Penyanyi bervokal tinggi, Azharina Azhar, 39, dedah dirinya menghidap kanser rahim tahap dua.

Terdahulu bulan Jun lalu Azharina ada memaklumkan menghidap kanser, namun masih belum dapat berkongsi jenis kanser dihidapi kerana sedang menunggu keputusan laporan kesihatannya.

Azharina yang ditemui di majlis sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara, Nivea dengan kerjasama Watsons di Park Royal Collection, Kuala Lumpur hari ini berkata, walaupun diagnosis ini mengejutkan, Azharina meluahkan rasa syukur kerana kanser tersebut dikesan pada peringkat awal.

Azharina Sebak Kongsi Hidap Kanser Stage 2

“Saya ada kanser rahim. stage 2. Saya bersyukur dapat tahu awal. Syukur alhamdulillah,” katanya dengan nada penuh makna.

Kini, Azharina sedang menjalani rawatan untuk penyakit tersebut. Menurutnya, dia sering menjalani pemeriksaan kesihatan setiap enam bulan sekali, dan ini membantu dalam pengesanan awal kanser yang dihadapinya.

“Saya memang sejak dulu sudah biasa buat pemeriksaan kesihatan sebab dalam sejarah keluarga memang ada masalah kesihatan seperti kanser, kencing manis, darah tinggi, dan sakit jantung.

“Jadi, setiap enam bulan saya buat medical check-up. Tapi, tahun lepas bacaan kesihatan saya tak ‘cantik’.  Saya alami pendarahan yang banyak dan terus jumpa doktor,” katanya.

Azharina Sebak Kongsi Hidap Kanser Stage 2

Menurutnya, keadaan semakin serius apabila ada pendarahan. Dia kemudian dirujuk kepada doktor pakar untuk rawatan lanjut.

Setelah doktor memaklumkan dia disahkan menghidap kanser rahim stage 2, Azharina mengambil masa dua, tiga hari untuk menenangkan dirinya.

“Tiada kata-kata. Saya ambil masa 3-4 hari. Saya diam dan tenangkan diri. Hanya selepas itu saya mula berkongsi tentang situasi saya,” tambahnya.

Kala berbicara, Azharina tidak dapat menahan sebak dan meminta maaf tidak dapat menahan tangisannya. Dia mengakui tidak mahu menangis  dan mahu melangkah ke hadapan lebih positif dalam kehidupannya.

Tambahnya lagi, dia pada mulanya tidak mahu berkongsi mengenai penyakit itu kerana tidak mahu menyusahkan ahli keluarganya. Namun sebagai ibu tunggal, cabaran tetap ada.

Terdahulu, penyanyi Elergi Sepi itu kali pertama mendedahkan penyakit dihidapi ketika menjadi tetamu undangan untuk program No Filter bersama Elly Mazlein. Menurut Azharina, dia mengalami pendarahan teruk ketika menyertai program realiti, All Stars Gegar Vaganza (GV10) pada September 2023.

 

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI