
Dalam dunia penuh persaingan akademik, kisah pasangan kembar seiras ini bagaikan cahaya harapan buat ibu bapa dan pelajar. Amira Bazilah dan Amira Basirah Mohd Arizan, dua beradik berusia 20 tahun, mencipta sejarah peribadi apabila kedua-duanya meraih PNGK 4.00 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Rahsia mereka? Disiplin tinggi, doa yang tak pernah putus dan rutin harian yang penuh keberkatan.
“Selepas solat Isyak, saya akan mengulangkaji pelajaran dan tidur sekitar jam 12 tengah malam. Setiap hari, saya bangun jam 3 pagi untuk belajar semula, menunaikan solat sunat dan membaca Surah Yasin selepas Subuh,” kongsi Amira Bazilah. Selain itu juga, bacaan Surah Al-Waqiah sudah dijadikan sebagai satu rutin harian kepada mereka.
Anak ketiga dan keempat daripada lima beradik ini tidak pernah terpisah sejak kecil. Mereka membesar bersama, saling menjadi ‘guru’ dalam pelajaran dan rakan karib dalam kehidupan harian.
Bapa mereka, Mohd Arizan, seorang pemandu bas, dan ibu mereka, Faridah Jemahat, seorang suri rumah, sentiasa menjadi sumber kekuatan utama dengan doa dan galakan yang tak pernah putus.
Walaupun menerima tawaran kejuruteraan awam di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) selepas SPM, mereka memilih Tingkatan Enam kerana minat mendalam dalam bidang pendidikan. Kini, mereka menyimpan impian untuk melanjutkan pengajian di UPSI dan menjadi tenaga pengajar.
Kisah dua adik ini mengingatkan kita bahawa kejayaan bukan hanya terletak pada IQ, tetapi pada EQ, SQ dan disiplin diri. Ibu-ibu muda, inilah contoh bagaimana sokongan emosi, suasana rumah yang kondusif dan didikan rohani mampu membentuk anak yang luar biasa.
“Bangun awal, baca surah, ulang kaji tanpa henti – hasilnya bukan sekadar A, tapi anak yang yakin dengan diri dan dekat dengan Ilahi.”