbuhan dan perkembangan anak, prestasi akademik, tumpuan dan tingkah laku mereka.
Perubahan tingkah laku
Kebanyakan kanak-kanak yang hiperaktif dan kurang mendapat perhatian sering disalah diagnosis. Mereka mungkin mengalami gangguan pernafasan tidur.
Perubahan warna gigi
Apabila anak semakin meningkat usia, akan berlaku perubahan pada warna gigi. Selain pengambilan makanan bergula dan minuman berasid, warna gigi boleh berubah kesan daripada pernafasan mulut.
Pemeriksaan doktor
Pernafasan mulut bagi si manja mungkin tampak comel. Tetapi masalah ini boleh menjadi petunjuk penting bagi tahap kesihatan mereka.
Banyak cara boleh dilakukan untuk membantu anak-anak yang mengalami masalah hidung tersumbat untuk bernafas dengan lebih baik.
Sumber: Hello Doktor
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!


