Memang seronok kalau susu ibu anda terlalu banyak atau ‘oversupply’ sebab ramai ibu berfikiran tentu bayi akan puas menyusu dan tiada masalah untuk mengumpul stok susu.
Biasanya ibu-ibu akan susah hati kalau susunya sedikit atau berkurangan. Tapi sebenarnya kalau ibu mempunyai susu yang oversupply, ia boleh menjadi satu masalah besar dan mimpi ngeri! Bila menghasilkan terlalu banyak susu (atau susu memancut terlalu laju) ia boleh mencemaskan ibu dan bayi. Kenapa?
1. Bayi boleh tersedak susu
2. Bayi boleh tercekik dan tercungap ketika menyusu
3. Bayi mungkin akan menolak payu dara ibu terutama pada permulaan penyusuan
4. Bayi akan menjadi cerewet, kuat meragam atau kolik
5. Bayi sukar bernafas dan menelan susu
6. Bayi boleh mengalami selesema
7. Ibu mungkin merasa sakit di puting payudara kerana bayi asyik menarik, mencubit atau mencengkamnya ketika menyusu kerana cuba mengurangkan pengaliran susu yang terlalu laju
Ads
8. Pertambahan berat badan bayi sangat banyak (lebih daripada 900g sebulan)
9. Bayi kerap menyusu tetapi tidak puas
10.Bayi mengeluarkan najis yang berair dan berwarna kehijauan (sepatutnya kuning)
Beberapa keadaan di atas boleh menyebabkan risiko bayi lemas ketika menyusu dan mungkin membawa maut. Bahkan sesetengah bayi enggan menyusu atau menolak payudara apabila mereka tidak boleh mengatasi masalah aliran susu yang laju. Ini membuatkan mereka meragam kerana lapar tapi enggan menyusu.
Bagaimana masalah pengeluaran susu ibu berlebihan boleh berlaku?
* Pada awalnya, pengeluaran susu ibu didorong oleh paras hormon yang tinggi. Kemudian, kadar payudara mana menghasilkan susu ditentukan oleh berapa banyak susu kekal dalam payudara di antara waktu menyusu. Mengosongkan payudara dengan kerap menjadikan susu lebih laju.
* Bayi tidak menyusu dengan efektif. Dia sukar mendapat kadar lemak susu dengan betul. Kemudian cuba menggantikan dengan kerap menyusu, meningkatkan pengeluaran susu ibunya.
* Menukar payudara sebelum payudara pertama kosong sepenuhnya.
Ads
* Faktor hormon membawa kepada kecenderungan menghasilkan banyak susu.
* Rutin mengepam, atau mengepam kerana berpisan pada minggu pertama. Ini boleh membuatkan pengeluaran berlebihan.
Apa ibu patut lakukan?
* Susukan bayi dengan kerap membantu melegakan bengkak – payudara juga lebih selesa dan aliran susu kurang laju serta boleh ditangani oleh bayi.
* Susukan bayi sebelum dia lapar atau bila dia belum betul-betul terjaga dari tidur. Ini boleh membantunya menyusu lebih tenang, perlahan dan menerima aliran susu yang perlahan dan kurang menelan udara.
* Habiskan sebelah payudara terlebih dahulu. Ikut isyarat bayi dan tukar payudara bila dia kelihatan puas menyusu dan payudara anda rasa lebih lembut dan selesa. Kalau lepas berhenti seketika bayi kelihatan lapar balik, susukan semula dengan payudara yang sama jika belum kosong. Kemudian baru susukan di sebelah lagi payudara.
Ads
* Betulkan kedudukan dan pelekapan bayi. Jika aliran susu terlalu laju, cuba menyusukan sambil berbaring, jadi kepala dan kerongkong bayi akan lebih tinggi daripada puting anda. Atau, berbaring mengiring supaya bayi boleh membenarkan susu untuk menitik dari mulutnya bila ia keluar terlalu laju.
* Lembutkan payudara. Jika payudara anda terlalu penuh dan keras, cuba urut lembut secara terbalik untuk menggerakkan susu dari kawasan puting, jadi bayi boleh melekap lebih mudah. Anda juga boleh memerah sedikit susu dengan tangan jika perlu. Kalau guna pam payudara, pilih laras rendah untuk mengepam.
* Bantu bayi melepaskan payudara seketika supaya dia boleh menarik nafas. Bayi perlu dibantu untuk bernafas dengan betul supaya dia tidak tersedak.
* Sentiasa pastikan tangan anda menyokong bawah bahu dan leher bayi untuk mengelakkan dia memusingkan kepalanya.
* Anda juga mesti sentiasa memegang tuala di tangan untuk mengelap lelehan susu berlebihan. Bayi akan mudah menyusu jika aliran susu lebih perlahan.
Apa yang ibu mesti elakkan?
* Puting kosong dan botol susu.
* Mengepam susu dengan kerap sehingga alirannya perlahan. Walaupun ia kadangkala berguna, tetapi bila dilakukan dengan kerap boleh menyebabkan masalah terlebih pengeluaran susu.
* Mengepam susu mengikut rutin.
* Megepam susu lebih daripada yang diperlukan oleh bayi.
Jangan terlalu bangga bila susu terlalu banyak atau memancut sangat laju kerana ada risiko bahaya yang boleh mengancam nyawa bayi jika ibu tiada sebarang ilmu mengenainya.
Kita semua tahu bahawa penyusuan susu ibu adalah salah satu cara yang paling berkesan untuk melindungi dan meningkatkan kadar kesihatan dan kelangsungan hidup kanak-kanak.
Di samping menjadi satu sumber pemakanan, susu ibu juga memainkan peranan yang penting dalam perkembangan bayi tersebut di masa hadapan. Penyusuan susu ibu membantu meningkatkan sistem imun bayi, IQ, dan tabiat makan yang sihat. Walau bagaimanapun, terdapat banyak mitos yang mengelilingi amalan ini. Mari kita lihat 5 mitos penyusuan yang patut disangkal:
Penyusuan badan memberi kesan kepada payudara
Ramai wanita berfikir penyusuan akan membuatkan payudara mereka menjadi kurang menarik. Padahal penyusuan susu badan akan membantu menguatkan payudara anda dan mengelakkannya daripada jangkitan. Jika susu tersekat dalam saluran susu, ia akan memberi peluang kepada pembentukan bakteria dalam tisu payudara, menyebabkan keradangan. Selain itu, penyusuan jangka masa panjang membantu mencegah kanser payudara dan masalah ovari. Anda juga akan mempunyai peluang untuk membina hubungan dengan bayi anda melalui penyusuan.
Kanak-kanak susu ibu berkembang lebih perlahan
Satu kajian baru-baru ini telah menunjukkan bahawa penyusuan susu ibu yang berterusan dalam tempoh 3 tahun pertama akan membantu bayi mewujudkan tabiat makan yang baik di kemudian hari. Anak yang disusui ibunya akan mempunyai sistem imun dan penghadaman yang lebih baik berbanding yang diberikan susu melalui botol. Penyusuan susu ibu yang dipam tidak setanding dengan susu ibu yang diberikan secara langsung. Kanak-kanak yang disusu botol mungkin mempunyai masalah untuk mengenal pasti apabila kenyang kerana isyarat penghadaman yang lemah. Jadi, mereka akan berterusan makan dan akhirnya mempunyai masalah dengan berat badan mereka.
Susu ibu semuanya sama
Susu seorang ibu akan sentiasa berbeza daripada susu ibu yang lain. Susu ibu sentiasa berubah bergantung kepada hari anak anda makan dan ia tidak akan sama walaupun selepas 8 jam suhu bilik. Fenomena ini berlaku kerana susu ibu sentiasa berubah bergantung kepada peringkat bayi. Apabila bayi anda mula menyusu, susu ibu tersebut lebih banyak mengandungi laktosa dan protein. Pada akhir penyusuan, bayi anda meminum susu yang kebanyakannya terdiri daripada lemak dan kalori.
Susu ibu mempunyai formula unggul sendiri
Ramai orang mempunyai tanggapan salah bahawa susu ibu mempunyai formula unggul dan mempunyai kualiti yang sama daripada setiap ibu. Sedangkan nutrien yang terkandung dalam susu ibu bergantung kepada pemakanan si ibu. Sebagai contoh, wanita hamil dan wanita menyusu yang kekurangan vitamin dan nutrien tidak dapat membekalkan susu ibu yang baik untuk anak mereka. Oleh itu, sangat penting untuk wanita hamil dan menyusu mengamalkan diet yang seimbang dan gaya hidup sihat.
Pembekuan susu ibu menjadikannya kurang berkhasiat
Jika anda tidak pasti jika dapat memberikan anak anda makan dengan kerap, anda boleh menyediakan susu ibu yang dibekukan setelah dipam. Susu ibu boleh dibekukan dengan selamat dalam bekas sehingga 4 bulan jika di dalam penyejuk beku biasa, dan sehingga 6 bulan dalam penyejuk beku yang ditetapkan pada 0 darjah.
Menurut statistik global, kurang daripada 40% daripada bayi berusia bawah enam bulan mendapat penyusuan susu ibu. Namun begitu, kadar ini semakin meningkat secara beransur-ansur dengan kesedaran kebaikan penyusuan susu ibu bagi kesihatan ibu dan anak.
Pengalaman bayi tumbuh gigi pertama adalah berbeza-beza. Ada yang meragam seminggu sebelum gigi tumbuh dan ada juga yang berbulan-bulan meragam kerana gigi hendak tumbuh.
Walau bagaimanapun, ada juga bayi yang menunjukkan tanda-tanda lain semasa gigi pertama hendak tumbuh. Apakah simptom-simptomnya?
Air liur meleleh.
Jika tengok bayi yang selalu meleleh air liur, mesti orang kaitkan dengan ‘ibu mengidam, tapi tak dapat’ semasa hamil dulu. Yang sebenarnya, boleh dikatakan kebanyakan bayi akan mengalami tempoh air liur meleleh kerana hendak tumbuh gigi. Proses pertumbuhan gigi merangsang pengeluaran air liur yang lebih banyak pada si manja sehingga menyebabkannya meleleh.
Tak selera makan.
Normal untuk bayi hilang selera makan disebabkan ketidakselesaan akibat gigi hendak tumbuh. Jika bayi anda berusia lebih 6 bulan, berikannya makan makanan lembut yang selama ini menjadi kegemarannya. Jika bayi anda sudah boleh makan makanan pejal, tawarkannya sehiris kecil buah-buahan seperti pisang dan buah plum. Potong buah dalam potongan kecil sesuai dengan mulut bayi. Sentiasa pantau bayi anda semasa dia mengunyah makanan tersebut.
Meragam.
Kebanyakan bayi yang mula tumbuh gigi akan menunjukkan emosi yang berubah-ubah disebabkan kesakitan akibat pertumbuhan gigi pertama. Berjumpalah dengan doktor kanak-kanak bagi mendapatkan nasihat tentang cara mengurangkan sakitnya itu.
Gemar menggigit.
Si manja yang hendak tumbuh gigi kini mendapat hobi baharu. Dia akan menggigit jarinya atau apa sahaja barang yang ada di tangannya. Bagi mengelakkan gusi bayi anda luka, berikannya teether. Teether membantu anak anda mengurangkan ketidakselesaan akibat hendak tumbuh gigi dan merangsang pertumbuhan gigi si manja.
Tumbuh ruam.
Lelehan air liur bayi boleh menyebabkan bahagian mulut, dagu dan lehernya ditumbuhi bintik-bintik merah dan ruam. Lapkan mulutnya dengan kain bersih untuk mengelakkan iritasi atau ruam.
Sukar tidur.
Ketidakselesaan dan kesakitan hendak tumbuh gigi akan menyebabkan bayi sukar untuk tidur. Pasangkan lagu dodoi atau lullaby bagi merangsangnya tidur dengan lena sepanjang malam.
Semakin comel anak pasangan selebriti Amyra Rosli dan Amar Baharin iaitu Aqeef Anaqi yang kini berusia tujuh bulan.
Si kecil yang lahir pada 15 Oktober tahun lalu kini sedang berada dalam fasa ‘banyak mulut’. Bertambah seronok kehidupan pelakon drama popular Nur ini bila si kecil semakin bijak dan menghiburkan.
Gelagat Anaqi yang juga mempunyai akaun Instagram sendiri sentiasa menghiburkan netizen yang suka melihat wajah comelnya.
Semalam Amar memuat naik video gelagat Anaqi ketika mereka menghadiri majlis berbuka puasa Primavalet.
Video tersebut memperlihatkan gelagat Anaqi yang bijak sedang petah ‘bercakap’.
Ramai netizen geram melihat kecomelan Anaqi yang berpipi comel dan tembam. Bebelan manja ditambah dengan senyuman manis Anaqi membuatkan ramai yang jatuh kasih dengannya.
Kata orang tua-tua kalau budak ‘banyak mulut’ itu tandanya tak lama lagi nak pandai bercakap.
Sebenarnya fasa yang dilalui oleh Anaqi adalah perkembangan normal seorang bayi.
Walaupun sebelum bayi menyebut perkataan pertamanya, dia telahpun mendengar dan belajar daripada semua orang di sekelilingnya.
Faktor-faktor ini yang membuatkan Anaqi dah mula banyak mulut.
Mummy dan daddy rajin layan Anaqi berbual dan bermain denganya.
Bila ibu ayah rajin melayan anak berbual dan tak dibiarkan terbaring sahaja maka lebih banyak perkataan baru yang akan dipelajarinya, dan pertuturannya akan bertambah baik.
Berbual dengannya ketika menukar lampin, memberinya makan atau memandikannya, dan beri masa kepadanya untuk memberi tindak balas sambil anda kekalkan eye contact dan senyum.
Guna aktiviti-aktiviti harian untuk membantu anak kecil anda mengaitkan perbuatan dan objek serta perkataan yang berkaitan dengannya. Tunjuklah benda-benda yang anda lihat ketika anda di luar.
Cakap dengan bayi dalam bahasa yang mudah. Guna ayat-ayat yang pendek dan tekankan pada perkataan-perkataan utama. Ini akan membantu anak kecil anda untuk fokus pada maklumat yang penting.