Peranan seorang bapa atau ayah sangat mustahak dalam perkembangan anak. Nak mudah mendidik perlu ada bonding yang kuat antara bapa dan anak.
Memeluk dan mencium anak banyak faedahnya kepada ibu dan ayah. Bagi ibu, adalah normal untuk memeluk dan mencium si manja kerana hubungan antara ibu-anak memang sedia erat sejak dalam kandungan.
Perkongsian bapa ini boleh dijadikan panduan. Katanya, bapa perlu lebih kerap peluk dan cium anak. Magisnya kasih sayang seorang ayah kepada anak, kesan positif bukan sahaja dirasai anak tetapi bapa sendiri merasa ketenangan dan tenteram. Hormon dopamine yang dirembeskan buat bapa bahagia dan tenang dengan anak-anak.
Peluk Cium Anak
Kenapa saya selalu ingatkan untuk peluk cium anak setiap hari. Anak saya sehingga ke pagi ini setiap kali bangun tidur mesti minta nak dipeluk.
Hal ini kerana setiap kali peluk cium anak hormon dopamine akan mula dirembeskan oleh otak yang menyebabkan timbul perasaan cinta, sayang dan tenang apabila bersama mereka.
Hormon dopamine buat rasa tenang
Bukan itu sahaja, hormon ini membantu kita untuk mengekalkan hubungan yang erat antara anak dengan ibu bapa selamanya. Dalam hal hubungan dengan anak, saya lebih tekankan bapa patut lebih kerap peluk dan cium anak. Ini kerana, hubungan anak dengan ibu sangat erat di alam rahim lagi.
Ads
Bayi memang sedia rapat dengan ibu, bapa kena rajin peluk cium anak
Pada usia 23-30 minggu bayi mulai dengar dengan jelas degupan jantung seorang ibu. Setiap kali ibu bercakap degupan jantung bayi lebih laju dari biasa. Ini menunjukkan bayi tersebut sedang berkomunikasi dengan ibunya.
Sebab itulah dalam Islam kita menganjurkan ibu membaca Al-quran, zikir atau amalan-amalan yang boleh didengari oleh bayi ketika di alam rahim. Mudah mudahan apabila dilahirkan nanti bayi rindu akan bunyian tersebut dan memudahkan kita membentuk akhlak mereka.
Nabi Muhammad S.A.W selalu peluk dan cium anak-anak
Ads
Jika puan-puan perasan kebanyakkan anak jika sakit, lapar, takut, ada masalah orang pertama yang mereka panggil adalah IBU. Jadi para bapa keraplah peluk cium anak. Nabi Muhammad S.A.W selalu peluk dan cium anak-anak dan cucu baginda.
Kerana dengan memeluk hormon Dopamine akan bantu anda untuk lebih rasa sayang cinta dan tenang apabila bersama mereka.
Kurang peluk cium anak akan mudah berkasar dalam mendidik
Saya yakin dan percaya, ibu bapa yang pukul anak sehingga ada yang sepak terajang , tengking, sebenarnya mereka kurang peluk cium anak.
Jika tuan puan tak percaya. Cuba peluk cium anak sekarang. Peluk dengan penuh erat. Pasti tuan puan akan rasa sangat TENANG atau satu perasaan yang tidak mampu digambarkan.
Boleh hilangkan stres
Bukan itu sahaja, peluk cium anak mampu hilangkan stres dengan lebih baik. Stres banyak penyumbang kepada pelbagai penyakit.
Saya pernah peluk anak sehingga saya tidak sedar air mata mengalir. Sangat tenang, sangat bahagia. Allahu.
Tuan puan, sayangilah mereka. Didiklah mereka untuk cinta Allah dan Rasul lebih dari segalanya. Tegas dalam hal hukum hakam agama. Tegas disulami dengan kasih sayang insyaallah akan lahirkan anak yang soleh solehah. Insyaallah.
Selain menggoreng ikan sardin dalam tin, menggoreng ikan keli amat ditakuti kerana acapkali minyak akan meletup-letup tanpa henti.
Tanpa penutup periuk yang sesuai untuk melindungi diri, kulit boleh meninggalkan kesan lecur yang teruk ketika memasak.
Tak perlu takut-takut untuk menggoreng, apa kata anda cuba petua mudah yang dikongsikan pengguna Tik Tok @lynn_ishak ini. Hanya tambahkan satu sudu tepung sahaja. Senang!
Aku jumpa petua ni di Tik Tok.
Senang sangat, letak tepung dulu dalam minyak panas.
Serius, tak meletup. Minyak tak kecah merata, nak terbalikkan ikan pun senang.
Elok, janji selamat, kulit tak melepuh kena minyak panas.
Settle!
Wajib cuba, baru anda tahu keberkesanannya. Paling penting dah tak perlu lari-lari masa yang mengalihkan ikan keli di dalam kuali.
Anak-anak yang tak reti duduk diam dan sering kali mengundang kesabaran mak ayah sebenarnya memerlukan perhatian yang lebih. Kadang kita sebagai ibu bapa tidak sedar kesibukan membuatkan kita kurang menghabiskan masa dengan mereka. Tambah pula bila mata asyik melekap di telefon pintar atau gajet yang ada.
Jadi untuk ibu ayah yang mungkin terlupa si kecil memerlukan perhatian kita, tip yang diberikan oleh Dr Airil Haimi Mohd Adnan, Pensyarah Kanan UiTM Cawangan Perak dan penyelidik aktif ilmu psikologi perkembangan tahun awal serta sosiologi pendidikan usia praformal (0-6 tahun) ini boleh dijadikan panduan.
Hari ini pula, dengan iklim ekonomi semasa yang tidak menentu ditambah dengan begitu banyak masalah negara dan masalah dunia seperti epidemik penyakit berjangkit yang serius, papa dan mama acapkali mudah terlupa tentang perkara-perkara yang penting lagi bermakna dalam hidup mereka. Dalam mereka sibuk keluar mencari rezeki demi untuk menambah pendapatan keluarga mereka, kita khuatir kalau mereka terlalu letih hingga tidak dapat menjadi mama dan papa yang tenang lagi ‘berkualiti’.
Ya, memang mudah kita berbicara tentang konsep keibubapaan berkualiti atau berkongsi masa berkualiti dengan anak-anak kita! Namun realitinya, lauk di dapur tetap perlu dibeli, bil-bil tetapi perlu dibayar, begitu juga hutang-hutang yang ada serta 1,001 macam keperluan diri sendiri dan keperluan anak kita perlu diselesaikan. Jauh daripada kata-kata motivasi kosong yang tidak menggambarkan realiti kehidupan pada hari ini, rasanya elok bulan ini kita berfikir dan melihat kepada proses kemenjadian papa dan mama.
Kemenjadian atau ‘becoming’ merupakan suatu proses hidup yang amat penting kerana ia menentukan bentuk dan corak diri seseorang atau identiti individu tersebut. Semua orang ada pandangan tersendiri apabila kita sebut perkataan ‘mama’ atau ‘papa’. Pada masa yang sama, ramai pula orang yang terlupa bahawa papa dan mama juga manusia biasa yang perlu belajar, menambah pengetahuan serta menjaga kebajikan diri mereka.
Satu: Manfaatkan pagi-pagi untuk kebersamaan
Semua orang di dunia ini tahu bahawa pagi-pagi pada hari dan minggu bekerja ialah waktu yang paling kelam-kabut lagi ‘gila’! Maka, tidak hairanlah kalau terjadi kes mama terambil fail kerja papa dan papa pula terbawa beg tadika si kecil ke pejabat. Akan tetapi, tahukah anda bahawa waktu pagi juga boleh menjadi waktu yang tenang dan penuh kebersamaan?
Benar, sarapan pagi masih perlu disediakan, gigi perlu diberus diikuti mandi dan memakai pakaian. Perjalanan ke tadika dan ke tempat kerja juga terpaksa menempuh kesesakan trafik (seperti biasa). Namun, berusahalah untuk mengurangkan stres anda dan anak kecil kesayangan anda walau sekadar dua atau tiga minit setiap pagi. Untuk beberapa minit setiap pagi, diamkan diri dan tarik nafas sambil menikmati waktu yang sedang dikongsi bersama-sama. Sediakan diri untuk hari berkenaan dengan tenang bukan kelam-kabut.
Di atas kenderaan, minta si kecil untuk menunjukkan sesuatu atau suatu benda yang tidak pernah dia perhatikan sebelum ini. Matlamatnya ialah untuk bersama-sama berkongsi detik waktu itu walaupun dalam kesibukan atau kesesakan trafik yang boleh menimbulkan rasa geram dan marah. Banyak manfaat apabila anda sebagai papa atau mama bertenang dan mencari peluang kebersamaan pada pagi-pagi hari. Selain mengurangkan stress, ini membantu merapatkan hubungan antara anda dengan si kecil kesayangan anda itu!
Dua: Perbanyakkan pelukan antara anda dan si kecil
Kalau ditanya kepada saya secara peribadi, antara nikmat Tuhan paling bermakna kepada kita sebagai orang tua si kecil, tiada yang dapat dibandingkan dengan peluang memeluk dan mencium si kecil manja kesayangan kita sewaktu usianya 0-6 tahun! Pelukan itu bukan sekadar memberi ketenangan tetapi juga menurunkan hormon yang membawa kepada stres dan perkara negatif lain.
Soalannya, sudahkah mama dan papa memeluk dan mencium si kecil hari ini? Kalau sudah, sudah berapa kali? Dan, kalau sudah beberapa kali, siapa yang suruh berhenti? Teruskan lagi! Bayangkan peluang yang anda berikan itu sebagai senaman di mana kita orang tua dan anak kecil kita bersama-sama saling memberi pelukan erat dalam kiraan tiga kali menghela nafas atau dalam kiraan tiga saat. ‘Senaman’ ini semakin bermakna ketika si kecil manja anda kurang sihat, sedang bersedih atau menghadapi krisis.
Mencium dan memeluk anda kita dapat menenangkan sistem saraf mereka dan ‘senaman’ ini mengajar anak-anak kita bahawa kita boleh menggunakan tindak balas fizikal untuk bereaksi terhadap situasi yang sukar. Yang paling utama, anda patut sedar bahawa perbuatan ini membawa manfaat kepada kedua-dua pihak; ia mengajar kanak-kanak bagaimana caranya untuk mereka menenangkan diri, tetapi ia juga mengajar anda sebagai papa dan mama untuk menenangkan diri anda.
Tiga: Sudah-sudahlah ‘melayan’ telefon pintar anda, beri fokus kepada si kecil
Kita cepat geram dan marah apabila si kecil kesayangan terlalu leka dan sibuk bermain dengan telefon pintar atau komputer tablet sambil melayan aplikasi permainan atau pun menonton YouTube! Ada pula sampai ‘terbuang’ air kecil (termasuk juga air besar) dek kelekaan bermain dengan peranti atau gajet. Kalau diambil? Nah, bersedialah untuk drama Hindustan lengkap dengan aksi air mata yang mendayu-dayu!
Akan tetapi, apa pula kisahnya dengan mama dan papa yang terlalu leka melayan telefon pintar atau bersembang kosong dalam kumpulan WhatsApp yang tidak mendatangkan apa-apa pun faedah (kecuali membuat masa)? Mulai hari ini, tolong jadikan diri anda sebagai papa dan mama yang tenang lagi berkualiti. Sedarkan diri daripada mimpi dan hentikan tabiat buruk duduk terpaku melihat telefon pintar anda setiap minit. Seperti juga si kecil kesayangan, tetapkan sempadan untuk diri anda sendiri.
Mungkin mulakan dengan 10, 20 atau 30 minit bila mana anda dan anak kecil kesayangan anda hanya duduk sambil berkongsi cerita dan luahan bersama-sama. Perlahan-lahan anda bakal sedar bahawa tidak ada pun keperluan untuk anda duduk terpaku menatap skrin telefon pintar anda setiap masa (kecuali mungkin kalau anda seorang broker saham besar atau penukar mata wang atas talian). Bertenanglah dan berhiburlah dengan keletah si kecil manja lagi comel anda itu, sebelum dia dewasa.
Empat: “Apakah yang perlu kita syukuri pada hari ini?”
Benar, cabaran hidup pada zaman moden ini amat menyeksakan! Sebagai orang tua yang banyak tanggungan dan ditambah pula amanah serta tanggungjawab membesarkan si kecil, ada masa-masanya kita terlupa untuk berterima kasih dan bersyukur kepada Tuhan akan segala nikmat yang kita terima dalam hidup ini. Dan, kalau-kalau kita semua terlupa, hidup kita pada hari ini juga suatu nikmat… kerana selepas waktu hidup tentunya akan tiba pula detik untuk mati.
Maka, selagi kita masih bernafas dan bernyawa, sebagai mama dan papa yang berkualiti, kita perlu bersama-sama mensyukuri setiap hari yang kita anda bersama-sama ahli famili kita dan khasnya atas anugerah si anak kecil yang manja lagi comel itu. Banyakkan berkongsi cerita dan pengalaman hidup setiap hari walaupun semua itu hanyalah rutin kehidupan. Cerita dan pengalaman positif anda ditambah dengan kisah si kecil membawa ketenangan dalam hidup dan dapat menjadikan anda papa dan mama berkualiti.
Minta si kecil berkongsi pada setiap penghujung hari, apa-apa sahaja kisah atau cerita yang berlaku kepada dirinya pada hari tersebut. Sebelum membaca buku cerita sebelum si kecil tidur, beri ulasan dan jadikan kisah atau cerita itu suatu pengalaman positif yang dapat memberi pengajaran dan pedoman hidup yang berkesan untuk anda dan si kecil anda. Jangan biarkan alasan “sedang letih” atau “terlalu sibuk” membuat anda sefamili terlupa nikmat-nikmat kehidupan pemberian Tuhan.
Memang ada hari-hari yang gembira lagi menenangkan dalam proses membesarkan si kecil pada peringkat usia pendidikan praformal 0-6 tahun mereka. Namun, ada pula detik-detik yang akan mencabar kesabaran, menimbulkan stres malah boleh membuatkan mama dan papa memekik marah! Inilah hakikat proses membesarkan dan mendidik kanak-kanak sejak dari zaman purba lagi.
Jadi, cuba amalkan petua di atas iaitu H-T-B! Apabila si kecil anda sedang ‘buat perangai’ dan menguji tahap kesabaran anda, mulakan dengan berhenti sejenak untuk berfikir dahulu sebelum bertindak. Tindakan semasa geram atau marah, tidak lain tidak bukan hanya akan berakhir dengan penyesalan kepada diri anda atau berakhir dengan padah apabila anda bertindak di luar kawalan hingga boleh mencederakan si kecil kesayangan! Ingat, berhenti sejenak sebelum bertindak!
Kemudian, tarik nafas anda sedalam-dalam mungkin untuk dua tiga kali. Ini untuk menurunkan reaksi stres dalam sistem saraf anda. Kemudian, baru beri tindak balas yang sepatutnya untuk kelakuan negatif si kecil anda. Ketegasan memang perlu namun perlu juga diingat, kanak-kanak bukan orang dewasa ‘mini’. Banyak lagi perkara yang mereka tidak faham, terlalu banyak pengalaman hidup yang mereka belum anda. Sebelum geram atau marah, cari dahulu rasa kasih, cinta dan sayang untuk si kecil nakal anda itu.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Seperti mana sikap ibu ayah, ia akan ‘menurun’ pada anak-anak. Oleh itu, ibu ayah sendiri harus menunjukkan contoh yang baik serta menerapkan nilai murni dalam diri anak-anak. Jika anak-anak diajar sejak kecil untuk menjaga tingkah laku, mereka akan disayangi dan membesar menjadi anak yang baik.
Sebagai ibu ayah, terdapat tujuh jenis adab yang perlu kita ajarkan kepada anak-anak sedari mereka kecil. Apabila anak-anak sudah menguasai adab-adab ini, mereka akan membesar sebagai individu yang sopan dan disenangi ramai.
#1. Minta tolong dan berterima kasih
Ini perkara asas yang perlu diajarkan pada anak-anak. Biasakan mereka untuk menggunakan perkataan “Tolong” apabila menginginkan bantuan dan mengucapkan “Terimakasih” apabila menerima sesuatu daripada sesiapa. Terangkan kepada mereka, yang hal ini bukan saja perlu dibuat ketika mereka bersama anda tetapi perlu diucapkan kepada sesiapa sahaja.
#2. Tidak menyampuk
Ajarkan juga supaya anak tidak menyampuk ketika sesiapa bercakap. Tegaskan kepada mereka, ia adalah perbuatan yang biadap jika kita menyampuk ketika orang lain bercakap. Jangan ajarkan supaya mereka tidak menyampuk ketika orang dewasa bersembang tetapi sesiapa sahaja. Jika hanya diajarkan jangan menyampuk ketika orang dewasa bercakap, nanti mereka akan buat begitu apabila kawan-kawan bercakap.
#3. Tidak kritik atau ejek orang lain
Sebagai ibu ayah, kita perlu ajar anak-anak supaya menjaga mulut. Jangan suka mengejek atau mengkritik orang lain. Biasanya jika anak-anak, salah satu perkara yang selalu dijadikan bahan ejekan adalah fizikal kawan-kawannya. Selain itu, ajarkan juga kepada anak-anak agar tidak mengkritik tentang perkauman. Didiklah anak-anak untuk sentiasa memuji dan menghargai orang lain.
#4. Suka berkongsi
Salah satu adab lain yang perlu diajarkan pada anak-anak adalah kesanggupan mereka untuk berkongsi dengan orang lain. Selain dengan adik-beradik sendiri, didik anak untuk sentiasa berkongsi dengan orang lain. Dengan cara ini, anak-anak boleh berlajar untuk bertolak ansur serta bermain bersama-sama tanpa perlu bergaduh.
#5. Bercakap lembut di telefon
Ajarkan pada anak-anak untuk mengangkat telefon dnegan sapaan yang lembut. Gunakan permulaan ayat seperti memberi salam atau “Hello” dengan lembut. Kemudian, ajarkan juga kepada anak untuk menggunakan kata-kata yang baik semasa berkomunikasi dengan orang di telefon.
#6. Adab bermain
Ketika anak bermain di luar rumah, disiplinkan mereka untuk membersihkan kaki dan terus mandi apabila selesai bermain. Selain itu, ibu ayah juga boleh menetapkan masa untuk anak-anak bermain di luar. Ajari mereka untuk menepati dan menghormati masa yang anda berikan kepada mereka. Dengan cara ini, secara tidak langsung anda dapat mendidik mereka untuk menjadi individu yang menghormati masa serta berdisiplin.
#7. Adab makan
Paling penting, ajarkan anak-anak untuk menunggu semua orang ada di meja makan terlebih dahulu sebelum mula makan. Selain itu, didiklah mereka untuk tidak bercakap ketika mulut penuh. Sebaiknya, didik anak untuk tidak bercakap ketika sedang makan. Ajar mereka untuk makan secara tertib dan tidak gelojoh. Paling penting, ajar mereka untuk menghormati dan menghargai makanan serta elakkan tabiat membazir.
Untuk membentuk sahsiah diri anak, banyak lagi adab lain yang harus diajarkan kepada mereka. Didiklah mereka perlahan-lahan supaya mereka terbiasa dan perkara itu menjadi tabiat. Apabila perkara itu selalu mereka lakukan, mereka tidak perlu diajar lagi pada masa depan tentang cara-cara untuk menjadi anak yang baik.
Ketahui cara sekat video Indonesia di YouTube dengan mudah menggunakan tetapan aplikasi, fungsi sekatan dan kawalan ibu bapa bagi membantu anak menguasai Bahasa Melayu dengan lebih baik.