
Rindu kepada yang telah pergi adalah rindu yang paling menyakitkan. Apatah lagi bila yang dirindui itu bukan sekadar darah daging tapi anak kecil yang pernah memenuhi rumah dengan tawa, rengekan dan haruman bayi yang masih segar di ingatan. Rindu seperti ini tak pernah sembuh, cuma kita belajar hidup bersamanya, hari demi hari.
Begitulah rindu yang dirasai oleh pasangan selebriti Ayu Raudhah dan Zaquan Adha, apabila mereka kembali berkongsi luahan hati terhadap anak bongsu mereka, Muhammad Aisy Al Rees, yang meninggal dunia ketika tidur pada 11 Februari 2025.
Kisah yang meruntun hati ini sekali lagi mengundang sebak ramai, selepas satu video berdurasi 1 minit 16 saat dimuat naik oleh Zaquan Adha
di Instagram menceritakan perjalanan pendek tetapi penuh makna, dari detik kelahiran hinggalah ke saat terakhir anak syurga itu di pangkuan mereka.Video itu dibuka dengan momen indah saat Aisy Al Rees dilahirkan. Bayi kecil yang lena dalam buaian, diselimuti kain putih, tersenyum tenang seperti malaikat kecil. Dari satu klip ke satu klip, dapat dilihat bagaimana si kecil itu membesar, dengan wajah comel yang menjadi penawar hati kedua ibu bapanya.
Namun, rentetan video bertukar pilu apabila muncul babak dalam ambulans petugas perubatan sedang melakukan CPR ke atas tubuh kecil itu. Degup jantung seakan terhenti, bukan hanya untuk si kecil, tetapi juga untuk sesiapa yang menonton.
Di saat itu, tiada kata yang mampu menggambarkan kesakitan yang dirasai ibu dan ayahnya hanya air mata yang menjadi saksi betapa besarnya kasih terhadap anak syurga mereka.
Rakaman kemudian memperlihatkan Zaquan Adha mengangkat tubuh kecil anaknya untuk dikapankan, dengan wajah tenang namun penuh kepiluan.
Di sisi, kelihatan Ayu Raudhah mencium anaknya buat kali terakhir satu ciuman yang bukan sekadar perpisahan, tapi juga pengabdian kasih seorang ibu yang reda dengan takdir Allah, walau hatinya hancur luluh.
Dalam perkongsian itu, Zaquan Adha menulis dengan penuh makna:
“Hari Jumaat yang penuh rasa kerinduan saya dan isteri @ayuraudhah_7 buat anak syurga kami…
Sakit dan pedih bila perasaan ini sekali-sekala datang…”
Ayat pendek itu cukup untuk menggambarkan betapa dalamnya luka kehilangan seorang anak. Hari Jumaat, hari penuh barakah, kini menjadi hari yang paling sukar bagi mereka berdua hari yang sering mengingatkan kepada suara, tawa dan senyuman kecil yang kini hanya tinggal dalam kenangan.
Ramai rakan artis dan pengikut mereka turut menzahirkan rasa simpati. Ruangan komen dibanjiri doa dan ungkapan sebak.
“Allahu… arwah comel sangat. Tenanglah di syurga, sayang kecil mama ayah.”
“Sakitnya tengok video ni”
“Semoga Ayu Raudhah dan Zaquan Adha kuat, arwah menunggu kalian di Jannah nanti.”
Rata-rata netizen mengakui mereka menangis menonton video tersebut. Bukan hanya kerana kesedihan yang dipaparkan, tetapi kerana mereka turut merasai betapa dalamnya kasih seorang ibu bapa terhadap anak yang telah pergi terlebih dahulu.
Kehilangan seorang anak bukan sesuatu yang mudah diterima. Ia meninggalkan ruang kosong yang tak mungkin diisi semula. Tetapi dalam setiap doa dan sujud, Ayu Raudhah dan Zaquan Adha membuktikan bahawa kasih itu tak terputus malah menjadi jambatan menuju syurga.
Ramai ibu bapa yang menonton video itu turut berkongsi rasa yang sama ada yang pernah kehilangan anak kecil, ada yang masih dihantui trauma lama, dan ada juga yang mula belajar untuk lebih menghargai setiap detik bersama anak mereka.
Video berdurasi 1 minit 16 saat itu bukan sekadar paparan kesedihan, tapi juga peringatan bahawa setiap nafas, setiap senyuman anak, setiap panggilan “Mama” atau “Ayah”, adalah anugerah yang mungkin hanya seketika.
Dan bila ia pergi, hanya kenangan yang menjadi penguat semangat untuk terus hidup.
Semoga Ayu Raudhah dan Zaquan Adha terus diberi kekuatan, dan semoga anak syurga mereka, Muhammad Aisy Al Rees, tenang di taman syurga Allah yang abadi.
Sumber: zaqone_08 & ayuraudhah