Aysar Selamat Terima Hati Ayah. Pembedahan 13 Jam Berjaya, Tunjuk Perkembangan Positif

Share

Muhammad Nassar Sanusi yang mendermakan sebahagian hati kepada anaknya, selamat menjalani pembedahan di Max Super Speciality Hospital, New Delhi, India.

Pembedahan berlangsung 13 jam pada Sabtu lalu dan kedua-duanya dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Kakak Muhammad Nassar, Najihah Salwani, 33, berkata, adik dan anaknya Aysar Nasri berusia tujuh bulan bagaimanapun masih dalam pantauan pakar di unit rawatan rapi hospital itu.

“Syukur kedua-duanya sudah sedar dan kami sekeluarga  masih di sini (India) untuk menunggu perkembangan selanjutnya.

“Doktor beritahu, mereka berdua stabil dan masing-masing menunjukkan perkembangan positif.

Muhammad Nassar bersama anaknya sebelum pembedahan. FOTO Ihsan Najihah Salwani.

“Sama ada perlukan pembedahan susulan atau tidak, semuanya bergantung kepada keadaan, jika ada komplikasi. Tetapi kami berharap tiada ‘rejection’ pada Aysar Nasri,” katanya ketika dihubungi Metro.

Najihah Salwani berkata, pakar yang merawat dua beranak itu turut menyifatkan pembedahan terbabit berjaya, meskipun Aysar Nasri perlu ditempatkan di ICU selama dua minggu.

Katanya, Muhammad Nassar pula dijangka dipindahkan ke wad biasa esok.

Sebelum ini media melaporkan kisah Aysar Nasri yang menderita penyakit hati kronik dan keluarga itu memerlukan sokongan dana untuk membolehkan pemindahan hati dilakukan.

Muhammad Nassar nekad mendermakan hati buat bayinya dengan kos pembedahan perlu ditanggung mereka cecah RM120,000.

 

Dapat tahu hidap Biliary Atresia ketika usia dua bulan

Berdasarkan perkongsian Muhammad Nassar berkata sebelum inii, penyakit anaknya itu dikesan 16 Mei lalu iaitu ketika Aysar berusia dua bulan hasil pemeriksaan dilakukan pakar.

“Aysar dilahirkan normal tetapi badannya menjadi kuning dan selepas dirujuk ke hospital doktor mengesahkannya menghidap Biliary Atresia.

“Dua hari kemudian, Aysar menjalani pembedahan dan saya sangka keadaannya kembali normal tetapi dia diserang demam diikuti jangkitan kuman pada hati dua minggu kemudian yang menyebabkannya ditahan di hospital.

“Sejak itu, Aysar kerap keluar masuk hospital dan kini dia dirawat di wad kanak-kanak Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas terkena jangkitan sama dan hospital juga ibarat rumah kedua buatnya,” katanya.

Sumber: Metro & ig Nassar Sanusi

IKLAN