Aura Bang Aji Buat Ramai Mak-Mak Online Cair!

Share

Benarlah aura si comel Muhammad Aniq Redzuan atau lebih dikenali sebagai Bang Aji ini bukan biasa-biasa. Setiap kali melihat wajah dan keletah comelnya di media sosial, hati pasti tercuit rasa sayang. Apa lagi kala bertemu dengannya secara berdepan, aura Bang Aji memang luar biasa!

Pelawaan Bintang Kecil & Pa&Ma sebagai Cover Digital 2025 disambut baik oleh keluarga khusus bagi meninggalkan memori indah di zaman kecil buat anak mereka. Bapanya, Mohd Redzuan Zainol turut berkongsi kisah istimewa anak kecil ini yang bukan sahaja disayangi keluarga, malah disenangi ramai orang.

Kisah Bayi Comel Seberat 2.6kg

Bang Aji dilahirkan pada 10 Ogos 2021 dengan berat hanya 2.6kg. Ujar bapanya, Mohd Redzuan Zainol, Bang Aji satu-satunya anak yang paling kecil antara adik-beradik lain, namun membesar dengan sihat dan aktif. Dilahirkan sewaktu tempoh PKP, setiap detik kelahirannya meninggalkan kenangan mendalam buat keluarga.

“Berbanding abang dan dua kakaknya, berat Bang Aji boleh saya katakan paling kecil dengan 2.6kg sahaja ketika dilahirkan.

“Sama macam bayi lain, Bang Aji membesar macam biasa cuma dia memang suka minum susu.

“Saya masih ingat lagi waktu Bang Aji lahir, waktu tu zaman PKP jadi nak tak nak semua benda kena buat sendiri termasukkan mencukur rambutnya waktu bayi.

“Disebabkan bidan tak boleh datang ke rumah, saya buat sendiri, saya pegang kepala dan cukur rambut Bang Aji sendiri,” kongsi bapanya lagi.

Bang Aji Pemilik Karakter Kelakar

Di sebalik perwatakan bersahaja, Bang Aji memiliki karakter yang cukup kelakar dan mencuit hati. Kata bapanya, anak kecil kesayangan ramai ini sering membuatkan mereka sekeluarga terhibur dengan gelagat comelnya yang spontan dan tidak dijangka.

“Setiap benda yang dia buat di rumah, dari kecil lagi memang kelakar.

“Boleh saya katakan setiap pergerakan Bang Aji memang kelakar malah dia paling ramah berbanding abangnya,”ujarnya lagi.

Bang Aji Pandai Bergaya

Sentuhan kreatif jurugambar profesional @newbornbytakara berjaya mempotretkan aksi dan keletah Bang Aji dengan sempurna. Gaya matang dan bersahaja menjadikan setiap pose nampak semula jadi. Hanya dengan senyuman manis, aura Bang Aji jelas terpancar dan membuatkan semua yang melihat jatuh hati.

Kata bapanya lagi, Bang Aji sudah terbiasa dengan kamera dan mudah memberi kerjasama setiap kali bergambar atau merakam video untuk media sosial.

Mula Dikenali Ramai

Pada awalnya, keluarga tidak menyangka video Bang Aji boleh tular di media sosial. Video pertama nyanyian bersamanya mendapat sambutan luar biasa dengan jumlah tontonan yang tinggi. Dari situlah bermula perjalanan populariti Bang Aji

yang kini dikenali ramai di platform TikTok dan media sosial lain.

“Video yang viral tu sebenarnya saja saya rekod dan tak sangka view video nyanyian mendapat perhatian ramai.

“Bila view tinggi, saya post lagi video Bang Aji dan semuanya tinggi. Bermula dari saat itu saya mula merakam dan post video Bang Aji di media social.

“Jujurkan saya sendiri jarang bermain media social dan pada mulanya kami sekeluarga agak terkejut dengan sambutan ramai pada Bang Aji tapi kami mula membiasakan diri.

“Saya tak nafikan Bang Aji ada aura dan daya tarikan untuk orang lain nak tengok dan suka Bang Aji. Dulu zaman tak ada Tik Tok tapi lain sekarang dengan kuasa Tik Tok yang begitu besar.

“Sekarang ini jujurnya kalau nak keluar berjalan terutama ke mall, saya biasanya pakaikan dia dengan topi tapi biasanya orang tetap kenal dia.

“Saya dan isteri tak ada masalah pun cuma kadang kala Bang Aji sendiri kurang selesa apatah lagi kalau disentuh orang ramai,” katanya lagi.

Akui bapanya lagi, tempias populari Bang Aji turut dirasai ahli keluarga lain.

“Kadang-kadang ada kawan-kawan anak lain yang suka datang hendak tengok Bang Aji dirumah. Begitu juga dengan kawan-kawan neneknya yang sentiasa menjadi peminat setia Bang Aji,” konsinya lagi.

Populariti Bang Aji

turut memberi tempias kepada ahli keluarga lain. Malah rakan-rakan dan jiran turut datang ke rumah semata-mata ingin bertemu si comel ini.

Pastikan Bang Aji Jalani Hidup Normal

Sebagai bapa yang prihatin, Mohd Redzuan sentiasa memastikan anak bongsunya ini menikmati zaman kanak-kanak yang normal walaupun dikenali ramai. Beliau sering membawa pasukan sokongan setiap kali menghadiri acara bagi memastikan Bang Aji bebas bermain dan tidak terganggu dengan orang ramai.

“Biasanya kalau saya nak ke mana-mana, saya akan bawa team sendiri untuk pastikan Bang Aji terjaga dan selesa. Apa-apa pun, dia tetap anak yang manja dan sangat rapat dengan saya,” katanya lagi.

Doa Buat Bang Aji

Bang Aji kini bersedia memasuki alam persekolahan pada awal tahun hadapan. Semoga Bang Aji terus membesar dengan sihat, bahagia dan berjaya dalam apa jua yang dilakukan. Aura dan pesona Bang Aji sememangnya luar biasa, menjadikan si comel ini terus mendapat tempat di hati ramai!

Published by
SRM