Anna Jobling Titip Ucapan Manis Buat Ibu Di Hari Lahir, Walau Sedang Berdepan Konflik

Share

Walaupun sedang melalui fasa penuh cabaran dalam kehidupannya, pelakon cantik Anna Jobling tetap meletakkan ibu tercinta, Ariz Arop, di tempat paling istimewa di hatinya.

Bersempena ulang tahun kelahirannya yang ke-25, Anna berkongsi momen manis di InstaStory dengan menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada insan yang melahirkannya.

“Terima kasih juga buat mama kerana telah melahirkan dan membesarkan adik (panggilan). Adik doakan semoga mama sentiasa diberkati dan dilindungi Allah,” tulis Anna dengan penuh rasa kasih.

Bintang drama popular Setia Itu Mahal ini juga mengakui setiap ucapan yang diterima pada hari lahirnya amat bermakna buat dirinya.

“Terima kasih banyak untuk semua ucapan pada hari jadi yang indah. Anna baca semuanya dan setiap mesej amat bermakna,” luahnya.

Walau dikelilingi isu dan konflik, anak kacukan Melayu-Inggeris ini tetap berasa bertuah kerana mempunyai insan-insan yang sentiasa memberi sokongan padu.

“Saya sangat bersyukur kerana dikelilingi insan hebat. Doakan yang terbaik untuk melangkah ke fasa baharu,” kongsinya lagi.

Namun, di sebalik ucapan manis ini, hubungan antara Anna dan ibunya masih dalam kemelut selepas pendedahan mengenai perintah injunksi yang diterima pada Disember tahun lalu.

Apa pun yang berlaku, kasih seorang anak terhadap ibunya tidak akan pernah luntur.

Published by
Noel