Bayi menggunakan pelbagai isyarat bukan lisan seperti tangisan, ekspresi muka, dan pergerakan badan untuk menyampaikan keperluan fizikal dan emosi mereka. Tanpa kemahiran mentafsir makna di sebalik setiap isyarat, mudah sahaja kita terlepas tanda bahawa bayi lapar, penat, tidak selesa, atau memerlukan kasih sayang.
Rahsia Bahasa Tubuh Bayi: Bagaimana Si Manja ‘Bercakap’ Tanpa Bersuara
Setiap pergerakan anggota badan bayi—walaupun kecil—memaparkan keadaan fizikal dan emosinya. Dengan memerhati gerakan tangan dan kaki, kita dapat memahami perasaan asas seperti kegembiraan, kebosanan, ketidakselesaan, atau keletihan.
Ads
Menarik Lutut ke Dada (Drawn-Up Legs)
Maksud: Sakit perut atau kembung angin. Cara bayi melegakan rasa tidak selesa di bahagian perut dengan menekuk kaki ke dada.
Tindakan: Urut perlahan perut bayi dengan gerakan memusing secara lembut, atau banjari kaki dan tangan dengan perlahan untuk membantu melepaskan angin.
Menendang Gembira (Kicking)
Maksud: Bayi berasa gembira dan terangsang. Biasanya berlaku selepas cukup rehat atau sebaik-saja menyusu dengan puas.
Tindakan: Nikmati saat-saat ini dengan mengajak bayi bermain atau memberi masa “tummy time” (baring di atas perut) untuk merangsang perkembangan otot leher dan bahu.
Meregangkan Badan (Stretching)
Maksud: Bayi baru bangun daripada tidur. Ini adalah tanda bayi sedar dan bersedia untuk berinteraksi.
Tindakan: Bantu bayi untuk lebih segar dengan bercakap lembut, menggerakkan tangan dan kakinya perlahan, atau jalankan rutin mandi ringkas.
Menutup Telinga dengan Tangan
Maksud: Sensitif terhadap bunyi bising. Bayi boleh merasa tertekan apabila persekitaran terlalu riuh.
Tindakan: Kurangkan bunyi bising—matikan televisyen, tutup pintu bilik, atau alihkan bayi ke tempat yang lebih senyap.
Tangan Mengepal (Clenched Fist)
Maksud: Stres atau kesakitan—contohnya kolik, demam, atau ketidakselesaan fizikal.
Tindakan: Selidik punca ketidakselesaan (periksa suhu badan, keadaan lampin, atau apakah bayi kehausan). Urut lembut tangan untuk menenangkan, dan pantau apakah ia disertai tangisan yang tajam.
Memahami bahasa badan bayi memang menuntut latihan dan ketelitian, namun ianya suatu kemahiran yang amat berharga bagi setiap ibu bapa atau penjaga. Tangisan, ekspresi muka, gerakan tangan dan kaki, gerak mulut, postur badan, fokus mata, serta reaksi deria semuanya adalah “bahasa” bayi untuk menyampaikan keperluan fizikal dan emosi mereka.
Ads
Ads
Dengan mempelajari isyarat ini, anda dapat memberikan respons yang tepat seperti menyusu, memeluk, menenangkan akan membawa bayi ke persekitaran yang lebih selesa.
Sukarnya menyuruh anak membuat homework. Sudah dipaksa, namun tidak diendahkannya. Hakikatnya bukan mudah mendidik. Tambahan pula anak ini ada pelbagai cara untuk memastikan anak berjaya dalam pelajaran Namun setiap anak-anak mempunyai personality yang berbeza yang memerlukan perhatian daripada ibu bapa.
Perkongsian drmuna.wordpress.com ini boleh dijadikan panduan untuk mendidik anak supaya ibu ayah tidak membuat kesilapan dalam mendidik anak. Ikuti cara ibu ini.
Memarahi atau push anak-anak adalah kesilapan besar yang biasa dilakukan oleh ibu bapa apabila anak-anak seawal tadika dan darjah satu tidak menyiapkan homework.
Setakat berdasarkan pengalaman dengan dua orang anak pertama, itulah yang selalu berlaku. Saya akan pastikan anak-anak menyiapkan homework. Ada masanya, tension berlaku sehingga anak mengamuk dan menangis.
Tetapi itu dulu… Alhamdulillah kami tersedar selepas pelbagai pembacaan, pengalaman mengendalikan program pelajar dan melihat sendiri produk-produk hasil paksaan membuat homework ini.
Antaranya saya sendiri. Saya sering dimarahi oleh ayah apabila tidak menyiapkan latihan Matematik pada waktunya. Menyebabkan saya ‘benci’ subjek Matematik. Saya juga percaya saya tidak pandai Matematik. Sehingga ke matriks pun, saya masih tidak berapa suka Matematik.
Saya hampir membuat kesilapan dengan anak-anak saya. Contohnya apabila membantu saiful Islam membuat homework, saya selalu berkata Saif pandai di dalam subjek Islamik dan Sains tetapi tidak Matematik. Sehinggakan beliau percaya dan tidak minat dengan Matematik.
Ubah Cara
Saya mengubah cara. Saya katakan pada Saif, dia pandai Matematik. Nah, sekarang dia suka membuat homework matematik tanpa disuruh.
Semenjak televisyen tiada di rumah dan penggunaan komputer dihadkan, beliau amat minat membaca. Hampir setiap waktu lapang, beliau akan membaca. Akhir-akhir ini beliau kelihatan berminat dengan homework karangan.
Sama ceritanya dengan anak saya yang ke 3 iaitu Imad. Sekarang Imad di dalam darjah 1.
Beberapa minggu lepas, Imad mengamuk tidak mahu ke sekolah kerana beliau terlalu penat dengan homework yang terlalu banyak. Kami pun berkata, “Takpe, Imad rehat hari ini, esok kita sambung sekolah ye.” Kami juga meminta izin daripada guru kelas beliau agar Imad dicutikan. Bibik kata, Imad cakap, “Cukuplah Imad rehat satu hari, esok Imad sekolah lah”. Alhamdulillah sejak dari hari itu, Imad tidak lagi mengamuk tidak mahu ke sekolah.
Dua hari lepas, Imad mengamuk sebab homework Matematik susah dan tidak siap. Saya hanya mendiamkan diri, tidak memarahi beliau. Saya tahu betapa sukarnya seoarang anak yang berusia 6 tahun 2 bulan untuk menyelesai dan melogikkan satu olahan Matematik. Bayangkan, 6 + ? = 11. Sukar untuk melogikkan semuanya pada satu malam.
Seingat saya semasa di sekolah rendah dulu, cikgu akan menggunakan bantal-bantal pasir kecil atau pun guli untuk mengira. Bantal-bantal pasir itu semua berwarna-warni. Murid-murid gembira mengira. Murid-murid juga tidak ‘dipaksa’ untuk belajar sesuatu bab dalam tempoh yang segera kerana para guru tiada tekanan di dalam menghabiskan silibus.
Bibik ditugaskan untuk menyejukkan Imad dengan ‘mandian’. Saya berfikir, lebih baik saya jauhkan diri saya sebelum menyesal. Selesai ‘mandi’, Imad terus menangis mencari saya. Saya pujuk dan izinkan Imad tidur sebilik memandangkan Abinya pun di Turki.
Keesokkan harinya, Imad segar bersedia ke sekolah seperti biasa. Seperti tiada apa yang berlaku pada malam sebelumnya. Beliau juga tiada swollen eyes. Sehingga hari ini, Imad kelihatan secara automatiknya membuka homework tanpa disuruh.
Naurah juga pernah mengalami tantrum sebelum pergi ke sekolah seperti Imad pada sekitar umur 6 dan 7 tahun.
Saya fikir, pada usia inilah yang paling kritikal dan penting bagi menanam perasaan suka ke sekolah dan membuat homework. Anak-anak akan lebih suka dan sedia belajar di dalam keadaan gembira serta tiada paksaan.
Mereka juga yakin mereka sebenarnya bijak dan tiada masalah pembelajaran.
Berikan pandangan yang positif tentang diri mereka dan kurangkan memberi tekanan serta ekspektasi/harapan tinggi yang menakutkan mereka.
Anda tidak mahu anak anda stres atau takut akan ‘pancaroba’ kehidupan seawal itu. Mereka mesti ceria dan gembira!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
SETUJUKAH ANDA, anak seawal umur 7 tahun perlu dipastikan telah pandai membaca? Isu ini bukanlah perkara baru. Tapi sejak akhir-akhir ini, ia seolah-olah menjadi trend semasa. Ramai ibu bapa yang meluahkan rasa kebimbangan bila anak tak boleh nak baca lagi.
Menurut Pengiat Industri Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Nor Azura Ismail, jawapannya sangat tidak bersetuju sama sekali.
Jawapan yang sering tak terjawab di minda saya, aduhai mengapa perlu menekan dan memaksa anak-anak di bawah 7 tahun ini belajar beria-ria dan buat latih tubi membaca seperti anak-anak yang telah bersekolah? Kenapa nak marah pada anak memasuki umur 7 tahun yang belum dapat membaca lagi?
Sebenarnya, kita sebagai pendidik dan ibu bapa belum memahami anak-anak. Dan paling parah, kita tidak memahami konsep pendidikan awal kanak-kanak.
Suatu ketika dulu, saya pernah membuat kesilapan dalam merealisasikan pendidikan awal kanak-kanak ini kepada anak-anak berumur 4, 5 dan 6 tahun. Ketika itu saya mengusahakan perniagaan TADIKA saya sendiri. Matlamat akhir saya dan juga bagi memenuhi harapan tinggi ibu bapa ialah di akhir tahun pembelajaran nanti, anak-anak ini mesti sudah boleh membaca. Maka, saya akan sedaya upaya memastikan matlamat tersebut tercapai.
Apa yang saya buat? Antaranya, saya perkenalkan kepada ibu bapa program membaca dengan cepat, adakan sesi belajar ‘one to one’ dengan anak-anak kecil ini, adakan kelas tambahan membaca. Lagi, saya beri latih tubi membaca setiap hari dan hakikatnya saya paksa emosi anak-anak ini untuk belajar. Hasilnya, kerana anak-anak ibarat span yang mudah menyerap apa sahaja, lalu ramailah anak-anak keluaran TADIKA saya boleh membaca dengan baik. Malah, bukan sekadar bacaan dalam Bahasa Malayasia bahkan bacaan dalam bahasa Inggeris juga. Itulah yang diimpikan ibu bapa.
Aduh, bangganya saya kerana dapat melahirkan anak-anak yang boleh baca di awal usia. Anak-anak itu terus dilabel sebagai anak yang cerdik dan pintar yang boleh membaca di awal usia sebelum 6 tahun. Itu yang kebanyakan TADIKA akan cuba capai. TADIKA yang dapat mengeluarkan anak-anak yang boleh baca, itulah TADIKA yang terbaik pada pandangan dan persepsi ibu bapa. Secara tidak langsung inilah perkara utama yang dapat mempromosi TADIKA supaya ramai lagi ibu bapa yang menghantar anak ke situ.
Kerja Hakiki Anak Bawah 7 Tahun Bermain
Tetapi, saya mula perasan, anak-anak yang boleh baca awal usia biasanya adalah anak-anak yang kurang keyakinan diri, penakut, pemalu, pendiam, kategori anak-anak yang tak banyak bermain malah kurang pandai bergaul dan berkomunikasi. Mereka mempunyai emosi yang kurang sihat dan self esteem yang rendah. Saya perasan itu semua.
Saya juga perasan, anak-anak yang tak pandai baca pada usia 5@6 tahun adalah anak-anak yang tak boleh duduk diam, aktif dan banyak bermain serta banyak meneroka dan banyak keinginan serta perasaan ingin tahu. Saya mula tertanya mengapa?
Bila saya terjun ke bidang pendidikan awal kanak-kanak yang lebih muda sedari 0 hingga 4 tahun, saya mula sedar akan kesilapan saya. Saya mula belajar mengenai tahap demi tahap perkembangan kanak-kanak. Saya korek pelbagai potensi awal yang boleh dibentuk di peringkat awal usia anak-anak. Dan apa yang penting saya mula belajar memahami tingkah laku, karenah serta sikap semulajadi kanak-kanak.
Saya teruja untuk mengetahui bahawa antara sikap atau tabiat semulajadi anak-anak ialah BERMAIN. Kerja hakiki anak-anak di bawah umur 7 tahun ialah BERMAIN dan bukannya belajar.
Selama ini persepsi saya dan juga kebanyakan ibu bapa di luar sana terhadap pendidikan awal kanak-kanak andalah salah. Pendidikan awal bukan bermaksud memberi pelajaran formal seperti membaca kepada anak-anak. Pendidikan awal bermakna mengenalpasti tahap perkembangan dan memberi galakan untuk anak mencapai tahap perkembangan yang tertentu. Pendidikan awal juga bermakna mengenalpasti potensi diri anak dan membantu mengilap potensi tersebut.
Justeru itu, saya dan anda sebagai pendidik maupun ibu bapa perlu tahu dan faham akan setiap aspek tahap perkembangan kanak-kanak supaya kita dapat beri galakan ,sokongan dan dorongan untuk anak.
Apakah Aspek Perkembangan Awal Kanak-Kanak?
Perkembangan sosiemosi – bentuk emosi yang positif pada anak seperti yakin diri, berani
Perkembangan bahasa – galak anak menggunakan bahasa yang betul dan bijak berkomunikasi
Perkembangan kognitif – galak anak berfikir , menggunakan deria untuk meneroka dan belajar pelbagai dari alam dan persekitaran.
Perkembangan kerohanian- terapkan nilai moral, akhlak dan ketuhanan
Perkembangan fizikal – galak anak tingkatkan moto halus dan moto kasar
Perkembangan kreativiti dan estetika – galak anak supaya kreatif dan mempunyai imiginasi pelbagai
Malah mengikut kurikulum PERMATA yang menjadi panduan perkembangan pembelajaran di TASKA, antara perkembangan lain yang turut perlu dibentuk pada anak ialah perkembangan sahsiah – belajar bergaul dan komunikasi serta literasi awal.
Bagaimana pula cara terbaik menggalakkan semua aspek perkembangan ini? Adakah melalui pembelajaran formal seperti di sekolah? Adakah dengan memberi anak-anak kecil ini latih tubi dan pelbagai tugasan atau kerja rumah.
Tahukah anda sebenarnya setiap aspek perkembangan ini boleh diterapkan kepada anak-anak dengan mudah hanya melalui bermain sahaja. Bukankah bermain kerja hakiki anak? Mereka memang bermain tetapi secara tak langsung mereka banyak belajar menyuburkan pelbagai aspek perkembangan tersebut hanya melalui bermain. Jadi, biarkan anak-anak bermain.
Anak main blok, mereka berfikir bagaimana susun blok menjadi tinggi
Anak main pasir, bina istana, mereka cuba merealisasikan imiginasi mereka.
Anak berlari sekeliling rumah@ taman, mereka belajar meneroka persekitaran
Anak main olok-olok dengan kawan sebaya, mereka belajar bersosial dan bergaul serta berkomunikasi dengan bahasa yang betul.
Anak yang suka usik itu ini, mereka mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi.
Anak yang aktif berlari, mereka membina kecergasan diri.
Jadi, mengapa perlu dipaksa anak duduk sebelah anda dengan keadan anda marah dan tinggi suara untuk ajar mereka membaca. Mengapa pula masih ada TADIKA yang menyusun ruang susunatur dalam kelas sama seperti belajar di sekolah? Mengapa pihak TADIKA perlu stress ajar anak-anak membaca dan beri pula kerja rumah yang banyak.
Entah kenapa saya memang tak boleh terima kalau dengar seorang cikgu di TADIKA cuba menakutkan dan menginggatkan ibu bapa supaya memastikan anak-anak boleh baca dengan baik sebelum masuk tahun 1. Mereka terangkan pada ibu bapa betapa hebatnya persaingan akademik anak-anak di tahun 1. Kalau kebetulan jika anak 6 tahun itu tak boleh baca, cikgu cadangkan pula ibu bapa hantar anak ke kelas tambahan. Bagi saya, memadai sajalah kalau anak yang tak boleh baca itu telah kenal huruf dan boleh menyebut dua sukukata. Mereka bukan tak pandai , mereka cuma belum bersedia. Percayalah.
Sekali lagi, ingin saya ingatkan, hakikatnya anak-anak memang perlu bermain. Hakikatnya anak-anak ini tidak perlu dipaksa untuk belajar. Percaya tak bahawa apa yang perlu diterapkan terlebih dahulu ialah ilmu mengenai kehidupan disamping membentuk anak dalam setiap aspek perkembangan yang telah saya nyatakan tadi. Keinginan untuk belajar akan datang sendiri bila anak telah bersedia menerima pembelajaran formal. Masanya pasti akan muncul juga. Yang pasti setiap anak adalah berbeza pencapaiannya.
Teringat saya pernah terbaca bahawa pendidikan awal anak di Jepun bermula dengan mendidik akhlak. Pendidikan berteraskan peperiksaan bermula hanya bila anak berumur 10 tahun sahaja.
Berbeza dengan sistem pendidikan kita yang telah diwarisi begini, bila nak masuk tahun 1 sebolehnya anak mesti dah boleh membaca dengan baik. Cikgu di tahun 1 suka kalau anak-anak sudah boleh membaca. Lalu kasihan anak-anak yang dikelompokkan dalam kumpulan belum boleh membaca. Seawal usia 7 tahun anak-anak telah mula dinilai tahap pencapaian akademiknya. Bukankah sebenarnya dalam silibus pembelajaran tahun 1 anak-anak perlu diajar semua huruf dan gabungan sukukata hingga boleh baca. Akan tetapi, anak-anak ini pula dikategori sebagai anak-anak yang ketinggalan.
Apa yang penting, biarlah anak-anak kecil yang di bawah 7 tahun ini belajar kerana minat dan kesediaan mereka. Tugas kita beri dorongan dan galakan bukan paksaan. Apa yang penting, kejayaan anak-anak bukanlah hanya diukur dari kejayaan akademik sahaja. Lihatlah kejayaan anak pelbagai aspek. Setiap anak mempunyai potensi diri yang berbeza. Apa sahaja potensi yang berjaya digilap dan diserlahkan oleh anak, itulah kejayaan buat anak-anak. Jangan lupa juga doa kita sebagai pendidik dan juga ibu bapa.
Pantang nampak! Anak-anak mana yang tidak suka main air. Bila sudah mandi manda, jawabnya susah hendak naik. Terpaksalah ibu menunggu berjam-jam lamanya.
Bermain air dan berenang sebenarnya dapat memberi keseronokkan kepada mereka kerana air bersifat terapeutik yang menjadi terapi ketenangan, menghilangkan tekanan serta kebosanan dikalangan kanak-kanak.
Bukan itu sahaja, aktiviti air seperti berenang juga dapat membantu anak anda untuk jadi lebih berani dan yakin diri. Berenang merupakan salah satu bentuk aktiviti yang sangat penting bagi kecerdasan sekaligus ia dapat merangsang keberanian si kecil. Malah dengan berenang juga dapat melatih otot-otot fizikal anak anda untuk lebih mantap.
Berenang lazimnya melibatkan rangsangan pada otot-otot bahagian gerakan tubuh dan pernafasan. Aktiviti ini perlu dilakukan bersama tenaga pengajar untuk menjamin keselamatan anak anda.
Peralatan untuk berenang seperti pelampung dan pakaian renang yang sesuai juga penting supaya anak dapat bergerak dengan selesa.
Ramai kanak-kanak tidak mahu berenang kerana takut air, jadi sebaiknya anda perkenalkan aktiviti sebegini sejak usia dini anak-anak supaya mereka lebih berani untuk mencuba aktiviti di dalam air.
Bermain tidak semestinya di bilik atau taman sahaja. Kolam renang juga boleh menjadi tempat untuk anda bermain dengan gembira.
Dengan bermain air, otot-otot anak anda berkembang dan pertumbuhan badannya meningkat. Dengan kata lain kompenan badan kanak-kanak akan terlatih dengan aktiviti renang kerana semua anggota badan bergerak mulai dari kaki, tangan hingga kepala walaupun Teknik gerakan mungkin belum cukup sempurna.
Berenang mendorong anak menjadi lebih berani, yakin diri dan memiliki rasa percaya diri yang tinggi. Ketika berenang, mereka dapat menggerakkan anggota badan mereka dengan sendiri. Aktiviti sebegini pastinya memerlukan keberanian buat si kecil anda. Berikan kata-kata semangat agar mereka dapat lakukan dengan baik tanpa rasa takut.
Berenang bersama orang ramai akan membuatkan hubungan sosial si kecil anda berkembang dengan lebih baik. Dengan aktiviti renang, si kecil bakal mendapat teman baru. Cara ini dapat membantu mereka untuk lebih yakin diri bagi berhadapan dengan orang ramai. Ia juga secara tidak langsung mempengaruhi psikologinya untuk berani berenang.
Pastikan peralatan seperti pelampung, goggle dan sebagainya berada dalam keadaan bersih, tahan lama dan tidak berkarat serta tajam. Ia penting supaya anak-anak dapat meneroka dengan selamat di dalam air.
Berenang juga boleh dilakukan di rumah menggunakan kolam plastik. Pastikan kedalaman air yang digunakan tidak terlalu dalam dan bersesuaian dengan tahap umur kanak-kanak.
Ibu bapa perlu memantau aktiviti kanak-kanak semasa main air. Elakkan membiarkan kanak-kanak bersendirian atau membiarkan mereka bermain sesama rakan sebaya tanpa pemantauan.
Jelaskan pada kanak-kanak peraturan dan prosedur semasa bermain air dengan menggunakan arahan yang mudah difahami seperti mengingatkan mereka supaya beratur sebelum masuk ke kolam renang, tidak menolak kawan dan membaling pelampung bagi mengelak kemalangan yang tidak diingini.
Jenis-jenis najis bayi boleh berubah mengikut usia, susu dan pemakanan. Ketahui warna najis yang normal, tanda bahaya serta bila ibu ayah perlu membawa bayi berjumpa doktor.