Tindakan memberikan bayi bijirin yang dicampurkan dengan susu menerusi botol boleh menyebabkan tersedak susu. Ini juga boleh meningkatkan risiko terjadinya jangkitan pada paru-parunya.

Keadaan bayi tercungap-cungap dan badannya bertukar menjadi biru adalah tanda-tanda dia sedang tersedak susu. Ia berlaku apabila bayi tidak dapat menghisap puting dan menelan susu dengan baik.

BAYI BERISIKO UNTUK MENGALAMI TERSEDAK MAKANAN & MINUMAN

Bagi mama dan papa yang mempunyai bayi yang berisiko tersedak susu ini diharapkan berhati-hati.

Ia boleh terjadi kepada bayi dan kanak-kanak seperti berikut;

  • Bayi yang mengalami keabnormalan pada struktur oral saluran penelanan dan pernafasan seperti klef bibir lelangit
  • Bayi yang mengalami kelewatan perkembangan global
  • Bayi yangmenghadapi masalah neurologi seperti Cerebral Palsy atau Down Syndrome
  • Bayi yang mempunyai masalah perubatan yang kompleks iaitu masalah jantung kongenital, paru-paru dan ginjal.

BOLEH AKIBATKAN PNEUMONIA

Antara risiko yang berlaku apabila bayi atau kanak-kanak tersedak  ialah jangkitan pada paru-paru atau pneumonia kerana semasa tersedak susu yang diminum boleh memasuki salur pernafasan bayi. Masalah ini berkait rapat dengan perkembangan kemahiran bayi menghisap.

 

KEMAHIRAN MENGHISAP

Kemahiran menghisap  adalah satu kemahiran yang wujud pada bayi sejak lahir dan mencapai tahap matang secara berperingkat sehinggalah bayi berumur dua tahun.

Perkembangan kemahiran ini bergantung kepada perkembangan neurologi bayi serta pembelajaran melalui pengalaman.

Bayi yang baru dilahirkan hanya boleh menghisap dan menelan cecair kerana perkembangan kemahiran menghisap masih belum cekap. Bayi boleh disusukan dengan baik dan selamat dengan adanya kombinasi tindak balas refleks yang membantu mereka mengesan, menghisap dan menelan susu.

Bayi akan menunjukkan refleks  gag (seakan-akan ingin termuntah) apabila objek seperti sudu, makanan pepejal diletakkan jauh ke dalam mulut. Refleks ini membantu mencegah bayi daripada menelan makanan atau objek yang boleh menyebabkan bayi tercekik atau tersedak.

JANGAN CAMPUR SUSU BAYI DENGAN BIJIRIN

Disebabkan kewujudan reflex ini, bayi hanya boleh diberikan jenis makanan selain cecair selepas mencapai usia 6 bulan.

Oleh itu, tindakan ibu bapa mencampurkan bijirin ke dalam susu formula bayi dan diberikan menerusi botol susu di mana lubang putingnya dibesarkan membahayakan dan boleh menyebabkan bayi mudah tersedak. Ia cecair likat yang mungkin sukar untuk ditelan bayi kecil.

SISTEM PENGHADAMAN BAYI MASIH BELUM MATANG

Tambahan pula, sistem penghadaman bayi masih belum matang untuk memproses makanan pejal. Tunggu sehingga bayi mencecah usia enam bulan sebelum memberikan mereka makanan pejal/ pelengkap.