
ASAI Gamuda Cove menjadi pilihan menarik apabila tiba hujung minggu atau musim cuti sekolah, ketika ibu ayah mula memikirkan destinasi yang sesuai untuk membawa anak-anak berehat dan meluangkan masa bersama.
Ada yang mahu lari daripada kesibukan kota, melihat kehijauan, menikmati udara segar dan memberi peluang kepada anak-anak mendekati alam semula jadi. Namun untuk mendapatkan pengalaman seperti itu, tidak semestinya perlu memandu berjam-jam atau pergi jauh ke kawasan pedalaman.
Bayangkan masih berada dalam kawasan bandar, tetapi apabila membuka mata pada waktu pagi, suasananya lebih tenang, dikelilingi kehijauan dan pelbagai pengalaman alam boleh dinikmati bersama keluarga.
Konsep inilah yang cuba dibawakan oleh ASAI Gamuda Cove, sebuah hotel yang terletak di Persiaran Cove Sentral, Bandar Gamuda Cove, Banting, Selangor.
Baru memulakan operasi pada 15 September 2026, hotel ini menawarkan konsep percutian yang menggabungkan keselesaan moden dengan pengalaman mendekati alam semula jadi.

Menurut Pengurus Besarnya, Muhammad Bukhari Muhammad Yusof atau lebih dikenali sebagai Bob Yusof, antara pengalaman utama yang mahu diberikan kepada tetamu adalah peluang menikmati percutian keluarga berkonsepkan nature tetapi masih berada dalam kawasan bandar.
ASAI Gamuda Cove Bawa Konsep Nature Dalam Bandar
Bagi keluarga yang mahukan suasana berbeza tetapi tidak mahu pergi terlalu jauh, konsep ASAI Gamuda Cove cukup menarik.
Di sini, percutian bukan semata-mata tentang masuk ke bilik hotel, berehat dan pulang keesokan harinya. Sebaliknya, tetamu boleh menjadikan hotel sebagai lokasi untuk berehat sebelum meneroka pelbagai tarikan alam dan aktiviti rekreasi yang terdapat di sekitar Gamuda Cove.
Apa yang menarik, keluarga masih boleh menikmati keselesaan sebuah pembangunan bandar moden, namun pada masa sama berada begitu hampir dengan kawasan hijau dan pelbagai aktiviti berasaskan alam.
Ia memberi peluang kepada ibu ayah membawa anak keluar daripada rutin harian, jauh seketika daripada skrin dan kesibukan, untuk menikmati pengalaman yang lebih dekat dengan alam semula jadi.
280 Bilik Untuk Pelbagai Jenis Keluarga

ASAI Gamuda Cove menyediakan sebanyak 280 bilik yang boleh memenuhi keperluan pelbagai jenis pengunjung.
Sama ada datang berdua, bersama kumpulan kecil mahupun bercuti bersama keluarga, pilihan bilik disediakan mengikut keperluan tetamu.
Malah terdapat bilik yang boleh memuatkan sehingga enam orang, menjadikannya lebih praktikal bagi keluarga yang datang bersama beberapa orang anak.
Rekaan biliknya pula mengetengahkan konsep yang ringkas, selesa dan praktikal.
ASAI membawa pendekatan simple comfort iaitu menyediakan segala kemudahan yang diperlukan tetamu tanpa menjadikan ruang terlalu sarat.
Konsep ini sesuai buat keluarga moden yang mahu sebuah tempat penginapan selesa sebagai lokasi untuk berehat selepas seharian meneroka kawasan sekitar.
Self Check-In, Lebih Mudah & Praktikal

Satu lagi kelainan yang dibawa ASAI adalah kemudahan self check-in kiosk. Tetamu boleh melakukan proses daftar masuk dengan lebih mudah dan praktikal tanpa perlu menghabiskan masa terlalu lama di kaunter.
Bagi ibu ayah yang datang bersama anak kecil, kemudahan sebegini tentunya membantu kerana proses untuk masuk ke bilik menjadi lebih pantas dan ringkas.
Konsep praktikal ini menjadi sebahagian daripada identiti ASAI yang mengutamakan keselesaan, kemudahan serta pengalaman yang lebih mudah untuk tetamu.
Unsur Alam & Tempatan Dalam Dekorasi

Konsep mendekati alam tidak hanya dapat dilihat melalui lokasi hotel, malah diterjemahkan dalam reka bentuk dalamannya.
Dekorasi hotel mendapat inspirasi daripada elemen tempatan termasuk batik, anyaman, motif alam serta permainan tradisional seperti gasing.
Antara sentuhan menarik boleh dilihat pada reka bentuk lampu, siling dan beberapa bahagian ruang hotel. Penggunaan elemen tempatan ini menjadikan suasana hotel terasa lebih dekat dengan identiti Malaysia walaupun keseluruhan konsepnya moden dan minimal.
Ia juga selari dengan pendekatan ASAI yang mahu setiap tetamu mengenali sedikit sebanyak tentang komuniti, budaya dan identiti tempat yang mereka kunjungi.
Kolam Renang Dengan Pemandangan Hijau

Bercuti bersama anak-anak tentu tidak lengkap tanpa aktiviti mandi kolam. Di ASAI Gamuda Cove, tetamu boleh menikmati kolam renang dengan pemandangan kawasan sekeliling yang menghijau.
Sambil anak-anak bergembira di kolam, ibu dan ayah pula boleh berehat serta menikmati suasana yang lebih tenang. Pool bar turut disediakan untuk melengkapkan pengalaman santai tetamu.
Inilah antara tarikan konsep percutian di sini — walaupun berada dalam sebuah kawasan bandar, suasana yang mahu diberikan kepada tetamu tetap mempunyai hubungan rapat dengan alam.
Nasi & Khao, Cita Rasa Asia Di Satu Tempat

Selepas seharian beraktiviti bersama keluarga, tentunya makanan menjadi perkara penting. Hotel ini mempunyai restoran all-day dining dikenali sebagai Nasi & Khao.
Nama ini sendiri membawa identiti Asia. “Nasi” cukup dekat dengan masyarakat Malaysia, manakala “khao” membawa maksud nasi dalam bahasa Thai.
Menurut Bob Yusof, masyarakat Asia sememangnya cukup sinonim dengan nasi, maka nama restoran ini dipilih bagi menggambarkan persamaan tersebut. Menariknya, restoran ini menawarkan tiga pilihan utama masakan iaitu tempatan, Thai dan Barat.

Dalam pada itu, Bob Yusof menjelaskan bahawa bagi memastikan kualiti hidangan di hotel berkenaan sentiasa berada pada tahap terbaik, khususnya masakan Thai yang menitikberatkan keaslian rasa, pihaknya telah mendapatkan khidmat cef profesional dari Thailand untuk melatih pasukan dapur dalam tempoh tertentu.
Langkah tersebut diambil bagi memastikan setiap hidangan yang disediakan mengekalkan cita rasa autentik serta memenuhi standard kualiti yang ditetapkan.
Jadi tetamu bukan sahaja dapat menikmati hidangan tempatan, malah boleh mencuba masakan Thai dengan cita rasa lebih dekat kepada resipi asal.
Restoran ini boleh menempatkan kira-kira 180 orang pada satu-satu masa dan kapasiti boleh diperluaskan sehingga sekitar 300 orang untuk keperluan tertentu.
Dekorasi Restoran Sentuhan Tropika Moden, Tenang & Estetik
Dekorasi di ASAI Gamuda Cove tampil dengan konsep moden, tropika dan sentuhan alam semula jadi yang cukup menenangkan. Kehadiran pokok hijau di tengah ruang, dihiasi lampu gantung rotan yang unik, memberikan suasana hangat dan nyaman.
Gabungan perabot kayu, kerusi anyaman rotan serta kusyen bercorak menjadikan ruang makan ini kelihatan estetik, santai dan elegan. Memang sudut yang cukup Instagrammable untuk bergambar sambil menikmati hidangan bersama keluarga.


Bercuti Sambil Bekerja

Bukan semua orang dapat meninggalkan kerja sepenuhnya ketika bercuti. Kadang-kadang ibu atau ayah masih perlu membuka komputer riba, membalas e-mel atau menyelesaikan beberapa tugasan.
Disebabkan itu, ASAI Gamuda Cove turut menyediakan working space yang boleh digunakan 24 jam. Tetamu masih boleh menyelesaikan tugasan kerja dalam ruang yang lebih sesuai tanpa perlu duduk sepanjang masa di dalam bilik.
Ia menjadikan hotel ini sesuai bukan sahaja untuk mereka yang mahu bercuti, malah bagi ibu ayah yang mahu menggabungkan sedikit urusan kerja dengan masa bersama keluarga.
Kemudahan gimnasium yang beroperasi 24 jam
Bagi tetamu yang ingin mengekalkan rutin kecergasan sepanjang percutian, kemudahan gimnasium yang beroperasi 24 jam turut disediakan. Ruang gimnasium yang moden, bersih dan selesa ini dilengkapi pelbagai peralatan senaman termasuk treadmill, basikal senaman serta peralatan latihan kekuatan. Dengan suasana yang tenang dan kemudahan yang lengkap, tetamu bebas bersenam pada bila-bila masa mengikut keselesaan dan jadual masing-masing.

Bukan Sekadar Duduk Dalam Hotel Tapi Kita ‘Adventures’ Dengan Famili
Apa yang paling menarik tentang konsep percutian di hotel ini adalah pengalaman keluarga tidak terhad di dalam hotel sahaja. Di sekitar kawasan Gamuda Cove terdapat pelbagai tarikan dan aktiviti untuk diterokai seperti SplashMania, Wetlands, Discovery Park dan aktiviti go-kart.
Keluarga juga boleh meneroka pengalaman berkaitan alam semula jadi serta mengenali komuniti di sekitar kawasan berkenaan, termasuk pengalaman memberi haiwan makan.


Wetlands Arboretum Centre Gamuda Cove
Wetlands Arboretum Centre menawarkan pengalaman pembelajaran interaktif yang menyeronokkan untuk seisi keluarga. Di sini, anak-anak boleh mengenali pelbagai jenis daun, meneroka kepentingan ekosistem tanah lembap serta memahami peranan alam semula jadi melalui aktiviti menarik seperti permainan padanan daun dan eksplorasi deria sentuhan.
Dengan ruang pameran berkonsepkan alam semula jadi yang unik, tempat ini bukan sahaja sesuai untuk bergambar, malah memberi peluang kepada ibu ayah dan anak-anak belajar sambil bermain.

Naik Safari Truck
Pengalaman menaiki safari truck di Paya Indah Discovery Wetlands pasti menjadi antara aktiviti paling menyeronokkan untuk seisi keluarga! Sepanjang perjalanan, pengunjung berpeluang menikmati keindahan alam semula jadi, termasuk melalui laluan yang dikelilingi pokok buluh tinggi membentuk terowong hijau yang cukup memukau.
Suasana yang tenang dan mendamaikan menjadikan aktiviti ini bukan sahaja sesuai untuk meneroka alam bersama anak-anak, malah lokasi menarik untuk merakam kenangan serta bergambar seisi keluarga.

Jadi anak-anak bukan sekadar datang untuk berenang dan tidur di hotel. Mereka boleh keluar meneroka, bergerak aktif, melihat alam semula jadi dan mencipta pengalaman baharu bersama ibu ayah.
Secara tidak langsung, percutian seperti ini juga memberi peluang kepada keluarga untuk meluangkan masa berkualiti bersama tanpa terlalu bergantung kepada gajet.

ASAI Gamuda Cove, Tak Perlu Pergi Jauh Untuk Dekat Dengan Alam

Inilah pengalaman yang cuba dibawa oleh hotel ini. Percutian tidak semestinya perlu berada jauh di dalam hutan atau memandu berjam-jam untuk mendapatkan suasana alam semula jadi.
Kadang-kadang apa yang diperlukan hanyalah sebuah destinasi yang memberi keseimbangan antara keselesaan bandar dan ketenangan alam.
Kata Bob Yusof lagi, apabila memilih untuk menginap di ASAI, ia bukan sekadar mencari tempat untuk tidur atau berehat. Sebaliknya, pengalaman yang mahu dibawakan adalah sebuah percutian keluarga yang berkait rapat dengan nature, kelestarian, komuniti dan pengalaman tempatan, tetapi semuanya boleh dinikmati dalam kawasan yang mudah dikunjungi.

Ruang santai terbuka di ASAI Gamuda Cove ini menawarkan suasana tenang dengan pemandangan kehijauan yang menyegarkan mata. Dilengkapi katil rehat empuk berwarna biru dan tirai putih yang memberikan sentuhan eksklusif, kawasan ini cukup sesuai untuk berehat, menikmati udara segar dan meluangkan masa bersama keluarga. Memang lokasi terbaik untuk bersantai sambil menikmati suasana percutian yang jauh daripada kesibukan kota.

Selepas seharian meneroka alam dan mencuba pelbagai aktiviti bersama anak-anak, keluarga boleh kembali ke hotel, berenang, menikmati hidangan dan berehat dengan selesa.
Jadi apabila ibu ayah mula memikirkan ke mana mahu membawa anak-anak untuk percutian seterusnya, tidak semestinya perlu mencari lokasi yang jauh.
Kadang-kadang pengalaman mendekati alam itu sebenarnya ada lebih dekat daripada yang kita sangka. ASAI Gamuda Cove menawarkan pengalaman ‘nature dalam bandar’ percutian yang memberi ruang kepada keluarga untuk berehat, meneroka dan kembali dekat dengan alam tanpa perlu pergi jauh.
Untuk maklumat lanjut mengenai kemudahan, penginapan dan pengalaman menarik yang ditawarkan, layari laman web rasmi ASAI Gamuda Cove
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!

