Aplikasi Kesuburan: Bahaya Tersembunyi & Panduan Tepat Untuk Kenal Pasti Waktu Subur

Share

Aplikasi kesuburan sering menjadi pilihan mudah bagi pasangan yang sedang merancang cahaya mata. Kehadiran zuriat bukan sahaja menghidupkan suasana dalam rumah tangga, malah menjadi pengikat kasih sayang yang sangat dinantikan oleh mak ayah. Namun dalam usaha merancang kehamilan, ada pasangan yang bergantung sepenuhnya pada aplikasi kesuburan untuk mengesan waktu subur. Hakikatnya, langkah ini boleh membuatkan peluang hamil semakin tipis tanpa disedari.

Dr. Raihana Ismail, pakar kesihatan wanita

Menurut Dr. Raihana, ramai yang tidak tahu bahawa aplikasi tersebut hanya menganggar waktu ovulasi berdasarkan kitaran haid bulan sebelumnya, bukan keadaan tubuh yang sedang berlaku pada bulan semasa. Jika kitaran biasanya 28 hari, aplikasi akan menjangka ovulasi pada hari ke-14 sedangkan tubuh manusia tidak berfungsi seautomatik itu.

Ovulasi Tidak Konsisten: Kenapa Aplikasi Kesuburan Tidak Tepat?

Jelas Dr. Raihana, ovulasi tidak semestinya berlaku pada hari yang sama setiap bulan. Aplikasi kesuburan sekadar membuat prediction tanpa membaca perubahan hormon atau tanda-tanda fizikal yang jauh lebih tepat.

“Apps tak boleh kesan kenaikan hormon LH, tak boleh analisis lendir serviks, dan tak boleh baca suhu basal badan. Jadi ketepatannya sangat terhad,” katanya.

Jika ovulasi tertunda atau datang awal daripada biasa, jendela subur turut berubah. Tetapi aplikasi tetap mengikut pola lama, menyebabkan pasangan tersalah anggar waktu terbaik untuk merancang kehamilan.

Apa Tanda Tubuh Yang Lebih Tepat Berbanding Aplikasi Kesuburan?

Mak ayah yang sedang TTC (Trying To Conceive) disarankan lebih peka kepada petunjuk tubuh sendiri berbanding bergantung pada kiraan aplikasi kesuburan semata-mata. Antara tanda-tanda yang lebih tepat ialah:

  • Lendir serviks jernih, licin dan likat seperti putih telur
  • Ujian ovulasi (OPK) yang mengesan LH surge
  • Suhu badan basal meningkat selepas ovulasi
  • Senggugut ringan atau “ovulation pain”
  • Payudara terasa tegang atau sensitif

Apps sebenarnya sesuai digunakan untuk rekod kitaran haid, tetapi bukan sebagai penentu tepat hari subur.

Pengalaman Ibu-Ibu: Tanda Tubuh Lebih Boleh Dipercayai

Ramai wanita di media sosial turut berkongsi pengalaman yang selari dengan nasihat doktor.

Suzianah Unchang menggunakan aplikasi hanya untuk mencatat tarikh haid, tetapi ovulasi dipantau melalui perubahan cecair badan.

“Bila keluar cecair jernih macam putih telur, saya tahu itu waktu subur. Itu paling tepat bagi saya,” kongsinya.

Bagi Ainin Sofiya Azhar, kitaran haidnya tidak tetap, menyebabkan aplikasi tidak membantu dalam usaha hamil.

“Saya ikut tanda lendir serviks saja. Alhamdulillah, akhirnya rezeki saya datang juga,” katanya.

Sementara itu, Mila Asha mendapati ovulasi tak pernah sama meskipun periodnya teratur.

“Ovulasi saya pernah jatuh hari ke-13, ada kali hari ke-21. Memang tak sama,” ujarnya.

Kesimpulan: Aplikasi Kesuburan Boleh Bantu, Tapi Jangan Harap 100%

Nasihat Dr. Raihana sangat jelas aplikasi kesuburan hanyalah alat rekod, bukan penentu ovulasi sebenar. Tubuh setiap wanita berbeza, dan tanda fizikal jauh lebih tepat untuk mengenal pasti waktu subur.

Buat mak ayah yang sedang merancang cahaya mata, peka pada sinyal tubuh dan gunakan aplikasi sekadar sebagai rujukan sampingan. Rezeki zuriat itu hadir pada waktu yang tepat, sesuai dengan perancangan Allah. Semoga usaha mak ayah dipermudahkan dan diberi kegembiraan yang dinanti-nantikan.

BACA LAGI : Makanan Pantang Kesuburan: Senarai Penting Yang Ramai Terlepas & Tips Berkesan Untuk Hamil

Published by
Nana