
Bagi setiap ibu dan ayah, perjalanan membesarkan anak hadir dengan cerita dan cabarannya yang tersendiri. Ada perkembangan yang berlaku seperti dijangka, dan ada juga keadaan yang memerlukan ibu bapa belajar memahami dunia anak dengan lebih mendalam.
Begitulah yang dilalui penyanyi Azmi Saat bersama isterinya apabila anak mereka, Khalisa disahkan berada dalam spektrum autisme.
Menerusi perkongsian di media sosial, Azmi berkata dia dan isteri cuba berlapang dada menerima perjalanan yang telah ditentukan buat keluarga mereka. Walaupun sebagai ibu bapa mereka tentu mengharapkan yang terbaik untuk anak, diagnosis tersebut kini memberikan arah yang lebih jelas untuk mereka membantu perkembangan Khalisa.
Lebih menyentuh hati, Azmi menegaskan bahawa diagnosis tersebut tidak sedikit pun mengubah siapa anaknya di mata mereka.

Mula Sedari Perkembangan Khalisa Sejak Usia Setahun Setengah
Menurut Azmi, dia dan isteri sudah mula menyedari beberapa perkara berkaitan perkembangan Khalisa sejak anaknya berusia sekitar setahun setengah, terutamanya daripada aspek komunikasi.
Sebagai seorang ibu yang mempunyai latar belakang dalam Pendidikan Awal Kanak-kanak, isterinya merasakan ada beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian lebih awal.
“Sejak Khalisa berumur lebih kurang setahun setengah, kami sudah mula perasan ada yang tak biasa pada perkembangan Khalisa. Terutamanya dari segi komunikasi dan beberapa perkembangan lain.
Walaupun ketika itu belum ada apa-apa diagnosis, sebagai ibu yang ada diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak, isteri saya rasa ada sesuatu yang perlu kami beri perhatian.
Jadi kami mula mencari tahu.
Kami bawa Khalisa menjalani terapi cara kerja. Kami masukkan dia ke Early Intervention Programme (EIP). Apa yang termampu, kami cuba usahakan.
Dalam hati, tentulah kami sentiasa mengharapkan yang terbaik untuk Khalisa. Dalam masa yang sama, kami juga sedar perkembangan dia agak perlahan berbanding kanak-kanak lain seusianya, terutama sekali dari segi komunikasi. Sampailah semalam.”

Akhirnya Dapat Jawapan Tentang Spektrum Autisme
Selepas melalui tempoh menunggu dan pelbagai usaha mendapatkan bantuan, Azmi dan isteri akhirnya menerima pengesahan daripada doktor bahawa Khalisa berada dalam spektrum autisme.
Walaupun mereka sudah membaca, bertanya dan cuba memahami mengenai autisme sebelum mendapatkan diagnosis tersebut, Azmi mengakui emosi sebagai seorang ibu dan ayah tetap sukar untuk digambarkan apabila mendengar pengesahan itu sendiri.
“Selepas sekian lama menunggu, akhirnya kami mendapat jawapan yang perlu kami tahu. Doktor mengesahkan bahawa Khalisa berada dalam spektrum autisme.
Sebenarnya kami berdua dah agak bersedia untuk mendengar jawapan itu. Kami dah membaca, bertanya dan cuba memahami tentang autisme. Kami juga sedar Khalisa mempunyai beberapa ciri yang berkaitan dengannya. Tapi rupanya, bersedia dengan fikiran tidak semestinya membuatkan hati terus kebal.
Bila doktor mengesahkannya, menitik juga air mata kami berdua. Bukan kerana kami tidak boleh menerima Khalisa. Dia tetap Khalisa yang sama sebelum dan selepas kami keluar dari bilik doktor itu.
Cuma sebagai ibu bapa, macam-macam perkara tentang masa depannya bermain dalam fikiran.”
Air mata yang mengalir bukan kerana mereka tidak menerima Khalisa, sebaliknya lahir daripada rasa seorang ibu dan ayah yang mula memikirkan perjalanan serta masa depan anak mereka.”
“Allah Menentukan Perjalanan Yang Lain Buat Kami”
Dalam perkongsiannya, Azmi turut menyentuh tentang keadaan dirinya dan isteri yang tidak dapat melihat.
Sebagai ibu bapa, jauh di sudut hati mereka pernah membayangkan perjalanan membesarkan anak yang mungkin lebih mudah. Namun, pasangan ini percaya setiap ketentuan Allah SWT mempunyai hikmah yang tersendiri.
“Kami berdua sendiri tidak dapat melihat. Tentulah jauh di sudut hati, kami pernah membayangkan perjalanan membesarkan anak yang mungkin lebih mudah. Tetapi Allah menentukan perjalanan yang lain buat kami. Dan sebagai hamba, kami percaya apa yang Allah tentukan pasti ada hikmahnya. Walaupun hari ini kami belum mampu melihat keseluruhan hikmah itu.
Kami manusia biasa. Ada masa kami kuat. Ada masa kami risau. Ada masa kami tertanya-tanya bagaimana perjalanan ini nanti. Mungkin inilah salah satu ujian yang Allah amanahkan kepada kami.

Dianogsis Beri Arah Lebih Jelas
Bagi Azmi dan isteri, mengetahui diagnosis Khalisa bukanlah penghujung kepada perjalanan mereka. Sebaliknya, ia menjadi permulaan kepada proses pembelajaran yang lebih terarah sebagai ibu dan ayah.
Kini mereka tahu sokongan, ilmu dan bantuan yang perlu dicari demi perkembangan anak mereka.
“Tetapi satu perkara yang saya syukuri tentang diagnosis semalam ialah sekarang kami mempunyai arah yang lebih jelas. Kami tahu apa yang perlu dicari. Apa yang perlu dipelajari. Apa bantuan yang mungkin diperlukan Khalisa. Apa pula yang kami sebagai ayah dan ibu perlu ubah dan pelajari untuk membantunya.
Selepas ini ada lagi langkah-langkah yang perlu kami uruskan. Terapi akan diteruskan. Kami akan cari sebanyak mungkin ilmu dan bantuan yang sesuai untuknya. Termasuklah urusan pendaftaran OKU dan apa sahaja sokongan yang boleh membantu perkembangannya.”
Pasangan ini merancang untuk meneruskan terapi Khalisa selain mencari sebanyak mungkin ilmu dan sokongan yang sesuai, termasuk menguruskan pendaftaran Orang Kurang Upaya (OKU).
Kongsi Bukan Untuk Minta Simpati
Azmi turut menjelaskan bahawa perkongsian tersebut bukan dibuat untuk mendapatkan simpati daripada orang ramai.
Sebaliknya, dia berharap pengalamannya bersama isteri dapat memberikan kekuatan kepada ibu dan ayah lain yang mungkin sedang melalui perjalanan hampir sama.
“Saya kongsikan cerita ini bukan untuk meminta simpati. Saya kongsikan kerana mungkin ada ibu dan ayah di luar sana yang sedang melalui perkara yang hampir sama.
Kadang-kadang kita terlalu mahu anak kita menjadi seperti apa yang kita bayangkan, sampai terlupa untuk mengenali siapa sebenarnya anak yang Allah amanahkan kepada kita.
Setiap anak ada kemampuan, kekurangan, kelebihan dan waktunya sendiri. Tugas kita bukan memaksa mereka menjadi seperti orang lain. Tugas kita ialah cuba memahami sejauh mana kemampuan mereka, membantu mereka berkembang sebaik mungkin dan meraikan setiap kemajuan, walaupun bagi orang lain ia kelihatan kecil. Kerana itu juga hak mereka sebagai anak.”

“Ibu Ayah Perlu Belajar Lebih Banyak Untuk Masuk Ke Dunia Kamu”
Bagi Azmi, Khalisa tetap anak yang sama sebelum mahupun selepas diagnosis tersebut. Apa yang berubah hanyalah kefahaman mereka sebagai ibu dan ayah tentang bagaimana untuk mendekati dan membantu anak mereka dengan lebih baik.
“Hari ini, Khalisa masih Khalisa yang sama. Cuma Ibu dan ayah sekarang perlu belajar lebih banyak untuk masuk ke dalam dunianya. Insya-Allah, kita belajar sama-sama, ya sayang.
Doakan perjalanan kami dipermudahkan.”
Semoga perjalanan Azmi Saat dan isterinya dalam membesarkan Khalisa terus dipermudahkan.
Buat ibu ayah yang mungkin sedang melalui perjalanan serupa, mendapatkan penilaian dan bantuan awal bukan bermakna ada sesuatu yang “kurang” pada anak. Sebaliknya, ia boleh menjadi langkah untuk memahami keperluan mereka dengan lebih baik dan mencari sokongan yang sesuai.
Baca lagi: Mykad Generasi Baharu Rasmi Hari Ini, Tak Perlu Tergesa-Gesa Tukar Mykad Lama!
Disipilin Anak Tanpa Perlu Jerit & Ugut Rotan, 6 Cara Berkesan Guna Time-Out!
Diabetes Jenis 1 Pada Anak, 8 Tanda Penting Yang Ibu Ayah Wajib Tahu!
Sumber: Facebook Azmi Saat
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!

