Kes tular mengenai pelajar MRSM yang dibuli hanya kerana menegur mereka yang menonton video lucah sepatutnya kita jadikan pengajaran dalam mendidik anak-anak kecil kita. Kita pantaulah apa jua yang ditonton mereka di kaca tv mahupun di telefon bimbit.
Sebagai mak ayah, kitalah yang perlu menjadi pembimbing dan benteng untuk anak-anak agar tidak berbuat silap. Kita cuba kerana inilah satu tanggungjawab buat kita dalam mendidik anak. Inilah yang dikongsikan oleh Ustazah Asma Harun di facebooknya.
Allahu Allah, memang tersangat perit hati ini semasa dalam flight petang tadi, terbaca tentang khabar seorang pelajar MRSM yang dibuli hanya kerana menegur mereka yang menonton video lucah.
Sudah buat perkara haram, kemudian sakiti pula orang yang melakukan amar makruf nahi mungkar, Astaghfirullah.
Beberapa hari yang lalu, tular video berdurasi 10 saat yang memaparkan seorang pelajar dibuli beramai-ramai, mereka menumbuk dan menendang mangsa secara bergilir-gilir sehingga cedera tisu lembut di bahagian perut mangsa. Hal ini sangat membimbangkan kerana berlaku dalam kalangan anak muda seusia awal remaja iaitu lingkungan 13 tahun.
Bermula dengan niat baik mangsa menasihati mereka yang menonton video lucah agar menghentikan perbuatan tersebut atau tindakan mereka akan dilaporkan kepada guru.
Namun, kerana rasa tercabar dan ego yang tinggi, mereka menggunakan kekerasan sebagai tindak balas terhadap nasihat yang diberikan. Allahu Akbar.
Buli ini banyak puncanya tetapi dalam kes sebegini ia berlaku akibat ego orang yang melakukan kemungkaran, apabila ditegur mereka membalas pula dengan kekerasan.
Analoginya ibarat orang yang hampir mati lemas, apabila datang orang untuk membantu, mereka mencaci maki si penyelamat.
Kita semua sedia maklum tentang keburukan buli seperti yang berlaku terhadap arwah adik Zulfarhan di UPNM pada tahun 2017 dan lain-lain kes sebelum ini sama ada yang tular atau tersembunyi.
Namun, saya ingin tegaskan di sini bahawa perbuatan menonton video lucah itu juga merupakan satu kemungkaran yang mesti dijauhi.
Maksudnya: “Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya (zina) itu suatu perbuatan keji, dan suatu jalan yang buruk.”
(Surah Al-Isra’, 17: 32)
Allahu Akbar, sedangkan mendekati atau menghampiri sahaja pun sudah ditegah oleh Allah, apatah lagi melaksanakan perbuatan zina. Jangan disangka bahawa zina itu hanyalah melakukan persetubuhan secara haram, namun segala perbuatan yang menghampiri zina seperti berkata, melihat atau mendengar perkara lucah juga dikira sebagai kemungkaran.
Daripada Nu’man bin Basyir r.anhuma, Rasulullah SAW bersabda: الْحَلاَلَ بَيِّنٌ وَ الْحَرَامَ بَيِّنٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas.” (HR Bukhari, hadis sahih)
Tuan Puan, Tabiat menonton video lucah bukan sahaja menyebabkan semakin nipisnya rohani, tetapi turut memberi kesan terhadap kesihatan mental seseorang, iaitu pelaku akan alami ketagihan beronani (masturbation), hilang rasa malu dan paling membimbangkan sudah mula timbul kecenderungan untuk berzina secara nyata. Allahurabbi.
Ads
Akibat daripada perbuatan ini menyebabkan perubahan tingkah laku, di mana si pelaku akan jadi seorang yang panas baran, cenderung untuk menyakiti orang lain dan budaya menipu atau memperdaya menjadi kebiasaan. Kesan daripada kemungkaran yang dianggap remeh ini, berlakunya kes-kes mencederakan orang lain seperti buli.
Kadang saya terfikir juga mengapa terlalu ramai orang yang terjerumus melakukan kemungkaran ini, antaranya kerana ramai ibu bapa yang tidak mengawasi bahan tontonan anak-anak semasa mereka kecil.
Kita boleh lihat dalam filem-filem, animasi, rancangan kanak-kanak atau kartun yang menonjolkan karakter lelaki atau perempuan yang mendedahkan aurat dan seksi.
Bayangkan di usia 2-6 tahun anak-anak sudah terdedah dengan penampilan sebegitu, jangan pelik apabila mereka besar, semua itu sudah menjadi kebiasaan dan ketagihan, bahkan berapa ramai anak remaja berusia 13-16 tahun sekarang sudah terlibat dengan penzinaan. Allahu Akbar.
DUHAI IBU BAPA, AWASILAH ANAK-ANAK KITA Ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting untuk memastikan anak-anak membesar sebagai manusia yang baik dan berguna. Kadang kita rasa takut jika terlalu mengongkong sehingga timbul rasa rimas daripada anak-anak, namun jika terlalu longgar dalam pengawasan pula akan memberi kesan negatif terhadap perkembangan anak-anak.
Saya percaya semua orang impikan anak-anak yang soleh dan solehah, walau kita sedar hakikat cabaran ke arah itu sangat tinggi. Namun, siapa yang berusaha bersungguh-sungguh, pasti Allah SWT tak akan sia-siakan. Panduan untuk mendidik ahli keluarga supaya dapat menangani masalah sebegini ada digariskan di dalam sebuah hadis.
Maksudnya: “Wahai para pemuda! Barangsiapa yang berkemampuan dalam kalangan kamu, hendaklah dia berkahwin kerana perkahwinan itu lebih menjamin pandangan dan lebih kuat membentengi kemaluan. Tetapi barangsiapa yang tidak ada kemampuan (untuk berkahwin) maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu menjadi pelindung kepadanya.” (HR Bukhari, hadis sahih)
Jika kita muhasabah semula, sebenarnya amat jelas hikmah Allah perintahkan kita supaya menjaga pandangan, hati dan kemaluan supaya tidak terjebak dengan perkara maksiat sebegini, walaupun perintah itu telah diturunkan sejak 1400 tahun yang lalu, namun ia masih relevan sehingga ke hari ini. SubhanAllah.
Sebab itu, Allah Ya Hakim, yang Maha Bijaksana dan Allah Ya ‘Alim, yang Maha Mengetahui segala baik buruk kita, segala kelemahan dan kekurangan kita. Oleh itu, banyakkan memohon petunjuk dan bimbingan daripadaNya supaya diri dan ahli keluarga kita terselamat daripada terjebak dengan dosa maksiat.
SYABAS DAN TAHNIAH KEPADA PIHAK YANG PANTAS BERTINDAK Alhamdulillah, saya rasa sangat bersyukur dengan tindakan yang diambil oleh pihak MARA, Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Mufti, institusi Diraja, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan banyak lagi atas tindakan dan arahan yang dikeluarkan berikutan kes buli yang berlaku ini.
Semoga setiap usaha untuk membendung isu buli ini dikira sebagai satu bentuk amar makruf nahi mungkar dengan menggunakan kuasa di tempat yang betul, sekaligus menjadi pahala ibadah yang sangat besar di sisi Allah SWT, insyaAllah .
Anak ada bakat? Sertai Bakat Cilik Pa&Ma sekarang!
Kalau anak-anak ada bakat hebat, janganlah simpan sendiri. Jom, support mereka dengan menyertai Bakat Cilik Pa&Ma. Rakam aksi anak-anak dengan bakat mereka dan hantarkan kepada Pa&Ma.
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bayi sentiasa mendapat perhatian. Kecomelannya membuatkan rasa terpaut hati dan ingin mendekati. Tapi awas mencium dan ‘menggomol’ anak kecil meningkatkan risiko jangkitan penyakit.
Lebih-lebih lagi menjelang Aidilfitri, ibu bapa yang mempunyai anak kecil perlu berwaspada dan mengawasi pendedahan si kecil kepada faktor yang membahayakan kesihatan. Perkongsian daripada jururawat Bel Nawhen ini boleh dijadikan panduan.
BERAYA DAN SI KECIL
Menyambut raya bersama si kecil sebenarnya satu perkara yang dinanti oleh ibu bapa muda masa kini. Begitu juga oleh kaum keluarga yang lain. Masa inilah dapat berkumpul sesama saudara dan melawat ahli keluarga yang baru melahirkan. Begitu juga sesama rakan kan.
Walau bagaimanapun, beberapa adab perlulah dijaga sewaktu menziarah sesama keluarga atau rakan yang baru sahaja mendapat ahli keluarga baru.
1. Berpenyakit
Seperti yang kita tahu, kanak-kanak bawah 5 tahun cenderung mendapat jangkitan yang dibawa oleh orang lain. Maka, jika kita selesema, batuk atau mempunyai penyakit berjangkit yang lain, elakkanlah dari datang menziarah.
Janganlah pula selamba sahaja cium si kecil tanpa rasa bersalah. Digomol-gomol sebab geram. Saya tahu bau baby ni wangi. Tapi nanti kalau baby jatuh sakit, kamu nak volenteer jaga baby kat wad tak?
Oh ya, pastikan tangan dicuci dahulu sebelum menyentuh bayi. Apa kuman kita bawa sepanjang hari kita tak tahu kan.
2. Memakai baju yang penuh asap rokok atau kotor
Silap kalau saya cakap begini. Rayakan hari dimana semua orang tidak kira tua muda, dewasa dan kecil pasti akan melaram. Tetapi, dalam melaram, bagi perokok tegar, aktiviti merokok tidak akan ditinggalkan.
Melekatlah bau asap di baju. Kemudian jumpa anak saudara atau anak kawan. Dicium pula. Habislah asap rokok itu memberi kesan kepada bayi. Ingat sikit. Bukan anak kita tu.
3. Makanan Minuman Yang Panas
Biasalah kalau beraya. Nak borak mesti berdepan. Kalau tuan rumah hidang air panas. Bawa turun sekali cawan beralas piring semata-mata nak berbual. Kalau boleh, elakkan dari meletak makanan/minuman panas berhampiran bayi.
Tak anda yang tangan tak henti bergerak dengan mulut yang bercakap tertepis, anak-anak yang ada terlanggar dan air/makanan itu tumpah kemudian terkena bayi. Dah jadi satu cerita lain. Jangan guna alasan ‘sekejap je’.
4. Membawa Anak Lain
Hari raya ni ada jenis keluarga yang akan beraya sekali one shot satu family. Berbiji kereta akan join sekaki untuk berjalan. Tetapi apabila menziarah rumah yang ada bayi, jaga adab anak sendiri di rumah orang.
Kalau dia dok kacau barang tuan rumah satu hal. Buat dia gentel dan gomol baby. Tanda sayang saya tahu. Tapi ada sesetengah kanak-kanak kurang gemar dengan kehadiran entiti asing yang mendapat perhatian lebih dari dia. Silap-silap dia gentel bayi macam kuih bom. Kalau siap pakej cepuk tu. Habis!. Maka, kawal anak kita. Anak orang tu besar tapak tangan lagi tu.
5. Melawat Lewat Petang/ Malam
Biasalah kalau menziarah tu tak sah kalau tak membawa ke malam. Ada tu sehari suntuk pun tak penat berjalan. Tetapi elakkanlah menziarah ke rumah mereka di waktu begini. Bukan apa, waktu siang mereka dah tak putus-putus menerima kunjungan.
Lepas tu kita sambung dan sembang pula tak reti tengok jam tangan. Baby pun letih sebab kurang rehat seharian. Ibu mereka apetah lagi. Bagi chancelah ibu-ibu berehat. Sambung esok pula. Text dahulu sebelum datang. Rayakan sebulan!
6. Mengejutkan Bayi Tidur
Ini biasa kan. Dah puas cuit baby, belek pula kepala kekaki. Puji baju raya baby cantik. Melekat elok kat badan. Tapi tak puas kalau tak dengar suara bayi, tak tengok mata bayi sepet, bulat, coklat, biru laut ikut siapa tu tak sah.
Sengaja dikejut bayi tidur pula semata-mata bagi memenuhi kehendak yang satu itu. Bayi baru lahir perlu rehat yang cukup. Tak cukup rehat maka bayi akan meragam. Yang susah ibu bapanya. Kita pula boleh sambung beraya rumah ke rumah. Jangan macam tu.
7. Selfie Wefie Dengan Bayi
Mengambil gambar kenang kenangan merupakan aktiviti yang biasa diamalkan oleh kita. Tapi ada sesetengah ibu bapa tidak gemar gambar anak diambil sewaktu masih kecil. Seeloknya minta izin dahulu. Jika mahu diupload di laman sosial. Beritahu. Bukan main letak gambar konon kita umat pertama tunjuk muka baby sipolan pada dunia. Hormat sikit ibu bapa dia. Saya tahu kita gembira dengan kehadiran orang baru itu. Ibu bapa bayi itu juga. Cuma mereka mungkin belum bersedia mahu berkongsi dahulu.
8. Ibu Breastfeeding
Bayi baru lahir kita tahu memang kerap menyusu. Dan biasanya dihari raya, bayi dan ibu akan lepak di ruang tamu demi memberi ruang kepada orang yang datang menziarah untuk melihat bayi tanpa menyusahkan siibu untuk berulang alik bilik-ruang tamu setiap kali tetamu datang.
Oleh itu, apabila si ibu memberitahu mahu menyusukan bayinya, maka berilah ruang/privacy kepada mereka. Janganlah dok renung dia sedang menyusukan bayinya. Susu badan si ibu warna putih, sama seperti kamu bukannya warna kelabu.
Penat kan bila bab adab ni pun kena tulis. Tapi jika tak ditulis, ditegur ada yang buat-buat tak tahu. Jangan pandang remeh tentang sesuatu perkara. Setiap orang perasaan mereka berlainan. Belajar menghormati orang lain.
Menziarah tu satu tuntutan agama selain merapatkan ukhwah. Cuma beragak sikit. Janganlah sampai tk ingat nak balik. Nak-nak orang baru bersalin dan ada anak kecil. Penat bersalin tak habis lagi.
Saya tahu, masa hari raya ni lah semua dapat berkumpul sebab kebetulan bercuti kan. Tetapi rancang perjalanan anda. Kalau tak sempat menziarah, apa kita boleh buat. Beritahu dengan si polan sebab tak sempat berziarah. Kita pun ada kekangan waktu kan. Lepas raya pun boleh je pi tengok baby. Tak menjadi masalah.
Notakaki;
Kalau boleh ziarah menziarahi di hari lebaran biarlah menjadi kenangan bukannya berakhir tragedi atau ketidak puasan hati. Nanti kena minta maaf lagi. Kata dah kosong-kosong.
10 tahun berusaha dan menunggu hadirnya seorang anak dalam rumah tangga bukan mudah. Apabila diberi peluang memberikan kata-kata akhir buat insan yang dinanti-nantikan, bapa ini sebak.
Kehadiran cahaya mata dalam rumah tangga memang menjadi dambaan setiap pasangan yang berkahwin. Kurniaan anak kepada aktor Adam Corrie Lee & isteri setelah melalui episod keguguran dan kandungan luar rahim. Bukan mudah melaluinya namun keyakinan kepada Allah dan tawakalnya akhirnya dia dikurniakan seorang anak lelaki dinamakan Adam Fateh Lee, Julai tahun lalu.
Pengalamannya yang berusaha mendapatkan anak selama 10 tahun menuntut kesabaran. Menerusi Instagram, Ustaz Ebit Lew berkongsi video bagaimana sebaknya aktor berkenaan apabila ditanyakan apakah kata-kata terakhir yang ingin diluahkan buat anaknya, Adam Fateh Lee.
“Dari dulu saya hormat dan sayang @adamcorrielee . Beliau orang baik. Rendah diri dan selalu dulu-dulu forum kami sama-sama menangis. Mengenang nikmat hidayah dan betapa syukurnya dapat nikmat Islam. Syukur dapat kenal Allah. Terima kasih doa khususnya orang Islam di Malaysia.
BERKAT KESABARAN 10 TAHUN
“Sebak setelah berkat kesabaran dan doa Allah kurniakan Adam Corrie anak selepas 10 tahun. Adam Fateh anak soleh dan hensem comel.
JAGA SOLAT, MENYAYANGI MANUSIA & BERSANGKA BAIK
Dengar kisah doanya dan betapa beliau menghargai bidadari. Bila saya minta kata-kata terakhir buat anaknya Adam Corrie menangis pesan supaya jaga solat sungguh-sungguh dan menyayangi manusia selalu bersangka baik.
SANGAT MENGHARGAI & MENCINTAI BIDADARI KERANA ALLAH
“Adam Corrie contoh pasangan yang sangat menghargai bidadarinya. Mencintai bidadarinya kerana Allah. Sahabatku, nanti jika diakhirat tak nampak saya tolonglah cari saya dan bawa sama-sama masuk syurga yer.”
Menjadi kebiasaan masyarakat kita, apabila pasangan memiliki anak lelaki, antara soalan yang sering ditanya bila pula nak memiliki cahaya mata perempuan.
“3 orang semua boy. Bila pula nak dapat gegirl ni?”
“Kamu ni kena ada anak perempuan, barulah boleh nak tolong-tolong kat dapur bila besar nanti.”
Kalau anak berderet sama jantina, maka makin banyak akan menerima soalan-soalan dan ayat seumpama ini.
Buat mama papa, jangan mengeluh dan berputus harapan. Kisah yang dikongsikan bapa ini yang menceritakan kembali perjuangan ibunya membesarkannya dan 15 adik beradik yang lain sungguh memberikan inspirasi.
Saya ada 16 adik beradik seibu sebapa. 1 hingga 11 semua lelaki. 12 hingga 16 semua perempuan.
Ada orang rasa stress dan sedih bila beranak 5 orang sederet lelaki. Mak saya rilek je dapat 11 anak semua lelaki .
Alhamdulillah walaupun hidup sangat susah, kesemua 16 beradik berjaya sambung pelajaran ke universiti.
AYAH DISERANG STROKE DAN LUMPUH
Pada tahun 1991, masa mak mengandung anak ke-16 ayah diserang stroke dan lumpuh. Hilang sumber pendapatan. Tiada simpanan sebab hidup cukup-cukup makan je. Pihak masjid bagi wang ehsan setiap bulan hanya rm150.
Mak besarkan kami 16 beradik dan dalam masa yg sama uruskan ayah yg lumpuh dengan hanya 150 ringgit sebulan. Macam mana boleh survive? Ni semua urusan Allah..semua rezeki dari Allah.
ANAK-ANAK BERDIKARI
Allah bagi “rezeki” kepada anak-anak dalam bentuk kesedaran untuk berdikari. Walaupun masih sekolah rendah kami dah mula cari duit sendiri. Jadi buruh sementara, kutip botol dan tin aluminium untuk dijual, bercucuk tanam dan lain-lain.
Pada tahun 2001, ketika tingkatan 4, saya masih kutip kayu api untuk masak. Ada berlaku kecederaan ketika sedang memotong kayu, parang terkena kat tangan. Ada kesan parut di tangan kiri.
Makanan kami juga tidak semewah orang lain. Makan nasi tanpa lauk sudah jadi kebiasaan. Sekadar nasi campur air, garam dan sedikit gula sudah memadai. Mujur di sekolah ada Rancangan Makanan Tambahan RMT, dapatlah kami rasa makan yang sedap secara berterusan.
Walau keadaan hidup begitu susah, tidak pernah sekalipun mak berhenti berjuang mahupun mengaku kalah dalam membesarkan anak-anaknya.
MAK TAK PERLU KELUH KESAH DEPAN ANAK
Mak juga tidak berkeluh-kesah di hadapan anak-anak, biarpun beberapa kali saya melihat mak menangis mungkin kerana terlalu berat menanggung keperitan hidup.Kami anak-anak yang masih kecil ketika itu hanya boleh menahan sedih melihat keadaan emak.
Ketika itu memang tidak banyak yang boleh kami bantu, malah untuk angkat ayah yang lumpuh untuk dimandikan pun susah. Saya banyak kali menangis sebab melihat ayah yang makin lemah dan kudis di badannya makin besar disebabkan terlalu lama baring..sangat meruntun jiwa.
Nasib baik abang-abang di sekolah menengah banyak tolong dengan penuh kesabaran tetapi apabila mereka masuk universiti, tinggal kami yang kecil-kecil sahaja di rumah.
MEMASAK DENGAN DAPUR KAYU JIMAT GAS
Sehingga tahun 2001, kami masih memasak menggunakan dapur kayu api. Bukan tidak ada dapur gas tetapi mahu menjimatkan wang daripada membeli gas. Kalau bekalan kayu api berkurang, kami adik beradik akan masuk hutan mencari kayu api. Ketika itu tiada lagi orang kampung yang mengutip kayu api, hanya keluarga kami sahaja.
Mak pula pegang prinsip tidak akan hutang duit orang. Hidup dengan sekadar apa yang ada. Alhamdulillah, beban emak sedikit ringan apabila abang-abang di universiti mengirim duit biasiswa masing-masing untuk adik-adik di kampung. Pernah abang saya cerita, dia sanggup ikat perut semata-mata untuk hantar duit ke kampung.
Foto: http://chequesuechekgu.blogspot.com
“TIDAK GUNA BELAJAR TINGGI DAN PANGKAT TINGGI TAPI SOLAT JEMAAH TIDAK DIJAGA”
Sepanjang ingatan saya, semasa ayah masih hidup dan sihat, dia tidak pernah bertanya tentang pencapaian pelajaran anak-anak, tapi ayah selalu tanya tentang solat di masjid atau tak. Arwah ayah selalu pesan, “tidak guna belajar tinggi dan pangkat tinggi tapi solat jemaah tidak dijaga”. Arwah ayah memang sangat menekankan amalan agama.
Walaupun kami masa masih bersekolah dan sangat sibuk dengan mencari duit tapi kami tetap ke masjid solat jemaah. Kami cuma dapat belajar ketika di sekolah sahaja kerana di rumah kami sibuk dengan kerja dan mengasuh adik-adik yang masih bayi. Namun, syukur semuanya kini cemerlang dalam pelajaran. Alhamdulillah 1 hingga 16 berjaya semua masuk universiti.
ANAK LELAKI PERLU DIBIASAKAN SOLAT BERJEMAAH
Pesanan untuk ibubapa, bagi mendapat keluarga yang bahagia di dunia dan akhirat berilah penekanan pada pendidikan agama terutamanya solat. Anak-anak lelaki mesti dibiasakan dengan solat jemaah.
Sekarang bila tengok orang yg kutip tin dan botol di tepi jalan saya teringat keadaan saya dulu-dulu. Walaupun saya dah hidup senang dan alhamdulillah bisnes saya maju tapi saya tak lupa asal usul saya.
– Ditulis oleh anak ke-11, Mohd Yazid Ismail.
Mohd Yazid bersama isteri dan anak-anak.
Ini kisah survival keluarga suami saya. Saya copy & paste untuk bagi semangat kepada ibu-ibu yang tengah struggle. Kita ibubapa di zaman yang penuh cabaran ni kena ambil pengajaran dari kisah mereka. Solat jemaah kena betul-betul jaga supaya tenang hidup di dunia dan akhirat.